SERANGGA PEROSAK KOKO DAN PENGURUSANNYA

 

Oleh

 

Alias, A.

Lembaga Koko Malaysia

Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Kualiti Koko, Tawau

 

 

1.0   PENGENALAN

 

Koko seperti tanaman lain juga mempunyai masalah terhadap penyakit dan perosak di mana sahaja ia ditanam. Setengah-setengah perosak bukan sahaja boleh mengurangkan hasil tetapi juga merencatkan pertumbuhan pokok. Di samping perosak-perosak koko terdapat juga serangga-serangga berguna seperti parasit, pemangsa dan serangga pendebunga. Kertas kerja ini membincangkan secara ringkas beberapa serangga perosak koko yang biasa menyerang pokok koko dan cara-cara untuk mengawalnya berdasarkan kepada kesan dan simptom serangan.

 

2.0   STATUS  DAN KEPENTINGAN SERANGGA PEROSAK KOKO MASAKINI

 

Di Malaysia, pengorek buah koko (PBK), Conopomorpha cramerella Snellen merupakan perosak utama koko masakini. Kesan dari serangan PBK menyebabkan kualiti biji koko kering menjadi rendah, biji menjadi kecil dan kadangkala melekat di antara satu sama lain. PBK jika tidak dikawal berkemampuan menyebabkan kerugian hasil sehingga mencapai 100%.

 

Disamping PBK, terdapat beberapa jenis serangga perosak yang boleh di anggap kedua pentingnya. Di antaranya ialah kepinding / pianggang nyamuk, kepinding / pianggang lebah, pengorek dahan dan batang dan pengorek kulit koko.

 

Kepinding nyamuk dan kepinding lebah merupakan perosak utama koko sebelum kedatangan PBK ke Malaysia pada tahun 1980. Terdapat dua spesis kepinding nyamuk yang dilaporkan menyerang pokok koko iaitu Helopeltis theivora di Semenanjung Malaysia dan H. clavifer di Sabah.  Manakala kepinding lebah Platyngomiriodes apiformis hanya dilaporkan menyerang pokok koko di Sabah sahaja. Kesan dari serangan perosak ini boleh menyebabkan buah koko menjadi layu dan akhirnya mati sekiranya serangan berlaku pada peringkat buah masih kecil.

 

Pengorek dahan dan batang pula (Zeuzera spp., Endoclyta hosei) pula boleh menyebabkan kematian pada pokok koko jika tidak dikawal terutama apabila ia menyerang pokok koko yang masih muda. Manakala serangga perosak lain bolehlah dianggap kurang penting tetapi boleh menjadi penting sekiranya terdapat peletusan populasi. Kebiasaanya peletusan populasi dikaitkan dengan penggunaan racun serangga yang berleluasa serta faktor-faktor alam sekitar.

 

3.0        Pengorek Buah Koko

 

Pengorek Buah Koko (PBK) mula dilaporkan menyerang koko pada tahun 1980 di Sabah dan seterusnya merebak ke Sarawak apada tahun 1983 dan Semenanjung Malaysia pada tahun 1986. Pada masakini, hampir kesemua kawasan koko yang di tanam telah dilaporkan diserang oleh PBK.

 

3.1        Kitaran Hidup PBK

 

Telur PBK adalah kecil, berwarna oren serta berbentuk bujur leper. Kebiasaannya dewasa PBK mengeluarkan telur sebiji-sebiji di dalam lurah buah koko dan menetas dalam masa 2-7 hari.

 

Larva akan mengorek pada bahagian bawah kulit telur sehingga mencecah lapisan sklerotik pada tempat yang sama di mana telur diletakkan. Kulit telur yang tertinggal berfungsi sebagai lapisan pelindung kepada larva semasa ia mengorek masuk ke dalam buah koko.

 

Kesan lorong yang dilalui oleh larva dikenalpasti sebagai jaluran kelabu yang berakhir dengan warna hitam pada permukaan dalam kulit buah koko. Selalunya, lorong-lorong ini dipenuhi dengan bahan buangan yang berwarna coklat hitam. Larva akan memakan palpa biji dan plasenta untuk melengkapkan perkembangan hidupnya. Kebiasaannya bahagian biji koko tidak disentuh, tetapi bagi buah yang muda, larva boleh menembusi testa biji dan juga kotiliden.

 

Larva yang matang akan mengorek keluar dari dalam buah koko pada waktu malam terutama pada bahagian buah yang lebih nipis, seperti di lurah buah. Apabila menjumpai tempat yang sesuai, larva mengeluarkan sejenis bebenang dari bahagian mulutnya untuk membentuk kokon. Kokon boleh dijumpai terbentuk pada daun hijau, buah hijau atau daun kering di atas tanah. Lubang tempat larva keluar berukuran 1 mm garispusat sangat mudah untuk dikenalpasti. Jangka hayat hidup larva di dalam buah koko adalah di antara 14-20 hari.

 

Pembentukan kokon mengambil masa 24 jam. Bentuk kokon adalah rata, bujur telur dan berwarna putih. Kokon akan berubah dari warna putih ke perang kuning lutsinar. Warna pupa akan menjadi menjadi kelabu gelap selepas 8 hari. Kebiasaannya, dewasa PBK akan muncul pada waktu petang hingga ke awal malam.

