BAB LIMA

 

 

Perlaksanaan Hukuman Qisas

 

 

Untuk    menghuraikan tajuk ini kita akan bincangkan perkara-perkara berikut :

 

1.            Orang yang berhak menuntut hukuman qisas

2.            Syarat-syarat untuk melaksanakan qisas.

3.            Waktu dan tempat untuk melaksanakan qisas.

4.            Cara-cara untuk melaksanakan qisas, dan

5.            Orang yang menjalankan hukuman qisas.

 

 

Orang Yang Berhak Menuntut Hukuman Qisas

 

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa jenayah bunuh adalah termasuk jenis kesalahan yang melibatkan hak individu atau hak al-adami.  Oleh itu jika seseorang itu didapati kena bunuh maka orang yang berhak menuntut  hukuman qisas  ke atas pembunuhan ialah wali al-dam, berdasarkan kepada firman Allah Taalan:

 

            Maksudnya :  

                     “Sesiapa yang mati terbunuh secara zalim maka Kami jadikan bagi walinya berhak menuntut balasan qisas tetapi tidak boleh melebihi batasnya.”

 

            Ulamak berselisihan pendapat mengenai wali ad-dam  yang  berhak menuntut qisas.

 

            Menurut Imam Abu Hanifah, al-Shafie dan Ahmad ibn Hanbal bahawa wali yang berhak menuntut qisas  ialah semua waris yang menerima bahagian pusaka si mati sama ada lelaki atau perempuan tua atau muda.

 

            Mazhab Zahiri pula berpendapat bahawa qisas  adalah hak semua keluarga si mati sama ada yang dapat menerima bahagian pusaka si mati atau tidak dan sama ada ahli keluarga yang jauh atau yang dekat.

 

            Manakala Imam Malik pula berpendapat bahawa wali al-dam  yang berhak menuntut qisas  ialah mereka yang menerima bahagian  asabah  lelaki sahaja seperti anak lelaki, cucu lelaki, bapa dan datuk  sahaja.  Oleh itu, suami, saudara lelaki seibu dan datuk lelaki seibu tidak berhak menuntut qisas.  Walau bagaimanapun  menurut mazhab Maliki wanita berhak menuntut qisas   jika memenuhi syarat-syarat berikut :

 

            Pertama :     Jika wanita itu waris kepada si mati seperti anak perempuannya atau  saudara perempuan seibu sebapa.

 

            Kedua :  Jika tidak ada asabah lelaki   yang menyamai kedudukannya seperti anak lelaki atau ada asabah  lelaki tetapi lebih  rendah kedudukannya seperti bapa saudara  dengan anak perempuan atau saudara perempuan.  Oleh itu jika ada asabah  lelaki yang  sama kedudukannya maka akan hilanglah hak seperti anak  perempuan dengan adanya lelaki atau saudara perempuan dengan adanya saudara lelaki.

 

            Ketiga : Perempuan itu menjadi asabah  jika lelaki itu bersama-sama  dengannya.  Oleh sebab itu maka terkeluarlah saudara perempuan seibu, isteri dan setiap sebelah ibu.

 

 

            Kita berpendapat bahawa wali al-dam  yang berhak menuntut hukuman qisas  ke atas pesalah bunuh  ialah semua ahli  waris sama ada wali asabah  atau tidak, termasuk  suami dan isteri kerana waris-waris itu semuanya berhak menuntut hukuman  diyat.  Jika diyat  sebagai hukuman ganti kepada qisas, yang berhak menuntut adalah  semua waris, maka tentulah lebih munasabah bahawa orang yang berhak menuntut diyat  itulah juga yang berhak menuntut hukuman qisas.

 

            Wali yang berhak menuntut qisas  yang baru dibincangkan ini adalah bagi mangsa jenayah bunuh yang mempunyai wali.  Adapun bagi mangsa  jenayah bunuh yang tidak mempunyai wali maka wali sultanlah yang berhak menuntut qisas  sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Sultan itu wali bagi siapa yang tidak ada wali baginya”.

 

            Kecuali Imam Abu Yusuf yang berpendapat   bahawa  sultan  tidak ada kuasa untuk menjalankan hukuman qisas ke atas  penjenayah bunuh, jika  mangsanya  daripada  penduduk negara Islam.  Tetapi sultan hanya boleh menuntut hukuman diyat.

 

            Sebaliknya jika mangsa jenayah bunuh itu daripada penduduk  negara bukan Islam (dar al-harb)  maka bolehlah sultan melaksanakan hukuman qisas dan diyat  ke atas penjenayah yang  membunuh mangsanya yang tidak  mempunyai wali nasab.  Alasan Abu Yusuf ialah kerana mangsa jenayah bunuh yang berada di negara Islam biasanya mempunyai wali, tetapi mungkin tidak dapat dikesan di mana wali itu berada.  Berbanding dengan kafir harbi  yang masuk negara Islam  dan memeluk agama Islam pada zahirnya dia  tidak mempunyai wali, maka sultanlah yang akan menjadi walinya.

