AMALAN   NURSERI  DAN PEMBIAKAN TAMPANG

 

 

Oleh

 

Mohd  Yusoff   Bin Abd  Samad  &  Mohd Jaafar Hussin

Lembaga Koko Malaysia

Pusat Penyelidikan dan Kawalan Kualiti Koko, Tawau

 

 

1.0  PENGENALAN

 

Sebelum kerja-kerja menanam koko di ladang dijalankan penyediaan tapak semaian  untuk menyediakan anak benih perlulah dijalankan terlebih dahulu.  Biasanya cara menyediakan anak benih hibrid dan klon adalah  hampir sama dari segi prinsipnya  melainkan anak benih klon disediakan secara cantuman manakala hibrid daripada biji benih  sahaja.

 

Di sini disyorkan  anak benih  klon  dipilih sebagai bahan tanaman di ladang. Penanaman anak benih klon mempunyai  beberapa kebaikan dari segi hasil yang seragam di antara  pokok, tahan penyakit  dan hasil yang tinggi.

 

Amalan-amalan dalam tapak semaian adalah penting supaya anak benih yang subur, tidak berpenyakit dan  berkeadaan bebas dari serangga perosak  dapat  diperolehi bagi penanamannya di ladang.

 

Amalan-amalan  di tapak semaian  ini melibatkan  pemilihan tapak semaian, pemilihan biji koko,  penyediaan polibeg, mengisi tanah polibeg, percambahan biji dan penanaman ke polibeg , tapak semaian dan lindungan tapak semaian, penyiraman, merumput, pengawalan serangga perosak dan penyakit, pembajaan, penakaian,  penyediaan  pokok klon dan amalan sebelum ubahtanam  merupakan aktiviti-aktiviti atau amalan-amalan utama dalam tapak semaian koko.

 

 

2.0   AMALAN-AMALAN  DI  TAPAK SEMAIAN

 

2.1  Pemilihan   Tapak Semaian

 

Pemilihan kawasan yang   sesuai untuk tapak semaian perlulah dipertimbangkan dengan baik.  Berapa kriteria bagi  pemilihan   tapak semaian  yang baik adalah seperti  berikut:-

 

a)       Kawasan tersebut mestilah mempunyai saliran yang baik, rata atau tidak terlalu  beralun (undulating). Sekiranya saliran tapak semaian tidak baik, peparitan mestilah dibuat supaya tidak terdapat  iar yang bertakung jika hujan lebat terjadi.

 

b)       Seelok-eloknya tapak semaian mestilah berdekatan dengan sumber air yang bersih, mepunyai tanah lapisan atas yang subur atau baik dan berdekatan dengan tempat di mana koko ingin ditanam.

 

c)       Kawasan  tapak semaian perlulah dibersih kan dari segala selut dan diparas ratakan tanah. Lorong-lorong  perlulah diadakan dalam kawasan tapak semaian.

 

d)       Sekiranya kawasan  tapak semaian berdekatan dengan  kawasan  binatang ternakan lembu atau ruminen, pagar perlulah dibuat di  sekeliling tapak semaian.

 

e)        Bagi kawasan di mana berdekatan dengan serangan penyakit  jejalur mati rosot (VSD), tapak semaian perlulah dibuat berjauhan  dari sumber penyakit   (biasanya dalam jarak 100-200m) dari kawasan terdekat. Pembinaan rumah semaian menggunakan  atap plastik (plastic sheeting)  boleh dibuat jika kawasan tersebut perlu digunakan, tapi pada kos yang agak tinggi.

 

 

2.2  Pemilihan Biji Benih

 

Sebelum menanam biji benih ke polibeg, pemilihan  biji yang baik dari pokok terpilih mestilah  dilakukan.   Langkah-langkah berikut perlulah  diikuti :-

 

a)       Biasanya biji perlu dipungut dari ladang  pokok klon yang berasal dari samada UIT1, UIT2, ICS60  atau pokok hibrid  UIT1 x NA33 . Pilih hanya biji yang besar sahaja.

 

b)       Biasanya kerja  menanam ditapak semaian perlu dijalankan ketika musim buah memuncak bagi menentukan bekalan biji adalah mencukupi semasa penyediaan anak benih.

 

c)       Tambahan biji diperlukan sebanyak 30-50%  supaya dapat  menampong keperluan semasa kerja penakaian dan kegagalan mencantum.