 

Dewasa PBK berukuran lebih kurang 7 mm panjang dan 2 mm lebar. Sayapnya berbentuk zig-zag dengan tompok kuning-oren di hujungnya. Jangka hayat hidup dewasa PBK ialah 1-30 hari tetapi pada kebiasaannya 1 minggu sahaja. Kitaran hidup lengkap PBK bermula dari peringkat telur hingga dewasa mengambil masa lebih kurang 27-33 hari.

 

Dewasa PBK aktif pada waktu malam. Proses pengawanan dan peneluran juga berlaku pada waktu malam. Bilangan telur yang dikeluarkan oleh setiap  dewasa betina PBK adalah berbeza-beza iaitu di antara 40-100 biji dan boleh mencapai sehingga 300 biji.

 

Dewasa PBK sangat sensitif kepada pergerakan udara. Apabila berlaku rangsangan, sesungutnya kelihatan bergerak-gerak. Di waktu siang hari, dewasa PBK berehat di bahagian bawah dahan pokok koko secara melintang. Kepalanya menghala ke arah yang berlawanan dengan arah cahaya. Sayap, sesungut dan kakinya dirapatkan ke arah badannya. Keupayaan untuk terbang adalah kurang tetapi meningkat dengan bantuan pergerakan angin.

 

3.2        Simptom serangan

 

PBK biasanya menyerang buah koko yang berukuran melebihi 7 cm atau berumur kurang dari 10 minggu sebelum masak. Buah-buah koko yang sedang membesar akan terbantut akibat serangan PBK. Kehadiran larva PBK di dalam buah menyebabkan kulit buah kelihatan seperti masak dan boleh dikenali dengan tompok-tompok kuning hijau atau kuning merah. Maka, buah-buah tersebut akan dikutip sebelum ianya benar-benar matang dan biji koko tidak berkembang sepenuhnya. Jika dibelah, didapati testa biji dan musilaj buah tersebut juga adalah keras dan ini menyebabkan proses pengeluaran biji menjadi sukar. Di permukaan kulit buah koko kadang-kala terdapat lubang keluar larva yang kecil yang berukuran lebih kurang 1-2 mm garispusat.

 

Kadang-kadang terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa serangan telah pun berlaku, contohnya kokon dijumpai sama ada yang masih baik atau pun yang telah dirosakkan oleh semut. Sekiranya buah yang diserang itu dibelah, akan kelihatan lorong-lorong larva berserta dengan kotoran frass berwarna karat kehitaman. Jika serangan berlaku pada buah yang muda, biji-biji akan melekat antara satu sama lain dan susah untuk dikeluarkan sewaktu pungutan hasil. Manakala, serangan ke atas buah yang hampir masak pula boleh mengakibatkan biji-biji koko bercambah.

 

3.3        Kerosakan dan kerugian

 

Kerosakan dilakukan oleh larva yang mengorek ke dalam buah. Ini menyebabkan biji-biji koko melekat di antara satu sama lain dan seterusnya merumitkan proses mengeluarkan biji koko semasa proses pemecahan buah. Namun begitu, tahap kerosakan yang dilakukan oleh PBK bergantung pada peringkat umur buah koko yang diserang. Serangan pada buah yang muda menyebabkan kerosakan teruk pada biji-biji koko berbanding dengan serangan yang berlaku pada buah-buah yang hampir masak di mana serangan pada buah koko yang muda menyebabkan pertumbuhan biji koko menjadi terbantut. Pada amnya, buah koko yang diserang dengan teruk oleh PBK akan menghasilkan biji koko yang mutunya rendah. Ini disebabkan oleh biji koko tidak dapat metalui proses fermentasi yang secukupnya kerana kekurangan kandungan gula pada palpa yang telah dimakan oleh PBK. Berat kering biji koko juga akan menjadi kurang. Serangan PBK yang teruk boleh juga menyebabkan kekurangan di dalam pengeluaran koko.

 

3.4        Kawalan

 

Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengawal PBK sejak ianya di dapati menyerang buah koko. Di antaranya ialah rampasan, pembalutan buah, rawatan ke atas kulit buah, kekerapan memetik, kawalan biologi, feromon dan kawalan kimia. Pada masa kini, kawalan kimia merupakan kaedah yang banyak dipraktikkan untuk mengawal PBK. Keberkesanan ini akan meningkat sekiranya disertakan dengan dengan kekerapan memetik buah yang telah masak iaitu di antara 10-14 hari sekali. Manakala teknik rampasan dan pembalutan buah tidak lagi dipraktikkan di ladang-ladang koko disebabkan kos yang agak tinggi. Lain-lain kaedah seperti kawalan biologi masih lagi belum digunakan secara meluas walaupun potensi menggunakannya baik.

 

Sungguhpun penggunaan racun serangga merupakan cara yang berkesan dan mudah digunakan daiam pengawalan PBK, namun pengetahuan tentang kitaran hidup adalah penting. Pada masa sekarang, tumpuan pengawalan adalah pada peringkat telur dan dewasa sahaja. Semburan dilakukan pada buah koko dan dahan di mana kedua-dua sasaran ini adalah tempat dewasa PBK bertelur dan berehat. Faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan semburan racun serangga akan dibincangkan di bawah ini.

