TEKNOLOGI PENGGUNAAN RACUN MAKHLUK PEROSAK

 

Oleh

 

Meriam Bt. Mohd Yusof

Lembaga Koko Malaysia

Pusat Penyelidikan dan Kawalan Kualiti Koko, Tawau

 

 

1.0  PENGENALAN.

 

Koko mempunyai masalah terhadap penyakit dan perosak di mana sahaja ia ditanam.  Kebanyakan perosak dan penyakit boleh mengurangkan hasil dan merencatkan pertumbuhan pokok. Musuh semulajadi selalunya dapat mengawal spesis perosak tersebut.  Tetapi, kadangkala keseimbangan alam sekitar diganggu dan ini menyebabkan musuh semulajadi tidak lagi berupaya untuk mengawalnya.  Maka,   spesis perosak terpaksa dikawal melalui kaedah yang lain.  Antara kaedah yang sering digunakan oleh pengusaha koko untuk mengawal spesis perosak ialah dengan menggunakan racun.

 

Penggunaan racun telah bermula sejak di zaman dahulu kala lagi.  Orang-orang Roman Purba telah menggunakan sulfur yang dibakar untuk mengawal serangga.  Mereka juga telah menggunakan garam bagi mengawal rumpai.  Pada abad ke 9, orang-orang Cina menggunakan arsenik yang dicampur dengan air untuk mengawal serangga.  Pada tahun 1800, Pyrethrin dan Rotenone dijadikan sebagai racun bagi mengawal berbagai spesis serangga.  Manakala, `Paris Green’, tembaga dan arsenik telah digunakan untuk mengawal `Colorado Potato Beetle’ pada tahun 1865.

 

Pada tahun 1882, racun kulat yang dipanggil campuran Bordeaux  digunakan untuk mengawal `Downy Mildew’ di ladang anggur.  Racun ini diperbuat dari kalsium oksid dan tembaga.  Penemuan raksa dalam bentuk serbuk (tahun 1890) dan cecair (tahun 1915) telah digunakan untuk mengawal biji benih dari serangan kulat.  Manakala penggunaan racun sintetik dan organik pula telah digunakan untuk mengawal rumpai pada tahun 1900.  Maka, bermulalah era penghasilan racun.  Dalam tahun 1940 sahaja, beratus-ratus racun serangga telah dihasilkan.

 

 

 

 

Organoklorin dan organofosfat digunakan secara komersil pada tahun 1940-an dan 1950-an.  Manakala, karbamate pula digunakan sebagai racun serangga, racun rumpai dan racun kulat pada lewat 1950-an.  Tahun 1960-an merupakan masa di mana racun-racun dibuat dengan lebih spesifik dan sistematik.  Hasilnya, lebih dari 900 bahan aktif bagi racun telah dicipta dan digunakan dengan begitu meluas dalam usaha untuk mengawal serangga, rumpai, kulat, penyakit, vertebrata, hidupan liar dan lain-lain lagi.

 

 

2.0  PENGETAHUAN ASAS MENGENAI RACUN.

 

2.1  Kandungan Racun.

 

Kandungan racun terdiri dari campuran bahan tulen (bahan aktif) dan bahan penambah.  Ini kerana racun tidak boleh digunakan secara terus dalam bentuk asalnya (bahan tulen atau bahan aktif).  Ia perlu dicampurkan dengan bahan penambah.  Walaupun begitu, ia tidak boleh dicampur secara langsung bersama bahan penambah tersebut.  Bahan penambah yang biasa digunakan ialah air, minyak atau udara. Pengubahsuaian telah dibuat ke atas bentuk bahan penambah supaya ia boleh dicampur secara langsung dengan racun.  Bahan penambah yang telah diubahsuai berbentuk pelarut, pengemulsi, pembasah, agen perekat, serbuk dan butiran.  Hasil akhir racun dikenali sebagai formulasi racun.

 

 

2.2  Kategori Racun.

 

           Racun dapat dikelaskan seperti di bawah :

 

               Kelas A - Amat merbahaya.  Terdapat dalam bentuk gas, wap atau                              

                              cecair.  Jika terdedah kepada udara, racun dalam kelas ini

                              boleh meracuni walaupun dalam kuantiti yang sedikit. 

 

              Kelas B - Kurang merbahaya.  Terdapat dalam bentuk cecair, pepejal,

                             perekat dan separuh pejal.  Kebanyakan racun dikelaskan ke

                             dalam kumpulan ini.  Ia toksik kepada manusia dan hidupan      

                             lain.

 

            Kelas C - Terdapat dalam bentuk titisan dan debu.  Racun dalam kelas

                             ini dalah merbahaya kepada hidupan apabila terdedah kepada  

                            api dan air.  Semua bahan beracun yang tidak tersenarai                             

                            dalam kelas A, dimasukkan ke dalam kelas ini.  

 

      2.3   Formulasi Racun.

 

Racun boleh didapati dalam pelbagai formulasi atau bentuk.  Formulasi       racun serangga adalah berdasarkan kepada faktor-faktor kesesuaian atau masalah.  Antara faktor kesesuaian atau masalah penggunaan yang diambilkira adalah dari segi :

 

               a.    Keberkesanan racun.

               b.    Kemudahan untuk memperolehinya.

               c.    Keselamatan dari segi penggunaannya.

               d.    Kesesuaian mengikut kemahuan pasaran.

               e.    Masalah pembungkusan.

 

          Antara pelbagai bentuk formulasi yang boleh didapati di pasaran ialah :

     

              a.  Aerosol, asap dan kabus.

              b.  Serbuk dan debu.

              c.  Pekatan bertitisan minyak dan lemak terampai.

              d.  Cecair yang boleh mengalir.

              e.  Butiran.

              f.   Pallet -  racun yang digunakan sebagai umpan.

              g.  Cecair yang pekat - tidak dapat mengalir.

              h.  Cairan minyak.

              I.   Pepejal.

 

 

       2.4  Pengkelasan Racun.

        

Racun biasanya dikelaskan mengikut komposisi kimia, formulasi dan cara         tindakan.  Pada masa dahulu racun hanya dikelaskasn mengikut cara ianya bertindak.  Racun dapat dikelaskan kepada beberapa kumpulan seperti berikut :

 

              a.  Bertindak melalui sentuhan.

              b.  Bertindak melalui kutikel.

              c.  Bertindak melalui saluran pernafasan.

              d.  Bertindak melalui saluran usus.

 

Sistem pengkelasan ini mengelirukan kerana racun yang bertindak           melalui sentuhan juga boleh bertindak melalui saluran usus, melalui         resapan dan melalui pernafasan serta sebaliknya. Seterusnya, racun   dikelaskan mengikut komposisi kimianya.  Secara amnya racun dikelaskan  mengikut cara seperti yang ditunjukkan di dalam jadual di bawah :

 

Jadual 1 : Pengkelasan racun mengikut komposisi kimia.

 

 

KUMPULAN

BAHAN KIMIA

a.  Inorganik

Plumbum Arsenat

Kalsium

Paris Green

Asid Borik

Sulfur

b.  Organik

    

     I. Botanikal

 

 

    ii. Hidrokarbon

        berklorin

 

 

   iii. Organik fosfat

 

 

   iv.  Karbamat  

 

 

    v.  Lain-lain

 

 

    vi. Biologi

 

 

Rotenone

Nicotine

 

Aldrin

Lindane

Endrin

 

Malathion

Parathion

 

Carbaryl

Carbofuran

 

Dinitros

Minyak petrol

 

Bacillus thuringiensis.

