Keretakan Komunikasi

dalam organisasi

Oleh: Md.Bazli Abd.Razak

 

M

asalah keretakan komunikasi atau communication breakdown dalam organisasi sering berlaku. Tidak kira sama ada sebuah organisasi itu kecil atau besar. Kita harus menerima hakikat ini sebagai satu cabaran dalam membentuk kekuatan dalam sesebuah organisasi.

 

Banyak sebab yang boleh disenaraikan mengapa boleh berlakunya keretakan komunikasi dalam organisasi. Secara ringkasnya, keretakan komunikasi berlaku adalah kerana proses atau prosedur komunikasi itu sendiri tidak sempurna. Kepincangan dan kecacatan terdapat di mana-mana peringkat dalam proses komunikasi. Sebagai contoh, ‘senyuman’ dalam memulakan proses komunikasi merupakan satu interpretasi ke arah kesempurnaan dalam komunikasi. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, “Senyuman itu merupakan satu sedekah”. Memahami senyuman itu merupakan kebaikan dalam berinteraksi akan membuahkan komunikasi yang berkesan dan meyukakan hati penerima.

 

Menurut En. Ishak Abd. Hamid, pensyarah dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, perspektif interpretasi menganggap manusia bukanlah objek yang pelakuannya boleh dijangkakan. Manusia mempunyai pilihan untuk memberi respons atau bertindakbalas kepada berbagai rangsangan. Turutan dari hal ini membuktikan senyuman itu membenihkan rangsangan yang positif dalam komunikasi. Berbeza dengan kemasaman atau tiada senyuman dalam berinteraksi akan menggambarkan suasana komunikasi yang serius dan agak tegang. Tidak mustahil ianya mewujudkan situasi keretakan atau kerenggangan dalam menghidupkan komunikasi yang baik.

 

Dalam pendekatan komunikasi organisasi, mesej yang disampaikan memerlukan kesempurnaan peringkat-peringkat yang menghidupkan sebuah komunikasi. Misalnya penggunaan bahasa yang baik, peralatan yang baik dan perspektif interpretasi yang baik merupakan sedekah atau kebaikan dalam menghidupkan perhubungan yang baik dalam sesebuah organisasi.

 

Kebanyakan  keretakan komunikasi dalam organisasi yang berlaku disebabkan oleh:

 

 

Perumpamaan pelayaran Datuk Azhar satu ketika dulu yang mengharumkan nama Malaysia menghadapi cabaran ombak yang menggerunkan tidak melunturkan semangat beliau meneruskan pelayaran hingga ke destinasi boleh diambil panduan. Ombak lautan yang tidak pernah reda tidak dijadikan sebagai penghalang dan keluhan dalam meneruskan pelayaran. Terlalu banyak rahsia daripada pelayaran tersebut dijadikan model pengajaran dan pedoman dalam banyak aspek perjuangan kehidupan manusia. Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi dari kekurangan. Tetapi sekiranya segala kekurangan dijadikan pemangkin atau daya penggerak ke arah pengukuhan dan kemantapan, ianya merupakan satu kreativiti yang amat bernilai dan amat menguntungkan. Begitu juga dalam perjuangan sesebuah organisasi, penghalang atau masalah keretakan komunikasi tidak seharusnya dijadikan penghalang utama dalam merancang dan mengecapi kejayaan sesebuah organisasi.

 

Masalah keretakan komunikasi boleh membawa berbagai kesan yang negatif dan berkait-kait di antaranya:

 

·        Keretakan perhubungan sesama ahli dalam organisasi.

·        Perselisihan faham yang berlarutan dan suasana aktiviti yang muram.

·        Wujud sikap mementingkan diri sendiri.

·        Kemerosotan produktiviti.

·        Ketidakstabilan organisasi akibat dari keretakan perhubungan.

·        Penyalahgunaan kuasa yang terlalu mementingkan diri dan pecah amanah.

·        Konflik persefahaman yang boleh menimbulkan pergaduhan.

 

Dalam menghadapi fenomena keretakan komunikasi seseorang itu harus bijak menilai yang mana satu tindakan yang boleh diambil untuk tidak menyebabkan keretakan itu lebih parah. Sekiranya dikaji, keperluan seseorang manusia itu meminta dirinya atau perkara yang berkaitan dengan dirinya diutamakan atau ada perhatian dari pihak yang lain. Mengambil jalan tengah penyelesaian atau undur dengan strategi yang baik adalah di antara satu kreativiti tindakan yang bijak. Banyak bukti yang menjelaskan bahawa sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, suatu ketika hajatnya sendiri akan tercapai.

 

Sebagai kesimpulan keretakan komunikasi dalam organisasi sentiasa berlaku. Sebagai perumpamaan yang boleh dibuat perbandingan perjuangan dalam sesebuah organisasi diibaratkan sebuah kapal yang sedang belayar menghadapi berbagai kerenah ombak yang berbagai-bagai. Tetapi usah disungutkan tentang ombak, fikirkan tindakan yang wajar bagaimana menghadapi ombak dan satu ketika akan diketemukan lautan yang tenang dan pelayaran yang lancar.  

 

Hosted by www.Geocities.ws

1