Konsep Ilmu

اقرأبسم ربك الذي خلق


KONSEP AKAL

A. PENDAHULUAN

Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran. Berpandukan akal, manusia dapat mencari ilmu serta memandu mereka ke arah yang baik dan menilai mana yang benar dengan yang salah. Kesesatan dan kemusnahan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika diarahkan untuk kebaikan, menjadikan seseorang itu mulia, sekiranya pula diarahkan untuk tujuan kemaksiatan dan kejahatan, menyebabkan manusia itu binasa dan hina.

Al-Quran menyebut banyak kali berkaitan dengan akal dan Allah menyatakan tentang bukti-bukti kekuasaan-Nya untuk manusia memikirkan dengan menggunakan akal untuk mengkaji, mencari ilmu dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya, contohnya : Penciptaan buah-buahan dan segala apa yang ada di dunia adalah untuk mereka yang memikirkan dan suka menggunakan akal.

Sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.

(Surah al-Nahl 16:67)

Selain dari itu juga manusia yang tidak menggunakan akal kearah kebaikan menyebabkan mereka melakukan kemusnahan dan akan mendapat azab daripada Allah.

Sebagimana firman Allah :

Terjemahan : Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.

(Surah al-Ma’idah 5:58)

Melalui akal fikiran, manusia menggunakannya untuk mencari petunjuk serta kebenaran seterusnya memilih mana yang baik untuk diikuti serta menjauhi dan meninggalkan perkara buruk. Walaupun manusia mempunyai akal dan sentiasa menggunakannya, sama ada dalam menjalani urusan kehidupan atau untuk mencari kebenaran, namun tidak semestinya hasil pemikiran mereka menepati tujuan sebenar serta mencapai matlamat yang dimaksudkan dan diinginkan.

Para nabi dan rasul sahaja yang terpelihara pertuturan serta akal pemikirannya daripada tersalah dan menyimpang daripada kebenaran, baik dalam hal penghidupan di dunia, akhirat, perkara yang telah berlaku mahupun akan datang. Hal tersebut kerana baginda tidak pernah bercakap atau berfikir mengikut hawa nafsu, semuanya melalui ilham dan wahyu daripada Allah. Manusia biasa melakukan kesalahan ketika berfikir, bercakap serta dalam melaksanakan sesuatu tindakan dan membuat keputusan. Ini disebabkan kelemahan akal dan ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada mereka sangat sedikit

Firman Allah:

Terjemahan : Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan, melainkan sedikit sahaja.

(Surah al-Isra’ 17:85)

Sebagai contohnya : Apabila manusia melihat awan tebal yang hitam di langit, manusia memikirkan dan menjangkakan hujan akan turun tidak lama lagi. Tetapi tanggapan akal semata-mata serta melalui penelitian terhadap faktor awan hitam yang tebal tidak semestinya dapat menghasilkan keputusan yang benar dan tepat. Kerana kadang-kala hujan tidak turun walaupun pada kebiasaannya awan tebal yang menandakan atau menyebabkan hujan turun.

Lantaran itu, Islam menyekat kebebasan manusia berfikir dengan menurut nafsu dan akal yang tidak diikuti dengan akidah dan ilmu. Contohnya : Fahaman golongan al-Sufustaiyyun ( ) yang menilai baik dan buruk sesuatu itu berdasarkan pancaindera dan akal semata-mata. Hal itu kerana pancaindera dan akal manusia adalah terbatas, apatah lagi untuk mengkaji perkara yang ghaib.

Keistimewaan manusia berbanding makhluk-makhluk lain di muka bumi ini ialah akal pemikiran. Dengan anugerah tersebut, manusialah makhluk yang paling mulia. Justeru itu Allah mengamanahkan manusia sebagai khalifah-Nya untuk memakmurkan muka bumi serta mempertanggungjawabkan supaya mematuhi segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (manusia) di muka bumi”. Mereka berkata, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan melakukan tumpah darah, pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau”, Allah berfirman lagi, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.”