 

 

Pada masa kini, pengkelasan racun menjadi lebih sistematik lagi.  Racun dikelaskan secara teknikal mengikut komponennya.  Ia dikelaskan kepada 4 kumpulan seperti dibawah :

 

a.  Organoklorin.

     

Aktiviti racun kumpulan ini berspektra luas.  Berakumulasi dalam lemak.  Stabil dalam jangka masa yang panjang.  Tindakannya secara berterusan.  Kesan toksik ke atas mamalia adalah tinggi.  Kegunaannya semakin berkurangan pada masa kini kerana  sebab-sebab seperti yang telah dinyatakan di atas.  Contoh : DDT.

b.  Organofosfat.

 

Racun kumpulan ini juga memberi kesan toksik ke atas mamalia.  Tindakannya sistemik dan berterusan.  Bertindak melalui sentuhan dan saluran pemakanan.  Contoh : parathion, malathion, dimethoate, acephate, chlorphyrifos, dichlorvas dan phorate.

     

  c.  Karbamat.

 

Cara tindakannya hampir sama dengan racun kumpulan organofosfat.  Contoh : aldicarb, carbaryl, carbofuran, methamyl, pirimicarb dan propoxur.

 

 d.  Pyrethroid.

 

Racun dalam kumpulan ini didapati lebih selamat dan berkesan.      Dihasilkan dari bunga (Pyrethrum cinearaefolium). Tindakan    berterusannya dan kesan toksik adalah kurang.  Contoh : cypermethrin,   permethrin, fenvelerate dan deltamethrin.    

 

  e.   Pengawalatur Tumbesaran Serangga (IGR).

 

Racun dalam kumpulan ini terhasil berasaskan kepada hormon serangga.  Contoh: triflumuron, flufenoxuron, diflubenzuron, fenoxycarb dan  chlorfluazuron.   

 

 

  2.5  Label Pada Bekas Isian Racun. 

 

Label adalah kekunci maklumat mengenai racun yang hendak digunakan.        Pengguna dinasihatkan supaya membaca label racun yang hendak         digunakan dengan teliti.  Isi kandungan label hendaklah difahami.  Antara maklumat asas yang disediakan pada label racun antaranya ialah :

 

        a.  Keberkesanan racun.

        b.  Hal-hal yang berkaitan keselamatan penggunaannya.

        c.  Cara membancuh racun.

        d.  Cara menggunakan dan mengendali racun.

        e.  Cara penyimpanan racun.

         f.  Cara bagaimana menjaga alam sekitar.

        g.  Jenama, nama am dan nama kimia racun.

        h.  Klasifikasi racun.

         i.  Kandungan racun.

         j.  Bagaimana cara menggunakan racun tersebut dengan betul.

3.0  KRITERIA PENTING MENGENAI RACUN.

 

        3.1  Kriteria Dalam Pemilihan Racun.

 

Keberkesanan racun adalah amat penting kepada pengguna, tetapi  faktor-faktor lain tidak harus diabaikan begitu saja.  Antara faktor-faktor lain yang perlu diambilkira apabila hendak memilih racun ialah :

 

      a.  Kestabilan Racun.

 

Untuk memusnahkan perosak yang hidup di kawasan yang luas, terbuka dan dihuni oleh banyak makhluk lain, racun yang stabil dalam jangka masa yang lama haruslah dielakkan.  Contohnya : untuk menghapuskan UPBK yang menyerang buah koko.  Tempat yang harus disembur ialah permukaan buah koko dan dahan yang mengufuk.  Kawasan ini dihuni oleh banyak makhluk lain.  Racun yang paling sesuai ialah yang mempunyai kestabilan dalam jangka masa yang pendek sahaja.   Contohnya : semburan boleh dibuat dengan menggunakan racun dari Kumpulan Sintetik Pyrethroid. 

 

Jika racun yang mempunyai kestabilan dalam jangka masa yang lama digunakan, banyak makhluk bukan sasaran turut termusnah dan meninggalkan kesan sisa baki ke atas biji koko.  Jika ingin memusnahkan perosak yang tinggal di kawasan yang sempit, tertutup dan   kurang dihuni oleh makhluk lain, contohnya : lubang di dalam tanah dan batang pokok.  Maka racun yang mempunyai kestabilan dalam jangka masa yang agak lama bolehlah digunakan tetapi tidak digalakkan.

 

 b.  Sifat Pemilihan (Selektif ) Racun.

 

Racun yang bersifat selektif adalah racun yang hanya memusnahkan perosak sasaran sahaja.  Racun yang tidak bersifat selektif adalah racun yang memusnahkan lebih banyak makhluk lain.  Ini termasuk makhluk bukan sasaran dan serangga berguna.  Sifat selektif atau tidak adalah sifat tersendiri racun.  Walaubagaimanapun sifat tersebut boleh diubah sedikit dengan cara mengolah cara pengendalian racun.

 

Contoh : memilih tempat semburan yang betul.  Semburan hanya ke atas permukaan buah koko dan dahan mengufuk dapat mengurangkan kemusnahan banyak serangga lain jika dibandingkan dengan semburan ke atas keseluruhan pokok koko. 

 

Pemilihan peralatan menyembur yang sesuai juga boleh mengurangkan kerosakan ke atas makhluk bukan sasaran.  Contoh : menggunakan penyembur galas kurang memusnahkan serangga berbanding dengan menggunakan alat `Fogging’ yang jarak semburannya boleh meliputi kawasan seluas 10 meter.

   

c.  Kesan Keracunan Ke Atas Makhluk Lain.

 

Sesetengah racun mempunyai kesan toksik yang rendah ke atas mamalia.  Racun jenis ini lah yang paling sesuai dan selamat untuk digunakan.  Racun yang mempunyai kesan keracunan yang tinggi ke atas mamalia adalah kurang sesuai dan tidak selamat untuk  digunakan.  Seharusnya pengguna memilih racun yang selamat dan sesuai untuk digunakan.

 

             d.  Mudah Untuk Digunakan.

 

Sesetengah racun memerlukan teknik-teknik dan kepakaran yang tertentu untuk mengendalikannya.  Maklumat tersebut kadangkala tidak dibekalkan oleh pengeluar racun.  Penggunaan racun jenis ini tidak begitu sesuai jika pengguna tidak mempunyai maklumat asas mengenainya.  Sebaiknya, pengguna memilih racun yang mudah untuk dikendalikan dan maklumat asas mengenainya mudah diperolehi.

 

               e.   Kemudahan Dan Kos.

 

Sesetengah racun efektif bagi mengawal spesis perosak tetapi   harganya terlalu mahal.  Sesetengah pengguna tidak mampu untuk memperolehinya.  Maka, racun yang dipilih seharusnya setanding dengan kemampuan pengguna.  Kadangkala, racun yang dipilih tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya dibekalkan.  Contoh : maklumat pada label bekas isian yang tidak lengkap.

    

              

        3.2  Kriteria Yang Harus Diambil Kira Semasa Membeli Racun.

              

Ada beberapa kriteria yang harus difikirkan semasa hendak membeli racun.   Antaranya ialah seperti yang disenaraikan dibawah :

 

              a.  Adakah jenis racun yang dipilih adalah yang terbaik untuk tugas

                   anda ?.

              b.  Adakah racun tersebut boleh digunakan dengan selamatnya ?.

              c.  Adakah kepekatan dan jumlah bahan aktifnya sesuai dengan

                   keperluan anda ?.

             d.  Adakah anda mempunyai cukup kelengkapan dan kemudahan untuk

                  menggunakannya ?.

