PENGURUSAN PENYAKIT-PENYAKIT KOKO

 

 

Shari Fuddin Sha’ari & Ahmad Kamil Mohd Jaaffar

Pusat Penyelidikan & Pengurusan Kualiti Koko,

Bt. 10, Jalan Apas, Tawau.

 

1.0               Pengenalan

 

Selain dari penyakit yang disebabkan oleh kulat Phytophthora yang merupakan penyakit utama koko, penyakit-penyakit lain juga amat penting kerana ia juga boleh mengakibatkan kerosakan dan kerugian pada hasil koko sekiranya ia tidak dikawal dan diurus dengan cara yang betul. Kita beruntung kerana penyakit VSD yang menjadi ancaman besar kepada industri koko di Malaysia pada suatu ketika masa dahulu telah dapat diatasi dengan terhasilnya klon-klon yang didapati tahan kepada penyakit ini. Pengetahuan tentang penyakit-penyakit koko yang lain ini juga perlu difahami bagi memastikan khidmat nasihat yang akan diberikan adalah tepat dan bersesuaian dengan keadaan. Disamping itu, strategi pengawalan dan pengurusan penyakit tersebut juga dapat dirancang secara lebih sistematik dan berkesan.

 

 

2.0        Penyakit Mati Rosot Jejalur Vaskular (Vascular Streak Dieback)

 

2.1        Patogen

Penyakit ini disebabkan oleh kulat Oncobasidium theobromae Talbot & Keane. Kulat ini boleh hidup dalam lingkungan perumahnya sahaja. Di ladang, kulat VSD ini dapat dilihat melalui pembentukan sporofor pada parut-parut daun (petiol) di dahan yang berpenyakit. Ia berwarna putih seperti kapas yang terbentuk bila keadaan persekitaran lembap dan basah terutamanya  selepas waktu hujan.

 

2.2        Cara Penyebaran

Jangkitan disebabkan oleh penyebaran basidiospora yang dibebaskan dari sporofor dan dibantu oleh angin dalam keadaan kelembapan yang tinggi. Pembebasan spora hanya berlaku di waktu malam kerana ianya sensitif terhadap cahaya matahari. Jika suhu sekitaran melebihi 26°C dan kelembapan di bawah 95%, pembentukan spora tidak akan terjadi dan ini secara tidak langsung akan menghalang pembentukan penyakit.

 

Kejadian penyakit dan pembebasan spora akan meningkat dengan bertambahnya bilangan hujan harian di sesuatu kawasan. Jangkitan penyakit ini biasanya berlaku bila hujan bulanan yang diterima melebihi 200 mm dengan penerimaan sinaran matahari kurang dari 5.4 jam sehari.

 

Jangkitan berlaku apabila spora yang dibawa angin jatuh ke atas permukaan pucuk (apex) atau daun muda. Dengan kehadiran air, spora-spora ini akan bercambah dan menembusi lapisan kutikel daun dan memasuki salur xilem ranting, dahan, batang dan akar. Tanda penyakit ini dapat dilihat selepas satu hingga tiga bulan dari mula jangkitan terjadi dan bergantung kepada ketahanan pokok serta keadaan persekitaran.

 

2.3        Simptom (tanda) Dan Kerosakan

Antara tanda awal yang dapat dilihat ialah berlakunya klorosis atau perubahan warna pada pucuk atau daun muda kepada warna kuning dengan bintik-bintik tisu yang masih hijau yang masih boleh dilihat pada pucuk kedua dan ketiga terakhir. Perubahan ini bermula samada dari bahagian pangkal atau hujung daun. Daun tersebut akhirnya akan gugur dan daun yang bersebelahan pula akan mengalami perubahan yang sama, menjadi kuning dan akhirnya gugur. Namun begitu, pada pokok dewasa, simptom ini boleh berlaku pada daun yang berada sehingga 1 meter dari bahagian pucuk.

 

Bagi anak benih koko, serangan boleh menyebabkan daun-daun gugur secara perlahan-lahan menyebabkan ia mati. Pada pokok dewasa, hifa kulat ini boleh menjangkiti dahan-dahan pokok yang lain menyebabkan peluruhan daun yang banyak. Ianya merencatkan pertumbuhan dan pokok menjadi lemah kerana keupayaan pokok  untuk menjalankan proses fotosentessis semakin berkurangan.

 

Tanda luaran lain yang dapat dilihat ialah pembesaran lentisel pada batang anak benih dan pembentukan pucuk-pucuk muda pada dahan yang diserang. Namun begitu pucuk-pucuk itu mati sebelum ia sempat terbentuk dengan sempurna.