(Surah al-Baqarah 2:30)
B. PENGERTIAN AKAL

Akal merupakan asas penting kepada manusia dan dengannya dapat membezakan darjat manusia dengan makhluk lain. Akal dapat diberikan dengan beberapa pengertian antaranya ialah:-

1. Menurut kamus dewan, akal membawa maksud segala kegiatan berfikir dan tahap kecerdasan seseorang manusia.

2. Menurut pendapat Ibn al-Manzur dalam kamusnya Lisan al-Arab ( ), akal membawa pengertian kepintaran.

3. Menurut al-Muhasabi pula, akal ialah al-Gharizah ( ). Iaitu sesuatu sifat semula jadi manusia dan kemampuannya untuk memahami sesuatu.

Rumusan daripada pengertian tersebut, akal merupakan asas asal dan konsep utama menyebabkan manusia itu dipertanggungjawabkan dengan taklif serta syarat seseorang itu sempurna. Oleh itu anugerah akal merupakan sesuatu nikmat dan rahmat yang besar. Lantaran akal adalah amanah seperti nikmat lain. Islam melarang keras perbuatan merosakkan kawarasan akal, seperti : Meminum minuman yang memabukkan.
C. TABIAT AKAL

Fitrah dan anugerah akal dapat menguji dan menunjukkan bahawa manusia itu lemah dan cetek ilmu mereka. Di mana ahli sains semenjak dahulu sampai kini tidak dapat mengkaji dan tidak dapat menentukan bagaimana sebenarnya hakikat akal itu. Ini jelas membuktikan bahawa bukan semua yang ada itu dapat dilihat atau dapat dibuktikan kewujudannya. Apatah lagi seandainya manusia itu ingin memikirkan konsep dan zat Allah yang sama sekali tidak mampu difikirkan.

Dalam konteks lain, akal merupakan salah satu tabiat dan fitrah semula jadi manusia yang selari dengan penciptaan mereka. Dimana akal merupakan sebahagian daripada hakikat kejadian manusia. Justeru itu, orang yang tidak berakal, walaupun sifatnya sempurna sebagai manusia, tetapi ia tidak dikira sebagai manusia yang sempurna. Contohnya : Orang yang tidak waras, tidak dikenakan taklif, apa sahaja tindakan mereka, baik berbentuk niat perbuatan dan ucapan tidak diambil kira.

Fitrah dan tabiat akal manusia adalah bersifat positif, di mana akal dapat memandu manusia ke arah kebaikan dan kemajuan, baik fizikal dan kerohanian. Fitrah akal yang bersifat positif itu selari dengan fitrah asal manusia yang bersifat suci dan bersih. Justeru itu, tabiat dan fitrah akal yang selari dengan fitrah iman dan kesucian itu hendaklah diarahkan supaya selari dengan kehendak syarak. Oleh itu, akal yang bersifat positif itu hendaklah digunakan semaksima mungkin untuk mengukuhkan keimanan dengan menggunakan kaedah ilmu dan kaedah Mantik supaya dapat berfikir dan membuat keputusan dengan baik selari dengan kehendak syarak.

Fitrah akal yang positif itu dan iman yang suci itu, kiranya tidak diarahkan dan tidak digunakan selari dengan kehendak syarak, ia akan menjadi kotor. Hal itu lama kelamaan akal juga menjadi kotor dan menyebabkan seseorang itu tidak dapat menggunakan fitrah akal yang asalnya suci dan positif itu dengan baik, oleh itu mereka akan menyimpang daripada kebenaran. Untuk itu, antara gejala yang tidak baik atau factor yang menyebabkan akal kotor ialah terikut dengan nafsu yang jahat atau diri seseorang itu dikotori dengan dosa atau juga kelemahan iman.

Dalam keadaan lain, walaupun akal itu pada fitrahnya adalah bersifat suci dan bersifat positif, namun sebenarnya akal itu tidak boleh disamakan dengan fitrah. Hal tersebut kerana, akal itu dapat memainkan peranan dan berperanan hingga sampai kepada hakikat atau pun ia bergerak daripada tahap pertama hingga sampai kepada hakikat. Apabila sampai kepada hakikat barulah akal itu tenteram dan mencapai puncaknya, kerana segala keperluan telah dipenuhi.

