PEROSAK VERTEBRATA DALAM TANAMAN KOKO DAN PENGURUSANNYA

 

C. H. LEE

LKM Hilir Perak, Peti Surat 30, 36307 Sg. Sumun, Perak, Malaysia

 

 

Pendahuluan

 

Vertebrata merupakan kumpulan haiwan yang mempunyai tulang belakang dan merangkumi hampir semua binatang termasuk ‘primates’ iaitu manusia. Walaubagaimana pun manusia adalah peringkat kehidupan yang lebih tinggi dan tidak menjadi bahan olahan dalam tajuk ini. Kesemua haiwan lain yang boleh didapati dalam tanaman koko adalah dirujuk terutama yang membawa kerosakan, kehilangan hasil dan kesan buruk kepada tanaman koko. Lebih enam puluh spesies vertebrata dicatit berpotensi merosakkan koko (Thorold, 1975); dimana spesies yang lain didapati menjadi makhluk perosak dikawasan yang berlainan dan berbeza disemua kawasan. Parakeets dan woodpeckers (burung belatok) merupakan perosak yang utama di brazil, Jamaica dan New Hebrides manakala gajah, lembu dan kerbau menjadi masalah di Afrika. Di Malaysia, monyet, babi hutan, musang, rusa, tikus dan tupai telah dicatit merosakkan buah koko (Lee 1995, Liaw 1983, Tay dll. 1983, Conway 1971). Perosak yang bermasalah adalah berbeza antara setiap kawasan tanaman. Berdasarkan kepada keadaan keliling tanaman dan juga binatang-binatang yang terdapat berhampiran; boleh ditentukan kerosakan yang akan dihadapi. Kawasan tanaman koko yang berhampiran dengan hutan boleh dijangka akan mengalami kerosakan akibat serangan babi hutan, tupai, musang, monyet dan juga tikus. Tanaman koko yang berhampiran dengan kampung-kampung jika mempunyai  penjagaan dan pengurusan tanaman yang baik, tidak akan menghadapi serangan babi hutan dan monyet akan tetapi serangan tupai, tikus dan juga musang yang mungkin  dialaminya.

 

Pengenalan ciri serangan setiap haiwan ke atas buah koko adalah penting untuk membezakan serangan antara spesies disamping memastikan spesies yang menjadi perosak dapat dikenalpasti dan dikawal. Contohnya, babi hutan yang selalu menggeselkan mulutnya di atas tanah boleh merosakkan dan melemahkan akar pokok benih, selain itu ia juga sering menggeselkan badannya pada batang utama pokok koko dan ini akan mengakibatkan pokok kehilangan pucuk serta pokok cantuman yang telah dibuat. Masalah ini dapat diatasi samada dengan menembak mahupun menggunakan racun yang dibenarkan. Monyet juga merupakan haiwan perosak, tetapi ia biasanya kurang dialami dikawasan yang diberi penjagaan dan pengurusan yang baik. Bantuan  daripda Jabatan Perhilitan untuk membantu mengawal binatang ini adalah disyorkan kerana monyet adalah dilindungi oleh akta hidupan liar 1972.

 

            Selain itu, Roden juga merupakan haiwan perosak utama samada dalam aspek persekitaran yang lain hingga ke aspek pertanian. Roden adalah kumpulan binatang yang mempunyai sifat sepasang gigi ‘chisel-shaped’ dan ‘slightly curved’ pada setiap rahangnya. Pasangan gigi tersebut akan terus tumbesar sehingga binatang tersebut mati. Ciri ini memerlukan ia sentiasa menggigit, menggesel mahupun menajamkan giginya supaya tidak membesar lebih daripada saiz yang sepatutnya di dalam mulut. Selain itu, kumpulan binatang ini mempunyai empat jari yang berfungsi di kaki hadapan. Haiwan-haiwan tersebut terdiri daripada tikus, tupai dan landak. Pengawalan atau pun pengurusan keatas perosak ini sangat diperlukan bagi menjamin peningkatan pengeluaran makanan dapat ditingkatkan dan juga dari aspek kesihatan. Kehilangan hasil akibat roden keatas tanaman koko adalah serendah 1-15% di Ghana dan Nigeria (Glendinnings 1962, Everard 1968), 20-50% di Sierra lene (Urquhart 1955), dan 80-100% di Fiji dan Malysia (Williams 1973, Lee 1995).