 

Tanda nekrosis (kematian tisu) antara urat daun boleh terjadi pada pucuk anakbenih yang diserang. Namun begitu, ia sukar dibezakan kerana keadaannya seolah-olah kekurangan unsur Kalsium.

 

Simptom dalaman (internal)  juga boleh dilihat. Antaranya ialah:

a.       Jika daun yang berpenyakit ditanggalkan atau dipotong pada bahagian petiol, maka 3 bintik perang akan jelas kelihatan pada tisu vaskularnya.

b.       Jika dahan berpenyakit dibelah secara memanjang, jalur perang akan kelihatan dengan cepatnya pada bahagian xilem.

c.       Jika kulit dahan berpenyakit ditanggalkan dan didedahkan kepada udara, ianya akan menjadi perang dengan cepat.

 

Kaedah mengenalpasti simptom-simptom ini amat berguna untuk mengesan jangkitan yang sedia ada pada kayu ranting matatunas yang hendak digunakan semasa kerja mencantum. Ini dapat mengelakkan petani dari mencantum bahan tanaman yang telah dijangkiti penyakit ini.

        

 

2.4        Cara-Cara Kawalan

Penggunaan bahan tanaman yang resistan (tahan) adalah kaedah kawalan utama dan paling berkesan bagi mengawal penyakit ini. Ketahanan kepada VSD adalah ciri utama dalam pemilihan bahan tanaman koko. Terdapat beberapa klon dan hibrid yang resistan kepada penyakit ini dan disyorkan untuk penanaman. Antaranya ialah klon KKM25, PBC123, PBC159, ICS95, QH37, QH441, QH1003, dan QH1560.

 

Kawalan menggunakan racun kimia hanya sesuai pada anak benih di tapak semaian. Anak benih di tapak semaian ini boleh dilindungi dari serangan VSD dengan menutup perrmukaan atas tapak semaian menggunakan atap polythene. Ini kerana anakbenih dapat dilindungi dari hujan dan titisan embun yang merupakan  faktor  yang menggalakkan percambahan spora kulat VSD.

 

3.0        Penyakit-Penyakit Akar  (Root Diseases)

 

3.1        Patogen

Ia dikenali berdasarkan kepada warna rizormorf kulat penyebabnya yang terbentuk pada permukaan akar. Ada tiga jenis penyakit akar :

a.       Penyakit Akar Putih disebabkan oleh kulat Rigidoporus lignosus.

b.       Penyakit Akar Perang disebabkan oleh kulat Phellinus noxius.

c.       Penyakit Akar Merah disebabkan oleh kulat Poria hypobrunnea dan Ganoderma pseudoferreum

Dalam keadaan sesuai, sporofor (fruiting bodies) kulat ini boleh kelihatan pada bahagian pangkal atau bahagian akar yang dijangkiti.

 

3.2        Penyebaran

Sumber jangkitan biasanya dari tunggul kayu atau akar kayu hutan yang telah dijangkiti tetapi masih tertinggal di tapak ladang. Kaedah utama penyebaran penyakit ini adalah melalui persentuhan akar.  

 

Jangkitan berlaku apabila akar pokok yang sihat bersentuh dengan sumber  jangkitan. Ianya akan merebak ke bahagian akar yang lain dan menjadikan  akar tersebut sebagai sumber jangkitan yang baru untuk menjangkiti pokok-pokok yang bersebelahan.

 

Jangkitan juga boleh berlaku melalui pembebasan spora dari sporofor yang terbentuk pada bahagian pangkal atau akar yang telah lama dijangkiti. Namun begitu, pembentukan sporofor ini jarang ditemui .

 

3.3        Simptom (tanda) Dan Pengenalpastian Penyakit

Pokok yang telah dijangkiti oleh penyakit akar ini menyebabkan daunnya menjadi layu (wilt) diikuti klorotik (perubahan warna daun kepada kuning) dan seterusnya menjadi nekrotik (daun menjadi perang) dan mati secara serentak. Biasanya daun-daun yang nekrotik ini masih kekal di atas pokok untuk beberapa ketika sebelum ia gugur.

 

Penyakit akar  ini boleh dibezakan melalui warna rizomorf yang terbentuk pada akar yang diserang. Rizomorf adalah sekumpulan miselium yang membentuk struktur seperti bebenang atau kulit pada akar yang dijangkiti.