 

 

      3.3  Kriteria  Yang Harus Dilaksanakan Semasa Membancuh Racun.            

 

       Beberapa kriteria harus dilaksanakan semasa membancuh atau

       mencairkan racun.  Antaranya ialah :

 

             a.  Persediaan peralatan perlindungan yang perlu semasa                  

                  mengendalikan racun.

             b.  Menyediakan alat bantuan kecemasan.

             c.  Membaca dan memahami semua tanda-tanda amaran yang ada.

             d.  Mengetahui dengan bahan apakah racun itu boleh dicampurkan.

             e.  Bagaimanakah cara mencampur yang betul ?.

             f.   Berapa banyakkah yang perlu dicampur atau dicairkan ?.

 

 

     3.4  Kriteria Yang Perlu Diketahui Semasa Menggunakan Racun.

              

Antara kriteria penting yang perlu diketahui dan diikuti semasa menyembur racun ialah seperti yang dicatit di bawah ini :

 

             a.  Ukuran keselamatan racun kepada penyembur.

             b.  Racun itu boleh disembur ke atas bahan apa ?.

             c.  Bilakah racun itu boleh disembur ?.

             d.  Bagaimanakah cara menyembur dengan betul ?.

             e.  Berapakah kadar yang sepatutnya digunakan ?.

             f.   Adakah terdapat larangan semasa menggunakan racun itu ?.

             g.  Keterangan-keterangan lain yang terdapat pada racun itu.

 

 

     3.5  Kriteria Yang Perlu Difahami Semasa Menyimpan Racun.

 

            Beberapa kriteria mesti difikirkan semasa hendak menyimpan racun. 

            Antaranya ialah :

 

            a.  Di manakah tempat yang sesuai untuk menyimpannya ?.

            b.  Bagaimanakah cara yang betul untuk menyimpannya ?.

            c.  Bilakah racun itu harus disimpan ?.

            d.  Bersama apakah racun itu tidak boleh disimpan?.

 

    

 

 

   3.6  Kriteria Yang Perlu Difikirkan Semasa Memusnahkan Racun.

 

          Beberapa kriteria harus difikirkan semasa hendak memusnahkan racun          

          dan bekas tempat menyimpannya. Antaranya ialah :

 

          a.  Bagaimana cara yang betul untuk memusnahkan racun dan bekas     

               simpanananya ?.

          b.  Bagaimanakah hendak mencuci bekas racun yang telah digunakan ?.

          c.  Di mana dan bagaimana boleh dicuci racun dan bekas tempat    

               simpanan racun ? .

          d.  Di mana boleh dimusnahkan racun dan tempat simpanannya ?.

 

 

4.0  LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEMASA  

       MENGENDALI DAN MENCAMPURKAN RACUN.

 

  Beberapa langkah penting yang harus diikuti semasa mengendali dan

  membancuh atau mencairkan racun.  Antaranya  ialah :

 

        a.  Baca label dengan teliti dan fahami isi kandunganya.

        b.  Buat pengiraan ringkas atau mudah yang perlu untuk mencairkan

             racun.

        c.  Gunakan semua peralatan perlindungan atau keselamatan yang perlu.

        d.  Sediakan alat bantuan keselamatan yang perlu.

        e.  Elakkan dari bekerja bersendirian apabila mengendalikan racun yang 

             amat bahaya.

        f.   Bancuh atau cairkan racun di kawasan yang luas, terbuka dan

             mempunyai edaran pengudaraan yang baik.

        g.  Semua peralatan yang digunakan haruslah berada dalam keadaan

             bersih.

        h.  Cuci semua peralatan sebaik sahaja selesai digunakan.

        i.   Basuh anggota badan dengan sabun dan air yang banyak.  Pakaian

             yang terkena racun mesti dicuci dengan sabun dan air sebelum

             digunakan.  Jangan mencuci pakaian yang terkena racun bersama

             pakaian yang lain.

        j.   Dilarang merokok, makan dan minum semasa mengendalikan racun.

        k.  Jangan menyentuh bahagian  muka dan anggota badan yang sensitif

            dengan tangan atau pakaian sebelum ianya dicuci terlebih dahulu.  

        l.   Jangan menggunakan mulut untuk menghisap atau menyedut racun

            atau peralatan yang digunakan.

       m. Semasa mengisi bekas atau tangki penyembur, pastikan saluran paip

            yang digunakan terbenam di bawah paras permukaan cecair.  Ini untuk 

            mengelakkan dari cecair itu tersedut balik atau terpercik keluar.    

 

        n.  Jangan dedahkan makanan dan minuman serta bekas menyimpannya     

             kepada racun.

        o. Basuh anggota badan atau mandi dengan bersih sebelum melakukan

            aktiviti yang lain.

        p. Rekod dan simpan segala maklumat mengenai racun untuk dijadikan

             sebagai bahan rujukan semasa atau pada masa hadapan.

 

 

5.0  LANGKAH-LANGKAH  PENGAWALAN SEMASA

      MENGGGUNAKAN RACUN.

 

Beberapa langkah pengawalan perlu dipatuhi semasa menggunakan racun.  Ini bertujuan agar penggunaan racun dihadkan mengikut keperluan.  Racun hanya perlu digunakan ketika tidak ada langkah pengawalan lain yang lebih sesuai.  Antara langkah pengawalan yang harus dipatuhi ialah :

 

      a.  Mengesan  Atau Membanci.

 

Ini perlu untuk memastikan spesis tersebut benar-benar mendatangkan masalah.  Jika sebaliknya, penggunaan racun adalah tidak perlu.  Mengesan pada peringkat awal penting agar langkah pengawalan yang pantas dapat diambil.  Ini meningkatkan keberkesanan pengawalan berbanding dengan pengawalan pada peringkat yang lebih teruk.

 

  b. Mengenalpasti Simptom Dan Spesis Perosak.

 

Spesis perosak dan simptom kerosakan harus dikenalpasti sebelum dimusnahkan atau dikawal.  Ini penting kerana simptom dan spesis perosak berbeza memerlukan langkah pengawalan yang tidak sama.  Jadi penentuan langkah kawalan dapat dibuat dengan tepat jika simptom dan spesis perosak telah dikenalpasti.

 

   c.  Biologi, Ekologi Dan Tabiat Spesis Perosak.

 

Mengenali dan memahami tabiat, biologi dan ekologi spesis perosak dapat membantu keberkesanan proses kawalan.  Ini disebabkan sesetengah spesis perosak mempunyai peringkat hidup yang lebih sensitif kepada racun.  Jadi adalah lebih wajar menggunakan racun hanya ke atas peringkat hidup tersebut.  Jika dikenakan racun ke atas keseluruhan peringkat hidup spesis perosak itu, keberkesanannya tidak akan meningkat dan membazir.  Ini kerana hanya satu peringkat hidupnya sahaja yang bertindakbalas terhadap racun. 

 

 

     d.  Kepentingan Ekonomi.

 

Penggunaan racun bukanlah berdasarkan kepada keseronokon untuk membunuh sahaja.  Malah ia mesti memberi pulangan yang munasabah.  Bagi sesetengah spesis perosak, penggunaan racun adalah tidak perlu.  Ia dapat dikawal oleh perosak semulajadi.  Jadi, penggunaan racun haruslah berdasarkan kepada keperluan yang kritikal sahaja.

 

e.  Penilaian Kaedah.

 

Setelah diketahui spesis perosak itu membawa kemudaratan.  Biologi, ekologi dan tabiatnya telah difahami.  Kepentingan ekonomi telah ditentukan.  Langkah pengawalan yang betul dan sesuai, atau kombinasi pelbagai langkah pengawalan perlu diambil.  Langkah kawalan itu mesti berkesan, praktikal, ekonomi dan selamat untuk diamalkan.