 

Tanda-tanda serangan/kerosakan buah

 

Tanda-tanda kerosakan pada buah koko haruslah dikenalpasti dengan tepat dan cepat. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran wang, tenaga dan masa. Masalah kerosakan tupai perlu dipastikan dengan tanda-tanda kerosakan buah supaya cara kawalan adalah tepat ditujukan kepada tupai dan bukannya kepada tikus.

 

            Antara tiga kumpulan roden, hanya tupai dan tikus sahaja yang merupakan perosak bagi koko. Manakala landak pula hanya menyerang kelapa dan kelapa sawit di peringkat biji benih. Roden biasanya menyerang dan merosakkan buah koko sehingga menjejaskan hasil yang boleh diperolehi. Secara amnya buah yang akan diserang adalah buah yang sedang masak dan buah yang sedang membesar, manakala buah-buah koko yang masih ‘cherelle’ pula adalah jarang diserang.

 

            Buah-buah koko yang baru dirosakkan adalah yang paling baik untuk dikenalpasti perosaknya. Buah koko yang telah diserang oleh tikus, tupai, monyet dan juga burung belatok adalah hampir serupa bentuk kerosakannya, iaitu buah ditebuk dan berlubang. Sifat-sifat dan tanda-tanda kerosakan buah dapat dibezakan dalam jadual 1.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 1.  Tanda-tanda serangan buah koko oleh tikus, tupai, monyet dan burung belatuk

 

Tikus

Tupai

Monyet

Burung Belatuk

 

Lubang tebukan agak kecil dan bulat yang dibentuk dengan gigitan perlahan dan cerunan tepi kulit yang kecil.

 

Serpihan kulip buah

Kacipan dan serpihan kulit yang kecil; lendir pektin menyebabkan serpihan kulit tergantung pada buah.

 

Lapisan lendir biji

Lendir terdapat pada sebilangan biji koko yang dimakan; ada biji koko dan pecahan biji bertaburan di atas tanah.

 

Taburan biji

Biji masih terdapat di dalam buah yang diserang.

 

 

Lubang tebukan lebih besar dan membujur dengan cerunan tepi kulit yang  condong.

 

 

Serpihan kulit lebih besar; serpihan kulit tiada melekat pada buah.

 

 

 

Biji bersih daripada lendir; biji bertaburan atas joket di pokok atau tanah; tiada pecahan biji koko.

 

 

Tiada biji tertinggal di dalam buah.

 

Tiada lubang, buah di koyak, tapak bunga rosak.

 

 

 

 

Tiada serpihan kulit tetapi ketulan-ketulan kulit berselerak di tempat serangan.

 

 

Biji-biji koko ditelan dan tiada terdapat dengan buah rosak dan kulit yang berselerak.

 

 

 

Tiada biji mahupun buah tertinggal Cuma ketulan-ketulan kulit.

 

Lubang yang kecil dan mendatar menembusi kulit.

 

 

 

 

Kacipan-kacipan kulit yang amat kecil dan berselerak atas lantai tanah.

 

 

Terdapat biji-biji koko atas tanah yang bersih dan tiada berlendir.

 

 

 

 

Masih ada biji-biji koko yang tertinggal dalam buah.

