|
|
BIOGRAFI
LIM
SWEE TIN lahir di Bachok, Kelantan pada 26 September 1952 dan membesar di
kalangan masyarakat Melayu. Dengan itu, tidak menghairankan jika beliau
dan keluarganya amat fasih berbahasa Melayu. Dengan kefasihan bertutur dan
menulis dalam bahasa Melayu mendorong beliau menulis dan mencipta karya
terutama puisi dalam bahasa ini. |
|
Ternyata, usahanya berhasil sehingga beliau
dikenali sebagai penulis bukan Melayu yang cukup menonjol dan mendapat
tempat di akhbar dan majalah, malah sering pula memenangi hadiah-hadiah
penulisan. Lim
Swee Tin sebenarnya berdarah campuran. Bapanya, Lim Swee Poh, suku Hokkien
berasal dari Chou An, Fujien, China, manakala ibunya Khe Utt Eh Di
berketurunan Thai yang sudah menetap sejak beberapa generasi di Bachok,
Kelantan. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Tawang,
Bachok, kemudian apabila keluarganya berpindah ke Machang, Kelantan, Lim
Swee Tin belajar pula di Sekolah Kebangsaan Machang, sebelum ke Sekolah
Menengah Kebangsaan, dan Sekolah Menengah Hamzah, Machang, Kelantan
sehingga Tingkatan Lima. Beliau menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) pada tahun 1969, dengan mendapat Pangkat Satu. Lim Swee Tin
kemudian mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sultan
Abdul Halim, Jitra, Kedah. Walau bagaimanapun, disebabkan kesempitan
kewangan, beliau memohon bertukar ke Sekolah Menengah Sultan Ismail Petra,
Kota Bharu, Kelantan. Beliau hanya sempat beberapa bulan sahaja di sekolah
ini kerana terpaksa berhenti disebabkan masalah yang sama. Lim
Swee Tin menjawat jawatan Guru Sandaran di Sekolah Kebangsaan Kampung Pek,
Machang selama setahun setengah sehingga beliau ditawarkan ke Maktab
Perguruan Persekutuan, Bukit Gelugur, Pulau Pinang mulai tahun 1972 dengan
mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu dan Matematik Moden. Beliau lulus
pada tahun 1973, dan mula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Sultan
Yahya Petra, Kuala Krai, Kelantan sehingga tahun 1978. Lim Swee Tin
kemudian berpindah ke Sekolah Menengah Hamzah, alma
matternya sehingga tahun 1988. Pada tahun 1988,
Lim Swee Tin mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti
Pertanian Malaysia, Serdang kemudian dikenali sebagai Universiti Putra
Malaysia (UPM) dengan mengambil kursus Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai
Bahasa Pertama, dan minor Kesusasteraan Melayu. Lim Swee Tin memperoleh
ijazah Bacelor Pendidikan pada tahun 1992. Lim Swee Tin ditugaskan
berkhidmat di Sekolah Tinggi Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan,
kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, juga di Negeri Sembilan
sehingga tahun 1996. Mulai tahun 1997, Lim Swee Tin meneruskan
pengajiannya di peringkat sarjana, dan memperoleh M.A-nya pada tahun 1999. Lim
Swee Tin mula berjinak-jinak dengan bidang penulisan sejak berada di
sekolah rendah lagi. Ketika itu, beliau sudah mula belajar
mencoret-coretpantun dan syair. Walau bagaimanapun, cubaan beliau
menghasilkan sajak tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan
sehinggalah tahun 1968 dan 1969 apabila beliau berada di sekolah menengah.