 

f.  Applikasi.

 

Langkah pengawalan yang telah dipilih harus diapplikasikan dengan teratur dan cermat supaya hasilnya berkesan dan selamat.  Pengawalan menggunakan racun mesti mempunyai ciri-ciri berikut :

 

      a.  Pada masa yang sesuai.

      b.  Pada tempat yang perlu sahaja.

      c.  Pada kadar dan kekerapan yang  betul.

      d.  Menggunakan peralatan yang sesuai.

 

g.  Penilaian.

 

Penilaian penting untuk mendapat maklumat mengenai keberkesanan sistem penyemburan dan teknik yang digunakan.  Ia juga untuk menentukan pengulangan proses itu perlu atau sebaliknya.

 

 h.  Merekod.

 

Segala maklumat mengenai racun yang digunakan harus dicatit dan disimpan.  Ia boleh digunakan sebagai rujukan pada masa sekarang atau pada masa hadapan.  Rekod ini perlu dirujuk jika timbul kekeliruan tentang teknik, sistem, kadar, jenis racun dan lain-lain lagi.  Jika rekod itu disimpan, ini memudahkan proses semakan dibuat.  Rekod ini mungkin diperlukan oleh orang lain mahupun diri sendiri.

 

 

 

6.0  HAL-HAL KESELAMATAN BERKAITAN RACUN.

 

Sebelum menggunakan racun, segala arahan dan peraturan penggunaan haruslah dibaca dengan teliti serta diikuti sepenuhnya setiap masa.  Biasanya maklumat ini dibekalkan oleh pihak pengeluar racun.  Jika racun terkena kulit atau bahagian lain anggota badan, bahagian ini hendaklah dicuci dengan air yang bersih serta merta.  Jika racun termasuk ke dalam mata dan mulut, mangsa mesti dibawa berjumpa doktor secepat mungkin. Semasa mengendalikan racun, sentiasa gunakan pakaian keselamatan.  Sediakan alat bantuan kecemasan yang perlu. 

 

Racun tidak boleh disimpan dalam bekas yang lain dari bekas asalnya.  Ini akan mengelirukan anda dan orang lain.  Berhati-hati apabila menyimpan racun terlalu lama.  Ini kerana sesetengah racun boleh memusnahkan bekas simpanannya dengan cara menghakis.  Berhati-hati ketika mengendalikan dan mengangkut racun.  Bekas dan bilik simpanan racun harus ditanda atau dilabel dengan jelas.  Jangan sewenang-wenang membuang lebihan racun ke dalam punca air, disiram ke atas tanah, tumbuhan atau membiarkan ia tidak terurus.  Ini akan mendatangkan malapetaka jika dijumpai oleh kanak-kanak.  Mereka mungkin bermain atau terminum lebihan itu.

 

BERHATI-HATI SELALU SEMASA MENGGUNA DAN MENGENDALIKAN RACUN.  SIKAP CUAI AKAN MEMBAWA PADAH.  MENCEGAH ADALAH LEBIH BAIK DARI MENGUBATI.

 

 

7.0  TEKNIK-TEKNIK SEMBURAN.

 

        7.I  Pengendali Semburan.   

 

Pengendali atau penyembur harus memakai sekurang-kurangnya pakaian asas untuk mengendalikan racun.  Pakaian asas tersebut ialah :

 

             a.  Topi yang lebar.

             b.  Penutup hidung dan mulut.

             c.  Pelindung mata.

             d.  Baju lengan panjang yang di bahagian pergelangan tangannya

                  terjerut atau diikat dengan gelang getah.

             e.  Sarung tangan.

             f.   Seluar panjang di bahagian pergelangan kakinya terjerut atau diikat

                  dengan gelang getah.         

             g.  Kasut getah.

Pakaian-pakaian atau alat-alat di atas mesti dicuci setiap kali selepas digunakan atau sebelum dipakai semula.  Pengendali semburan atau orang yang menyembur racun seharusnya mengetahui perkara-perkara asas seperti yang tercatit di bawah :

 

      a.  Mempunyai maklumat asas atau kemahiran tentang tugas yang

           dilakukannya.  Maklumat-maklumat ini dapat diperolehi melalui kursus

           jangka pendek secara formal atau tidak formal.  

      b.  Penyembur harus berkebolehan atau berupaya untuk menjalankan

           tugasnya. 

      c.  Penyembur mestilah jujur dan bertanggungjawab dalam menjalankan

           tugas.

      d.  Penyembur mestilah sihat tubuh badan.

 

Kadangkala semburan dilakukan berkumpulan.  Penyemburan begini memerlukan seorang penyelaras atau ketua.  Ini bagi memastikan proses penyemburan berjalan dengan lancar dan teratur.  Tanpa pengawasan proses penyemburan akan menjadi tidak teratur, tidak berkesan dan tidak lancar.   Seseorang penyelaras haruslah mempunyai sifat-sifat seperti berikut :

 

      a.  Bertanggungjawab ke atas keseluruhan proses semburan tersebut dari

           awal hingga selesai.

      b.  Mempunyai keupayaan mengawal atau memimpin orang bawahannya.

      c.  Mempunyai maklumat asas mengenai peralatan penyemburan yang

           digunakan.

      d.  Berpengetahuan mengenai teknik-teknik semburan yang betul.

      e.  Berpengetahuan mengenai asas pencairan atau bancuhan racun.

      f.   Sepenuh masa mengendalikan orang bawahan atau orang di bawah

           kawalannya.

        g.  Selalu membuat pemeriksaan (`spot check’) ke atas orang

               bawahannya dan keseluruhan proses penyemburan dan membetulkan

             mana-mana kesilapan yang berlaku pada masa yang sama.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 7.2  Objektif Penyemburan.

 

        a.  Untuk mengekalkan atau mencipta suatu keadaan yanga kurang selesa

             bagi kediaman atau pertambahan populasi spesis perosak.

        b.  Untuk mengurangkan tahap kerosakan yang diakibatkan oleh spesis           

             perosak.

        c.  Untuk mengelakkan dari berlakunya perletusan populasi spesis        

             perosak.

       d.  Untuk mengelakkan tersebarnya spesis perosak ke kawasan yang lebih

            meluas.

       e.  Untuk mencegah kehadiran spesis perosak yang asing atau baru.

       f.   Untuk mengelakkan kehadiran spesis-spesis perosak dari menjadi

            bertambah kronik (lebih teruk).

 

 

7.3  Peralatan Penyemburan.    

 

Penggunaan peralatan yang betul dan sesuai adalah perlu untuk memastikan keberkesanan penyemburan tercapai sepenuhnya.  Peralatan yang digunakan akan mempengaruhi perkara-perkara berikut :

 

       a.  Masa yang diperlukan untuk melengkapkan proses penyemburan.

       b.  Kos pengawalan spesis perosak.

       c.  Keperluan tenaga kerja.

       d.  Kesan racun ke atas keseimbangan alam sekitar.

       e.  Keberkesanan racun ke atas spesis perosak.

 

 

       7.3.1  Kriteria Pemilihan Peralatan Penyemburan. 

 

             Beberapa kriteria bagi peralatan penyemburan mestilah difikirkan

             sebelum membeli atau menggunakan sesuatu peralatan itu. 

             Antaranya ialah :

 

             a.  Kepantasan Operasi.

 

Alat yang dipilih seharusnya dapat melengkapkan proses        penyemburan dalam jangkamasa yang telah ditetapkan mengikut            keupayaan dari segi kos, masa, tenaga dan keluasan ladang.

