Rahman Sintaro perkenalkan TTS kepada ATM
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2006&dt=1122&pub=utusan_malaysia&sec=polis%5F%26%5Ftentera&pg=te_03.htm&arc=hive

MELIHAT kehebatan serta ketangkasan anggota-anggota tentera melakukan demonstrasi tempur tanpa senjata (TTS) di Stadium Kementerian Pertahanan baru-baru ini amat membanggakan Mejar (B) Abdul Rahman Hashim, 67.

Ia secara langsung mengembalikan ingatan beliau ke zaman semasa dirinya masih berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketika itu, beliau baru setahun menyertai ATM dan terpilih untuk menjalani taekwondo dengan jurulatih tentera dari Korea Selatan.

Sekali gus menjadikan anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang ini antara rakyat Malaysia pertama mempelajari taekwondo.

Ketika itu seni mempertahankan diri yang begitu luas dipelajari di Malaysia ialah silat, judo dan kungfu.

“Masa itu tahun 1963, ATM masih belum ada apa-apa teknik asas mempertahankan diri yang rasmi.

“Bersama kira-kira 120 anggota lain, kami mengikuti latihan asas taekwondo di Kem Imphal yang terletak di ibu negara,’’ katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran TTS peringkat ATM.

Mereka juga berlatih di Kedutaan Korea Selatan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Komunikasi di antara jurulatih dengan anak murid ketika itu amat sukar kerana jurulatih dari Korea Selatan hanya boleh bertutur beberapa patah perkataan dalam bahasa Inggeris seperti ‘yes’, ‘no’, ‘alright’.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha gigih, mereka berjaya menamatkan latihan dalam tempoh setahun dan dua tahun kemudian layak menjadi jurulatih.

Namun, hanya kira-kira 70 orang berjaya sampai ke tahap tersebut.

Selepas itu, Rahman dan rakan-rakannya mengubah-suai teknik-teknik yang dipelajari mengikut keperluan ATM dan menamakannya TTS.

Mereka kemudiannya berjaya memperlihatkan teknik TTS kepada umum dalam pertunjukan Tatu ATM.

“Anak-anak murid saya pun ramai sudah berjaya dan ada yang pernah menjadi juara dunia dalam sukan taekwondo,’’ katanya yang dulu berkhidmat dengan Kor Artileri Diraja.

Semasa dalam ATM, beliau juga dikenali sebagai Rahman Sintaro kerana sifatnya yang suka bergaduh.

Namun, beliau bergaduh bukan kerana sombong tetapi mahu menjaga maruah ATM.

“Kalau ada sesiapa memperlekehkan tentera ketika itu, sayalah orang pertama yang akan mencabar dia,’’ katanya penuh bangga.

Beliau bersara dari ATM pada tahun 1989.

 
Copyrights@2008 luvlyrose2000 - Home
1