 

d)       Jika benih pokok klon ingin disediakan tentukan pada musim di mana mata tunas mudah didapati biasanya pada musim flushing.

 

 

 

 

 

 

2.3  Polibeg  dan Mengisi Tanah

 

Saiz polibeg yang ingin digunakan adalah bergantung kepada berapa lama benih berada di tapak semaian.   Kegunaan  saiz polibeg bagi tempoh anakbenih di tapak semaian  adalah seperti ditunjukkan dam adual 1..

 

Jadual 1.  Kesesuaian saiz polibeg  untuk semaian  anak benih  koko

 

 

Tempoh di tapak semaian   (bulan)

 

 

Saiz polibeg  (sm)

 

5-6

 

23 x 30    atau 25 x 40

 

>6

30 x 38

 

>12

30 x 55

 

 

 

Biasanya tanah lapisan atas yang mempunyai kesuburan dan struktur yang baik adalah disyorkan  sebagai  media pertumbuhan anak benih di dalam polibeg.  Tanah  perlu ditapis terlebih dahulu bagi membuang segala batu-batu dan akar-akar yang tidak berguna. Biasanya tanah yang baik akan memberi saliran air yang baik dan tidak mudah pecah ketika kerja-kerja mengankut dilakukan. Tanah jenis  lom berpasir  hingga lom liat  campuran  tanah berliat dengan pasir pada kadar 3:1  adalah tanah yang sesuai  untuk  tanah  polibeg.

 

Tanah perlu disi ke dalam polibeg sehingga  2-3 sm dari paras atas beg  dan ia perlu disediakan lebih awal dari  menanam biji.  Bahagian bawah polibeg perlulah dilipat bagi  menentukan beg tidak mudah tumbang ketika kerja penyususnan polibeg dalam tapak semaian.

 

Pemberian kapur perlulah dilakukan dengan menggunakan “Ground Magnesium Limestone” (GML) sebanyak 20-30g   dengan mencampur dengan tanah. Baja fosfat samada “Triple Super Phosphate (TSP)”, “North Carolina Rock Phosphate” (NCRP) atau “Fused Magnesium  Calcium Phosphate” (FMP) adalah disyorkan  untuk  dicampurkan dengan tanah polibeg ini. Penggunaan TSP disyorkan pada kadar 15-30g, NCRP pada kadar  23-46g dan  Fused Magnesiam kalsium fosfat pada kadar 30-60g. Pemberian baja fosfat ini akan menggalakkan tumbesaran akar dan pokok anak benih. Penggunaan baja fosfat   FMP  adalah sangat baik bagi pertumbuhan anak benih tapi pada kos yang agak tinggi berbanding dengan TSP dan NCRP.  Polibeg  perlu dibiarkan selama 1 minggu sebelum ditanam dan perlulah  disiram denagn air bagi menggalakkan pelarutan baja  dan memelihara tanah supaya mempunyai struktur yang baik untuk akar.

 

  2.4  Percambahan Biji  dan Penanaman

 

 

Penyediaan biji benih

 

a)  Pecahkan pod menggunakan pisau tumpul, kayu @ plate logam.

 

b)   Leraikan biji dari empulur

 

c)    Biji Koko dan Abuk Kayu: sedia untuk proses menanggalkan musilaj.

 

d)   Biji Koko dan Abuk Kayu: sedia untuk proses menanggalkan musilaj.

 

e)   Bersihkan biji koko daripada abuk kayu pemilihan biji peringkat awal.

 

f)    Bancuhan racun kulat   (0.4% Thiram@ 5g/L).  Rendamkan biji benih yang dibersihkan  selama  1-5 minit    bancuhan racun tersebut  atau  buat semburan pada biji.

 

g)   Rawatan racun kulat; rendam 1-5 minit atau spray.

 

h)   Biji koko perlu  dipracambahkan   dengan menebarkannya ke dalam  lapisan nipis antara 2 guni basah dalam  bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik atau lindungan atau rumah semaian.  Ianya mestilah jauh dari kepanasan cahaya matahari.  Bekas guni dan biji koko tersebut perlulah dalam   keadaan  sentiasa lembab pada masa percambahan tersebut.

 

i)          Biji koko boleh mencapai percambahan yang agak tinggi melebihi  90% . 

 

j)         Biji cambah  mestilah  dipilih  setiap pagi untuk penanaman ke polibeg. Biji cambah mestilah  ditanam secara berhati-hati untuk mengelakkan bahagian radikal daripada rosak.