 

 

 

 

 

 

     b.  Liputan Bahan Kimia. 

 

Peralatan semburan yang dipilih harus dapat memberi liputan dengan  baik kepada sasaran.  Liputan yang kurang baik akan menjejaskan keberkesanan operasi pengawalan spesis perosak, membazirkan racun dan menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

 

      c.  Usia Tanaman.

 

Ujudnya perbezaan dari segi saiz dan ketinggian tanaman.  Ini disebabkan oleh umur tanaman yang tidak seragam.  Maka, peralatan semburan yang berbeza juga perlu bagi tanaman yang berlainan.  Contoh : `Mistblower’ memberi liputan yang lebih baik kepada pokok yang lebih tinggi berbanding dengan penyembur galas.

 

              d.  Kesan Ke atas Keseimbangan Biologikal.

 

Peralatan yang lebih spesifik mesti digunakan supaya mengeluarkan jumlah minima racun tetapi memberi kesan yang optima.  Ini akan mengurangkan kesan ke atas keseimbangan alam sekitar.  Contoh : Penyembur berisipadu rendah adalah lebih baik berbanding dengan penyembur berisipadu tinggi.  `Mistblower’ yang mempunyai `nozzle’ berisipadu rendah adalah lebih baik berbanding dengan `Mistblower’ yang `nozzle’ berisipadu tinggi. 

 

     

       7.3.2  Jenis-jenis Peralatan.   

 

                 i.  Pam Atau Tangki Racun.

    

       Pam adalah alat yang terpenting dalam proses penyemburan. 

       Biasanya pam dibuat dari bahan-bahan seperti yang tersenarai di

           bawah : 

 

              a. Besi tahan karat.             b.  Seramik.                       c.  Plastik.

              d. Nylon.                              e.  Aluminium                     f.  Hostaform

              g. Aloi.                                 h.  Campuran tembaga dan zink.

 

Terdapat beberapa jenis pam yang biasa digunakan pada masa kini.  Bagi setiap jenis pam yang dipilih, mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.  Jadi, pemilihan pam adalah bergantung kepada kesesuaian kegunaan dan mengikut keperluan setiap pengendali.  Antara jenis-jenis pam yang biasa digunakan ialah :

 

                 a.  Penyembur Galas.

 

Ia merupakan alat yang paling selektif dan boleh dihadkan hanya  kepada tempat sasaran.  Ia paling sesuai digunakan bagi pokok koko muda di mana dahan dan buah koko mudah dilihat.  Jika hendak menyembur pokok koko tua, `lances’ mestilah disambung (1.0 - 1.5 meter)  supaya menjadi lebih panjang atau boleh juga menggunakan `adjustable hollow cone nozzle’.  Ini bagi memastikan semburan meliputi kanopi pokok. 

 

Semburan menggunakan peralatan ini adalah terbatas kerana pengendali harus bergerak dari satu pokok ke pokok lain di dalam satu barisan yang sama.  Sistem semburan dengan peralatan ini ialah, buah koko yang disembur terlebih dahulu.  Kemudian, semburan dihalakan ke bahagian dahan di bahagian bawah.  Akhirnya semburan dihalakan ke bahagian dahan yang lebih tinggi.  Seorang penyembur hanya dapat menghabiskan seluas 1.0 - 1.5 hektar sehari.               

 

   b.  Penyembur Kabus.    

 

Peralatan ini sesuai bagi kawasan yang lebih luas, pokok yang lebih tinggi dan tua.  Supaya sistem ini menjadi lebih mudah, cepat dan berkesan, pengendali harus menyembur setengah  bahagian pokok koko setiap barisan yang sama dengan dua barisan serentak. 

 

Penyembur harus berjalan kesatu arah yang sama dan berpatah balik bagi menghabiskan sebahagian pokok yang tertinggal dengan berjalan dalam arah yang berlawanan dengan arah yang terdahulu.

 

Peralatan ini lebih mempercepatkan proses penyemburan kerana dapat menyembur dalam dua barisan serentak.  Kos pengendaliannya agak mahal berbanding dengan penyembur galas.  Penyembur dapat menghabiskan kerjanya seluas 1.5 - 2.0 hektar sehari.

 

       c.  Penyembur Kabut (`Fogging’).

 

Ia digunakan apabila pokok koko terlalu tinggi, tenaga pekerja kurang dan kawasan yang tidak sesuai bagi peralatan yang lain.  Alat ini boleh dibantu pengendaliannya dengan `tractor mounted models’ ( swingfor SN 100, pulsfog K4 atau super Bio) dan peralatan lain (swingfog SN 11, pulsfog K10, pulsfog K20). 

 

Penggunaannya bergantung kepada arah tiupan angin. Masa pengendaliannya adalah ktitikal. Peralatan seperti pulsfog K10 berupaya menyembur sejauh 10 meter.  Ini bermakna jika pokok koko ditanam dalam jarak 3.1’ x 3.1’, maka pengendali boleh menyembur selang 3 barisan. 

 

Arah pergerakan pengendali harus bersudut tepat dengan arah pergerakan angin.  Arah muncung peralatan mesti selari dengan arah angin.  Sewaktu menyembur pengendali tidak perlu bergerak seperti mengendalikan alat penyembur yang lain.  Penyembur hanya perlu berdiri di tempat yang sama dan menghalakan alat penyembur ke arah yang selari dengan arah angin. 

 

Apabila selesai menyembur, barulah penyembur bergerak ke tempat lain yang mana arahnya bersudut tepat dengan arah pergerakan angin.  Waktu yang paling baik (yang disyorkan) untuk menyembur ialah di awal pagi dan lewat petang.  Seorang penyembur dapat menghabiskan kerjanya seluas 15 - 20 hektar sehari.

 

         ii.  `Nozzle’.

 

Terdapat berbagai jenis yang dijual di pasaran.  Bentuknya dari yang ringkas dan mudah sehinggalah kepada yang lebih canggih seperti  `nozzle’ yang digunakan bagai semburan menggunakan kapal terbang (Arial spraying).  Antara jenis-jenis `nozzle’ yang terdapat di pasaran adalah seperti yang disenaraikan di bawah :

 

         a.  Deflector.                       b.  Fan.                          c. Raindrop.

         d.  Cone.                            e.  Off set.                      f.  Micron air.

         g.  Flat spray.                     h.  Solid stream.             i. Giant end.

          j.  Even spray flat               k.  Reflex spray.            l.  Hollow cone.

        m.  Large drop flat spray.    n.  Multi- hole rinsing.    o. End.

         p.  Agitation.                       q.  Hole.  

 

            `Nozzle’ biasanya diperbuat dari bahan seperti yang disenaraikan di

             bawah ini :

 

            a.  Besi tahan karat.            b.  Seramik.                        c.  Plastik.

            d.  Nylon.                             e.  Aluminium.                      f.  Hostaform

            g.  Aloi.                                h.  Campuran tembaga dan zink.

 

          

 

                

         Kegunaan `nozzle’ adalah untuk :

 

         a.  Memastikan racun di dalam pam sentiasa berada di bawah tekanan

              yang tetap.

         b.  Memastikan kadar aliran racun adalah sama setiap masa.

         c.  Memecahkan cecair racun kepada bentuk titisan yang halus.             

         d.  Menyebarkan racun kepada sasaran spesifik dengan meluas.

 

 

       iii.  `Lances’.