 

i.          Tempat Sasaran

 

Penyemburan biasanya diarahkan pada buah koko yang berukuran lebih dari 7 cm dan yang berumur kurang dari 10 minggu sebelum masak. Semburan racun serangga hendaklah betul-betul membasahi keseluruhan buah koko, Untuk menambahkan keberkesanannya, semburan racun serangga perlu diarahkan ke bahagian bawah cabang atau dahan koko yang mengufuk berukuran lebih 2.5 cm garispusat. Dahan atau cabang ini adalah tempat di mana dewasa PBK berehat pada waktu siang. Semburan secara langsung pada buah koko akan membunuh telur PBK. la juga berkemungkinan membunuh dewasa apabila bersentuhan dengan racun serangga pada buah koko semasa proses peneluran. Manakala penyemburan pada dahan pula akan membunuh secara tangsung dewasa PBK atau akan membunuh bila dewasa PBK hinggap di atas dahan semasa berehat.

 

 

 

 

ii.         Pemangkasan

 

Pemangkasan perlu dilakukan untuk mendapatkan kawalan yang memuaskan. Biasanya, pemangkasan dilakukan 2-3 bulan sekali tetapi kadar pemangkasan bergantung kepada umur, perkembangan kanopi dan ketinggian pokok. Semua 'chupon’ dan dahan kipas yang tumbuh pada ketinggian 1-1.5 m dari paras tanah dibuang untuk memudahkan pergerakan semasa penyemburan. Manakala dahan kipas, yang tumbuh ke dalam dan bersilang pada 0.5-1.0 m dari 'joquette' dipotong pada penghujung dengan tujuan untuk mengawal ketinggian pokok. Tujuan utama pemeliharaan ketinggian adalah untuk memudahkan penglihatan semasa proses penyemburan. Pemeliharaan kanopi yang baik juga akan menambah kecekapan memetik buah koko dan memudahkan pengawalan PBK secara keseluruhan.

 

iii.        Peralatan Penyemburan

 

Terdapat 3 jenis alat semburan yang biasa digunakan dalam pengawalan PBK iaitu penyembur galas, penyembur kabus dan penyembur kabut (fogging). Pemilihan alat menyembur bergantung kepada kawasan yang hendak disembur, keadaan kawasan, ketinggian pokok koko dan juga sumber tenaga. Penyembur galas dan kabus banyak digunakan oleh penanam-penanam koko, manakala penyembur kabut tidak lagi digunakan disebabkan kurang berkesan dan juga penyelenggaraannya yang agak rumit.

 

           a.           Penyembur Galas

 

la merupakan alat yang paling selektif dan paling sesuai digunakan bagi pokok koko muda di mana dahan dan buah koko senang dikesan. Sekiranya penyemburan di lakukan pada pokok koko tua, sambungan 'lance’ yang panjang perlu digunakan iaitu 1-1.5 m atau menggunakan 'adjustable hollow cone nozzle1 (saiz 3/64). Penggunaan 'adjustable hollow cone nozzle' adalah digalakkan di mana ia boleh mengubah corak penyemburan mengikut ketinggian pokok. Setengah-setengah penanam koko menggunakan 'nozzle' bersaiz 1/32 atau LSA/4. Kebiasaannya seorang pekerja boleh menyembur sebanyak 0.8-1.5 ha/hari.

 

           b.           Penyembur Kabus

 

Penggunaan peralatan ini adalah lebih cepat berbanding dengan penyembur galas dari segi keiuasan semburan dan ia juga di dapati lebih sesuai digunakan pada pokok koko yang tinggi atau tua. Seorang pekerja dapat menyembur sebanyak 1.5-2 ha/hari. Penyemburan boleh dijalankan 2 baris serentak tetapi kos penyenggaraannya adalah tinggi.

 

 

 

 

 

iv.                 Racun Serangga dan Kadar Aplikasi

 

Penggunaan jenis racun dan kadar yang digunakan juga mempengaruhi keberkesanan pengawalan PBK. Kebanyakan racun serangga yang digunakan pada masa kini adalah dari kumpulan pyrethroid. Racun serangga ini sangat berkesan dan tidak bersifat 'persistency’. Jadual 1 menunjukkan jenis dan kadar racun serangga yang biasa digunakan di ladang-ladang koko.

 

Jadual 1. Contoh dan kadar racun serangga yang digunakan.

Bahan Aktif

 

Kadar (ml/10 l)

 

Penyembur Galas

 

Penyembur Kabus

 

Detlamethrin

 

10-16

 

24-32

 

a-cypermethrin

 

14-18

 

26-36

 

Cyflumethrin

 

6-8

 

12-15

 

Cypermethrin

 

14-18

 

26-36

 

 

Namun begitu, penggunaan racun serangga dari kumpulan pyrethroid yang berterusan akan menyebabkan masalah kerintangan PBK terhadap racun serangga wujud. Kini, terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan kadar racun yang digunakan untuk membunuh PBK telah meningkat. Jika ini berlaku, ada kemungkinan keseluruhan racun serangga dari kumpulan pyrethroid akan menjadi kurang berkesan terhadap PBK. Masalah ini boleh di atasi dengan menggunakan racun serangga yang berlainan dari kumpulan racun yang berlainan. Ini boleh menolong memperlahankan masalah kerintangan racun serangga terhadap PBK. Pada masakini, setengah-setengah penanam koko telah membuat pusingan penggunaan racun serangga seperti chlorpyrifos (Kumpulan organofosfat) dan endosulfan (Kumpulan Organoklorin) di samping racun dari kumpulan pyrethroid.