 

 

Spesies-spesies roden dalam tanaman koko

 

Terdapat lapan spesies tupai (termasuk tupai terbang) dan satu spesies tikus yang dicatit sebagai perosak koko di Sabah manakala di Semenanjung Malaysia terdapat enam spesies tupai dan lima spesies tikus (Jadual 2). Tupai terbang adalah jarang dijumpai dan mereka bergerak dengan pantas. Spesies tupai yang ditemui dapat diketahui berdasarkan kawasan di mana koko ditanam. Kawasan tanaman koko yang berhampiran dengan pendalaman dan hutan akan menemui tupai gading (C. prevostii), tupai rusuk hitam (C. nigrovittatus), tupai kelabu (C. caniceps), tupai celah (S. tenuis) dan  (S. lowii),  manakala di kawasan-kawasan yang berhampiran dengan kampung dan perladangan pula adalah tupai perut merah (C. notatus). Tikus spesies hutan pula hanya ditemui di kawasan yang berhampiran hutan manakala tikus ladang  iaitu tikus belukar (R. tiomanicus), tikus sawah (R. argentiventer), tikus rumah (R. r. diardii), tikus rumah kecil (R. exulans) dan tikus buloh (C. gliroides) ditemui di dalam ladang koko, perumahan dan juga  ditepi pantai.

 

Jadual 2.  Spesies-spesies roden yang ditemui dalam tanaman koko

 

   Tempat  :           Malaysia Timur (terutama  

                          Sabah)

Malaysia Barat

Family

Spesis

Spesis

 

Petauristinae

(Tupai Terbang)

 

 

Petaurist petaurista

Aeromys tophromelas

Aeromys thomasi

 

Tiada yang tercatat di Malaysia Barat

 

Sciurinae

Tupai

 

Callosciurus prevostii

Callosciurus notatus

Sundasciurus hippurus

Sundasciurus lowii

Ratufa affinis

 

 

Callosciurus prevostii          (Cp)

Callosciurus notatus            (Cn)

Callosciurus nigrovittatus  (Cng)

Callosciurus caniceps         (Cc)

Sundasciurus tenuis            (St)

Sundasciurus lowii             (Sl)

Muridae

(Tikus)

 

Rattus muelleri

Rattus tiomanicus

Rattus tiomanicus           (Rt)

Rattus exulans                (Re)     

Rattus argentiventer       (Ra)

Chilopodemys gliroides  (Cg)

Rattus ratus diardii         (Rr)

 

 

Kajian menunjukkan bilangan tupai yang yang dijumpai dalam sesuatu kawasan adalah rendah berbanding dengan bilangan tikus yang tinggi dan selalu ditemui. Aktiviti kesemua jenis tupai biasanya berhampiran dengan hutan kecuali tupai perut merah. Tupai perut merah mempunyai julat kawasan yang besar iaitu Conway 1971 memerangkap 9 ekor dalam 120 ekar iaitu 1 ekor/10 ekar, kemudian haiwan ini tidak dapat diperangkap semula selepas sekali ditangkap di kawasan tersebut. Oleh itu, kaedah perangkap adalah satu cara pengawalan tupai yang berkesan. Tikus pula biasanya menetap di dalam kawasan penanaman tanaman dan kaedah pengawalan yang sesuai adalah melalui penjagaan kawasan yang teratur. Bilangannya dalam sesuatu kawasan yang mengalami kerosakan buah koko adalah hampir 272 ekor tikus belukar dalam 2.5 ekar kawasan koko/kelapa (Kamarudin 1986, Kamarudin and Lee 1989, Kamarudin et al. 1991, Lee and Arikiah 1984, Lee 1995).     

 

 

 

Tahap/Potensi Kerosakan dan Status Perosak

 

Semua tupai menyerang buah koko manakala tidak semua tikus menyerang buah koko seperti yang diberikan dalam jadual 3. Tupai (C. spesies) berupaya merosakkan 4 buah koko sehari manakala tupai celah (S. lowii) berupaya merosakkan 2 buah koko sehari berbanding dengan tikus belukar yang hanya berupaya merosakkan 0.5 buah sehari. Tikus sawah, tikus rumah dan tikus rumah kecil hanya berupaya merosakkan 0.4, 0.25 dan 0.1 buah koko sehari masing-masing. Tikus yang tidak  merosakkan buah koko apabila didedahkan kepada buah koko yang manis akan menyerang buah selepas beberapa hari, sebaliknya spesies-spesies tikus hutan didapati tidak berupaya menyerang buah koko walaupun terdedah kepada buah selama beberapa hari (Lee 1995).