 

`Lances’ tidak mempunyai pelbagai bentuk seperti `nozzle’.  Pilihannya adalah terhad kepada beberapa bentuk sahaja.  Ini kerana ia bergantung kepada kepada faktor kepanjangannya sahaja.  Ia boleh disambung mengikut keperluan pengguna.  Jika semburan hendak dilakukan ke sasaran yang lebih tinggi, `lances’ boleh disambung supaya menjadi lebih panjang.  Jika sasarannya rendah sahaja, `lances’ tidak perlu disambung.  `Lances’ yang telah disambung boleh juga dibuka supaya menjadi lebih pendek.  `Lances' diperbuat dari bahan yang hampir sama dengan bahan membuat pam dan `nozzle’.

 

       iv.  Perkakas Membaiki Alat Penyemburan.

 

Seseorang penyembur atau penyelaras seharusnya mempunyai alat                asas  seperti  alat pembuka, pemutar skru, pisau kecil, pengapit, jarum, penukul  kecil dan lain-lain.  Alat ini perlu dibawa bersama semasa menyembur.  Ini untuk tujuan membaiki peralatan penyemburan sekiranya berlaku kerosakan yang mudah.  Ia juga boleh digunakan apabila perlu.   

 

 

7.4  Pencairan Atau Bancuhan Racun.

 

Pencairan yang betul adalah penting bagi menjamin keberkesanan tindakan racun ke atas spesis perosak.  Pencairan berkurangan menyebabkan racun kurang efektif.  Pencairan yang berlebihan memberi kesan kawalan yang baik dalam jangkamasa pendek. Dalam jangka masa panjang akan mengganggu keseimbangan alam sekitar dan menjadikan spesis perosak lali (resistant) kepada racun.  Disyorkan supaya label pada bekas isian racun dibaca dengan teliti dan difahami supaya pencairan yang dibuat adalah betul.

 

 

 

 

Bancuhan yang mencukupi menjimatkan penggunaan racun dan kos.  Sesetengah racun perlu dicampur bahan pembasah supaya mudah racun meratai permukaan semburan.  Sesetengah racun pula, perlu dicampur bahan pelekat supaya kurang dibasahi hujan.  Syor kadar racun yang biasa ada pada label adalah dalam bentuk peratus bahan aktif atau sukatan banyak bahan aktif.  Contoh :  0.2 % formulasi atau 2 kilogram (kg) bahan aktif sehektar (ha). 

 

Untuk bentuk peratus, 0.2 % formulasi, bermakna 2 mililiter (ml) formulasi dicampur dengan 1 liter (l) air.  Walaupun begitu jumlah larutan yang digunakan bergantung kepada keadaan pokok dan cara semburan.  Untuk bentuk nilai sukatan, 2 kg formulasi sehektar, bermakna 2 kg formulasi dicampur dengan sukatan air yang cukup untuk disembur dalam 1 hektar.  Ini bergantung kepada alat penyembur yang dipilih.  Jika alat penyembur memerlukan 200 l untuk menyembur 1 ha, maka 2 kg formulasi perlu dicampur dengan 200 l air untuk disembur dalam kawasan 1 hektar.  Perlu juga diingatkan bahawa, peralatan yang berlainan memerlukan pencairan yang berbeza.

 

   7.5  Masa, Kadar Aplikasi Dan Kekerapan Menyembur.

 

Masa penyemburan yang digalakkan ialah di awal pagi dan lewat petang.  Masa yang sesuai juga bergantung kepada faktor-faktor lain seperti cuaca, peringkat pokok yang hendak dilindungi, peringkat perosak yang hendak dikawal dan lain-lain.  Contoh : jika di waktu pagi seringkali hujan.  Semburan mesti dihabiskan dalam jangka waktu yang terdekat.

 

Maka, waktu menyembur harus diubah ke suatu masa yang lebih sesuai.  Mungkin penyemburan boleh dibuat di waktu tengahhari atau petang.  Jika perosak yang hendak dikawal ialah perosak pucuk.  Waktu yang sesuai ialah semasa pokok sedang  berpucuk.  Kadar aplikasi dan kekerapan menyembur optima bergantung kepada sistem yang diamalkan.  Terdapat beberapa sistem yang dipraktikkan oleh penanam koko pada masa kini.  Antaranya ialah :

 

           a.  Penyemburan Mengikut Musim Buah.

 

Dalam sistem ini hanya 2 kali semburan dilakukan dalam setahun kerana musim memuncak buah hanya 2 kali sahaja.  Semburan dilakukan 2 atau 3 bulan sebelum musim buah memuncak.  Setiap satu pusingan terasing antara satu sama lain 4 hingga 5 bulan.  Pada masa terasing tiada racun yang disembur.  Sistem ini sesuai diamalkan apabila kekurangan tenaga kerja.  Sistem ini menjamin hasil keluaran yang akan datang. 

Sistem ini mungkin lebih berkesan untuk mengawal UPBK kerana pada masa semburan populasi UPBK adalah rendah sebab bilangan buah koko sedikit.  Tetapi, ia juga akan menjadi sebaliknya.  Penentuan masa semburan yang betul bagi sistem ini agak kritikal.  Jika disembur terlalu awal, akan memberi kesan kepada serangga berguna.  Contoh : serangga pendebunga. 

 

Jika disembur terlalu lewat, buah koko telah diserang oleh UPBK sebelum sempat disembur.  Semburan mesti berpandukan kepada corak pembungaan koko bagi setiap kawasan.  Contoh : jika masa memuncak ialah bulan October - Disember.  Musim bunga ialah bulan April - Mei (dari proses pembungaan hingga buah koko masak mengambil masa selama 5 - 6 bulan).  Semburan boleh dibuat  pertengahan bulan Ogos.

 

Walau bagaimanapun sistem ini tidak menjamin pengurangan kerosakan oleh  UPBK.  Ini kerana populasi UPBK didapati terus meningkat pada musim memuncak yang akan datang.  Ini mengakibatkan kerosakan yang lebih teruk.  Semburan tambahan adalah disyorkan.  Semburan yang perlu dibuat ialah 4 - 6 kali.  Perlunya ditambah 2 - 4 kali semburan kepada sistem ini untuk memastikan populasi UPBK tidak meningkat pada musim memuncak yang akan datang.

 

            b.  Semburan Sepanjang Tahun.

  

Sistem ini banyak dipraktikkan di estet dan kebun kecil koko.  Semburan dilakukan menggunakan penyembur galas.  Ia hanya dihalakan kepada buah koko sahaja.  Semburan dilakukan selang 14 hari sekali.  Jumlahnya 24 kali setahun.  Keluasan kawasan yang diliputi oleh pekerja bergantung kepada corak pembuahan bagi setiap ladang.  Walaupun hanya buah koko yang disembur, penyemburan mengambil masa yang panjang pada musim memuncak.  Biasanya seorang pekerja dapat menyembur 0.7 - 2.0 hektar sehari.  Keburukan sistem ini ialah :

 

                 a.  Kemungkinan UPBK menjadi lali kepada racun.

                 b.  Memerlukan tenaga kerja yang ramai.

                 c.  Mengganggu keseimbangan alam sekitar terutama serangga                      

                      berguna seperti serangga pendebunga.

 

 

 

 

 

       c.  Semburan Mengikut Sistem Bancian.

 

Estet atau kebun koko dibanci.  Setiap kebun dibahagikan kepada beberapa plot.  Buah koko masak yang terdapat di tiap plot dituai.  Buah koko dikelas kepada beberapa kelas iaitu kelas 1, 2 dan 3.  Kelas 1 :  Buah koko yang tidak diserang oleh UPBK.  Kelas 2 :  Buah koko yang bijinya dapat dikeluarkan dengan tangan.  Kelas 3 :  Buah koko yang bijinya tidak dapat dikeluarkan dengan tangan.  Jika, dalam satu plot lebih banyak buah koko dalam kelas 1, maka penyemburan tidak perlu dilakukan.  Jika dalam satu plot, buah koko lebih banyak dalam kelas 2 dan 3, maka penyemburan adalah perlu.  Ini untuk menjamin hasil pada musim akan datang.