 

v.         Tempoh dan Kekerapan Penyemburan Racun Serangga

             

a.         Penyemburan mengikut musim buah koko

 

Kekerapan semburan pada buah koko adalah bergantung kepada musim buah dan bunga pada sesuatu kawasan. Pada amnya, semburan dilakukan 2-3 bulan sebelum musim buah memuncak. Ini adalah untuk mengawal buah-buah yang akan matang (pada puncak penghasilan buah) dari diserang oleh PBK. Disyorkan bahawa setiap program kawalan mengandungi 4-6 kali semburan pada 10-14 hari sekali dan teknik ini didapati dapat memberi kawalan PBK selama 6-8 minggu atau lebih. Di samping itu, satu semburan tambahan digalakkan di kawasan yang mempunyai puncak penghasilan buah yang berpanjangan dan pengawalan PBK yang berlanjutan terhadap buah koko yang berkembang kemudian.

 

                        b.         Bancian

                       

Bancian tahap serangan PBK dibuat setiap kali memetik buah koko. Maklumat daripada bancian ini digunakan di dalam penentuan bila penyemburan perlu dilakukan. Kajian menunjukan bahawa kerugian hasil akan meningkat sebanyak 25% apabila peratus infestasi buah koko sebanyak 62%. Kerugian akan meningkat dengan cepatnya iaitu sebanyak 93% apabila peratus infestasi buah koko sebanyak 99%. Secara amnya di sektor perladangan, penyemburan akan dilakukan apabila bancian menunjukkan peratus infestasi melebihi 30% dengan kekerapan 2 minggu sekali. Jika peratus infestasi buah koko rendah, kekerapan penyemburan akan dipanjangkan.

 

c.         Penyemburan mengikut kalendar

 

Semburan dilakukan setiap 2 minggu sekali iaitu sebanyak 24-26 kali setahun tetapi kebiasaannya 18-20 kali setahun. Namun begitu, kebanyakan penanam-penanam koko mendapati sukar untuk mengikuti teknik ini kerana ianya dipengaruhi oleh musim buah koko, peralatan menyembur, keadaan kawasan koko dan juga sumber tenaga kerja.

 

4.0.       Kepinding / Pianggang Nyamuk

 

Terdapat dua spesis Helopeltis telah dilaporkan menyerang koko di Malaysia, Helopeltis theivora di Semenanjung Malaysia dan H. clavifer di Sabah.

 

4.1        Kitaran Hidup

 

Tidak banyak maklumat biologi H. clavifer di ketahui tetapi kitaran hidupnya lengkap dalam tempoh 34-45 hari. Manakala maklumat biologi H. theivora pula telah banyak dikaji. Telurnya berbentuk bujur memanjang dengan dua filamen kelihatan terkeluar dari substrat peneluran. Seekor dewasa betina boleh bertelur sebanyak 50 biji. Telur akan menetas dalam masa 5-7 hari. Peringkat nimfa mengalami lima instar yang pada mulanya berwarna hijau muda, kemudian beransur-ansur menjadi hijau tua keseluruhannya apabiia meningkat dewasa. Kitaran hidupnya lengkap dalam tempoh 20-25 hari.

 

4.2        Simptom serangan

 

Kedua-dua peringkat nimfa dan dewasa didapati menyerang buah dan pucuk koko. Serangan pada pucuk koko berlaku apabiia bilangan buah koko mula berkurang. Serangan ke atas buah koko akan meninggalkan kesan bintik-bintik hitam yang berukuran garispusat 1-4 mm. Kesan dari serangan Helopeltis akan menggalakkan serangan perosak-perosak sekunder dan juga jangkitan kulat. Manakala simptom serangan Helopetis pada pucuk adalah berlainan dengan bintik-bintik berwarna coklat atau hitam, berbentuk lonjong dan bujur dan berukuran 4-7 mm panjang. Pucuk yang diserang akan terkulai layu dan akhirnya mati.

 

4.3        Kawalan

 

Pada masa sekarang, racun serangga merupakan kaedah utama untuk mengawal serangan Helopetis. Semburan biasanya ditujukan kepada buah dan pucuk koko sekiranya perlu. Kebiasaannya semburan dibuat pada waktu pagi atau petang di mana pada masa ini pelakuan Helopetis sangat aktif.  Berbagai jenis racun serangga telah disyorkan untuk mengawal perosak ini. Di antaranya ialah Cypermethrin (2.4-9.5 g b.a/ha), Deltamethrin (0.65-2.2 g b.a/ha), lambda-cyhalothrin (2.1-4.2 g b.a/ha).  Semburan boleh dibuat dengan menggunakan penyembur galas jika serangannya terhad dan penyembur kabus sekiranya serangannya meluas. Tetapi kebiasaannya penyembur kabus adalah digalakkan kerana memberikan kawalan yang lebih berkesan.