Di sekolah menengah, Lim Swee Tin mengambil mata pelajaran kesusasteraan
Melayu. Antara teks kajian pada masa itu ialah antologi Gelombang (Usman
Awang) dan Nyanyi Sunyi (Amir Hamzah). Melalui kajian keatas kedua-dua
teks puisi ini, Lim Swee Tin beroleh keyakinan untuk menghasilkan
sajak-sajak. Salah sebuah karyanya yang paling awal dan sempurna
dihasilkan berjudul ‘Terima Kasih’. Sajak yang dicatatkan pada kulit
novel Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad) ini walau bagaimanapun tidak
dapat dikesan lagi. Bermula
dari ini, Lim Swee Tin mula berkarya dengan bersungguh-sungguh. Semasa di
Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang, Lim Swee Tin secara kebetulan
dilantik sebagai Sidang Editor jurnal Persatuan Bahasa Melayu, Kredit
Gelugur. Kesempatan ini digunakan beliau untuk menyiarkan beberapa buah
sajaknya sendiri. Karya-karya inilah kemudiannya memberinya keyakinan
untuk mengirim sejumlah sembilan buah sajak ke Mingguan Malaysia pada
tahun 1973. Salah sebuah sajak beliau ‘Seorang Anak Kecil’ termuat
pada 14 Oktober 1973. Sebuah lagi tersiar pula dalam Utusan Zaman
kira-kira sebulan kemudian. Tersiarnya karya-karya ini sudah cukup
memberinya keyakinan dan kekuatan untuk terus menapak di persada
kesusasteraan Melayu, khususnya di pertengahan dekad 1970-an. Semasa di
maktab ini juga, Lim Swee Tin berpeluang membaca banyak buku kesusasteraan
pelbagai genre terutamanya dari Indonesia selain jurnal Dewan Sastera
(yang mula diterbitkan 15 Januari 1971). Lim Swee Tin pengunjung setia
perpustakaan di maktabnya, dan pembaca Dewan Sastera yang cukup tekun.
Menurut Lim Swee Tin, pembacaan buku-buku dalam bahasa Indonesia
memberinya kekuatan dari segi penguasaan bahasa yang amat besar. Perkara
lain yang mendorong Lim Swee Tin terus mencipta karya ialah faktor alam
sekitar seperti penghidupannya yang dikelilingi cara hidup dan budaya
masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan. Alam semula
jadi di Kuala Krai, Kelantan dan berbagai-bagai cabang kesenian
rakyat yang digemarinya(secara kebetulan keluarga Lim Swee Tin sebelah
ibunya merupakan penggiat Menora dan wayang gedek sejak turun temurun ).
Tugasnya sebagai guru bahasa Melayu di sekolah turut mendekatkan beliau
dengan pembacaan yang berterusan dan beliau terus menghasilkan karya-karya
kreatif. Bakat
Lim Swee Tin lebih terserlah dalam genre sajak walaupun beliau turut
menghasilkan cerpen dan esei kesusasteraan. Berkat usaha gigihnya, Panel
Hadiah Sastera 1976 berpendapat bahawa Lim Swee Tin telah menunjukkan
harapan besar sebagai penulis bukan Melayu dalam perkembangan sastera
nasional kerana beliau bukan sahaja telah dapat menguasai bahasa Melayu
dengan baik tetapi telah berjaya mengangkat bahasa itu menjadi bahasa
puisi. Karya-karyanya sudah mendapat tempat di Berita Minggu, Jurnal
PERISA, Jurnal Malay Literature, Utusan Zaman, Mingguan Timur,Dewan
Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera dan puluhan media penyiaran tanah
air. Selain itu, puisi-puisinya diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina dan
Thai. Karya
Lim Swee Tin yang pertama tersiar di media , sebuah cerpen berjudul
‘Malam Pertama’ tersiar dalam Majalah Jejaka tahun 1971. Tetapi, Lim
Swee Tin merasakan jiwa dan bakatnya lebih terjurus ke arah genre sajak.
Bagi Lim Swee Tin, genre ini boleh menjadi alat komunikasi, iaitu apabila
sesebuah karya dihasilkan, pengalaman dan pemikiran penulis dapat dikongsi
dan dihayati bersama-sama khalayak. Berasaskan
pegangan inilah Lim Swee Tin begitu serius dalam mencipta sajak dan
keseriusannya tidak sia-sia. Setakat ini, Lim Swee Tin telah memenangi
sejumlah 20 hadiah penulisan. Antaranya, Sayembara Cerpen ESSO-GAPENA 111
dan V1 pada tahun 1982 dan 1985 melalui cerpen-cerpen berjudul ‘Tapah’
dan ‘Gok’. Beliau memenangi Hadiah Penghargaan Anugerah Puisiputra 11
pada tahun 1983 melalui antologi ‘Akrab’
yang memuatkan 50 buah puisi. Lim juga beberapa kali memenangi Hadiah
Sastera Utusan – Publik Bank (1986, 1989, 1990, 1992, 1994, 1999),
Hadiah Sastera Malaysia 1982-83 melalui sajak ‘Berjalan-jalan Di Sini’,
1986-87 melalui sajak ‘Sejarah’, dan 1988-89 melalui sajak ‘Sewaktu
Melintasi Kundasang’. Beliau memenangi Hadiah Cerpen Maybank – DBP
ke-111 melalui cerpen ‘Cahaya Lain Di Wajah’ dan ke-IV melalui cerpen
‘Setelah Kabus Dini Hari’. Pada tahun 1990, Lim Swee Tin memenangi
Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen dan Puisi sempena 100 Tahun Kuala
Lumpur melalui naskah puisi ‘Kuala Lumpur : Kota Sarang Labah-Labah’.