 


 

            Syarat-syarat  Untuk Melaksanakan Qisas

 

            Pertama :  orang yang berhak menuntut hukuman qisas  itu hendaklah terdiri dari orang yang sudah boleh memikul tanggungjawabnya sendiri (mukallaf), iaitu yang sudah baligh  dan waras  akal fikiran.  Oleh itu jika mereka masih kanak-kanak atau orang  gila  maka  tidak boleh dijalankan  hukuman qisas  itu ke atas penjenayah bunuh.  Tetapi ianya boleh dipenjarakan lebih dahulu sehingga kanak-kanak atau orang gila yang berhak menuntut qisas   itu dewasa dan sudah sembuh penyakitnya, baharulah boleh dijalankan hukuman qisas ke atasnya.

 

            Ini ialah kerana di antara tujuan dijalankan hukuman qisas ke atas pembunuh adalah untuk menghilangkan kemarahan dan dendam ke atas pembunuh.  Hal ini tidak akan tercapai kiranya qisas ii tidak ditunaikan  oleh wali al-dam  sendiri.  Begitu juga  dengan menangguhkan hukuman qisas  sehingga yang berhak itu dewasa   dan waras akal fikirannya, akan membawa kebaikan kepada  penjenayah yang mungkin akan diampunkan dan seterusnya digugurkan daripada hukuman qisas.

 

            Sebilangan ulamak mazhab Hanafi berpendapat bahawa wali yang tidak mukallaf  juga berhak menuntut qisas  bagi mangsa bunuh yang di bawah kekuasaannya.  Mereka yang mengharuskan kepada wali yang tidak mukallaf  untuk menurunkan hukuman qisas  itu hanya mengkhususkan kepada bapa sahaja kerana bapa mempunyai belas kasihan yang sempurna dan dapat merasai kesusahan anaknya seperti kesusahannya sendiri.

 

            Adapun jika wali yang berhak menuntut qisas  itu ramai dan berlainan, kedudukannya , ada yang mukallaf  dan ada tidak mukallaf  maka ulamak mempunyai  pandangan yang berbeza-beza.

 

            Menurutmazhab Hanafi dan Maliki bahawa wali-wali yang sudah mukallaf berhak untuk menunaikan hukuman qisas  tanpa menunggu wali-wali lain yang belum mukallaf  kerana menurut satu riwayat bahaw Sayyidina al-Hassan bin Ali  telah melaksanakan  hukuman bunuh ke atas Abdul Rahman bin Muljam yang telah membunuh Sayyidina Ali yang mana ada di antara wali al-aam   yang belum mukallaf .  Kalau semua wali disyaratkan mukallaf  semuanya untuk membolehkan pelaksanaan qisas tentulah Sayyidina  al-Hassan tidak melaksanakan hukuman bunuh ke atas  Ibn Muljam dan sahabat-sahabat yang lain tentulah tidak menyetujui tindakan al-Hasan itu.

 

            Dalam peristiwa ini Sayyidina Ali dilaporkan berkata  kepada Sayyidina al-Hasan,

 

            Maksudnya :

                     “Jika kamu mahu maka bunuhlah dia dan jika kamu mahu ampunilah dia dan jika kamu mengampunkannya adalah lebih baik bagi kamu”.

 

            Dalam kata-kata itu Sayyidina Ali telah memberi pilihan kepada Sayyidina al-Hasan antara menghukum qisas  dan memberi kemaafan, tetapi beliau tidak menyuruh al-Hasan untuk menunggu semua waris  sampai ke tahap baligh.

 

            Andainya taklif  semua waris dijadikan syarat bagi membolehkan hukuman qisas  ditunaikan nescaya Sayyidina Ali tidak memberi kuasa kepada Sayyidina al-Hasan untuk melaksanakan hukuman qisas  kepada Ibn Muljam.

 

            Manakala Imam Shafie, Hanbali, Abu Yusuf dan Muhammad  menyatakan bahawa wali-wali yang sudah baligh dan waras akalnya  tidak boleh melaksanakan hukuman qisas  dengan sendirinya kecuali setelah waris-waris yang belum baligh atau gila, mencapai  umur baligh dan waras akal fikirannya kerana qisas   adalah hak  semua waris-waris.  Oleh itu tidak harus bagi waris yang mukallaf   untuk menunaikan hukuman qisas  sebelum waris-waris yang belum hadir.  Dan juga  oleh kerana hukuman qisas  belum pasti akan  dijalankan kerana kemungkinan ianya akan digugurkan  kerana diampunkan oleh waris-waris.

 

            Qisas juga  adalah sebagai ganti kepada nyawa yang tidak boleh dimiliki oleh wali-wali secara berasingan seperti diyat.  Selain dari itu  qisas  adalah hak semua waris, oleh  itu  ianya tidak boleh dijalankan  melainkan dengan adanya kebenaran dari semua waris-waris yang terlibat.

 

            Kedua :  Waris-waris yang berhak menuntut hukuman qisas  hendaklah bersetuju di atas tuntutannya.

 

            Jika seorang yang menuntut qisas  itu ramai bilangannya dan mereka semua sudah baligh dan sihat akal fikirannya, maka menurut kebanyakkan ulamak wajiblah dilaksanakan hukuman qisas  jika semua waris  berkenaan bersetuju untuk melaksanakannya.  Sebaliknya jika ada di antara waris-waris itu tidak setuju dengan tuntutan qisas , maka ianya tidak boleh dijalankan kerana qisas adalah hak semua waris-waris berkenaan.