 

Kawalan yang paling berkesan untuk perosak ini ialah mengawalnya pada peringkat awal di mana serangan adalah terhad. Tetapi jika serangannya telah merebak luas, masa yang paling sesuai untuk memulakan semburan ialah pada penghujung musim buah. Pada masa ini, populasi Helopetis adalah tinggi dan kebiasaannya tertumpu kepada buah koko. Semburan hendaklah ditujukan kepada buah koko dan diulang sekali lagi tidak lewat dari 21 hari selepas penyemburan pertama. Semburan pada penghujung musim buah bertujuan untuk mengurangkan populasi serangga sebelum musim buah yang akan datang bermula. Jika tidak, dewasa Helopetis akan meyerang pucuk-pucuk koko dan ini akan meyukarkan pengawalan. Penyemburan pada peringkat permulaan musim buah akan mengurangkan kesan sampingan kepada serangga pendebunga. Tetapi secara amnya semburan untuk mengawal serangan Helopeltis dilakukan pada kekerapan 10-14 hari sekali dan dikurangkan kepada sebulan sekali jika kadar serangan tidak serius.

 

Selain daripada kawalan menggunakan racun serangga, terdapat juga kaedah-kaedah lain yang berpotensi untuk digunakan bagi mengawal serangan Helopetis. Di antaranya ialah penggunaan semut hitam (Dolichoderus thoracicus), di mana keberkesanannya telah diuji tetapi penggunaannya secara menyeluruh kurang mendapat perhatian. Di samping itu amalan kultura seperti mengurangkan naungan pokok pelindung apabila pokok koko telah matang boleh juga mempengaruhi perkembangan populasi Helopetis dan seterusnya mengurangkan kadar serangan. Kanopi pokok yang baik akan memudahkan penyemburan racun serangga. Pemangkasan perlu dijalankan untuk mendapatkan kanopi pokok yang baik.

 

 

 

 

5.0.       Kepinding / Pianggang Lebah

 

Dewasa kepinding lebah, Platyngomiriodes apiformis berukuran 6-10 mm panjang dan sekali imbas ia kelihatan seperti seekor lebah. Perosak ini telah dilaporkan hanya menyerang koko di Sabah sahaja. Selain daripada buah koko, perosak ini juga menyerang pucuk koko.

 

5.1        Simptom serangan

 

Kedua-dua peringkat nimfa dan dewasa menyerang buah koko dan kadangkala dahan koko. Kesan bintik-bintik hitam pada permukaan buah koko hampir sama dengan kesan dari serangan Helopetis kecuali saiznya sahaja sedikit besar.

 

5.2        Kawalan

 

Kebiasaan kawalan yang dibuat untuk mengawal Helopeltis mencukupi  untuk mengawal perosak ini.

 

6.0         Pengorek Dahan

 

            Terdapat dua spesis pengorek dahan yang biasa menyerang koko iaitu Zeuzera coffeae dan Z. conferta. Dewasa perosak ini bersaiz sederhana besar dengan tompok-tompok biru-hitam pada kepak yang berwarna putih kelabu.

 

6.1        Simptom serangan

 

Kesan dari serangan pengorek ini boleh menyebabkan dahan koko menjadi layu akhirnya mati. Begitu juga pada anak benih koko. Tetapi serangan pada batang utama jarang menyebabkan kematian pokok. Kebiasaannya terdapat lubang pernafasan pada dahan atau batang pokok yang diserang. Di permukaan lubang ini terdapat gumpalan frasss yang berwarna keperang-perangan dan kadangkala bercampur dengan lendir rembesan hasil tindakbalas pokok koko. Gumpalan frasss ini juga dapat dilihat di atas permukaan tanah. Kadangkala terdapat kulit pupa yang masih terlekat pada lubang keluar setelah perosak ini menjadi dewasa.

 

6.2        Kawalan

 

Kawalan boleh dibuat dengan cara memangkas bahagian dahan yang diserang dan kemudian membunuh larva tersebut secara langsung terutama bagi dahan-dahan yang kecil. Serangan pada batang utama dan juga dahan yang besar boleh dikawal dengan cara menyuntik racun serangga ke daiam lubang korekan yang masih aktif. Lubang tersebut kemudiannya ditutup dengan tanah. Walau bagaimanapun, sebelum menyuntik racun ke dalam lubang yang aktif, lubang-lubang lain sekiranya ada perlu ditutup terlebih dahulu. Racun yang biasa digunakan ialah 0.1% Monocrotophos pada kadar 17 ml/10 L air; 0.1% Methamidophos pada kadar 20 ml/10 L air; 0.1% Dimethoate pada kadar 25 ml/10 L air dan 0.1% Trichlorphon pada kadar 11 g/10 L air.

 

7.0        Pengorek Batang

 

Larva kumbang Endoclyta hosei biasa menyerang pokok koko muda yang berumur 6-36 bulan di bahagian pangkal (collar) pokok dan pada pokok koko tua di bahagian jorquette. Larva, jika menyerang pokok koko muda boleh menyebabkan kematian pokok. Manakala serangan pada pokok koko tua jarang menyebabkan kematian kecuali apabila serangannya terlalu teruk. Kesan serangan perosak ini dapat dikenali dengan adanya frass berhampiran dengan lubang korekan dan juga galleri yang diperbuat daripada gumpalan frasss dan kulit kayu yang kemudiannya mengelilingi batang pokok.