 

k)       Tiap biji bercambah hendaklah ditanam dengan radikal menghala ke bawah dan lebih kurang  tiga  suku  mestilah  ditutup dengan tanah.

 

l)         Kadar dan keseragaman percambahan biji boleh dicapai  jika sekiranya musilage/lendir  biji  dibuang sebelum dicambahkan.   Ini biasanya dilakukan dengan menggosok biji tersebut dengan  habuk gergaji atau pasir halus  dan dibasuh dengan air  untuk membuang  lapisan  lendir tersebut.

 

 

 

 

 

 

2.5  Susunatur Polibeg

 

Penyusunan polibeg hendaklah dilakukan secara sistematik untuk memudahkan kerja-kerja cantuman dibuat kemudiannya.

 

Barisan berkembar berselang dengan lorong berjalan sepanjang 45 sm disyorkan di sini   (Rajah 1).

                       

 

 

                       Rajah 1.  Susunatur   polibeg di tapak semaian

 

 

 

 

 

 

 


                           

 

 

 

 

 

 

 

Untuk mempercepatkan pertumbuhan dan mengelak kejadian etiolasi, anak benih perlulah dijarakkan di antara satu sama lain bila  mencapai umur 2-3 bulan.  Jarak ini ialah di antara 20 sm hingga 35 sm antara bahagian tengan polibeg, jarak ini   bertambah dengan jangkamasa anak benih pokok di tapak semaian.  Hal ini  membolehkan pokok mempunyai batang yang kuat apabila ditanam di ladang dan tidak perlu lagi diikat pada pancang.

 

 

2.6  Rumah Semaian dan Lindungan pada Tapak Semaian

 

Keperluan lindungan bagi anak benih di tapak semaian adalah berbeza-beza mengikut tahap tumbesarannya atau umur pokok. Bagi pokok yang kecil ianya memerlukan lebih lindungan  iaitu di antara 70-80% pada awal 2 bulan  pertama, manakala pokok yang agak besar memerlukan lindungan yang berkurangan  bagi mendapat cahaya matahari yang mencukupi.  Oleh itu jenis lindungan yang boleh diubah-ubah adalah lebih baik.   

 

Biasanya tapak semaian  boleh dibuat di  bawah  pokok Gliricidia, pokok kelapa sawit dewasa, pokok kelapa, pokok getah dan pokok  hutan di mana tahap lindungan telah disesuaikan. Bagi rumah semaian menggunakan plastik putih (lutsinar cahaya), penggunaan  jala plastik  hitam  (black netting)  boleh memberi lindungan 60-70%  pada koko.  Plastik ini juga boleh diubah-ubah bagi mendapatkan peratusan cahaya yang sesuai.

 

Lindungan yang mudah juga boleh dibuat dengan menggunakan kayu/aluminium  ditanam pada jarak 3m x 3m  dan bersilang antara satu sama lain  bolehlah dijadikan kerangka meletakkan bahan lindungan buatan  seperti  pelepah kelapa atau pelepah kelapa sawit. Ketinggian struktur itu mestilah bersesuaian ( sekurang-kurangnya 2m tinggi)  bagi memudahkan pergerakan dalam membuat kerja-kerja penjagaan.

 

Tahap lindungan diperingkat awal mestilah tinggi sekurang-kurangnya lebih kurang 70-80% kemudian dikurangkan mengikut pertumbuhan pokok. Pada peringkat di mana benih akan dipindahkan ke ladang, tahap lindungan mestilah  menyamai tahap lindungan di ladang  (50%).

 

Di kawasan di mana kejadian  penyakit jejalur mati rosot (VSD) adalah tinggi, penggunaan rumah semaian adalah disyorkan dengan menggunakan plastik  putih lutsinar sebagai atap.  Saiz tapak semaian adalah bergantung   kepada keperluan anak benih yang ingin disediakan. Biasanya saiz 7.2m x 42m boleh memuat 7,500 polibeg bersaiz 22.5 sm x 35 sm. 

 

 

2.7  Penyiraman

 

Anak benih koko memerlukan air setelah ditanam bagi   mengembalikan  kecergasannya dalam polibeg.  Bagi  semaian   yang besar,   pengairan menggunakan  samada “sprinkler” atau  pengairan  jenis “sumisamsui”   ( tubing system) atau pengairan titis (drip irrigation) bolehlah digunakan sebagai sistem pengairan anak benih di tapak semaian.

