Search  |   Geocities  |   Home  |   Carta Kaki  |   Links  |   MP3  |   Carta Tangan  |   My Studio   |   About Us   |   LastUpdated


SEBAIK-BAIK PERMINTAAN ADALAH APA YANG ALLAH S.W.T TUNTUT DARIPADA KAMU.


Pada setiap ketika dan setiap keadaan pasti ada tuntutan
Allah s.w.t terhadap kita yang kita berkewajipan
menyempurnakannya. Pada ketika dan keadaan berkenaan yang
paling baik kita pohonkan daripada Allah s.w.t adalah agar
kita dapat menyempurnakan kewajipan tersebut. Setiap
waktu, ruang, benda-benda serta kejadian yang mengisi
waktu dan ruang itu merupakan ujian Allah s.w.t. Apa yang
dimaksudkan dengan ujian adalah cabaran terhadap iman .
Waktu dan ruang serta isinya berperanan mengalih pandangan kita
daripada tauhid kepada yang mengisi waktu dan ruang
tersebut. Waktu dan ruang adalah dua keping besi tajam
yang membentuk gunting, kerjanya memotong tali yang
menghubungkan hamba dengan Allah s.w.t. Apabila tali itu
putus, terlepaslah perhatian dari menyaksikan Rububiyah,
maka terjadilah syirik. Apa sahaja yang berada di dalam
waktu dan ruang yang menutup pandangan mata hati dari
menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t, adalah menjadi bahan
yang disyirikkan dengan Allah s.w.t.


Anasir alam yang paling banyak mengisi waktu dan ruang
adalah sebab musabab, memakai berbagai-bagai topeng,
menggunakan berbagai-bagai nama dan menunggang berbagai-
bagai jenis kenderaan, iaitu benda, kejadian dan suasana.
Sebab musabab menguji iman kita, dan kita dituntut
memelihara iman itu. Apabila kita menerima sebab musabab
kita hendaklah tidak meletakkan keberkesanan terjadinya
sesuatu hukum kepada sebab musabab. Apa juga yang berlaku
adalah menurut tadbir Ilahi dan benda-benda alam yang
membentuk sistem sebab musabab adalah alat yang
mempamerkan hikmat kebijaksanaan peraturan dan perbuatan
Allah s.w.t. Jangan dibiarkan sebab musabab memperlihatkan
kekuatannya seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut campur
dalam urusannya. Kita bertanggungjawab menjaga iman kita
agar tidak dihanyutkan oleh arus sebab musabab yang setiap
detik singgah kepada kita. Terpelihara iman adalah yang
sebaik-baik diminta. Paling utama diminta adalah
terpelihara iman ketika dikeluarkan roh dari jasad.


Dalam perjalanan mempertahankan imannya seseorang itu
akan silih berganti berhadapan dengan salah satu daripada
empat keadaan: nikmat; bala; taat dan maksiat. Keempat-
empat itu adalah alat untuk menguji iman. Dalam menghadapi
ujian nikmat pohonlah kepada Allah s.w.t agar kita dapat
mengikat nikmat tersebut dengan syukur. Apabila berhadapan
dengan ujian bala, merayulah kepada Allah s.w.t agar bala
itu dihindarkan atau jika bala itu tidak mahu pergi juga
mintalah agar Dia menguatkan kita dengan kesabaran dan
seterusnya mintalah agar Allah s.w.t mententeramkan hati
kita dengan reda. Apabila kita diberi kesempatan berbuat
taat, ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah s.w.t,
kerana kasihan belas dan rahmat-Nya kepada kita, bukan
ketaatan terjadi kerana kebolehan dan keupayaan kita.
Jangan melihat amal sebagai hasil usaha kita tetapi
hendaklah ia dilihat sebagai pemberian Allah s.w.t yang
wajib disyukuri dan seharusnya kita merendah diri kepada-
Nya. Apabila terjerumus melakukan maksiat pula, ketahuilah
bahawa jika kita tidak peduli ke lembah kehancuran mana
yang kita jatuh, maka Allah s.w.t juga tidak peduli di
jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita menanggung
azab seksa. Jika tidak mahu dibinasakan oleh Allah s.w.t
dan diseksa dengan azab yang pedih, larilah kepada Allah
s.w.t dengan meninggalkan lembah maksiat, bertaubatlah
dengan sepenuh hati, sebenar-benar taubat.


Dalam mengajukan permintaan kepada Allah s.w.t yang
perlu dilihat adalah diri sendiri, bukan apa yang
diingini. Penting bagi seseorang mengenali dirinya dan
menghisab dirinya. Cari di mana cacat dan kekurangan yang
ada pada kita. Apa yang kurang minta Allah s.w.t
percukupkan dan apa yang cacat minta Dia perelokkan. Apa
sahaja yang datang adalah perutusan dari Allah s.w.t yang
perlu kita renungi. Pohonlah bantuan Allah s.w.t agar
disingkapkan rahsia yang menyelubungi perutusan yang
datang itu agar kita tidak tertipu oleh muslihatnya.
Ingatlah semasa masih ada hayat, nafas masih boleh
disedut, tidak lain yang patut dituntut melainkan tauhid!
Berdoalah bersungguh-sungguh agar hidup kita diterangi
oleh tauhid dan mati kita jua dalam keteguhan tauhid!




Dipetik dari:alhikam0.tripod.com/hikam085.html
Google
Hosted by www.Geocities.ws

1