 

Jadual 3.  Potensi merosakkan buah koko untuk setiap haiwan yang dikaji

 


Spesies            Bilangan         Jumlah buah    Bil. buah   Purata masa      Purata buah

Haiwan           haiwan     koko diberi        koko di     pendedahan   serang/rosak

                                                untuk makan    rosakkan     (hari)              sehari

 


Cn                       10                    100                   40                   1                        4.0

Cc                       10                    100                   40                   1                        4.0

Cp                         5                     50                   22                   1                        4.4

Cng                     10                    100                   41                   1                        4.1

St                        10                      60                   21                   1                        2.1

Sl                          4                     24                     9                  1                        2.25

Rt                        10                      50                   10                   2                        0.5

Ra                       10                      50                     8                  2                        0.4

Re                       10                      50                     2                  2                        0.1

Rr                        10                      50                     5                  2                        0.25

Cg                       10                      50                   10                   2                        0.5

 


Untuk spesies haiwan sila rujuk jadual 2

 

Dengan mengambilkira bilangan dan taburan spesies-spesies roden dan tahap upaya kerosakannya, tupai yang berupaya merosakkan buah koko yang tinggi adalah kurang serius kerana bilangan dan kadar pembiakannya yang rendah berbanding dengan tikus terutamanya tikus belukar yang berpotensi menyebabkan kerosakan yang rendah akan tetapi amat serius dan perlu dikawal. Ini adalah kerana bilangannya yang banyak serta kadar pembiakkannya yang tinggi dan cepat. 

 

 

Kawalan

 

Kawalan bagi mencegahkan kerosakan perlu dijalankan. Tikus dan tupai perlu dikawal berbanding dengan haiwan yang lain kerana bilangannya yang banyak.  Berbagai-bagai cara kawalan boleh diusahakan seperti berikut:

 

i)                     Kultural

ii)                   Mekanikal

iii)                  Biologikal atau secara semulajadi

iv)                  Kimia

 

Kawalan kultura meliputi pembersihan kawasan tanaman koko dan tidak memberi keadaan yang sesuai untuk spesies-spesies roden hidup. Cantasan pokok, mengurangkan daun-daun pokok koko daripada bertindih antara satu pokok dengan yang lain dan pengudaraan pokok koko merupakan langkah-langkah yang baik untuk tanaman bahkan menghalang tikus dan tupai daripada menetap di kawasan berkenaan. 

 

Kawalan mekanikal termasuklah menembak, pemasangan jaring dawai 1.27cm pada pokok dan 1 m dari paras tanah dan juga memasang perangkap. Menembak akan melibat perbelanjaan RM1.80-2.50 bagi seekor tupai/haiwan sejak tahun enam puluhan dan kini adalah lebih mahal. Kos perbelanjaan adalah tinggi dan tidak berkesan. Pemasangan jaring dawai tidak berkesan kerana tupai dapat melompat antara pokok dan boleh menyerang buah setiap masa. Manakala aktiviti Pemerangkapan adalah efektif sekiranya dilakukan dengan teliti. Akan tetapi perangkap adalah tidak berkesan mahupun ekonomik untuk kawasan yang luas,  dan kawalan tidak akan tercapai tanpa pengurusan tanaman yang baik.

 