 

            Manakala ulamak Zahiri berpendapat bahawa jika salah seorang dariapda waris-waris  yang berhak itu menuntut qisas maka wajiblah ditunaikan tuntutannya.

 

            Ketiga :  Semua waris-waris yang menuntut qisas  itu hendaklah hadir ketika hukuman hendak dijalankan.

 

            Jika ada di antara waris-waris itu tidak hadir maka hukuman qisas  tidak boleh dijalankan.  Akan tetapi jika waris-waris yang tidak  hadir itu menghantar  wakilnya maka menurut kebanyakkan ulamak qisas boleh dijalankan kerana tidak ada nas dalam al-Quarn dan al-Sunnah yang mensyaratkan kehadiran orang yang berwakil.  Kalaulah kehadiran wali menjadi syarat  pelaksanaan qisas  tentulah dijelaskan oleh syarak.  Syarat kehadiran orang yang berwakil tidak  menepati dengan kaedah-kaedah umum yang berkaitan dengan hukum wakalah   yang memberi mandat  kepada wakilnya untuk bertindak dalam urusan yang diwakilkan kepadanya, walaupun tanpa kehadiran orang yang diwakilnya.

 

            Ulamak mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa qisas tidak boleh dijalankan tanpa kehadiran sebahagian dari waris-waris yang berhak menuntut hukuman qisas  kerana kemungkinan hukuman qisas   itu digugurkan oleh sebab kemaafan yang diberikan oleh waris-waris berkenaan.  Jadi dengan kemungkinan itu maka  menjatuhkan hukuman qisas  tanpa kehadiran semua waris-waris  yang berhak adalah tidak diharuskan.

 

            Begitu juga jika waris-waris tersebut hadir menyaksikan hukuman qisas  dijalankan boleh jadi  mereka  akan memaafkan atau menarik balik tuntutannya.

 

            Manakala mazhab Maliki pula berpendapat jika waris yang  tida dapat hadir itu kerana berjauhan maka hukuman qisas  boleh dijalankan tanpa menunggu kehadiran mereka.  Sebaliknya jika mereka tidak dapat hadir, sedangkan mereka tinggal berdekatan maka tidak harus menjalankan hukuman qisas  melainkan setelah kehadiran dan persetujuan mereka.  Ulamak  Zahiri pula  berpendapat bahawa dengan adanya tuntutan daripada salah seorang waris-waris berkenaan memadai untuk melaksanakan hukuman qisas  kepada penjenayah berkenaan.

 

            Kita lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulamak bahawa kesemua waris-waris  perlu hadir sama ketika hukuman qisas  dijalankan.  Tetapi jika ada di antara mereka yang tidak dapat hadir itu menghantar  wakilnya sudah cukup untuk membolehkan  hukuman itu dijalankan kerana wakilnya itu sudah diberi kepercayaan untuk bertindak bagi pihak orang yang diwakilnya.

 

            Keempat :  Setengah ulamak mensyaratkan kehadiran pemimpin negara atau naibnya ketika hukuman qisas  dijalankan  kerana ketidakhadiran imam atau naibnya boleh menyebabkan wali yang melaksanakan hukuman qisas  melebihi daripada sepatutnya sebagai  keinginan hendak membalas dendam daripada penjenayah.  Jika  keadaan seperti ini berlaku sudah tentu bertentangan dengan  suruhan Nabi Muhammad s.a.w. supaya dijalankan hukuman  bunuh itu dengan cara yang baik.  Manakala sebahagian ulamak  pula berpendapat bahawa  pemerintah atau wakilnya tidak perlu hadir ketika hukuman qisas  dijalankan, tetapi mereka hanya  digalakkan  hadir kerana menuntut  riwayat daripada Wa’il Ibn Hajar berkata, “Sedang aku berasa di sisi Rasulullah, seorang pembunuh telah dibawa menghadap Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya  kepada wali mangsa bunuh, “Adakah kamu hendak mengampunkan pemjenayah”, beliau menjawab, “Tidak”, Nabi Muhammad juga  bertanya sama ada wali mangsa itu hendak mengambil diyat, dia  juga menjawab “Tidak”.  Apabila beliau bertanya sama ada hendak membunuh penjenayah, maka  wali mangsa itu pula menjawab, “Ya”.  Selepas itu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Pergilah kamu bawa bersama-sama pembunuh itu”.

 

            Dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh wali al-dam  pergi bersama-sama dengan penjenayah bagi melaksanakan hukuman qisas  dan Nabi Muhammad s.a.w.  sendiri tidak pergi bersama-sama  dengan penjenayah dan tidak mewakilkan orang lain untuk menghadiri.  Lebih-lebih lagi kerana qisas  adalah hukuman yang telah diputuskan oleh hakim mahkamah.  Oleh itu jika mahkamah telah menjatuhkan hukuman qisas  kepada penjenayah, maka memadailah untuk melaksanakan  sama ada wali al-dam   atau orang yang telah ditugaskan khas, untuk menjalankan hukuman tersebut.  Andainya pemerintah  atau naibnya disyaratkan hadir setiap kali hukuman qisas  dijalankan, maka ini akan  menganggu  tugas-tugas pemerintah yang sangat sibuk dalam mentadbirkan negaranya.