Beliau juga memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO – GAPENA tahun 1989,
Hadiah Puisi Bosnia – PENA, Berita Harian, Utusan melayu pada tahun
1994, dan Formula Malaysia kategori cerpen, 2000, melalui cerpen ‘dR’. Lim
Swee Tin berumahtangga pada tahun 1977. Isteri beliau, Selina S.F. Lee,
seorang guru juga merupakan penyair dan cerpenis yang kerap menyumbangkan
karya-karya di media-media tanah air. Mereka kini dikurniai tiga orang
anak, seorang lelaki dan dua orang perempuan. Lim
Swee Tin pernah aktif dalam Persatuan Penulis-Penulis Kelantan (PPK).
Selepas PPK menjadi tuan rumah Hari Puisi Nasional di Kota Bharu, Kelantan
pada tahun 1981, Lim Swee Tin mengambil alih jawatan Setiausaha 1 selama
tiga penggal berturut-turut. Sepanjang memegang jawatan tersebut, Lim Swee
Tin banyak memainkan peranan mengendalikan bengkel dan mengadakan pelbagai
rancangan pembangunan untuk melahirkan penulis-penulis pelapis di negeri
kelahirannya itu. Pada
tahun 1990, Lim Swee Tin terpilih mewakili negara dalam acara Pengucapan
Puisi Dunia Kuala Lumpur, acara dwitahunan yang menghimpunkan
penyair-penyair terkemuka dunia. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan
Pustaka memilih beliau untuk Program Penataran Karya Sastera selama 26
hari di Indonesia. Antara aktiviti beliau ialah menemui
pengarang-pengarang ternama mutakhir Indonesia selain berdiskusi dengan
tokoh-tokoh bahasa dan kesusasteraan Indonesia. Beliau juga berkesempatan
mengikuti HISKI 111 di Malang, Indonesia. Pada
tahun 1994 – 1997 Lim Swee Tin merupakan Pengelola Ruangan Sastera dan
Budaya akhbar Mingguan Watan. Selain itu, Lim Swee Tin kerap diundang
membentangkan kertas kerja. Antaranya sempena Bulan Bahasa Melayu
Singapura 1996, 1997,1998 dan 1999, Hari Sastera Malaysia, Hari Puisi
Nasional dan Pertemuan Sasterawan Nusantara X/Perhimpunan Sasterawan
Malaysia 1 di Johor Bahru, 1999 di samping mengelolakan majlis-majlis
kesusasteraan serta acara-acara baca puisi ; antaranya pada Kongres Bahasa
Melayu Sedunia 1995, dan lain-lain lagi. Beliau mengendalikan Minggu
Penulis Remaja (Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah) dari tahun 1996
hingga 1999, yang banyak membantu mengukuhkan kedudukannya sebagai
penulis tanah air. Lim Swee Tin juga Pengadil GAPENA bagi acara
Sayembara Puisi Kebangsaan dari tahun 1995 hingga sekarang. Sepanjang
penglibatannya dalam dunia penulisan, Lim Swee Tin telah menerbitkan
sejumlah sepuluh buah antologi puisi persendirian, empat daripadanya
merupakan puisi remaja, lima buah novel remaja, lima buah buku kreatif
umum, dan lebih enam puluh buah antologi bersama. Beliau juga
menyelenggarakan sebuah antologi puisi penulis bukan Melayu. Kejayaan
cemerlang Lim Swee Tin dalam bidang penulisannya juga membawanya ke
simposium The Search for a New World
Culture for the 21st Century : Asian Literary Perspective
di Washington D.C, Amerika Syarikat, dan bersempena dengan Persidangan
ASEM ke-2 di London April tahun 1998, Lim Swee Tin diundang mewakili
Malaysia pada acara Baca Puisi Four
Leading Poets from South East
Asia bertempat di Royal Festival Hall, London di samping penyair dari
Indonesia, Thailand dan Filipina. Sekarang
Lim Swee Tin sedang menyiapkan tesis pengajiannya di peringkat Doktor
Falsafah di Universiti Putra Malaysia. |
|