D. KEISTIMEWAAN AKAL

Allah menyebut banyak kali tentang akal dalam al-Quran, yang mana perkataan yang berkaitan dengan akal diulang-ulang hampir 50 kali. Ini menunjukkan betapa tinggi dan mulianya akal itu. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani :

Terjemahan : Kejadian pertama yang dijadikan oleh Allah ialah akal, lalu ia diperintahkannya datang, akal pun datang. Kemudian ia diperintahkan supaya pergi, akal pun pergi. Kemudian Allah berfirman kepada akal : Demi kebesaran-Ku dan kemuliaan-Ku, tidak ada makhluk lain yang lebih mulia disisi-Ku daripada kejadianmu. Dengan mu Aku memberi dan mengambil. Denganmu Aku memberi pahala dan menyiksa.

Dalam hadis lain nabi bersabda tentang keistimewaan akal, sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh al-Tabarani:

Terjemahan : Aisyah telah menceritakan, “Dimana aku telah bertanya rasulullah, “Wahai Rasulullah ; dengan apa manusia itu berbeza darjat kelebihannya dalam kehidupan di dunia?” Jawab baginda, “Dengan akal.” Aku bertanya lagi, “Bagaimana pula dalam kehidupan akhirat? Bukankah manusia itu dibalas menurut kadar amalan mereka?” Jawab Rasulullah, “Wahai Aisyah; Bukanlah mereka beramal menurut kadar akal yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka mengikut kadar akal itulah amalan mereka dan mengikut kadar amalan itu pulalah mereka dibalas.”

Berdasarkan prinsip tersebutlah maka akal yang waras merupakan syarat taklif dan seseorang dikenakan tanggungjawab, sama ada dalam urusan akidah serta ibadat. Oleh itu dengan akal, manusia bebas memilih jalan mereka, samada kufur atau beriman. Hal itu Islam tidak memaksa dalam beragama, kerana jalan yang benar dan salah telah jelas.

Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…

(Surah al-Baqarah 2:256)

Justeru itu ia menunjukkan betapa penting dan istimewanya akal manusia itu dan merupakan salah satu unsur utama yang dapat membantu manusia mencari kebenaran atau dengan akal manusia menjadikan jambatan mencari kebenaran. Dari sini, jelaslah Islam adalah berbeza daripada setengah ajaran dan fahaman lain, yang mana mereka tidak menggalakkan kebebasan berfikir. Dalam hal lain, prinsip Islam tidak menggalakkan umatnya mengikut apa sahaja atau menerima apa sahaja tanpa meneliti atau tanpa kajian, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan akidah. Islam tidak menyukai amalan taklid atau ikut-ikutan, kecuali mereka yang tidak mampu menggunakan akal untuk mencari bukti atau lemah. Untuk itu fitrah akal yang bersih dan bebas itu hendaklah diarahkan dengan baik untuk mencari kebenaran.

Kebebasan dan fitrah akal yang suci itu kadang-kala terbatas dan perlu kepada bimbingan dan panduan. Hal itu disebabkan manusia itu adalah lemah. Untuk itu, ilmu Mantik merupakan satu ilmu yang sangat sesuai serta penting kepada setiap individu di samping pengetahuan ilmu lain dan ilmu agama. Ini kerana ilmu Mantik merupakan suatu peraturan dan kaedah untuk mengawal dan memandu pemikiran manusia. Apabila seseorang itu mengikuti kaedah Mantik, ia dapat membantu mereka daripada melakukan kesalahan dan tersalah ketika berfikir.

Ibn. Khaldun di dalam kitabnya al-Mukaddimah ( ) mengatakan, oleh kerana manusia itu di dalam berfikir kadang kala sampai kepada matlamat serta keputusan yang tepat dan kadang-kadang pula menyimpang. Oleh itu, untuk mengawal fikiran dan menyampaikannya kepada keputusan yang betul, mereka mestilah mempelajari ilmu Mantik, iaitu suatu ilmu yang dapat membezakan mana yang betul dan salah.