 

            Ketiga :  Hendaklah dipastikan bahawa hukuman qisas  tidak  akan mengenai orang yang tidak melakukan jenayah itu kerana  hukuman  qisas  hanya dikenakan kepada penjenayah sahaja.  Berdasarkan kepada syarat ini maka tidak boleh melaksanakan  hukuman qisas  kepada penjenayah yang sedang mengandungi; bahkan perlu ditunggu dahulu sehingga perempuan berkenaan  melahirkan  anaknya dan sehingga ada orang yang hendak menyusukan dan memelihara anak itu.  Justeru jika dijalankan  hukuman bunuh ketika penjenayah itu sendang mengandung bererti  membunuh sekali anak yang dalam kandungan penjenayah.  Sedangkan anak yang dalam kandungan itu tidak bersalah apa-apa dan jika hukuman seperti ini dijalankan juga bererti telah  menjalankan hukuman yang  berlebihan, sedangkan ianya dilarang  dalam Islam sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Isra. (ayat 33):

 

            Maksudnya:

                     “Maka janganlah melebihi batas dalam (pembalasan) bunuhnya”.

 

            Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Jika seseorang wanita membunuh dengan sengaja, jangan dihukum bunuh sehingga dia melahirkan anaknya  dan sehingga ada orang yang memelihara  anaknya dan jika wanita  itu berzina, jangan direjam sehingga dia melahirkan anaknya dan ada orang yang memelihara anaknya”.

 

            Begitu juga sabda  Rasulullah s.a.w. kepada al-Ghamidiyah yang telah mengaku berzina dengan mengandung.  “Baliklah dahulu sehingga kamu melahirkan kandungan kamu”.

 

            Hadis-hadis Nabi yang tersebut itu jelas menunjukkan bahawa penjenayah wanita yang sedang hamil  tidak boleh dihukum bunuh,  kerana dengan menghukum bunuh wanita  itu boleh membawa kepada kematian anak yang di dalam kandungan atau boleh mendatangkan bahaya kepada anaknya. Oleh itu jika hukuman  qisas boleh ditangguhkan kepada penjenayah  yang sedang hamil  sehingga beliau  melahirkan  anaknya kerana hendak menyelamatkan anak yang di dalam kandungan, maka lebih utama lagi  boleh ditangguhkan hukuman qisas  kepada penjenayah sehingga  dia dapat menyusukan anaknya kerana  memelihara  yang sudah  lahir lebih penting daripada  memelihara anak yang masih  dalam  kandungan.

 

 

 

 

Waktu Dan Tempat Melaksanakan Hukuman Qisas

 

Waktu untuk menjalankan hukuman bunuh qisas kepada pembunuh itu ialah selepas matinya mangsa bunuh itu.  Ini bererti  jika mangsanya  itu belum mati lagi, maka pembunuh  itu tidak boleh dihukum qisas  kerana seorang  itu tidak boleh dianggap sebagai  pembunuh kecuali jika mangsanya itu benar-benar telah mati.

 

            Mengenai  tempat di mana hukum qisas  itu patut dijalankan, ulamak mempunyai pendapat  yang berbeza.  Ada ulamak yang berpendapat bahawa hukuman qisas   boleh dijalankan di mana-mana  sahaja walaupun di Tanah Haram Mekah, kerana ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadis Nabi mengenai hukuman qisas  itu tidak membatas tempat yang dibolehkan untuk menjalankan hukuman  qisas.  Bahkan ianya menjelaskan secara umum sahaja.  Begitu juga pada hari Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menawan semula Kota Mekah, telah menjumpai seorang yang dibunuh di Masjid al-Haram, lalu baginda s.a.w. bersabda, maksudnya “Siapa  yang mendapati keluarganya kena bunuh, maka keluarga mangsa jenayah itu mempunyai dua pilihan sama ada mereka hendak menuntut hukuman qisas  atau menuntut hukuman diyat”

 

            Selain dari itu menurut riwayat-riwayat daripada Anas bin Malik menyatakan bahawa ketika  Nabi memasuki Kota Mekah, ada seorang memberitahu Nabi bahawa Ibn Khatal yang  didapati membunuh itu berada di atas Kaabah, lalu Nabi s.a.w. bersabda  maksudnya, “Bunuhlah Ibn Khatal”.

 

            Dalam  hadis yang tersebut Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh  untuk membunuh Ibn Khatal sedangkan ianya  berada di Kaabah iaitu sebuah tempat yang paling suci.  Jadi kalaulah sekiranya untuk  menghukum bunuh orang yang berhak  dibunuh itu dilarang  dilakukan di Tanah Haram nescaya Nabi Muhammad s.a.w. tidak menyuruh untuk membunuh Ibn Khatal di atas Kaabah.

 

            Manakala sebahagian ulamak pula berpendapat bahawa hukuman bunuh itu tidak boleh dijalankan di Tanah Haram  Mekah berdasarkan kepada firman Allah dalam Surah al-Imran, ayat 97

 

            Maksudnya :

                     “Siapa yang memasuki (Masjid al-Haram)  ianya dalam keadaan aman”

 

            Ibn  Abbas dalam  mentafsirkan ayat di atas menjelaskan bahawa jika seorang itu melakukan  suatu perkara, kemudian dia memasuki Tanah Haram, jangan dilayani, jangan berjual beli dengannya, jangan diberi makan dan minum sehingga dia keluar daripadanya; maka barulah diambil  tindakan.