 

Bancian juga boleh dibuat berdasarkan kepada setiap pokok koko bagi kebun kecil.  Jika didapati banyak pokok koko yang diserang oleh UPBK, maka racun perlu disembur.  Sistem ini juga dapat membantu pekebun mengesan perosak, penyakit dan masalah yang dihadapi oleh pokok koko itu.  Ini dapat mendorong kepada pertambahan hasil sebab setiap pokok koko diambil berat penjagaannya.

 

Sistem bancian berdasarkan kepada buah masak yang dituai.  Jadi, perlunya memetik buah masak dengan kerap.  Biasanya buah masak dituai selang 10 - 14 hari sekali.  Kekerapan menuai buah masak dapat memutuskan edaran hidup UPBK.  Ini kerana larva-larva dan pupa masih berada pada buah koko masa ia dituai.  Selepas buah koko dibelah, kulitnya dirawat dengan racun, ditanam atau dibakar selepas buah dibelah.  Maka, larva dan pupa UPBK akan mati.   

 

 

   7.6  Tempat Sasaran.

 

Bagi memastikan keberkesanan racun, semburan harus dihalakan secara langsung kepada tempat sasaran.  Contoh : untuk mengawal perosak yang makan pucuk, semburan mesti dihalakan kepada pucuk sahaja.  Untuk mengawal UPBK, tempat sasaran ialah dahan yang mengufuk (tempat dewasa UPBK berehat pada waktu siang) dan buah koko (tempat betina dewasa UPBK bertelur).  Semburan mesti membasahi keseluruhan tempat sasaran.  Boleh juga disembur kepada putik koko untuk mengelakkan serangan capsid dan UPBK (jika tiada pilihan atau kekurangan buah, UPBK juga menyerang putik koko).

 

 

Semburan ke dahan mengufuk mungkin membunuh UPBK secara langsung   apabila ada dewasa UPBK berehat di situ.  Kesan sisa baki racun juga mungkin membunuh UPBK apabila dewasa hinggap di dahan tersebut.  Semburan ke buah koko mungkin membunuh telur UPBK yang ada di situ.  Sisa baki racun juga mungkin membunuh UPBK apabila ia hinggap untuk bertelur.  Semburan ke bahagian yang tidak perlu mesti dielakkan kerana ia meningkatkan kos penyemburan dan menjadikan sasaran semburan tidak spesifik.

 

Pemangkasan perlu dibuat untuk mengawal ketinggian dan kanopi pokok.  Ketinggian dan kanopi yang terkawal perlu untuk memudahkan proses penyemburan.  Apabila kanopi dan ketinggian pokok dikawal, buah koko dan dahan senang kelihatan dan tercapai oleh `lances’ apabila hendak disembur.  Pemangkasan bergantung kepada umur, perkembangan kanopi dan ketinggian pokok.  Ketinggian dan kanopi yang terkawal juga menyenangkan dan menambah kecekapan semasa memetik buah serta memudahkan pengawalan terhadap spesis perosak yang lain.

 

 

    7.7  Bancian Atau Penilaian.

 

Adalah penting untuk mengetahui keberkesanan racun dan teknik yang digunakan.  Maklumat itu boleh didapati melalui kaedah bancian atau penilaian.  Penilaian boleh dibuat dalam 2 bentuk iaitu :

 

a.  Secara Formal.

 

Dilakukan oleh pekerja yang terlatih sebagai tugas hariannya.  Bagi ladang yang besar, tugas ini boleh dibuat oleh penyelaras atau oleh orang lain yang dilantik.

 

   b.  Secara Tidak Formal.

 

Ia merupakan pemerhatian setiap hari terhadap aktiviti spesis perosak dan keujudan spesis perosak yang baru ke atas tanaman.  Sesiapa saja boleh menjadi pembanci atau penilai.  Proses penilaian menjadi berkesan jika  penilai bersikap bertanggungjawab dan prihatin mengenai tugasnya.  Proses penilaian akan lebih berkesan jika penilai menitikberatkan perkara berikut :

 

 

 

 

 

 

  i.  Simptom-Simptom Dapat Dikenalpasti.

 

Maklumat asas mengenai spesis perosak dan tanda-tandanya       diketahui.  Maka, dapat dikenalpasti perosak dan simptomnya.  Oleh itu penilai harus mempunyai pengetahuan asas mengenai perosak dan simptomnya supaya mudah ia menjalankan tugas.  Jika kerosakan awal dapat dikesan dengan cepat, tindakan kawalan yang segera boleh dilaksanakan.  Ini lebih berkesan dan kosnya lebih murah jika dibandingkan kawalan pada peringkat yang sudah kronik.

 

      ii.  Kawasan Yang Mudah Terkena Serangan.

 

Sesetengah spesis perosak lebih mudah menyerang di kawasan yang tertentu terutama di kawasan yang pengurusannya kurang memuaskan.  Jadi, penilai harus peka tentang kawasan mana yang mudah diserang oleh spesis perosak.  Kawasan ini harus diawasi lebih teliti berbanding dengan kawasan lain.  Ini lebih menjimatkan berbanding dengan kawalan ke atas keseluruhan kawasan.

 

          iii.  Jenis Tanaman Yang Mudah Terkena Serangan.

 

Sesetengah jenis bahan tanaman lebih mudah terkena serangan spesis perosak.  Penilai harus mengetahui bahan tanaman yang mana lebih mudah diserang.  Jika maklumat itu sudah diketahui, pengawasan yang lebih perlu dibuat ke atas bahan tanaman tersebut.

 

 iv.  Masa Berlakunya Perletusan Populasi.

 

Perletusan populasi spesis perosak kadangkala boleh dijangkakan dan sebaliknya.  Perletusan populasi biasanya boleh berlaku apabila  keseimbangan alam sekitar terganggu di kawasan tersebut.  Ini mungkin  disebabkan oleh kelalian terhadap racun serangga atau disebabkan oleh faktor-faktor lain.  Jika penilai sudah menjangkakan perletusan populasi akan berlaku, langkah pencegahan awal boleh dibuat. 

 

         v.  Edaran Hidup Spesis Perosak.   

 

Jika penilai memahami edaran hidup spesis perosak, maka kesannya terhadap hasil dan tahap kerosakan dapat diketahui.  Langkah pengawalan yang hendak dibuat lebih mudah dan menjimatkan.  Contoh : Jika diketahui edaran hidup UPBK.  Larva menghabiskan sepanjang hayat di dalam buah koko.  Proses penghapusan menggunakan racun ke atas larva adalah susah, membuang masa dan wang.  Lebih baik pengawalan dibuat ke atas peringkat dewasa dan telur.  Ini lebih menjimatkan , senang dan berkesan.      

 

             Dua jenis penilaian perlu dibuat.  Ia adalah seperti yang disenaraikan di              

             bawah ini :

 

       Penilaian Pertama.

 

Penilaian semasa proses penyemburan sedang dijalankan.  Ini untuk            memastikan peralatan penyemburan berada dalam  keadaan baik dan proses penyemburan berjalan lancar tanpa sebarang masalah serta gangguan.  Penilaian ini melibatkan pemeriksaan berterusan.  Pembetulan adalah secara spontan ke atas mana-mana kesilapan yang terjadi ke atas pengendali dan peralatan semburan.  Penilaian ini lebih penting berbanding dengan penilaian kedua. 