E HAKIKAT AKAL DAN BAHAGIANNYA



Ulamak dan ilmuan tidak sependapat dalam menjelaskan hakikat akal. Di sini dibentangkan beberapa pendapat ilmuan Islam mengenai hakikat akal, iaitu:

1. Pendapat Imam al-Ghazali.

2. Pendapat al-Harith Ibn Asad al-Muhasibi.
Pendapat Imam al-Ghazali

Menurut pendapat imam al-Ghazali, hakikat akal itu dapat diberikan kepada empat pengertian dan bahagian, iaitu:

a. Akal ialah sesuatu sifat yang boleh membezakan diantara manusia dengan haiwan dan makhluk lain. Melalui anugerah akal, manusia mampu dan dapat menerima segala ilmu yang berbentuk teori atau nazariyah ( ) serta mampu untuk menyusun idea-idea. Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama dan pokok kepada fikiran manusia. Hakikat akal menurut pengertian ini dapat dijelaskan melalui sabda nabi yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Maksudnya : Tidak ada satu ciptaan Allah yang lebih mulia di sisi-Nya selain akal.

b. Akal ialah segala ilmu dan pengetahuan yang dapat mempastikan sesuatu kemungkinan terhadap perkara-perkara yang mungkin dan kemustahilan terhadap perkara yang berbentuk mustahil. Contohnya : Akal tidak boleh menerima sesuatu yang berlawanan itu berlaku serentak, seperti; Berdiri dan duduk dalam satu waktu. Akal dalam bentuk ini merupakan pecahan dan cabang yang terdekat kepada akal mengikut pengertian yang pertama di atas.

c. Akal ialah segala ilmuan dan pengetahuan yang diperolehi oleh manusia melalui pengalaman-pengalaman yang lalu dan apa yang dialaminya. Hal tersebut berdasarkan kebiasaan orang yang berpengalaman atau mempunyai pengalaman itu adalah terdiri daripada mereka yang berakal. Sebaliknya, orang tidak mempunyai pengalaman itu dikira orang yang jahil dan bodoh. Akal dalam bentuk dan pengertian yang ketiga ini merupakan pecahan kepada pengertian akal dalam pengertian pertama dan kedua diatas. Hal itu kerana dengan kekuatan dan bekalan ilmu dan pengetahuan menyebabkan seseorang itu memperolehi pengalaman, tanpa ilmu dan pengetahuan seseorang tidak dapat mencapai pengalaman.

d. Akal ialah sesuatu yang mempunyai kekuatan atau sesuatu kekuatan yang diperolehi atau dicapai ekoran perkembangan daripada kemuncak naluri tersebut. Lantaran itu, akal mampu dan dapat mengenal serta mengesan akibat-akibat daripada segala perbuatan atau mengenal segala perkara. Dalam keadaan lain pula, akal dapat mencegah atau membendung serta mengawal segala keinginan nafsu terhadap segala nikmat sementara dan nikmat yang cepat hilang. Lantaran itu apabila kekuatan untuk mengawal dan membendung nafsu tersebut tercapai, maka seseorang itu dikira orang yang berakal. Kerana segala yang difikirkan oleh akalnya dengan meneliti sebab dan akibatnya, bukan berdasarkan nafsu. Akal pengertian yang keempat ini merupakan hasil perkembangan akal peringkat terakhir dan mencapai matlamat. Penjelasan akal mengikut pengertian keempat ini sebagaimana sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Abu-al-Darda’:

Terjemahan : Tambahkan akalmu, nescaya, bertambah hampirmu kepada Allah. Lalu Abu Darda’ bertanya, “Demi bapa dan ibuku, bagaimanakah saya boleh mendapatkannya?” Nabi menjawab, “Jauhilah larangan Allah dan tunaikanlah kewajipan-kewajipan yang difardhukan oleh Allah, nescaya engkau menjadi orang yang berakal, dan kerjakanlah amalan-amalan yang soleh, nescaya di dunia engkau bertambah darjat ketinggian dan kemuliaan dan di akhirat engkau mencapai darjat kehampiran dan kemuliaan daripada tuhanmu.”