 

            Menurut sebuah lagi hadis Rasulullah yang bermaksud :

 

                     “Sesungguhnya Mekah telah diharamkan Allah dan tidak  diharamkan manusia.  Maka tidak halal  bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan hari  akhirat  menumpahkan darah seseorang di dalamnya dan tidak boleh mencabut pokok-pokok di dalamnya.”

 

 

            Begitu juga Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya,

            “Orang yang paling derhaka terhadap Allah ialah orang yang membunuh di Tanah Haram  atau membunuh orang yang tidak membunuh atau membunuh kerana dendam zaman jahiliyah”

 

            Hadis-hadis yang tersebut di atas itu dengan jelas melarang pembunuhan di Tanah Haam sama ada kerana menjalankan hukuman qisas  atau lainnya.  Dan juga menunjukkan besarnya dosa orang yang melakukan pembunuhan di tanah suci haram dengan tidak membezakan sama ada pembunuhan  itu sebagai menjalankan hukuman qisas  atau melakukan jenayah bunuh.

 

            Manakala setengah ulamak yang lain pula membezakan antara seorang yang  membunuh di Tanah Haram dengan seorang yang  membunuh di luar Tanah Haram kemudian dia masuk berlindung  di Tanah Haram.  Bagi orang yang membunuh di Tanah Haram  boleh  dijalankan hukuman qisas  di dalamnya.  Tetapi bagi yang  melakukan jenayah bunuh di luar Tanah Haram tidak boleh  dijalankan qisas di Tanah Haram ; walaupun selepas melakukan jenayah itu dia masuk ke Tanah Haram.  Hal ini berdasarkan firman  Allah.

 

            Maksudnya :

                     “Janganlah kamu membunuh mereka ketika berada  di dalam Masjid al-Haram  sehingga mereka membunuh kamu  di dalamnya.  Maka jika mereka memerangi kamu maka bunuhlah mereka.

 

            Dalam ayat yang tersebut di atas Allah memerintahkan umat Islam supaya membunuh orang-orang kafir musyrikin di dalam  Masjid al-Haram jika mereka melakukan serangan lebih dahulu.  Dengan ini jelaslah bahawa orang yang melakukan pembunuhan di  Masjid al-Haram boleh dihukum bunuh di dalamnya.  Begitu juga  menurut hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Siapa yang  mencuri atau membunuh di Tanah Haram maka jalankan hukuman  ke atasnya  di Tanah Haram juga.”

 

            Setelah meneliti ketiga-tiga  pendapat di atas dengan alasan masing-masing, kita mendapati hujah-hujah yang digunakan untuk membuktikan hukuman itu boleh dijalankan atau tidak di kawasan tanah suci Mekah adalah tidak tepat dan jelas.  Sebagai contoh, alasan ayat 97 Surah al-Imran.

Bukanlah untuk membuktikan hukuman qisas  itu tidak boleh  dijalankan di dalam tanah suci Mekah,bahkan ayat ini secara umum menjelaskan bahawa sesiapa  yang masuk ke dalam Masjid al-Haram hendaklah diberikan perlindungan keamanan.  Begitu juga hadis Nabi yang bermaksud, “Tidak hala bagi seseorang yang  beriman kepada Allah dan hari  akhirat  untuk melakukan  pembunuhan di dalam tanah suci Mekah” dan hadis “Manusia yang paling dimurkai Allah ialah orang yang membunuh di tanah suci Mekah atau orang yang membunuh orang yang tidak membunuh ….”  Hanya menerangkan mengenai larangan  melakukan jenayah bunuh dan mendapat  dosa besar  bagi orang yang membunuh di tanah suci Mekah.  Malah hadis-hadis di atas tidak sedikitpun melarang hukuman qisas  dijalankan di tanah suci Mekah.

 

            Manakala ayat 191 surah al-Baqarah yang dijadikan alasan untuk membolehkan hukuman qisas  dijalankan di tanah suci Mekah apabila penjenayahnya melakukan pembunuhan di situ; adalah juga tidak tepat kerana ayat ini tidak ada kaitannya dengan  hukuman qisas.  Sebenarnya ayat di atas menjadi dalil bagi membolehkan orang-orang musyrikin dibunuh di dalam Masjid  al-Haram jika mereka  memulakan serangan.  Lagipun ayat itu  diturunkan mengenai kewajipan orang Islam memerangi orang-orang  musyrikin.  Kalaulah orang Islam tidak mempertahankan diri  di Masjid al-Haram apabila diserang di situ, sudah tentu mereka  dapat dikalahkan  oleh orang-orang  musyrikin.  Oleh itu maka diharuskan melakukan pembunuhan untuk mempertahankan diri di dalam Masjid al-Haram.