 

7.1        Kawalan

 

Kawalan dapat dibuat dengan cara menyuntik 1% Chlorpyrifos (20 ml) ke dalam lubang yang aktif dan menutup lubang tersebut dengan tanah. Lubang-lubang yang lain sekiranya ada perlu ditutup terlebih dahulu.

 

8.0        Kumbang Kaboi

 

Terdapat empat genus kumbang kaboi yang biasa menyerang pokok koko. Di antaranya ialah Apogonia spp., Adoretus spp., Lepadoretus spp. dan Chaetadoretus spp. Kesan serangan keempat-empat kumbang kaboi ini adalah beriainan. Kumbang Apogonia biasanya menyerang daun bermula dari tepi daun hingga ke dalam termasuklah urat-uratnya sekali. Di atas daun-daun muda yang diserang selalunya terdapat sisa buangan kumbang berwarna hitam. Selain dari daun, kumbang ini juga didapati menyerang buah koko dengan meninggalkan kesan celoreng hitam dan coklat di permukaan buah koko. Keadaan ini berbeza dengan kumbang Adoretus spp., Lepadoretus spp. dan Chaetadoretus spp. yang memakan daun-daun koko dari bahagian tengah dan meninggalkan urat-urat serta tepinya. Kadangkala daun akan kelihatan berlubang-lubang. Serangan Adoretus spp. Lepadoretus spp. dan Chaetadoretus spp. didapati kerapkali berlaku pada anak benih koko di tapak semaian.

 

Secara amnya serangan kumbang kaboi hanya serius jika ia menyerang pokok koko yang muda. Kawalan boleh dibuat dengan memasang pelindung seperti pelepah daun kelapa dan sebagainya semasa menanam. Jika ia menyerang pokok koko di tapak semaian, maka pemasangan dinding sebagai pelindung dengan menggunakan pelepah daun kelapa adalah perlu. Penggunaan racun serangga dibuat sekiranga keadaan begitu serius. Kawalan boleh dibuat dengan menggunakan racun Methamidophos pada kadar 0.1% dengan menggunakan penyembur kabus. Di samping itu, racun serangga seperti Dicrotophos, Dimethoate dan Acephate pada kadar yang disyorkan oleh pembekal juga berkesan untuk mengawal serangan kumbang kaboi.

 

9.0        Pengorek Kulit Buah Koko

 

Perosak Cryptophlebia encarpa telah dilaporkan menyebabkan kerosakah yang teruk pada buah koko. Pada masa ini, perosak ini hanya dilaporkan menyerang koko di Sarawak sahaja.

 

9.1        Simptom serangan

 

Larva C. encarpa dilaporkan menyerang buah koko pada semua peringkat. Kesan dari serangan dapat dikenali dengan terdapatnya gumpalan frasss pada permukaan buah hasii korekan perosak ini. Tahap kerosakan bergantung pada peringkat buah yang diserang. Serangan pada buah koko yang masih kecil akan menyebabkan buah koko menjadi !ayu dan akhirnya mati. Kesan serangan perosak ini juga akan menggalakkan jangkitan kulat.

 

9.2        Kawalan

 

Kawalan dibuat dengan cara menyembur racun serangga seperti Alphamethrin, Cypermethrin, Bendiocarb dan Deltamethrin dengan menggunakan penyembur galas dua kali seminggu pada kadar yang disyorkan oleh pembekal.

 

10.0      Pengorek Pucuk Koko

 

Kerosakan disebabkan oleh dewasa (Glenia celia) dan juga larva. Dewasa pengorek pucuk koko memakan bahagian luar pada dahan pucuk koko dan membentuk satu pergelangan. Semasa bertelor, dewasa akan meletakan telor tersebut di bawah lapisan epidermis dalam pucuk koko di mana terdapat simptom pergelangan tadi. Larva yang baru menetas akan mengorek ke dalam secara langsung dan memakan tisu bahagian dalam pucuk tersebut. Apabila larva membesar, ia akan menorek bahagian dahan koko yang lebih besar. Serangan ini menyebabkan pengambilan makanan dan air oleh pokok terganggu dan akhirnya pucuk menjadi layu dan kering. Jangkamasa larva berada di dalam dahan sebelum menjadi pupa adalah 4-6 bulan.

 

10.1      Kawalan

 

Tiada kawalan yang berkesan. Pencegahan awal adalah penting. Bagaimanapun, pemangkasan dahan koko yang diserang dan membunuh larva secara lansung boleh menolong mengurangkan tahap serangan tetapi kos kawalan adalah mahal dan memerlukan buruh yang ramai.

 

 

 

11.0      Pelombong Kulit Buah Koko

 

Larva Acrocercops sp. nr. dissotoma menyerang dengan cara mengorek di bawah lapisan epidermis pada buah koko muda atau tua. Lorong-lorong kesan korekan bertukar menjadi coklat gelap. Kesan dari serangan perosak ini menyebabkan kesukaran untuk mengenalpasti buah koko yang masak dan tidak masak. Kebiasaannya kerosakan yang disebabkan oleh perosak ini tidak serius dan serangan hanya terhad pada bahagian kulit sahaja. Serangan menjadi serius di kawasan yang menerima racun serangga yang berlebihan. Selalunya populasi perosak ini dikawal oleh musuh semulajadinya.