Sebagai kesimpulannya, akal menurut pengertian yang pertama dan kedua merupakan tabiat dan bentuk yang semula jadi. Manakala akal menurut pengertian yang ketiga dan keempat merupakan hasil perjuangan dan usaha manusia.
Pendapat al-Harith Ibn Asad al-Muhasibi

Hakikat akal menurut pendapat al-Harith Ibn Asad al-Muhasibi ialah:

a. Akal ialah suatu naluri, tabiat dan hakikat semulajadi yang ada pada manusia. Melalui hakikat dan naluri tersebutlah manusia itu mampu dan bersedia untuk memahami dan menerima segala ilmu pengetahuan yang diajar. Menurut pendapat beliau lagi, akal boleh diibarat dan diumpamakan cahaya atau nur yang dicampakkan dalam hati manusia, dengan nur itu mereka mendapat sesuatu atau juga untuk mendapat petunjuk.

b. Menurut al-Harith Ibn Asad al-Muhasibi, kelemahan akal manusia daripada mencapai hakikat tentang Allah bukanlah merupakan sesuatu kecacatan. Namun kelemahan akal itu untuk menunjukkan ia ada batasnya dan sebagai pembatasan terhadap tugasnya. Walau bagaimana pun kelemahan akal itu tidak menghalang manusia untuk menggunakan metod akal bagi menetapkan sifat-sifat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan memikirkan penciptaan makhluk-Nya, lagi pun sifat-sifat Allah ada ditetapkan dalam al-Quran, Cuma sifat Allah tidak sama dengan sifat manusia. Apa yang tidak boleh difikirkan oleh akal ialah untuk memikirkan tentang zat Allah, sebagaimana hadis



Terjemahan : Berfikirlah kamu tentang makhluk atau penciptaan Allah, janganlah kamu berfikir tentang zat Allah, (jika kamu fikirkan zat Allah) kamu akan binasa.
F. PERANAN AKAL

Tentang peranan akal ialah dengan meneliti dari sudut sumber kemanusiaan. Iaitu dari sudut akal itu sendiri yang meliputi alam benda dan segala sifat lahir. Dalam keadaan lain juga, peranan akal itu ditinjau dari sudut sumber ketuhanan. Iaitu wahyu, yang merangkumi tentang alam ghaib yang mana ia merupakan perkara yang berada di luar kemampuan akal. Oleh itu, sumber dan peranan akal manusia merupakan sesuatu yang bersifat terhad dan terbatas.

Antara lain juga, akal tidak bersifat suci selama-lamanya, untuk itulah ia perlu patuh dan tunduk kepada panduan wahyu ilahi. Sebagai rumusannya, peranan akal sebagaimana berikut:

1. Peranan akal menurut al-Quran dan al-Sunnah

2. Peranan akal menurut pemikir Islam


Peranan Akal Menurut al-Quran dan al-Sunnah



Antara peranan akal menurut al-Quran dan al-Sunnah ialah sebagaimana berikut:



a. Akal berperanan untuk mengkaji dan mendalami serta mempelajari ilmu. Justeru itu akal yang dikurniakan kepada manusia itu hendaklah digunakan semaksima mungkin dan mengambil kesempatan yang sebanyak mungkin untuk memperolehi ilmu pengetahuan setinggi mungkin. Antaranya sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada) pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal.

(Surah ali ‘Imran 3 : 190)

Untuk itu, al-Quran membuka ruang yang selebar mungkin kepada manusia supaya menggunakan akal mereka untuk mencari ilmu, baik Ilmu yang berkaitan dengan keduniaan dan ilmu yang berkaitan dengan akhirat atau keagamaan.

b. Peranan akal yang lain ialah untuk mempelajari wahyu Allah dan untuk memahaminya. Justeru itu, akal menyebabkan seseorang itu berilmu dan mengangkat seseorang supaya mendapat kedudukan yang mulia. Sebagaimana firman Allah

Terjemahan : …. Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu; dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat….

(Surah al-Mujadalah 58:11)

c. Akal merupakan salah satu syarat manusia ditaklifkan dan akal yang tidak diarahkan dengan betul menurut syarak atau akal yang lalai daripada menunaikan tanggungjawab Allah menyebabkan seseorang itu dikenakan azab. Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak (mahu) memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan mempunyai mata yang tidak (mahu) melihat dengannya (bukti-bukti keEsaan Allah), dan mempunyai telinga yang tidak (mahu) mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lali.