 

            Oleh itu kita berpendapat bahawa hukuman qisas  boleh dijalankan di mana-mana tempat kerana kalau dalam keadaan terpaksapun dibenarkan untuk membunuh penjenayah di Masjid al-Haram, jika mereka menyerang umat Islam.  Maka apatah lagi untuk menjalankan hukuman qisas  di kawasan tanah suci Mekah, sudah tentu dibolehkan.  Larangan-larangan yang disebutkan dalam  hadis-hadis Nabi di atas bukan  mengenai hukuman  qisas  bunuh,  tetapi mengenai jenayah  bunuh yang  bukan sahaja dilarang di tanah suci Mekah; bahkan juga di lain-lain tempat.  Akan tetapi pembunuhan yang dilakukan di tanah suci Mekah  lebih besar dosanya  kerana kesucian dan kehormatan yang ada pada tanah suci Mekah.

 

            Hukuman qisas  adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan di mana-mana tempat, asalkan tidak mencemarkan dan mengotorkan tempat di mana hukuman qisas itu dijalankan.

 

            Sebab itu semua ulamak sependapat bahawa hukuman bunuh tidak boleh dijalankan di masjid-masjid termasuk Masjid al-Haram kerana  jika hukuman bunuh dijalankan di masjid-masjid, ianya boleh mengotori masjid itu dengan  darah dan najis-najis lain.  Sedangkan kita disuruh untuk menjaga kebersihan masjid sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 36 – 37 :

 

            Maksudnya :

                     “Dalam rumah-rumah (masjid) yang telah diizinkan Allah menghormatinya dan menyebut nama-Nya dalam rumah itu serta bertasbihlah di dalamnya pagi dan petang.  Beberapa  orang lelaki yang tidak lalai  kerana perniagaan  dan tiada  pula kerana berjual beli dari mengingati Allah, dan mereka  mendirikan solat serta menunaikan zakat.  Mereka takut pada hari yang bergoncang segala hati dan pemandangan diwaktu itu.”

 


 

            Menurut al-Hassan al-Basri makna ialah  mengagungkan, menaikkan kedudukannya dan memuliakannya serta membersihkannya daripada najis-najis dan kekotoran.  Dan juga  hadis-hadis yang menjelaskan kewajipan menjaga kebersihan masjid dari najis-najis  dan kekotoran seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Rasulullah menyuruh kita menjadikan rumah-rumah sebagai masjid dan dibersihkan dan dicantikkan serta hadis yang terang-terang melarang melaksanakan qisas di masjid-masjid seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya.

 

 

 

Cara Untuk Melaksanakan Hukuman Qisas Bunuh

 

Jika penjenayah bunuh itu menggunakan pedang ketika membunuh mangsanya, maka pembunuh itu hendaklah dihukum bunuh dengan menggunakan pedang juga.  Tetapi jika penjenayah itu tidak  menggunakan pedang, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai cara untuk menghukum bunuh penjenayah tersebut.

 

            Pertama  - mazhab Hanafi, Hanbali dan Syiah Zaidiyyah berpendapat bahawa pembunuh tersebut hendaklah dipancung lehernya dengan  menggunakan pedang juga, berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Tidak (boleh) qisas melainkan dengan pedang”.

            Hadis ini dengan jelas menyatakan bahawa qisas bunuh tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan menggunakan pedang.  Begitu juga hadis.

 

            Maksudnya :

                     “Jika kamu (menghukum) bunuh maka perelokkan  (hukuman) bunuh dan jika  kamu sembelih (binatang) maka perelokkan sembelihan itu”

 

            Dalam  hadis di atas Rasulullah s.a.w. meminta supaya untuk melaksanakan hukuman bunuh atau sembelih binatang  hendaklah  dijalankan dengan cara yang ihsan.  Hal ini tidak boleh dijalankan melainkan dengan menggunakan alat yang tajam dan salah satu alat yang paling tajam ialah pedang.

 

 

            Kedua :   menurut mazhab Maliki dan Shafie  bahawa  pembunuh itu hendaklah dihukum  bunuh seperti mana dia membunuh mangsanya.  Jika pembunuh itu menggunakan pedang  hendaklah dihukum bunuh dengan menggunakan pedang.  Begitu juga  jika dia membunuh mangsanya  dengan  membakar atau menenggelamkan ke dalam air sehingga mati, hendaklah ia dibunuh dengan membakar  atau menenggelamkannya ke dalam air.  Pendek kata  penjenayah itu hendaklah  dihukum bunuh seperti  mana dia  membunuh mangsanya.  Melainkan jika penjenayah itu menggunakan cara-cara yang diharamkan oleh syarak seperti berzina, merogol, liwat, sihir dan sebagainya.  Pendapat ini berdasarkan kepada firman  Allah Taala.

            Maksudnya :

                     “Barangsiapa yang aniaya  kepadamu maka kamu boleh  aniaya kepadanya seperti mana dia aniaya kepadamu”.

            Dan firman-Nya lagi :

 

            Maksudnya:

                     “Jika kamu menyiksa (orang) hendaklah kamu siksa seperti mana kamu disiksa, tetapi jika kamu sabar sesungguhnya itulah lebih baik bagi orang-orang sabar”.

 

            Ayat-ayat di atas menunjukkan dengan jelas bahawa hukuman bunuh hendaklah dilakukan  ke atas pembunuh seperti mana dia melakukan ke atas mangsanya.

