|
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat S.m Lok Yuk |
|
Tanggal 31 Ogos tarikh keramat buat negara kita. Bagi masyarakat Malaysia inilah hari yang penuh bersejarah, hari di mana kita melaungkan laungan Merdeka ! Merdeka ! dan Merdeka ! sebagai tanda bangga menjadi rakyat Malaysia yang bebas daripada belenggu Penjajahan Asing. S.M Lok Yuk yang berdiri sebagai sekolah harapan negara, walaupun sibuk dengan kegiatan harian, masih sempat menganjurkan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah. Pelbagai aktiviti diadakan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan. Sesungguhnya sambutan ini telah memakan banyak tenaga, wang dan masa. Tetapi jelas bahawa warga S.M Lok Yuk tidak mengendahkan perkara tersebut sebaliknya menyokong penuh sambutan ini sehinggalah ia berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Peringkat pembukaan pada 15 Ogos , S.M Lok Yuk telah mengadakan perhimpunan ringkas sempena Pembukaan Bulan Kemerdekaan di sepanjang jalan masuk ke S.M Lok Yuk. Upacara menaikkan Jalur Gemilang telah dilaksanakan oleh Tuan Pengetua, En. Ng bersama-sama guru yang lain diiringi oleh nyanyian lagu Negaraku oleh semua pelajar sidang pagi sebagai upacara perasmian pembukaan bulan kemerdekaan di peringkat sekolah. Selepas itu satu persembahan ringkas diadakan daripada Badan Pengawas sekolah iaitu persembahan Koir. Perhimpunan tamat tetapi satu lagi aktiviti iaitu mewarnakan Jalur Gemilang oleh setiap pelajar diadakan dengan lagu patriotik dimainkan untuk menghayati makna kemerdekaan di kalangan warga S.M Lok Yuk. Hari selepas upacara pembukaan, kawasan sekolah mula giat dihiaskan dengan Jalur Gemilang. Hasil warnaan Jalur Gemilang oleh pelajar telah digantung di sepanjang bangunan sekolah. Pondok-pondok, kantin, walkway juga tidak lupa dihiaskan dengan Jalur Gemilang. Pagar sekolah dan padang sekolah telah dipacakkan dengan Jalur Gemilang. Badan pengawas juga telah memainkan peranan dengan menganjurkan Pertandingan menghiaskan kelas dengan tema 'Kemerdekaan'. Pelajar-pelajar pula begitu bersemangat kemerdekaan sehingga sanggup berbelanja untuk menghiaskan kelas. Bagi pelajar S.M Lok Yuk, Hari Kemerdekaan merupakan hari di mana mereka dapat menunjukkan rasa cinta kepada negara secara tidak langsung. Selain itu, pihak sekolah juga menganjurkan pelbagai pertandingan seperti melukis poster kemerdekaan, menulis puisi kemerdekaan dan sebagainya.
Peringkat penyempurnaan bulan kemerdekaan pada 3 September, pelbagai acara diadakan. Sebagai permulaan satu lintas langsung oleh unit-unit beruniform dari sidang petang telah diadakan dengan penerimaan tabik hormat oleh Tuan Pengetua. Pasukan unit beruniform ini telah berlatih bersungguh-sungguh untuk memberi persembahan perbarisan yang terbaik. Pasukan unit beruniform diiringi oleh Pancaragam Pengakap sekolah. Upacara diteruskan di Dewan Lok Yuk iaitu Majlis Penyempurnaan Bulan Kemerdekaan. Sambil menyelam sambil minum air, Majlis ini juga diadakan sempena Penutupan Bulan Bahasa Peringkat Sekolah. Majlis ini telah dirasmikan oleh tetamu Undangan, Pegawai Pendidikan Sabah, Pn Salmah Abdullah. Pelbagai Persembahan disajikan seperti mendeklamasikan sajak, pidato, nyanyian, tarian, drama dan sebagainya daripada pelajar SM Lok Yuk. Selain itu upacara penyampaian hadiah pertandingan juga diadakan. Sambutannya pula adalah amat menggalakkan. Tiada pelajar yang hadir berada di luar dewan, pelajar-pelajar sanggup memenuhi dewan sehingga tangga pun dijadikan tempat duduk, sanggup bersempit-sempitan hanya untuk menyaksikan majlis yang penuh bermakna ini. Majlis berakhir dengan jamuan ringan. Sememangnya pelbagai pihak telah terlibat dalam usaha menjadikan Majlis Penyempurnaan Bulan Kemerdekaan satu acara kemuncak yang berjaya. Peringkat seterusnya ialah Penutupan Bulan Kemerdekaan. Sebagai pelajar S.M Lok Yuk walaupun bulan kemerdekaan telah ditutup tabirnya tetapi bahang kemerdekaan masih membara di hati kami. Merdeka !!! Disediakan oleh: Lok Yuk Network Group
lokyuk network group 2003 |