Kawalan cara biologikal atau semulajadi adalah dengan penggunaan burung-burung helang, burung hantu dan ular-ular yang membunuh rodensia.  Dalam cara ini kita mesti perhatikan supaya tidak mengalami keburukan seperti akibat kemasukan Mongoose (Herpestis Mungo) untuk mengawal tikus di Trinidad dimana ia telah menyebabkan kepupusan banyak burung-burung. Kajian menunjukkan ular hanya perlu makan seekor tikus seminggu manakala burung helang mencari mangsa pada waktu siang dan bukan tikus sahaja yang menjadi mangsanya. Penggunaan ular kurang digunakan kerana dikhuatiri akan membahayakan manusia disamping kurang keberkesanannya, manakala secara semulajadi helang digalakkan tetapi tidak akan berkesan. Sebaliknya, burung hantu (Tyto alba) yang juga dikenali sebagai burung pungguk jelapang padi merupakan pemangsa yang paling berpotensi. Kajian telah menunjukkan burung ini akan memakan seekor tikus sehari dan memangsa pada waktu malam sejajar dengan masa kegiatan tikus.  Kajian sisa pamakanannya (pallet) menunjukkan 100% adalah bulu dan tulang tikus yang telah dimakannya.  Dalam makmal ia juga boleh memakan ayam dan tupai.  Mengikut ‘bio-rhythm’ dan aktiviti pemangsa tersebut, ayam tidak mungkin menjadi mangsanya dan tupai boleh dimakannya kerana masa pemangsaan merangkumi waktu tupai aktif; dan pernah ditemui baki mangsa tupai di ladang.  Pada waktu pembiakkan burung tersebut, empat anak dan dua dewasa memakan purata 660 ekor tikus dalam masa tiga bulan.  Walaupun begitu, tikus dapat membiak dengan cepatnya dalam sesuatu masa dan dengan ini akan menyebabkan pengurangan hasil di dalam sesuatu ladang.

 

Kawalan kimia merupakan cara yang menggunakan racun.  Pemilihan racun mestilah selamat kepada manusia. Secara menyeluruh terdapat 2 jenis racun iaitu  (i) anti-penggumpal darah ‘anticoagulant’ dan  (ii) racun akut  ‘acute poisons’.  Racun-racun akut adalah jenis yang merbahaya dan boleh membawa maut dengan cepat, seperti sebatian-sebatian fosfida. Zink fosfida merupakan sejenis racun akut yang digunakan untuk mengawal tikus di dalam sawah padi. Kaedah meracun adalah berdasarkan apabila racun tersebut terkena air, tindakbalas antara racun dan air akan menghasilkan gas fosfine yang dengan serta merta akan membawa maut kepada binatang sasarannya. Untuk keberkesanan racun, mangsa sasaran haruslah diberikan makanan tanpa racun ‘pre-baiting’ terlebih dahulu selama 2-3 hari kemudian barulah makanan yang telah dicampur dengan racun akan diberikan. Ini adalah supaya sasaran akan memakan kesemua makanan yang bercampur dengan racun tersebut.

 

            Bagi racun anti-penggumpal darah pula ia tidak akan mendatangkan kesan yang cepat kepada mangsanya. Ia bertindak dengan cara menyerap ke dalam usus dan akan berada di dalam sistem saluran darah. Tahap racun dalam saluran darah akan meningkat sehingga 3-7 hari kemudiannya dan kadar racun akan menghalang proses pembentukkan prothrombin. Secara tidak langsung proses pembentukkan ‘blood clot’ akan dihalang dan akan menyebabkan kehilangan darah yang berterusan, seterusnya akan membawa maut kepada mangsa. Penawar bagi sesiapa yang termakan racun ini adalah vitamin K atau pun makanan yang mengandungi kandungan vitamin K yang tinggi. Racun ini tidak akan memberikan sebarang rasa apabila dicampurkan pada makanan, oleh itu mangsa sasaran tidak akan sangsi apabila memakan makanan tersebut.

 

            Secara am, anti penggumpal darah adalah digunakan sebagai racun bahan makanan untuk ‘habitual feeders’. Melalui penemuan, anti penggumpal darah mempunyai sejenis sebatian yang lebih berkesan dan akan membawa maut selepas sekali-dua dimakan yang dikenali sebagai racun anti penggumpal darah generasi kedua. Racun antipenggumpal darah generasi pertama adalah seperti Warfarin, Coumachlor, Diphacinone dan Chlorophacinone yang memerlukan kadar racun yang tinggi dalam saluran darah untuk membunuh mangsa (dalam tempoh 4-5 hari) dan program kawalan pengumpanan racun adalah menggunakan teknik pengumpanan berterusan iaitu ‘sustained-baiting’ (Jadual 4). Manakala teknik pengumpanan untuk racun generasi ke dua adalah seperti Brodifacum, Flocoumafen dan Bromadiolone yang menggunakan teknik pengumpanan denyutan iaitu ‘pulse-baiting’, teknik ini hanya memerlukan kadar racun yang lebih rendah dan akan membawa maut pada mangsa dalam beberapa hari dan ini akan mengelakkan daripada berlakunya mangsa enggan memakan umpan ‘bait shyness’.