 

Penyakit Akar Putih dikenalpasti melalui rizomorf berwarna putih bercabang dan berbentuk seperti tali dan terlekat kuat pada bahagian luar akar yang dijangkiti. Pada awalnya ia berwarna putih dan apabila ia matang, bahagian atasnya menjadi perang dan bahagian bawah berwarna merah gelap.

 

Penyakit Akar Perang dikenalpasti melalui gumpalan tanah dan miselium berwarna perang. Pada awalnya  miseliumnya berwarna agak cerah dan menjadi gelap di peringkat matang.

 

Penyakit Akar Merah   dikenali melalui pembentukan rizomorf berwarna merah gelap. Pada awalnya  warna rizomorf putih tetapi ia berkembang menjadi kulit yang keras berwarna merah kehitaman. Bila ia dibasahkan dengan air, warna merah kelihatan dengan jelas.

 

3.4        Cara     Pengawalan

Pencegahan di peringkat awal sebelum penanaman adalah langkah terbaik bagi mengawal kejadian penyakit ini. Segala tunggul dan akar  yang besar hendaklah dipotong dan dimusnahkan. Lubang tanaman seharusnya tidak mempunyai tunggul atau akar yang reput.

 

Pemeriksaan hendaklah sentiasa dilakukan selepas menanam. Pengesanan simptom awal penyakit ini agak sukar  kerana tanda pada daun hanya dapat dilihat selepas jangkitan telah serius bilamana sistem pengangkutan air dan nutrien pokok berkenaan telah terganggu. Daun-daun akan layu, kuning dan gugur keseluruhannya. Jika pokok yang mempunyai simptom ini ditemui, pemeriksaan pada pangkal pokok hendaklah dibuat dengan menggali tanah di bahagian pangkal supaya akar tunjang dan  akar sisi dapat didedahkan. Pemeriksaan pada pokok yang bersebelahan juga haruslah dilakukan.

 

Pokok yang diserang dengan teruk menyebabkan akar tunjang musnah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Keseluruhan akarnya hendaklah dicabut dan dimusnahkan manakala parit pemisah perlu digali di sekeliling pokok yang dijangkiti bagi mengelakkan persentuhan akar pokok bersebelahan. Ukuran parit pemisah sekurang-kurangnya bersaiz 2’  dalam X 1’  lebar.

 

Jika jangkitan masih belum memusnahkan akar tunjang atau pangkal, pokok mungkin boleh diselamatkan dengan cara membuang akar yang dijangkiti. Bahagian akar yang telah dipotong hendaklah dicuci dengan asid tar sebelum di sapu dengan ‘collar protectant’. Bahagian akar yang dirawat ini ditutup semula dengan tanah supaya pokok membaikpulih.

 

 

4.0        Penyakit Cendawan Angin  (Pink Disease)

 

4.1        Patogen

Ia disebabkan oleh kulat Corticium salmonicolor Berk. & Br. Kulat ini mempunyai banyak perumah seperti di pokok durian,rambutan, mangga, manggis, cempedak, getah, kopi serta pokok pelindung Gliricidia dan banyak lagi spesis tanaman. Oleh kerana perumahnya yang pelbagai, maka taburan penyakit ini agak meluas.

 

4.2        Penyebaran

Penyebaran penyakit ini dibantu oleh percikan air hujan dan angin yang membawa spora ke tempat lain. Spora akan bercambah apabila ia jatuh ke atas permukaan kulit yang lembap. Jangkitan juga boleh berlaku apabila dahan pokok yang sihat bersentuh dengan dahan pokok yang berpenyakit. Jangkitan juga boleh disebabkan oleh serangga yang membawa spora tersebut pada dahan pokok yang sama.

 

Pada musim panas, pembentukan penyakit ini adalah perlahan dan mungkin terhenti disebabkan patogen menjadi tidak aktif. Namun begitu, apabila keadaan persekitaran sesuai dalam cuaca yang lembap pada  musim hujan, kulat ini  boleh  menjadi  aktif sermula.

 

4.3        Simptom (Tanda) Dan Kerosakan

Pada peringkat awal jangkitan, miselium kulat seperti bebenang putih mungkin dapat dilihat pada bahagian kulit ranting atau dahan kecil yang dijangkiti.  Ia akan bertukar ke warna merah jambu (pink) dalam keadaan yang sesuai. Miselium boleh memasuki ke dalam ranting dan dahan melalui bukaan semulajadi seperti lentisel atau tisu yang luka. Apabila kulit kayu telah mati, miselium pada kulit ranting ini akan membentuk kerak kasar berwarna merah jambu pada permukaan bahagian bawah ranting yang dijangkiti. Pada peringkat ini, ia boleh membentuk basidiospora yang dibebaskan selepas hujan.