 

Penilaian Kedua.

 

Penilaian tentang keberkesanan proses penyemburan dan keperluan untuk menyembur semula.  Ini ialah penilaian `post treatment’.  Ia menilai keputusan yang dicapai dan menilai keperluan penyemburan semula.  Jika keputusan kurang memuaskan, kajian semula ke atas kaedah dan teknik penyemburan perlu dibuat.  Pembetulan mesti dilakukan pada masa akan datang.

 

 

7.8  Kepentingan Ekonomi Semburan.

 

Pengguna racun harus memikirkan kepentingannya dari segi ekonomi.  Ia bukan hanya semata-mata bagi tujuan keseronokan untuk membunuh spesis perosak sahaja.  Sebaliknya ia mesti memberi pulangan yang munasabah.  Bagi sesetengah spesis perosak, penggunaan racun adalah tidak perlu.  Ini kerana populasinya dikurangkan oleh perosak semulajadi. 

 

Kadangkala spesis perosak adalah serangga berguna bagi makhluk lain.  Jadi jangan sewenang-wenangnya menggunakan racun untuk membunuh sesuatu spesis perosak.  Berfikir terlebih dahulu sebelum menggunakan racun akan memberi banyak menafaat kepada manusia, makhluk lain dan alam sekitar.  Jika penggunaan racun adalah perlu, maka kepentingan ekonomi tidak harus dilupakan begitu saja.  Ekonomi penyemburan racun bergantung kepada faktor-faktor berikut :

 

 

 

 

      a.  Hasil.

   

Jika hasil yang diperolehi tinggi, maka pekebun berminat untuk menjaga tanaman mereka.  Jika hasil rendah, adalah tidak ekonomik bagi petani untuk menyembur tanaman mereka.  Maka, hasil seunit kawasan perlu ditingkatkan agar petani berminat menjaga tanaman mereka.

 

      b.  Harga.

 

Jika kos menyembur dapat diatasi oleh pengeluaran hasil, maka penyemburan mampu dilakukan.  Jika harga menurun, kos penyemburan tentunya tidak mampu dibiayai oleh pekebun.  Maka, penyemburan tidak dapat disempurnakan.

 

     c.  Tahap Kerosakan.

 

Jika tahap kerosakan tinggi, maka penyemburan adalah perlu untuk mengurangkannya.  Jika dibiarkan, kerosakan yang lebih kronik akan berlaku.  Ini akan mengurangkan hasil dan pendapatan.  Jika tahap kerosakan oleh spesis perosak adalah rendah dan terkawal, maka penyemburan tidak perlu dilakukan.  Maklumat mengenai tahap kerosakan boleh didapati melalui  sistem bancian.

 

    d.  Jenis, Teknik Dan Sistem Semburan Yang Diamalkan.

 

Jenis, teknik dan sistem yang diamalkan memainkan peranan penting dalam menentukan samada penyemburan yang dibuat ekonomik atau pun tidak.  Contoh :  jika ladang bersaiz kecil, maka alat yang patut digunakan ialah penyembur galas kerana ia lebih murah, selektif dan sesuai.  Jika buah koko adalah kurang, maka sistem penyemburan yang dijalankan haruslah mengikut musim pembuahan. 

 

Jika hanya ulat pemakan daun yang hendak dikawal.  Maka, semburan perlu dihalakan kepada daun sahaja.  Pemilihan jenis, teknik dan sistem penyemburan mesti ditentukan betul dan sesuai terlebih dahulu.   Jadi, jenis, teknik dan sistem yang diamalkan berperanan penting dalam menentukan  ekonomik penyemburan.

 

 

 

 

 

 

 

8.0  KESIMPULAN.

 

Walaupun diketahui racun boleh membawa kerosakan, kemudaratan dan bencana, namun ia juga membawa kebaikan yang unik dan tersendiri.  Semenjak zaman dahulu lagi, penggunaan racun merupakan kaedah utama yang telah digunakan untuk mengawal spesis perosak.  Penggunaan racun yang meluas menyebabkan pengeluar mereka cipta pelbagai jenama dengan mengolah komposisi kimia racun mengikut keperluan pengguna.  Ini menyebabkan harga bahan tersebut terus meningkat kerana pasarannya meluas.

 

Namun demikian, kadangkala racun kurang berkesan ke atas sasarannya. Ini mungkin disebabkan oleh sasaran yang tidak spesifik, teknik yang digunakan tidak sesuai dan salah, kadar yang diapplikasikan tidak mencukupi, jenama yang digunakan tidak sesuai, peralatan yang digunakan tidak sesuai dan pelbagai sebab lain.

 

Penggunaan racun merupakan kaedah utama yang digunakan dalam pengurusan UPBK di estet dan kebun kecil.  Sejak bertahun lamanya, banyak racun telah dikaji mengenai keberkesanannya mengawal serangga tersebut. Penggunaan racun yang berterusan telah dilaporkan menyebabkan UPBK lali. Penggunaan racun juga menyebabkan keseimbangan alam sekitar terganggu.  Makhluk berguna seperti serangga pendebunga dan bukan sasaran menjadi mangsa.

 

Kebijaksanaan memilih racun serangga menjamin keberkesanan pengawalan serangga tersebut.  Ketika UPBK pertama kali dijumpai pada bulan Ogos, 1980 di Sabah, racun Lindane disyorkan bagi mengawalnya.  Ini kerana racun itu mudah didapati di pasaran, telah digunakan untuk mengawal mirid dan tidak diketahui kesan sampingan hasil dari penggunaannya.

 

Pada masa kini, didapati racun yang berkesan dan sesuai ialah dari kumpulan organofosfat dan pyrethroid.  Ia sesuai digunakan bagi tanaman koko kerana kesan toksik ke atas mamalia adalah rendah dan tidak meninggalkan sisa baki di dalam biji koko dan juga alam sekitar.  Namun begitu faktor-faktor seperti teknik semburan, peralatan, kekerapan dan kadar applikasi, tempat sasaran, masa semburan, ekonomi penyemburan dan lain-lain harus diambilkira.  Faktor-faktor tersebut akan mempengaruhi keberkesanan racun ke atas proses pengawalan UPBK.  

 

 

 

 

Perlu juga diingatkan bahawa, keberkesanan racun bergantung kepada pengurusan ladang yang baik.  Pengurusan ladang yang baik mencipta persekitaran yang tidak sesuai untuk perkembangan spesis perosak.  Ladang yang terurus memudahkan pengecaman sekiranya ada tanda-tanda serangan spesis perosak.  Ia juga meluaskan liputan kawasan semburan.  Ini juga akan meningkatkan kecekapan penuaian dan pengutipan buah.  Sekaligus ia juga dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga.

 

Dapat disimpulkan bahawa penggunaan racun adalah perlu dalam kehidupan sejagat.  Namun begitu penggunaannya haruslah bertepatan dengan keperluan agar impaknya ke atas manusia, makhluk lain dan alam sekitar dapat diminimakan.  Penggunaan racun dengan cara yang betul dan sesuai akan meningkatkan hasil tanaman.  Ini dapat memberi pulangan yang lumayan.

 

Namun, kebergantungan yang mendalam kepada racun harus dikurangkan ke tahap yang minima.  Ini disebabkan penggunaan racun yang berterusan akan mengakibatkan spesis perosak menjadi lali.  Maka, kadar racun yang lebih tinggi akan digunakan bagi mengawal spesis perosak tersebut.  Kelalian terhadap racun dapat dielakkan jika penggunaan racun digilirkan.  Walaupun begitu, keberkesanan kaedah ini masih lagi dikaji.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1