 

Penyiraman perlulah dilakukan di awal pagi   dan perlu disiram lagi di sebelah petang sekiranya terjadi cuaca terlalu panas.  Bagi sistem  rumah semaian  siraman hendaklah dilakukan  pada hari agak  tengah hari (10-11 pagi)   supaya daun tidak dijangkiti spora kulat  penyakit jejalur mati rosot (VSD)   kerana ia akan cepat kering.

 

 

2.8  Merumput

 

Merumput merupakan amalan yang perlu dilaksanakan dalam polibeg supaya persaingan anak benih dan rumput bagi  pengambilan zat nutrien dikurangkan. Ianya dilakukan  bila  perlu.   Pengunaan racun rumput  tidaklah disyorkan kerana ia  boleh merencatkan pertumbuhan  pokok anak benih jika terkena.  Merumput di sekeliling kawasan  juga perlu dilakukan.   Kerja-kerja ini mestilah dilakukan dengan tangan.

2.9  Kawalan Serangga Perosak dan Penyakit

 

Anak benih semaian juga boleh diserang penyakit terutamanya penyakit jelalur  mati rosot  (VSD) di sebabkan sejenis kulat  Oncobasidium theobromae. Serangannya boleh memusnahkan anak benih.   Serangan ini biasanya dilihat dengan tanda-tanda daun kering di bahagian pucuk.   Oleh itu pengawalan mengunakan racun kimia disyorkan.   Biasanya racun yang paling berkesan ialah Bayfidan 250 EC yang mengandungi triadimenol sebagai bahan aktif.    Kadar yang disyorkan ialah lebih kurang 5-8ml  dalam satu pam (18 liter air)  dan disembur  seminggu sekali.   Bahan pelekat  (wet and sticker) boleh juga dicampor bersama bagi meninggikan keberkesanan racun dengan menggalakkan perlekatan racun pada bahagian pokok yang disembur dan menghalang racun dari basuhan hujan.   Jika terjadi serangan kulat yang lain seperti penyakit Colletotrichum dan Gleosporium penggunaan racun kulat  samada dengan menyembur racun Daconil setiap dua minggu sekali  atau racun berasaskan kupram (copper  base)  bolehlah digunakan.

 

Anak benih koko juga terdedah kepada  serangan serangga perosak seperti belalang, kumbang atau serangga pemakan daun, kutu hama (aphids) dan ulat koya (mealy bugs).    Penggunaan racun sistemik yang mempunyai julat yang besar adalah disyorkan dengan menyembur sekurang-kurangnya 2 minggu sekali dan bergantung tahap serangan.  Racun-racun  yang mengandungi bahan aktif methamidophos  adalah sesuai digunakan.  

 

Pemberian baja daun boleh juga dilakukan sebagai baja tambahan kepada baja tanah disamping ianya boleh memberi kesan yang cepat pada koko. Penggunaan baja daun seperti baja daun Nitrophoska (17:7:5:9.1:1), Nitrophoska Biru Spesial (12:12:17:2) dan Bayfolan (11:8:6 + TE)  dengan kadar antara 0.15-0.2% i/i. Baja ini boleh juga dicamporkan  dengan racun serangga  ketika membuat semburan pengawalan serangga.   Kerja menyembor baja perlulah dilakukan selepas siraman pokok dibuat.  

 

 

2.10  Pembajaan

 

Pembajaan biasanya dijalankan selepas daun pertama telah berkembang atau mengeras.  Penggunaan baja berbutir  mestilah dilakukan  ketika daun dalam keadaan kering untuk mengelak  daun dari terkena  dan melecor.  Jenis baja yang digunakan di tapak semaian adalah dari jenis sebatian atau baja “perlepasan perlahan” (slow release)  seperti Nurseryace  (10:10:5:2).  Baja sebatian yang biasa digunakan ialah  samada baja NPK biru (12:12:17:2 + TE) atau NPK kuning (15:15:6:4)  atau 14:13:9:2.5.  Pembajaan bagi anak benih untuk dicantum mestilah dihentikan sebulan sebelum cantuman dilakukan. Pembajaan diteruskan  setelah 1-1˝ bulan cantuman dibuka.   

