| ARTIKEL |
|
Atlantis dan Shangri La, fantasi
atau realiti?
DUNIA ini sebenarnya menyimpan pelbagai misteri dan kisah yang belum terungkap sama ada di lautan atau pun daratan. Masih banyak bahagian lautan dan daratan belum diteroka oleh manusia. Saban tahun, berbagai-bagai artifak arkeologi seperti runtuhan bangunan, mumia, tembikar, dan fosil ditemui oleh para pengkaji yang membawa kepada kemunculan hipotesis serta teori yang baru. Penemuan beberapa artifak di Lautan Atlantik berhampiran Semenanjung Barat Gibraltar telah menimbulkan semula perbahasan mengenai kewujudan sebuah kerajaan lama yang dikenali sebagai Atlantis. Kewujudan empayar Atlantis selama ini dianggap tidak lebih daripada sebuah khayalan dan mitos semata-mata. Namun, para sejarawan percaya bahawa negara Atlantis masih wujud dan tidak musnah sebagaimana yang disangka. Ahli falsafah terkenal Yunani, Plato pernah menulis mengenai Atlantis dalam sebuah karyanya yang berjudul “Timaeus” yang ditulisnya pada tahun 300 Sebelum Masihi (SM), diikuti oleh tulisannya secara terperinci dalam Critias. Mereka berkeyakinan bahawa Atlantis pernah dan benar-benar wujud. Tetapi keyakinan mereka itu tidak disokong oleh fakta yang kuat menyebabkan kisah mengenai Atlantis ini dianggap sebagai dongengan dan khayalan semata-mata. Selama berabad-abad, ramai ahli pelayaran telah berusaha mencari letaknya negara Atlantis. Terdapat ahli pelayaran yang pulang membawa cerita tentang penemuan negara Atlantis dan cerita ini kemudiannya telah ditokok tambah sehingga hilang kebenarannya. Biarpun kewujudan Atlantis masih dipersoalkan tetapi kisahnya telah menarik minat para saintis untuk terus mengkaji dan mencari kewujudan negara tersebut. Mengikut mitologinya, Atlantis merupakan sebuah negara dan kerajaan yang empayarnya merentasi bahagian barat daya Eropah hingga ke arah barat laut Afrika. Negara Atlantis dikatakan bak sebuah syurga dan menjadi tempat paling ideal bagi kehidupan manusia. Walau bagaimanapun, empayar Atlantis tidak dapat bertahan lama apabila dikalahkan oleh orang-orang Athens dan Greek. Kekalahan itu telah mengubah cara hidup penduduk Atlantis apabila suasana yang sebelum ini aman bertukar menjadi kucar-kacir. Berbagai-bagai kejahatan berlaku dalam masyarakat dengan jenayah dan pembunuhan berleluasa. Kononnya, perubahan itu telah menimbulkan kemarahan para dewa lantas menenggelamkan negara Atlantis ke dalam Lautan Atlantik. Kajian yang dibuat oleh para saintis hasil daripada beberapa penemuan artifak sejarah mendapati bahawa negara Atlantis tenggelam disebabkan oleh kejadian gempa bumi. Gempa bumi yang berlaku itu telah meranapkan sama sekali negara itu. Persoalan mengenai kedudukan dan lokasi sebenar negara Atlantis masih lagi menjadi pertikaian. Begitu juga dengan hakikat kewujudan negara itu terus menjadi teka-teki yang belum terjawab. Sesetengah saintis berpendapat bahawa Atlantis hanya merupakan khayalan para ahli falsafah yang mahu melahirkan sebuah negara dan masyarakat yang ideal. Selagi penemuan saintifik tidak ditemui untuk membuktikan kewujudan Atlantis, persoalan-persoalan itu tidak akan dapat dijawab sepenuhnya. Yang nyata ialah kewujudan negara Atlantis tidak boleh ditolak kerana sejarah telah membuktikan betapa banyak kerajaan lama telah musnah dan tenggelam tanpa meninggalkan kesan untuk kita jejaki termasuk kewujudan sebuah negara yang dihuni oleh kaum Nabi Luth yang dikatakan berada di bawah dasar Laut Mati. Setiap masyarakat mempunyai legenda, mitos dan cerita misterinya yang tersendiri. Di kalangan penduduk yang tinggal di kawasan pergunungan Himalaya, terdapat satu legenda yang menceritakan mengenai Shangri La, sebuah tempat di mana manusia dikatakan dapat