(Surah al-Araf 7 : 179)

Untuk membuktikan dan hujah akal menjadi syarat taklif juga sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi :

d. Akal merupakan sumber dan memain peranan utama untuk mengenal Allah, sama ada melalui sifat-Nya atau bukti kekuasaannya-Nya. Sebagaimana hadis:

Terjemahan : Berfikirlah kamu tentang makhluk atau penciptaan Allah, janganlah kami berfikir tentang zat Allah, kerana sesungguhnya kamu tidak akan mampu memenuhi kadarnya.

e. Akal membawa peranan yang positif serta dengannya seseorang dapat menilai antara kebaikan dengan keburukan. Seandainya seseorang itu tidak mengetahuinya ia hendaklah mengarahkan akalnya supaya berusaha dan bertanya kepada orang yang berpengetahuan. Sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl 16:43)

Peranan Akal Menurut Pemikir Islam

a. Ibn Sina

b. Al-Ghazali

Menurut pendapat Ibn Sina dan Imam al-Ghazali, akal memain peranan penting untuk mencari atau menuntut ilmu pengetahuan. Justeru itulah akal berperanan sebagai sumber ilmu. Dalam konteks lain, Ibn Sina dan al-Ghazali berpendapat di mana akal itu berperanan untuk menaikkan taraf manusia ke darjat atau kedudukan yang lebih baik dan terpuji. Hal tersebut bertepatan dengan hakikat dan realiti yang mana sememangnya orang yang berakal atau berilmu itu mendapat kedudukan yang tinggi serta dihormati oleh masyarakat.

Selain dari itu, akal itu berperanan dan memain peranan utama untuk memikirkan dan mengkaji, seterusnya melahirkan idea atau pun dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Ekoran daripada itulah, dengan peranan dan kemampuan yang ada pada akal membolehkan manusia mampu untuk mentadbir dan memakmurkan muka bumi ini.
G. KEMAMPUAN AKAL



Untuk menjelaskan tentang kemampuan akal, ia dapat ditinjau dari dua sudut, iaitu:

1. Kemampuan akal menurut al-Quran.

2. Kemampuan akal menurut pemikir Islam.

Kemampuan Akal Menurut al-Quran

Akal walaupun setinggi mana dan sepintar mana, ia tetap terbatas dan terhad ruang lingkup kemampuannya. Hakikat mengenai kekurangan dan kelemahan ini perlu diinsafi agar apabila seseorang itu makin tinggi dan makin berilmu, ia semakin tawadduk dan bertaqwa, bukan bertambah angkuh dan megah. Mengetahui kedudukan yang lemah dan terbatas itu juga dapat menarik kesedaran manusia dimana tidak semua perkara yang wujud dapat ditangkap atau difikirkan oleh akal.

Apa yang ketaranya, akal hanya mampu untuk meneliti, mengkaji dan mahami perkara yang berkaitan dengan alam nyata sahaja. Adapun perkara yang berkaitan dengan alam ghaib, akal tidak dapat sampai, ia hanya dapat diketahui melalui wahyu atau perantara para rasul. Antara bukti yang menunjukkan bahawa akal manusia terbatas sebagaimana firman Allah yang berkaitan dengan roh:

Terjemahan : Dan mereka bertanya kamu (wahai Muhammad) tentang Ruh. Katakanlah, “Ruh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Isra’ 17 : 85)

Dalam konteks lain, akal manusia itu amat terbatas dan mereka dapat mengkaji atau berfikir untuk menghasilkan sesuatu yang terdaya dan termampu oleh akal mereka sahaja, itupun dengan izin Allah. Walau sepintar mana dan secerdik mana, samada mereka berseorangan, berkumpulan atau bergabung tenaga, namun ruangan dan taakul akal itu tetap lemah dan terhad.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran yang menempelak dan mencabar pujangga dan penyair atau cendekiawan Arab yang tidak mengakui kebenaran al-Quran daripada Allah, sebagaimana firman-Nya :

Terjemahan : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun untuk tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri.”

