ARTIKEL
Sacsayhuaman : Taman Arkeologi Misteri di Peru

KAWASAN ini terletak di bahagian utara Bandar Cusco pada altitud kira-kira 3555 m di atas paras laut antara daerah Cusco dan San Sebastian, kedua-duanya terletak dalam wilayah Cusco. Kawasan yang digelar taman arkeologi ini meliputi seluas 30 940 km2 dan mengandungi lebih 200 tapak arkeologi.

Tapak utama adalah Saqsaywaman yang dipanggil Sacsayhuaman terdiri daripada dua jalan berturap, satunya bermula dari sebuah bandar tua dan tradisional San Cristobal yang sepanjang 1.5 km manakala satu lagi bermula di Avenida Collasuyo dengan jarak empat kilometer panjang.

Ketika penjajah Sepanyol tiba pada pertama kalinya di kawasan ini, mereka tidak mampu menjelaskan bagaimana masyarakat India Peru (yang dianggap bodoh, liar, tanpa sebarang alasan logik, dilabelkan sebagai haiwan liar oleh penjajah) boleh membuat binaan yang mengagumkan. Fahaman keagamaan mereka yang fanatik membuatkan bangsa penjajah ketika itu menganggap ia dibina oleh syaitan atau kuasa ghaib. Sehingga kini, kebanyakan pengunjung tidak percaya masyarakat Quechua purba membuat binaan yang sebegitu unik, mereka beranggapan binaan itu dibuat oleh makhluk daripada dunia lain yang mempunyai teknologi canggih.

Tetapi, pakar sejarah dan arkeologi tidak menafikan beberapa objek yang terdapat di situ merupakan hasil kerja masyarakat Inca, Quechua, Andean atau mana-mana masyarakat pra-Hispanik sebelum bumi ini mempunyai nama.

Bandar diraja Cusco yang bermaksud ”Pusat Bumi” dibuat dalam bentuk seekor harimau puma, yang juga merupakan haiwan simbol Dinasti Inca. Perut puma tersebut merupakan plaza utama, Sungai Tullumayo pula menjadi tulang belakang manakala bukit Sacsayhuaman menjadi kepala puma.

Satu perkara yang amat mengagumkan tentang tinggalan seni bina kompleks yang unik daripada masyarakat Inca di Sacsayhuaman adalah beberapa binaan dikenal pasti sebagai monumen terbaik yang pernah dibina oleh manusia di muka bumi ini. Dinding atau baluarti merupakan bahagian yang paling menarik hati setiap pengunjung, ia dibina daripada ketulan batu kapur bersaiz besar yang diukir, pembinaan ini menghasilkan garisan pecahan yang membentuk plaza utama dikenal sebagai Chuquipampa yang terdiri daripada suatu cerun pada sudut 25% dan terdiri daripada 60 dinding. Ketulan batu ukir paling besar daripada dinding pertama mempunyai berat lebih kurang 70 tan dan seperti juga ketulan batu sebelumnya dalam artikel yang lepas, batu ini dibawa daripada kuari Sisicancha, sejauh tiga kilometer daripada kawasan pembinaan. Setiap dinding terdiri daripada 10 dan yang terpenting dikenal sebagai Rumipunco, Tiupunku, Achuanpunku dan Viracocha Punku.

Bentuk asal tiga dinding atau kubu ini masih boleh dilihat sehingga ke hari ini, ia merupakan bahagian bangunan terhebat yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Kubu ini terdiri daripada tiga dinding selari yang dibina pada ketinggian berbeza dengan batu kapur bersaiz besar, bentuknya yang berliku-liku ini menunjukkan ia merupakan gigi puma yang kompleks. Pada binaan ini ketulan batu yang digunakan untuk membuat bahagian pertama atau bawah merupakan yang terbesar dengan saiz setiap satunya kira-kira 8.5 m tinggi dan berat mencecah 140 tan metrik. Ketulan batu ini dikelaskan sebagai seni bina megalitik.

Terdapat beberapa pengkaji yang menganggap tiga dinding itu mewakili tiga tahap dunia mengikut kepercayaan Andean, iaitu bahagian bawahnya terdiri daripada Ukju Pacha (tahap bawah tanah), yang kedua ialah Kay Pacha (tahap permukaan bumi) di bahagian tengah dan Hanan Pacha (tahap langit) di bahagian atas. Selain tahap ini ia turut mewakili tiga haiwan suci iaitu amaru atau machaqway (ular), puma (singa gunung) dan Kuntur (condor Andean). Manakala bentuknya yang berliku-liku pula dikatakan simbol tuhan Illapa (taufan, kilat dan petir). Elemen ini mungkin mempunyai kaitan dengan kepercayaan mereka kerana terdapat kaitan tentang ketuhanan selain tiga dikenal sebagai kata kunci di kalangan Quechua.

Peliknya, tidak terdapat sebarang dinding atau binaan pun seperti ini di dunia. Binaannya berbeza dengan Stonehenge, tidak sama dengan piramid di Mesi dan Maya, sama sekali tidak serupa dengan sebarang kerja pertukangan batu zaman monolitik purba. Lekatan batu ini sangat padan, tidak ada sedikit pun kesan rumput atau keluli yang boleh diselitkan di antara dua batu berkenaan, Jauh sekali daripada kesan lepa untuk melicinkan permukaan. Penyambungan satu batu dengan satu batu yang lain dalam bentuk kompleks dan permukaan luar biasanya memberikan misteri yang tidak terjawab kepada pengkaji batuan dan binaan.

Binaan ini sama ada sekadar hiasan atau batu bertulis masih terdapat sesuatu yang misteri di sini. Kebanyakan dinding ini terdapat di sekeliling Cusco dan kawasan Sungai Urubamba di Peruvian Andes. Dan kebanyakan strukturnya melangkaui pemikiran kita. Persoalan bagaimana, kenapa dan untuk apa tidak pernah dijawab oleh mana-mana pengkajipun setakat ini dengan tepat. Malah tidak ada seorang pun generasi hari ini yang mampu membina seumpamanya.

Petikan daripada Majalah Dewan Kosmik April 2004.

Hosted by www.Geocities.ws

1