 

            Untuk memastikan hasil yang tinggi dan kerosakan yang rendah, program pengawalan memerlukan masa sebulan setengah dan perlu diamalkan apabila pemantauan kerosakan telah dilakukan. Penggunaan racun tersebut adalah sekali dalam enam bulan, sekiranya dilakukan berterusan ini akan dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya kekebalan tikus terhadap racun dan kawalan tidak akan berkesan. Contohnya, penggunaan racun anticoagulant telah menimbulkan kekebalan dan kurang kepekaan tikus kepada Warfarin. Kaedah kawalan dan racun-racun yang digunakan adalah berbeza bagi setiap mangsa sasaran (Jadual 4).

 

            Pada keseluruhannya, kaedah kawalan kultura merupakan asas pengurusan yang wajar diamalkan, cara ini akan dapat memberi cahaya, pengudaraan dan disamping itu menghalang kewujudan habitat makhluk perosak yang tidak diingini di dalam sesebuah ladang. Penghasilan amalan dengan menggunakan sangkar pemangsa burung pungguk jelapang boleh mengurangkan kehadiran tikus dan tupai, tetapi sekiranya tahap kerosakan buah meningkat lebih daripada kos pengawalan semasa musim buah, maka kawalan dengan pengumpanan samada dengan menggunakan Warfarin mahupun antikoagulan generasi kedua perlu dilakukan untuk mengelakkan kehilangan/kerosakan hasil yang tinggi dialami. Konsep yang dipraktikkan ini secara tidak langsung adalah merupakan kawalan secara bersepadu.

 

            Pengurusan dengan amalan ladang yang baik dengan kehadiran pemangsa dapat mengekalkan hasil yang tinggi dan kerosakan yang amat rendah iaitu <2% sepanjang 1-1/2  tahun, walau pun begitu bilangan tikus akan bertambah sehingga mendatangkan kerugian hasil dalam sesebuah ladang. Oleh itu, secara tidak langsung kita memerlukan program kawalan kimia yang dapat menurunkan bilangan tikus ke tahap yang paling rendah. Dengan adanya buah koko sebagai makanan tidak dinafikan bahawa ia nerupakan daya tarikan yang tinggi kepada rodensia untuk menjadikan ladang koko sebagai habitatnya terutama tikus. Perubahan bilangan tikus akan meningkat kerana kadar pembiakkannya yang tinggi dan cepat secara semulajadi. Kawalan yang berkesan dan pada keadaan yang tertentu adalah amat penting. Setiap teknik kawalan tidak sempurna dan berkesan dalam tempoh yang panjang dan akan mempunyai kelemahan tertentu, oleh yang demikian kawalan secara bersepadu adalah yang paling berkesan dan dapat menjimatkan masa disamping mesra alam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 4.  Tatacara untuk kawalan tikus dengan menggunakan racun dan perangkap

 

Jenis mamalia

Cara kawalan

Kaedah

 

Tikus

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tikus/Tupai

 

 

 

Penggunaan racun antipenggumpal darah seperti warfarin (jenerasi pertama) dan brodifacoum (jenerasi kedua).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penggunaan racun akut seperti zink fosfida.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pemasangan perangkap.

 

 

 

 

 

 

 

 

Pengumpanan makan yang mengandungi racun seperti lindane.

 

 

 

Seketul umpan diletak pada joket dan pangkal pokok bagi setiap 4 pokok.

Untuk warfarin: umpan yang telah dimakan diganti setiap 4 hari dan penggantian ditamatkan apabila ketulan umpan dalam satu-satu pusingan penggantian berkurangan sehingga 20-30% daripada jumlah umpan asal.

Untuk brodifacoum: penggantian umpan yang habis dimakan setiap 7 hari dan penggantian ditamatkan apabila kerosakan buah berkurangan.

Empat pusingan pengumpanan warfarin biasanya dijalankan untuk setiap program kawalan sedangkan bagi brodifacoum tiga pusingan diperlukan.