 

 

Kadar-kadar   pemberian baja  yang diberi adalah berdasarkan peringkat  umur anak benih

 

Jadual 2. Kadar  baja  bagi anak benih koko di  nurseri

Umur anak benih  (bulan)

Jumlah baja (g/pokok)

Sebelum cantuman

 

2-3

5

3-4

5

4-5

5-10

 

 

Selepas  cantuman*

 

1-2

5

2-3

5-10

>4

5-10

*cantuman  biasa menggunakan pokok penanti berumur 4-6 bulan

 

 

2.11  Penakaian Anak Benih  (Culling)

 

Penakaian bermakna  menyisih  pokok-pokok anak benih  yang tidak baik disebabkan oleh kerosakan  oleh   penyakit  atau pokok yang terlalu lemah. Ini dilakukan supaya hanya pokok yang sihat sahaja yang dipilih untuk kerja-kerja cantuman  atau  ditanam di ladang. 

 

 

2.12  Pemilihan Kayu Matatunas untuk Kerja-kerja Cantuman

 

Amalan ini dilakukan sebelum kerja-kerja cantuman  anak benih dilakukan.  Kayu matatunas   boleh diperolehi dari kebun kayu matunas atau pembelian atau pemberian dari  badan-badan tertentu  yang diktiraf dari segi  bahan tanamannya. 

 

Pemilihan kayu matatunas mestilah dari klon yang terbaik dari segi hasil dan ketahanan dari penyakit  khususnya penyakit jejalur mati rosot (VSD).   Hanya kayu yang sihat sahaja dipilih. Jenis kayu matatunas yang digunakan adalah bergantung kepada jenis cantuman yang akan dilaksanakan.

 

 

2.13  Teknik-teknik   Cantuman Anak Benih

 

Banyak kaedah-kaedah cantuman yang boleh digunakan untuk penyediaan  anak benih klon. Di  antara  jenis-jenis  cantuman ini ialah:-

            i)    Cantuman  biasa/cantuman kepingan (path budding)

            Ii)   Cantuman   hijau  (green budding)

            Iii)  Cantuman serpihan  (chip budding)

            iv)  Cantuman  sisipan (side grafting)

Di antara kaedah-kaedah ini, cantuman kepingan selalunya digunakan dan setengah-setengah agensi menggunakan kaedah cantuman hijau dan cantuman serpihan. Cantuman serpihan dan hijau mempunyai kebaikan dari segi  pokok klon  boleh ditanam di ladang dalam masa yang singkat.

 

Dalam kertas kerja ini, tiga  teknik cantuman iaitu cantuman kepingan, cantuman hijau dan cantuman baji sisi akan dihuraikan bagi menjadi pilihan dalam penyediaan pokok klon.

 

 

2.13.1 Teknik Cantuman Kepingan  (cantuman biasa)

 

a)       Teknik ini boleh dilakukan pada pokok anak benih yang telah berumur 3-4 bulan ditapak semaian.

 

b)       Cantuman dilakukan dengan membuat potongan tegak sepanjang 4 sm di bawah kesan (scar) kotilidan dan  potongan lintang lebih kurang 6-8 mm di atas batang pokok penanti.  Kulit torehan kemudian dibuka  ke atas dan ditutup kembali.    

 

c)       Kepingan  matatunas dari dahan pokok klon terpilih dari separa perang  diambil dengan membuat torehan sebesar  tapak  cantuman pokok penanti.  Kepingan diambil  dengan menarik  keluar dengan memegang tangkal  daun ( petiole).  

 

d)       Setelah siap menyediakan kepingan, tarik keluar  lidah tapak torehan ke atas dan masukkan  kepingan matunas ke dalam tapak  cantuman.

 

e)       Kepingan  matatunas diikatkuat dengan mengunakan   parafilem atau nescofilem.  Cara mengikat  ialah dari   bawah ke atas.  Pita parafilem diikat bertindih antara satu sama lain pada setiap  lilitan ikatan.

 

e)       Apabila kerja-kerja mencantum siap dilaksanakan,  bahagian pucuk pokok penanti mestilah dipotong supaya  pokok cantuman boleh mengeluarkan tunas.

 

f)         Pita parafilem mestilah dibuang sekiranya  terdapat  kesan pecah.  Ini bertujuan bagi menghalang air dari  terperangkap ke dalam kepingan matatunas.