 

            Pendapat ini juga berdasarkan kepada hadis riwayat daripada Anas bin Malik :

 

            Maksudnya :

                     “Anas bin Malik berkata, orang ramai menjumpai seorang hamba perempuan dan keadaan kepalanya terhimpit di antara dua batu.  Mereka bertanya siapa  yang melakukan ini.  Apabila disebutkan nama si polan sehingga disebutkan nama seorang Yahudi, perempuan itupun menganggukan kepalanya.  Kemudian apabila Yahudi itu dibawa ke tempat  kejadian itu diapun mengaku melakukannya.  Lalu Rasulullah menyuruh  kepala Yahudi itu dihimpitkan di antara dua batu”.

 

            Begitu juga hadis yang diriwayatkan  oleh Barra ibn Azib bahawa  Nabi s.a.w. bersabda :

 

            Maksudnya :

                     “Sesiapa yang membakar hendaklah kita bakar dia dan sesiapa yang menenggelamkan seseorang hendaklah kita tenggelamkan dia”.

 

            Hadis di atas dengan jelas  menunjukkan bahawa  hukuman bunuh tidak semestinya dilaksanakan dengan menggunakan pedang.  Bahkan hendaklah dilakukan ke atas pembunuh itu sebagaimana dia melakukan jenayah berkenaan.

 

            Setelah meneliti kedua-dua pendapat di atas, di dapati pandangan kedua adalah lebih kuat dan sesuai dengan konsep qisas  itu sendiri kerana qisas  bererti persamaan antara hukuman itu dengan kesalahan yang dilakukan.  Oleh kerana itu dengan membunuh penjenayah itu sebagaimana dia melakukan jenayah adalah lebih  tepat  jika dibandingkan  dengan pendapat  pertama, bahawa  pembunuh itu hendaklah dihukum pancung dengan menggunakan pedang; walau bagaimanapun cara sekalipun dia melakukan pembuuhan tersebut.   Selain daripada itu di antara  hikmah qisas  ialah untuk meredakan kemarahan dan balasan dendam daripada kaum keluarga mangsa bunuh.  Yang demikian itu tidak dapat  dicapai dengan lebih sempurna melainkan seperti mana dia membunuh mangsanya.

 

            Menurut pengkritik hadis, bahawa hadis :

 

 

            Adalah hadis daif  kerana di antara  sanadnya ialah Jabir al-Ja’fi  yang dianggap  sebagai  seorang yang pendusta.  Dengan yang demikian maka hadis di atas tidak boleh diterima sebagaimana hujah kepada pendapat di atas.  Manakala hadis

                                                           Menurut Ibn Hazm bahawa membunuh dengan cara yang ihsan  ialah dengan menghukum bunuh seperti mana dia  membunuh mangsanya dan bukan menghukum bunuh dengan menggunakan pedang.  Kerana orang yang membunuh mangsanya dengan  mencerutkan lehernya atau dengan menyelamkannya ke dalam air, tiba-tiba  hanya dihukum bunuh dengan  menggunakan pedang bukanlah suatu cara yang baik.  Malahan  menyakiti pembunuh itu kerana menyalahi perintah Allah yang  meminta supaya dilaksanakan dengan cara yang baik dan tidak  melampaui batas.

 

            Hadis di atas juga tidak menjadi hujah secaa khusus kepada cara bagaimana hukuman bunuh itu dijalankan, tetapi lebih merupakan sebagai dalil kepada cara-cara bagaimana penyembelihan haiwan harus dilakukan.

 

 

 

Orang Yang Menjalankan Hukuman Qisas

 

Menurut jumhur ulamak jika wali yang berhak menuntut qisas  itu seorang sahaja  dan sudah baligh serta dapat melaksanakan hukuman qisas dengan baik maka wali  kepada  mangsa bunuh itu (wali al-dam)   boleh melaksanakan sendiri hukuman qisas bunuh tanpa bantuan orang lain.  Ini berdasarkan firman Allah Taala :

 

            Maksudnya :

                     “Dan barangsiapa dibunuh  secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi  kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli warisnya itu melampaui batas dalam membunuh”.

 

 

            Sabda Nabi s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Barangsiapa ada di antara keluarganya kena bunuh maka ahli keluarga diberi dua pilihan, jika mereka mahu mereka boleh membunuh penjenayahnya dan jika mereka mahu mereka boleh mengambil bayaran diyat”.

 

            Akan tetapi jika wali itu tidak mampu atau tidak dapat menjalankan hukuman  itu dengan  baik, tidak harus beliau melakukannya  kerana ditakuti akan mendatangkan bahaya kepada orang yang dihukum.  Sebaliknya  wali al-dam  itu hendaklah  mewakilkan kepada orang lain untuk melaksanakannya.  Jika  wali itu masih kanak-kanak atau gila,  maka menurut  mazhab Shafie  dan Hanbali hendaklah ditunggu  sehingga wali itu dewasa dan sembuh daripada gila.  Manakala Imam Malik berpendapat bahawa wali al-dam   yang masih kanak-kanak atau yang gila boleh diwakilkan  kepada orang lain untuk melaksanakan hukuman qisas  tanpa menunggu wali itu dewasa dan sembuh dari penyakitnya.  Imam  Abu Hanifah pula berpendapat bahawa bapa atau datuk kepada wali  yang masih kanak-kanak atau tidak siuman boleh melaksanakan hukuman bunuh sebagai wakil kepada  wali yang masih kecil dan tidak siuman.