hidup kekal abadi buat selama-lamanya. Sejak lebih seabad yang lama, berbagai-bagai usaha telah dilakukan untuk menawan puncak Himalaya yang dikenali sebagai Gunung Everest. Keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering mengalami perubahan mendadak ditambah pula dengan suhu yang rendah dan udara yang tipis menyebabkan banyak usaha untuk menawan puncak Himalaya menemui kegagalan. Mendaki pergunungan Himalaya bukan sahaja mencabar tetapi menuntut ketahanan fizikal yang tinggi. Ramai pendaki berdepan dengan masalah kesulitan bernafas. Tidak kurang juga yang mati kesejukan. Oleh itu, usaha mendaki selalunya dilakukan secara berkumpulan kerana amat berbahaya untuk mendaki secara perseorangan. Hanya mereka yang mempunyai daya tahan yang luar biasa dan berpengalaman luas sahaja yang mampu sampai ke puncak pergunungan Himalaya. Walau bagaimanapun, ramai yang gagal dan tidak dapat dikesan jejak langkahnya. Dengan kata lain mereka seperti ghaib dan hilang begitu sahaja. Pelik dan menjadi misteri ialah mereka yang hilang itu tidak pernah ditemui mayatnya seolah-olah mereka tidak pernah hadir di kawasan tersebut. Fenomena ini telah menimbulkan minat kepada segelintir saintis untuk mencari jawapan di sebalik kehilangan para pendaki gunung ini. Akhirnya para pengkaji menyimpulkan bahawa kemungkinan besar para pendaki yang hilang itu termasuk ke dalam satu kawasan larangan yang dikenali sebagai Shangri La. Sesiapa yang masuk ke dalam kawasan Shangri La tidak dapat keluar semula dan hidup selamalamanya di kawasan itu. Lebih menakjubkan mengikut mitologi masyarakat yang tinggal di kawasan Himalaya, mereka yang berada di Shangri La akan kelihatan muda dan hidup tanpa sebarang masalah. Shangri La diumpamakan seperti sebuah syurga yang penuh dengan kenikmatan-kenikmatan yang menjadi idaman setiap manusia. Gambaran keadaan di Shangri La itu merupakan di antara sejumlah fenomena ganjil yang menarik perhatian para pengkaji. Seperti Benua Atlantis, masih banyak bukti saintifik diperlukan untuk membuktikan kewujudan dunia Shangri La. Selain dunia yang ideal, beberapa jenis makhluk aneh juga pernah dilaporkan dilihat di kawasan pergunungan Himalaya. Tapak kaki yang menyerupai Bigfoot pernah ditemui pada lapisan salji yang meliputi pergunungan itu. Apakah tapak kaki itu merupakan kepunyaan Bigfoot atau pun makhluk lain sukar untuk dibuktikan kecuali adanya petunjuk yang kuat mengenainya. Selagi fenomena luar biasa itu tidak dibuktikan secara saintifik maka kisah-kisah yang diperkatakan itu akan terus dianggap sebagai mitos dan legenda. Mengikut ahli psikologi, dunia Atlantis dan Shangri La merupakan dunia khayalan ciptaan para penduduk setempat untuk menghadapi ‘kerenah’ dan cabaran hidup yang mereka hadapi. Sebagai contohnya, cuaca yang sejuk, tandus, dan hambar di kawasan pergunungan telah mendorong penciptaan sebuah dunia khayalan untuk melupakan segala penderitaan dan kemelaratan hidup yang mereka hadapi. Di samping untuk melarikan diri daripada realiti hidup yang sebenar. Sesungguhnya banyak perkara yang dianggap mitos oleh masyarakat dahulu telah menjadi realiti pada hari ini. Memang ada kemungkinan mereka yang hilang di kawasan Himalaya mati ditimbus oleh salji yang runtuh tetapi sesuatu yang pasti ialah fenomena alam yang berlaku di kawasan itu menunjukkan semacam ada kuasa luar biasa yang tersimpan di dalam perut buminya. Hal yang sama juga mungkin berlaku di Lautan Atlantik yang menyaksikan berlakunya banyak kejadian yang luar biasa di sepanjang kehidupan manusia seperti misteri kehilangan pesawat di Segi Tiga Bermuda dan tenggelamnya kapal Titanic di kawasan tenggara Newfoundland. Petikan daripada Majalah Dewan Siswa Ogos 2004. |