 

g)       Jika terdapat pokok cantuman tidak bertunas  selepas 3-4 minggu cantuman dibuat, pokok penanti  mestilah dipotong   di bawah 4-5 helai daun supaya menggalakkan pokok cantuman bertunas..

 

h)       Bila pokok cantuman /scion mula bertunas  buangkan semua daun di  sebelah bahagian kepingan cantuman.   Pokok  cantuman mestilah dibentuk dengan mengikatnya ke pokok penanti dari masa ke semasa untuk mendapat bentuk yang tegak dan dahan yang  banyak.

 

i)         Sebelum pokok dipindahkan ke ladang setelah 4 bulan di cantum, pokok penanti mestilah dipotong 6-8 sm dari atas tapak cantuman.

 

 

 

Rajah 2. Teknik cantuman kepingan  (cantuman biasa)

 

Batang pokok

penanti

 

4-5 sm

 

Polibeg

 

Bukaan lidah

torehan

 

6-9 mm

 

6-9 mm

 

Kayu matatunas

 

Tapak cantuman

 

Kepingan  matatunas

 
                                                           

 

                                               

 

                                                                                     

 

      

 

  

 

 

 

                            

 

                                                                             

 

 

 

 

 

 

 

2.13.2  Teknik  Cantuman Hijau

 

Kaedah cantuman hijau dengan cantuman  biasa adalah hampir sama kecuali  pokok penanti dan kayu matatunas digunakan   berbeza.   Cara membuat panel  dan mengambil kepingan matatunas adalah serupa  kecuali saiznya berbeza.

a)       Pokok  anak benih yang disemai dari biji berumur 2 minggu dan masih belum mempunyai daun  boleh digunakan  untuk cantuman hijau.

 

b)       Sebarang  klon boleh digunakan  bagi cantuman hijau dan biasanya klon terpilih yang tahan penyakit jejalur mati rosot  (VSD)  dan tinggi  hasil.

 

c)       Kayu matatunas bagi cantuman ini mestilah diambil dari kayu matatunas  hijau yang baru matang.

d)       Kepingan matatunas  dibuat dengan memotong 10 mm  panjang dan 4 mm   lebar   pada  pada kayu matatunas  dan ditarik sedikit dengan berhati-hati  dengan cara memegang tangkal daun  (petiole).   Kemudian masukkan semula  ke tempatnya sementara kerja  menyiapkan  tapak cantuman  pada pokok penanti siap dilakukan.

 

e)       Pokok penanti yang berumur 14 hari boleh digunakan  selepas ia bercambah. Tapak cantuman mestilah dibuat di bahagian bawah   kotilidan dengan membuat potongan lintang  4 mm  lebar, potongan tersebut mestilah hampir ke kambiam pokok.

 

f)         Kulit  dikopek ke belakang  dengan pergerakan perlahan ke bawah bagi membuka  tapak cantuman sepanjang 10mm bagi memasukkan kepingan matatunas yang sama besar dengannya. Setelah siap, kepingan matatunas dimasukkan ke dalam tapak cantuman dengan berhati-hati.

 

g)       Bahagian lidah/kulit tapak torehan yang berlebihan dipotong  dan biarkan melebihi sepanjang  3mm  bagi  menutupi kepingan matatunas.

 

h)       Setelah  memasukkan  kepingan matatunas ke dalam tapak cantuman dengan baik, petiol yang berlebihan pada kepingan  hendaklah dipotong di atas  matatunas.

 

i)         Kepingan matatunas  kemudiannya diikat dengan  parafilem atau nescofilem  (boleh ditarik -stretchable)  bersaiz  10 sm x 4 sm .

 

j)         Setelah 14 hari mencantum, ikatan parafilem tersebut hendaklah dibuang. Biasanya cantuman berjaya mula bertunas 7 hingga 10 hari kemudiannya (5 minggu dari biji ditanam).

 

Apabila kerja mencantum telah berjaya, penjagaan yang rapi perlu dilakukan supaya pokok  membesar dengan baik.

 

Beberapa perkara perlu diberi perhatian  dalam cantuman  hijau iaitu:-

 

i)           semua daun matang pada pokok penanti mestilah dibiarkan bagi mengatasi kehilangan nutrien dari kotilidan.

 

ii)          penyiraman perlu dibuat setiap hari di bawah tapak semaian plastik. Tekanan  rendah semasa menyiram adalah penting supaya tunas yang baru tumbuh tidak dirosakkan.