 

12.0       Kumbang Xyleborus

 

Kumbang, Xyleborus sp adalah sejenis kumbang yang bersaiz adalah kecil, berukuran 1-2 mm dan berwarna perang kehitaman. Serangan selalunya berlaku pada anak benih koko-di tapak semaian. Kesan serangan mengakibatkan anak benih koko menjadi layu dan akhirnya mati. Jika diteliti dengan lebih dekat, terdapat satu atau lebih lubang korekan yang kecil berukuran lebih kurang 1 mm. Lubang-lubang korekan ini biasanya terletak pada ketiak daun dan batang utama anak benih koko. Biasanya terdapat longgokan najis berwarna keputih-putihan di permukaan lubang-lubang korekan ini. Simptom yang sama akan dijumpai sekiranya ia menyerang pokok koko di ladang. Kawalan dibuat dengan cara menyembur racun Chlorpyrifos pada kadar 3 ml/L air dengan menggunakan penyembur galas. Semburan ditujukan pada tempat serangan.

 

13.0      Koya

 

Terdapat beberapa spesis koya yang biasa dijumpai di ladang-ladang koko. Di antaranya ialah Cataenococcus hispidus, Pseudococcus pelisae, Pseudococcus sp., Crypticerya jacobsoni, Ferisiana virgata, Planococcus filacinus dan P. padficus. Kesan serangan koya pada buah koko tidak begitu ketara tetapi boleh menyebabkan pertumbuhan pucuk koko terencat, bengkak dan berpintal dan mempunyai interned yang pendek. Manisan yang dikeluarkan oleh koya akan menarik semut-semut untuk memakannya. Di antara spesis-spesis semut yang biasa kelihatan mendampingi koya termasuklah Dolichoderus thoracicus, Dolichoderus sp. Crematogaster spp., dan Anoplolepis longipes. Dalam setengah-setengah kes, hubungan di antara koya dan semut membantu mengurangkan kadar serangan perosak lain ke atas buah koko seperti PBK dan Helopeltis. Koya juga- diklasifikasikan sebagai perosak sekunder dan dianggap mudah dikawai secara langsung atau tidak langsung semasa kawaian terhadap perosak utama dilakukan. Kadangkala populasi koya ini dikawai oleh musuh-musuh semulajadinya. Sekiranya kadar serangan koya adalah serius, maka racun serangga seperti Cypermethrin (Nurelle 10EC) (1 ml/L air), Propoxur (Unden 50WP) (11 g/L air), Chlorpyrifos (Lorsban 40EC) (1.38 ml/L air) dan Deltamethrin (Decis 1.4 EC) (2 ml/L air) sangat berkesan untuk mengawal koya.

 

14.0      Kutu Daun

 

Kutu daun, Toxoptera aurantii selalunya menyerang pucuk pada tunas air dan dahan kipas, bunga koko, dan juga putik koko. Kadar serangan kutu daun dipengaruhi oleh faktor alam sekitar dan juga musuh semulajadi. Di antara musuh semulajadi kutu daun yang telah dikenalpasti ialah lalat syrphids (Asarcina aegrota, Ishiodon scutellare dan Paragus crenlatus), agas cecidomyid dan kumbang ladybird. Serangan kutu daun pada mata tunas yang baru tumbuh boleh menyebabkan kematian. Daun menjadi melengkung dan rapuh. Kadangkala terdapat kulit-kulit salin ataupun kulit-kulit kosong kutu daun yang ditinggalkan akibat dimakan oleh musuh semulajadi. Secara amnya kerosakan yang disebabkan oleh kutu daun tidak serius dan kawaian hanya dibuat sekiranya perlu sahaja. Misal dengan menggunakan racun Dimethoate (Perfekthion) pada kadar 25 ml/10 L.

 

15.0      Ulat Bungkus

 

Beberapa spesis ulat bungkus seperti Clania spp., Mahasena corbetti, Cremastopsyche pendula dan Pagodiella hekmeyeri biasa dijumpai menyerang pokok koko. Kebanyakan ulat bungkus didapati menyerang pada bahagian daun dan kadangkala pada kulit buah koko. Misalnya Pagodiella hekmeyeri. Ulat bungkus spesis ini hanya memakan lapisan epidermis di bawah permukaan daun sahaja. Ini menyebabkan terdapatnya lubang-lubang yang lebih kurang sama saiz garispusatnya tetapi masih lagi terdapat lapisan epidermis pada permukaan atas daun. Kerosakan yang dilakukan oleh spesis-spesis ulat bungkus yang lain juga menyebabkan terdapatnya lubang-lubang pada daun tetapi saiz lubang- lubang tersebut tidak seragam. Kadangkala terdapat juga spesis ulat bungkus yang memakan daun bermula dari bahagian tepi daun hingga ke dalam. Kawalan di buat dengan menggunakan Trichlorphon (Dipterex) pada kadar 20 ml/10 L air.