 

            Adapun jika wali al-dam itu ramai maka harus bagi setiap orang daripada mereka itu menunaikan hukuman  qisas  menurut pendapat  Imam Hanafi. Manakala  Imam Syafie dan Hanbali  pula berpendapat bahawa wali yang ramai itu boleh mewakilkan kepada salah seorang daripada mereka atau seorang lain untuk menunaikan hukuman tersebut.  Akan tetapi jika mereka tidak sepakat untuk melantik seorang bagi melaksanakan hukuman tersebut, sedangkan mereka semua mampu untuk melaksanakannya maka  hendaklah  dipilih di antara mereka dengan cara undi dan siapa yang mendapat  undi tersebut dialah yang akan melaksanakan hukuman tersebut.

 

            Pada  dasarnya wali-wali kepada mangsa  jenayah  bunuh  yang   berhak untuk melaksanakan hukuman bunuh  qisas  kepada penjenayah, jika  mereka dapat menjalankan hukuman itu dengan  baik dan bukan pemerintah yang menjalankan hukuman bunuh berdasarkan kepada  firman Allah.

 

            Sungguhpun demikian jika diteliti dalil-dalil yang menjadi alasan  sebagai hak wali al-dam  adalah tidak  qat’i (muktamad) sifatnya  kerana ayat al-Quran di atas bukan memberi hak kepada wali  untuk menunaikan hukuman, tetapi hanya  sekadar memberi hak  untuk menuntut supaya penjenayah berkenaan dihukum qisas.  Begitu juga dengan hadis

 

            Hanya  memberi hak kepada wali al-dam  untuk memilih sama ada untuk menuntut qisas  atau hukuman diyat  dan bukannya memberi hak untuk menunaikan hukuman tersebut.

 

            Selain  dari itu hadis yang menyatakan bahawa Nabi ada menyerahkan seorang pembunuh kepada wali mangsa jenayah bunuh, kemungkinan hadis itu menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menyerahkan pembunuh itu kepada wali mangsa bunuh supaya  wali itu melaksanakan hukuman bunuh sebagai menunaikan perintah Nabi dan juga wakil Nabi Muhammad s.a.w. menjalankan hukuman tersebut. Hal ini  dikuatkan lagi dengan sebuah hadis  yang menceritakan  bagaimana  seorang Yahudi yang telah mengaku  melakukan bagaimana  seorang Yahudi yang telah mengaku melakukan  pembunuhan ke atas seorang  hamba perempuan tidak diserahkan kepada wali bagi mangsa bunuh.  Sebaliknya Nabi s.a.w. telah menyuruh supaya Yahudi itu dihukum qisas.    Oleh itu adalah jelas bahawa yang wajib menjalankan hukuman qisas bukan wali-wali bagi mangsa jenayah kerana mereka hanya diberi hak untuk menuntut supaya hukuman  qisas  itu dijalankan kepada penjenayah-penjenayah berkenaan.

 

            Jika bukan wali al-dam  yang menunaikan hukuman bunuh, siapakah yang wajib menjalankan hukuman qisas.  Sebagaimana maklum, qisas  adalah termasuk dalam Undang-undang Awam  atau dikenali  sebagai Public Law.  Oleh yang  demikian maka yang menjalankan hukuman tersebut mestilah wali al-amr,  iaitu  pemerintah Islam kerana  di antara tugas pemerintah ialah untuk menjalankan undang-undang Islam.  Akan tetapi  wali al-amr  boleh mewakilkan kepada  orang lain atau kepada wali al-dam  untuk menjalankan hukuman tersebut.

 

            Imam al-Qurtubi  dalam tafsirnya ada menyebutkan bahawa tidak ada perselisihan ulamak bahawa qisas  tidak boleh dijalankan melainkan  oleh wali al-amr,  pemerintah Islam yang difardhukan ke atasnya untuk melaksanakan undang-undang qisas, hudud, takzir  dan sebagainya.

 

            Walaupun perintah kewajipan qisas  itu ditujukan kepada orang yang beriman sebagaimana firman-Nya :

 

            Maksudnya :

                     “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas”

 

            Bagaimanapun adalah tidak  munasabah sama sekali jika semua orang  yang beriman  ditugaskan untuk menjalankan hukuman qisas.  Apa yang sebenarnya tugas melaksanakan hukuman tersebut adalah terletak di bahu pemerintah sebagai mewakil wali al-dam   atau orang-orang yang beriman.  Adalah juga ditegakan  bahawa semua ulamak  sependapat bahawa tidak jboleh bagi seorang itu menjalankan hukuman qisas  ke atas seorang yang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada pemerintah.  Dan tidak ada kuasa bagi manusia untuk menghukum qisas  kecuali pemerintah atau orang yang telah dilantik semula.

 

            Oleh yang demikian jika wali al-dam  sendiri yang menunaikan hukuman qisas  kepada pembunuh tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada pemerintah, maka wali al-dam  itu boleh dihukum takzir  kerana ianya telah melanggar peraturan negara yang menetapkan bahawa hanya pemerintah yang berkuasa untuk menjalankan hukuman qisas  dan bukannya sebagai hak individu.  

 

 
1