(Surah al-Isra’ 17 : 88)

Biarpun akal manusia itu terbatas dan terhad, namun dengan keterbatasan itu, seseorang yang dianugerahkan akal mampu untuk meneliti, memerhati dan mengkaji perkara yang dapat ditaakul oleh akal mereka berserta gabungan pancaindera yang dikurniakan. Dalam hal inilah al-Quran juga banyak menyarankan kepada manusia supaya menggunakan akal mereka untuk meneliti dan mengkaji perkara yang berkaitan dengan alam fizikal dan lahirlah demi kehidupan yang lebih sempurna

Contohnya sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Maka mengapa orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara dimuka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?

(Surah Yusuf 12 : 109)

Kemampuan Akal Menurut Pemikir Islam

Menurut pendapat ahli fikir Islam, khasnya Imam al-Ghazali dan Ibn Sina, akal hanya mampu mengkaji dan memahami alam nyata yang boleh diteliti atau boleh ditaakul sahaja. Justeru itu, ruang akal amat terbatas dan ia tidak dapat menyelami hakikat yang tidak dapat ditanggapinya. Dalam keadaan lain akal hanya dapat menaakul apa yang didapat ditanggapi oleh pancaindera sahaja. Hakikat ini terbukti menerusi firman Allah mengenai zat-Nya:

Terjemahan : Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata). Dan Dialah yang Amat halus (melayan hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.

(Surah al-An;am 6:103)

Sebagai rumusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, akal memerlukan dalil naqli manakala dalil naqli memerlukan dalil aqli, Bertaqlid tanpa menggunakan akal adalah satu kebodohan manakala menggunakan akal sahaja tanpa wahyu Ila’hi dan sunnah nabi adalah satu penipuan. Justeru itu akal mesti digabungkan dengan naqal, kerana ilmu-ilmu aqli seumpama makanan dan ilmu naqli umpama ubat.

KONSEP ILMU

A. PENDAHULUAN

Dalam al-Quran disebut banyak kali dan dalam banyak tempat tentang ilmu. Hal tersebut menunjukkan betapa pentingnya ilmu itu kepada manusia, khasnya untuk membina akal dan individu kearah yang baik, sempurna dan mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Islam amat menuntut umatnya mencari dan mempelajari ilmu, baik ilmu yang merupakan ilmu fardhu ain, mahupun ilmu berbentuk fardhu kifayah. Di mana ilmu merupakan asas yang penting kepada seseorang dalam menjalani kehidupan atau untuk melaksanakan apa yang diperintah. Adalah tidak mungkin seseorang yang tidak berilmu dapat melaksanakan apa yang diperintahkan dengan sempurna. Antara lain, orang yang berilmu sajalah dapat mendekatkan diri kepada Allah dan bertaqwa dengan hakikat sebenarnya.

Sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya, hanyalah orang-orang yang berilmu …

(Surah Fathir 35:28)

Dalam konteks lain juga, Islam menyanjung tinggi orang yang alim dan berilmu. Orang yang berilmu diangkat ke darjat yang tinggi dan mulia.

Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu; dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…..

(Surah al-Mujadalah 58:11)

Manakala orang yang jahil pula disuruh belajar dan bertanya kepada orang yang alim dan berilmu. Hal itu supaya mereka mendapat panduan dan dapat beramal dengan baik serta betul mengikut kehendak syarak.

Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui

(Surah al-Nahl 16:43)

B. PENGERTIAN ILMU

Perkataan ilmu sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dapat diberikan dengan berbagai maksud dan makna. Dari sini ia dapat diberikan dengan dua pengertian:

1. Pengertian Bahasa.

2. Pengertian Istilah.

Pengertian Bahasa

Ilmu menurut pengertian bahasa membawa erti berikut:

a. al-Ru’yah ( الرأية ) iaitu lihat dan perhati. Contohnya sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu……

(Surah Muhammad 47:31)

b. al-‘Ilm bi al-Syai’ ( العلم بشيء ) iaitu mengetahui tentang sesuatu. Sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), yang nyata dan yang tersembunyi.