 

Jangkitan pada pokok muda boleh menyebabkan kematian, manakala serangan pada pokok sihat tidak memberi kesan yang serius kepada pertumbuhannya.

 

4.4        Kaedah Pengawalan

Pemangkasan memainkan peranan penting bagi memastikan kanopi pokok tidak terlalu lembap untuk kulat ini terus membiak. Kawalan yang terbaik adalah secara cantasan yang bertujuan membuang bahagian yang diserang itu supaya tidak menjangkiti bahagian pokok lain. Bahagian pokok yang telah dicantas itu hendaklah dimusnahkan.

 

 

5.0        Penyakit Hawar Bebenang   (Thread Blight)

 

5.1        Patogen

Penyakit ini disebabkan oleh beberapa spesis kulat Marasmius.

a.          Penyakit hawar bebenang putih disebabkan oleh kulat M. cyphella,

M. neosessiles dan M.  scandens.

b.          Penyakit hawar bebenang  perang disebabkan oleh M. byssicola.

c.          Penyakit hawar bebenang hitam disebabkan oleh M. crinisequi.

 

5.2        Simptom Dan Kerosakan

Penyakit ini dikenali melalui warna bebenang atau miselium kulat yang terbentuk pada dahan dan daun. Jangkitan akan menyebabkan daun mati dan gugur. Bebenang miselium ini melekat pada daun dan bergantungan. Ranting yang dijangkit akan kering dan akhirnya mati.

 

5.3        Pengawalan

Pemangkasan memainkan peranan penting bagi memastikan kanopi pokok tidak terlalu lembap untuk kulat ini terus membiak. Kawalan yang terbaik adalah secara cantasan yang bertujuan membuang bahagian yang diserang itu supaya tidak menjangkiti bahagian pokok lain. Bahagian pokok yang telah dicantas itu hendaklah dimusnahkan.

 

 

6.0        Pengurusan Penyakit di Tapak Semaian.

 

Penyakit yang biasanya menyerang anak benih koko di tapak semaian ialah penyakit mati rosot jalur vaskular (VSD), penyakit hawar anak koko yang disebabkan oleh Phytophthora sp., serta penyakit daun oleh kulat Colletotrichum sp. dan Gloeosporium sp.

 

6.1        Kawalan

Secara amnya, penyakit-penyakit ini boleh dielakkan dengan mengurangkan kelembapan persekitaran. Susunan beg politena juga hendaklah dijarakkan supaya tidak terlalu rapat dan mewujudkan sistem saliran yang baik. Keadaan yang lembap ini perlu dielakkan kerana ia menyediakan keadaan sesuai bagi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan kulat.

Bagi penyakit VSD, cara yang sangat berkesan adalah mengu­rangkan kemasukan inokulum ke tapak semaian dengan memasang plastik di atas bumbung tapak semaian yang ada. Ini akan menghalang spora-spora kulat VSD yang berterbangan dari jatuh ke permukaan daun anak benih. Penggunaan racun kulat Triadimenol disyorkan pada peringkat semaian bagi mengurangkan kejadian penyakit ini.

 

Penyakit hawar anak koko yang disebabkan oleh Phytophthora sp., dapat dikawal secara kimia dengan menyembur racun yang mengandungi unsur metalaxyl, fosetyl-Alumunium atau racun yang mengandungi kuprum. Manakala penyakit daun yang disebabkan oleh kulat Colletotrichum dan Gloeosporium amat jarang sekali berlaku.

 

 

7.0               Kesimpulan

 

Pengawalan penyakit koko boleh dilakukan dengan mempertingkatkan pengetahuan tentang jenis-jenis penyakit yang biasa menyerang dan dengan memahami bagaimana ia boleh tersebar. Disamping itu, perlu juga diketahui tanda-tanda serangan dan serta cara pengawalannya. Dari maklumat-maklumat tersebut, perancangan pengawalan dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih efektif dan ekonomik. Pengawalan yang berkesan boleh dilakukan dengan menggabungkan kaedah-kaedah pengawalan seperti amalan pertanian yang betul, penggunaan bahan tanaman terpilih serta penggunaan racun kulat yang sesuai mengikut keadaan yang diperlukan sahaja.

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1