 

17.0            Belalang

 

Terdapat beberapa spesis belalang yang menyerang pokok koko. Di antara spesis-spesis ini, belalang kunyit (Valanga nigricomis) merupakan perosak yang berbahaya. Kesan serangan belalang kunyit seakan-akan sama dengan kerosakan yang disebabkan oleh kumbang kaboi. Tetapi permukaan daun yang rosak melebihi bahagian daun yang dimakan oleh kumbang Apogonia. Di samping itu belalang kunyit ini menyerang semua peringkat daun koko berbanding dengan kumbang Apogonia yang biasanya menyerang daun-daun muda sahaja. Selalunya belalang kunyit memakan sebahagian dari permukaan daun termasuklah urat daun sehingga ke tulang daun. Manakala belalang daripada spesies lain merosakkah daun di bahagian tengah dan juga tepi daun. Walau bagaimanapun kesan-kesan lubang atau gigitan adalah kecil daripada belalang kunyit. Kawalan perlu dibuat sekiranya terdapat lebih 15% pucuk yang diserang. Methamidophos pada kadar 0.1% dengan menggunakan penyembur kabus adalah disyorkan. Semburan ditujukan kepada pucuk sahaja, dan diulang 2-3 minggu sekali mengikut keadaan serangan.

 

17.0      KESIMPULAN

 

Pada masa sekarang, PBK merupakan perosak utama koko disamping kepinding nyamok dan kepinding lebah. Manakala perosak-perosak lain menyerang sekali sekali sahaja dan keadaannya tidak membimbangkan kecuali terdapat perletusan populasi. Kebanyakan perosak-perosak koko dikawal dengan menggunakan racun serangga. Manakala kawalan-kawalan lain seperti kawalan secara kultural boleh menolong meningkatkan keberkesanan pengawalan.

Walaupun racun serangga merupakan kaedah utama untuk mengawal perosak koko, namun perhatian yang serius hendaklah diberikan terhadap cara-cara menggunakannya untuk mengurangkan kesan sampingan terhadap serangga-serangga bukan sasaran terutamanya musuh semulajadi, alam sekitar dan juga pekerja. Keberkesanan kawalan dengan menggunakan racun serangga bergantung kepada jenis racun, masa meracun, tempat sasaran, kadar bancuhan dan juga teknik penyemburan.

 

Penggunaan racun serangga yang kerap akan menyebabkan serangga perosak menjadi lali terhadap racun dan juga berkemungkinan akan menyebabkan perfetusan populast serangga disamping meninggalkan kesan sisa baki di dalam biji koko kering. Dengan itu, semburan hanya dibuat sekiranya perlu sahaja. Kecekapan di dalam pengurusan serangga perosak adalah penting untuk menentukan kejayaan sesuatu kaedah kawalan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Soalan :

1.                   Anda dikenedaki membuat lawatan ke kawasan koko yang telah dilaporkan diserang oleh pengorek buah koko. Nyatakan bagaiamana dapat memastikan kawasan tersebut telah diserang oleh pengorek buah koko ?

a.                   Terdapat tompok-tompok hijau kuning pada permukaan buah dimana buah kelihatan seperti masak walaupun pada hakikatnya buah itu belum masak.

b.                   Terdapat lubang keluar pada permukaan buah.

c.                   Terdapat pupa pada permukaan buah atau daun kering dipermukaan tanah.

d.                   Jika dibelah buah yang mask, biji koko kelihatan melekat-lekat di antara satu sama lain.

e.                   Terdapat lorong-lorong kehitaman bekas larva memakan disamping najis / frass yang ditinggalkan,

f.                     Terdapat larva di dalam buah koko.

g.                   Biji akan bercambah sekiranya PBK menyerang buah yang telah masak.

2.                   Mengapakah pemangkasan penting apabila membicarakan penyemburan racun serangga terhadap PBK.. Bincangkan.

a.                   Jika pokok terlalu tinggi, sukar untuk racun disembur terkena buah.

b.                   Buah akan terlindung apabila pokok koko terlalu rimbun / redup. Timbul kes dimana penyemburan ke atas buah tidak dilakukan dengan sempurna.

c.                   Pemangkasan yang baik memudahkan penuaian hasil yang sempurna. Ini kerana buah yang tidak terpetik boleh menjadi sumber pembiakan PBK.

3.                   Nyatak secara ringkas bilakah masa yang sesuai untuk membuat penyemburan bagi mengawal serangan kepinding nyamuk.

a.                   Waktu pagi atau petang sebab masa ini kepinding nyamuk paling aktif.

b.                   Pada penghujung musim buah dimana buah berkurangan dan kebanyakan serangan tertumpu pada buah yang sama.

4.                   Nyatakan bagaiamana anda dapat mengawal serangan pengorek dahan koko dan terangkan secara terperinci langkah yang diambil.

Jika dahan besar :

a.                   Mengenalpasti lubang korekan yang masih aktif.

b.                   Menutup lubang-lubang lain (lubang lama) sekiranya ada sebelum menyuntik racun serangga..

c.                   Menyuntik racun serangga ke dalam lubang.

d.                   Menutup lubang yang disuntik dengan tanah.

Jika dahan kecil / ranting :

a.         Pangkas dahan tersebut, belah dan pastikan larva tersebut mati.

5.                   Bagaimana cara untuk mengatasi serangan kumbang kaboi.

a.                   Bagi pokok yang baru ditanam, gunakan pelepah daun kelapa sebagai pilindung, begitu juga di tapak semaian.

b.                   Apabila serangan serius, penggunaan racun serangga adalah perlu.

 

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1