 

Umpan tidak beracun perlu diletak dahulu pada joket dan pangkal pokok. Umpan yang habis dimakan diganti setiap hari.

Selepas 2 atau 3 hari, semua baki umpan tidak beracun dikutip dan diganti dengan umpan beracun.

Satu teknik yang lain adalah dengan menggunakan umpan yang mengandungi racun dan yang tidak beracun secara berselang-seli.  Program kawalan dihentikan apabila kerosakan hasil berkurangan.

 

Perangkap dipasang pada joket atau dahan pada setiap 4 pokok iaitu berhampiran buah yang diserang dan juga di atas tanah.  Jika kerosakan yang dialami rendah perangkap diletakkan berselang-seli setiap 6 pokok.

 

Umpan yang berkesan untuk digunakan adalah pisang masak, ketulan isi kelapa segar (2 cm x 2 cm) ataupun buah-buahan lain.

 

Makanan seperti pisang masak diambil dan pada tengah buah disuntik dengan 1 ml lindane.  Umpan digantung pada dahan pokok yang mempunyai kesan-kesan serangan pada buah.  Pisang beracun diganti sehingga tiada lagi umpan dimakan.

 

Penghargaan

 

Penulis ingin mencatatkan penghargaannya kepada Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia kerana membenarkan beliau menceramah tajuk tersebut beserta dengan data-data untuk latihan.  Ribuan terima kasih juga ditujukan kepada Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan, Pengarah Biologi atas kritikan mereka yang membina dan juga kepada kakitangan lain yang membantu dalam kutipan data kajian unit Vertebrata, Lembaga Koko Malaysia.

 

Rujukan

 

Conway, G.R. (1971). Pest of cocoa in Sabah  and their control. Dept. of Agric. Sabah.

 

Everard,  C.O.R. (1968). A report on the rodent and other vertebrate pests of cocoa in Western Nigeria. Res. Div., Min. of Agric., Ibadan, Nigeria. 123pp.

 

Glendinnings, D.R. (1962). Plant breeding and selection. Ann. Report of W. African Cocoa Research Institute p56-62.

 

Kamarudin, K.A. (1986).  Population studies of the Malaysian wood rat (Rattus tiomanicus Miller) in a cocoa-coconut plantation. MARDI Res. Bull. 14:7-13.

 

Kamarudin, K.A. and Lee, C.H. (1989). Rat spatial distribution pattern and its relation to pod damage in a cocoa-coconut planting system. MARDI Res. J. 17:75-82

 

Kamarudin, K.A., Lee, C.H., and Abd. Munir J. (1991). Wood rat (Rattus tiomanicus Miller) population build-up in a cocoa-coconut plantation after field-poisoning. MARDI Res. J. 19:239-49.

 

Lee, C.H. (1995). Vertebrate pest species of cocoa with special reference to rodent management in Peninsular Malaysia. Ph D thesis Univ. of Malaya, Kuala Lumpur, 1995, 229pp.

 

Lee, C.H. and Arikiah, A. (1984). Field evaluation of bromadiolone and bromethalin on Rattus tiomanicus in cocoa-coconut plantings. MARDI Res. Bull. 12:163-70.

 

Liaw,  M.K. (1983). Control of some plantation mammalian pests through trapping.  Planter, Kuala Lumpur 59:215-22.

 

Tay, E.B., Bong, C.L. and Lim, G.T. (1983). Pests and diseases in cocoa cultivation. Preprint Sem. On Recent Development  and Future Prospects of the Cocoa Industry in Malaysia. 21pp.

 

Thorold, C.A. (1975). Pod rot associated with damage by vertebrates, p58-9 In Diseases in Cocoa (C. A. Thorold eds.). Claredon Press, Oxford.

 

Urquhart, D.H. (1955). Report on the cocoa industry in Sierra Leone with notes on the cocoa industry in the Gold Coast, Cadbury Brothers, Bourniville. 43pp.

 

Williams, J.M. (1973). Rat damage assessment and control in Cocoa. Fiji Agric. J. 35:15-25.

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1