 

iii)        daun-daun pada pokok penanti dibuang secara beransur-ansur  mengikut tumbesaran pokok scion  dalam jangkaamasa  2 hingga 3 bulan.

 

iv)         pembajaan perlu dilakukan bila daun pertama mula mengeras ( biasanya 6 minggu selepas cantuman berjaya).

 

 

Kebaikan cantuman hijau

 

i)         mengurangkan penggunaan input ladang seperti pengawalan serangga perosak,  pembajaan pokok penanti sebelum mencantum

 

ii)       mengurangkan kos pengurusan pokok cantuman kerana anak benih dapat dipindah ke ladang lebih awal.

 

 

2.13.3    Teknik  Cantuman  Baji Sisi  (Side Grafting)

 

Kaedah ini adalah sama dengan kaedah  cantuman matatunas kecuali  keratan kayu matatunas digunakan.  Kaedah cantuman ini adalah seperti berikut:-

 

a)       Teknik ini boleh dilakukan pada pokok anak benih yang telah berumur 3-4 bulan ditapak semaian.

 

b)       Cantuman dilakukan dengan membuat potongan tegak sepanjang 2-4 sm di bawah kesan (scar) kotilidan dan  potongan lintang lebih kurang 5-10 mm di atas batang pokok penanti.  Kulit torehan kemudian dibuka  ke atas dan ditutup kembali.    

 

c)       Kayu  matatunas hijau (biasanya bahagian hujung/pucuk)  dari dahan pokok klon terpilih  diambil.  Kayu matatunas dibuang daunnya, dan keratan mengandungi 3 matatunas  diambil.  Bahagian bawah keratan dipotong rencong sepanjang 2-3 sm dibuat dan sebelahan lagi dipotong rencong sepanjang 2-3 mm.  

 

d)       Setelah siap menyediakan kayu matatunas, masukkan kayu matatunas ke dalam tapak torehan di mana bahagian keratan rencongan panjang dihalakan ke arah batang atau kayu pokok.

 

e)       Kayu  matatunas tersebut hendaklah diikatkuat dengan mengunakan   pita plastik.  Cara mengikat  ialah dari   bawah ke atas.  Pita plastik diikat bertindih antara satu sama lain pada setiap  lilitan ikatan.

 

g)       Selepas 21 hari pemeriksaan kejayaan cantuman hendaklah dibuat.  Jika terdapat tunas sudah tumbuh atau hidup bukakan plastik yang dibalut.

 

h)       Bila pokok cantuman/scion mula bertunas  buangkan semua daun di  sebelah bahagian  cantuman.   Pokok  cantuman mestilah dibentuk dengan mengikatnya ke pokok penanti dari masa ke semasa untuk mendapat bentuk yang tegak dan dahan yang  banyak.

 

i)         Sebelum pokok dipindahkan ke ladang setelah 4-5 bulan di cantum, pokok penanti mestilah dipotong 6-8 sm dari atas tapak cantuman.

 

 

 

Rajah 3.  Cantuman baji sisi (side grafting)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Cantuman ini mempunyai   beberapa kebaikan :-

 

i.         Pertumbuhan  cantuman yang cepat

ii.       Penggunaan kayu matatunas yang optima

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.14   Amalan Sebelum Ubahtanam 

 

Bagi mengurangkan kesan rencatan  pokok  anak benih sebelum di tanam   di ladang, adalah  perlu memusingkan polibeg  kepada beberapa darjah  sekurang-kurangnya seminggu sebelum anak benih ditanam di ladang sekiranya terdapat akar tumbuh melebihi polibeg atau menembusi ke tanah.   Kerja ini dilakukan hanya apabila pucuk daun telah berkembang. Penyiraman perlu dilakukan  beberapa hari kemudiannya.  Penanaman di ladang  perlu dilakukan pada permulaan musim hujan. Jangan sekali-kali menanam pada musim kering melainkan terdapat sistem pengairan di ladang.  Hanya anak benih dengan daun yang betul-betul matang sahaja ditanam di ladang.

 

 

3.0      PENUTUP

 

Amalan nurseri yang baik  dan kaedah penyediaan anak benih melalui pembiakan   tampang   yang sesuai  akan menjamin ertumbuahn anak benih yang baik dan berkualiti dan ini  juga  akan menentukan kejayaan  penanamannya  kelak  semasa   di peringkat     ladang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws
GridHoster Web Hosting
1