(Surah al-‘Ala 87:7)

c. al-Izn ( الأذن ) iaitu kebenaran dan keizinan. Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : Maka ketahuilah! Bahawa al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah……

(Surah Hud 11:14)

Pengertian Istilah

Pengertian ilmu menurut istilah ialah mendapat sesuatu atau pengetahuan tentang sesuatu yang belum diketahui melalui cara pembelajaran.

C. PERBEZAAN ILMU, MAKRIFAH DAN HAKIKAT

Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, diantara ilmu dengan makrifah serta hakikat, ada perbezaannya. Penjelasan mengenai perkara ini secara ringkasnya dapat dijelaskan sebagaimana berikut:

1. Ilmu merupakan suatu pengetahuan yang meliputi pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang sama ada melalui belajar atau pengalaman. Ilmu juga merupakan pengetahuan yang meliputi perkara yang berasaskan keraguan, syak, kebenaran juga kebatilan. Antara lain, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi perkara yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan dan akhirat. Justeru itu ilmu adalah meliputi ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

2. Makrifah ialah keadaan atau sifat seseorang yang mengenal sesuatu dari sudut zat, sifat dan kadarnya hingga akhirnya seseorang itu dapat mengetahui atau dapat membongkar tentang rahsia sesuatu. Menurut pendapat imam al-Ghazali, makrifah masih belum pasti sepenuhnya dan belum mencapai tahap keyakinan yang mutlak. Ilmu berasaskan makrifah juga masih boleh diragui, contohnya, makrifah melalui hissi atau pancaindera seperti : Pada penglihatan mata, matahari adalah kecil tetapi hakikatnya ia adalah besar. Contoh lain, makrifah aqli juga masih tidak terlepas daripada keraguan, seperti : Alam metafizik atau alam ghaib tidak dapat dijangkau tentang hakikat sebenarnya

3. Hakikat merupakan kedudukannya yang paling tinggi serta jalan untuk menjamin ke puncak kejayaan. Hal tersebut kerana ilmu dan makrifah adalah nur untuk mencapai hakikat. Konteks lain, hakikat merupakan makrifah yang yakin serta mutlak. Dengan hakikatlah dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Hakikat boleh dicapai melalui gabungan antara akal, ilmu, wahyu dan makrifah.

D. PEMBAHAGIAN KLASIFIKASI ILMU

Dalam konteks lain, ilmu itu pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1. Ilmu Fardhu Ain.

2. Ilmu Fardhu Kifayah.

Ilmu Fardhu Ain

Ilmu fardhu Ain ialah sesuatu ilmu yang menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mempelajari dan mendalaminya. Sekiranya individu itu tidak mempelajarinya maka ia dikira belum melaksanakan tanggungjawabnya dan berdosa. Dalam keadaan lain, ilmu yang berkaitan dengan fardhu Ain ini wajib mempelajarinya dan wajib melaksanakannya. Contohnya : Mempelajari al-Quran, sembahyang dan ibadat lain.

Ilmu Fardhu Kifayah

Ilmu fardhu kifayah ialah sesuatu ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu sahaja untuk mewakili orang Islam yang lain untuk mewakili masyarakat. Ilmu tersebut kiranya sudah ada segolongan yang mempelajarinya, maka orang Islam yang lain berdosa daripada tanggungjawab, dan kiranya tiada seorang pun yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya : Ilmu kedoktoran, sains dan mempelajari ilmu tafsir dengan mendalam.

E. SUMBER-SUMBER ILMU

Sebenarnya sumber ilmu itu banyak pecahan dan bahagiannya, ia juga dibahagikan kepada pandangan tertentu, antaranya ialah:

1. Sumber ilmu menurut al-Quran dan hadi

2. Sumber ilmu menurut ahli Falsafah.

Sumber Ilmu Menurut al-Quran Dan Hadis

Sumber ilmu sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadis ialah:

a. Allah sebagai pemberi sumber ilmu yang terbesar dan Allah yang utama memberi ilmu kepada manusia, sama ada melalui wahyu yang mana ia hanya khusus untuk para nabi dan rasul. Antara lain juga ilmu yang dikurniakan oleh Allah, ialah melalui mimpi dan ilham. Setengah orang yang terpilih atau dipilih oleh Allah mendapat Ilmu Laduni, iaitu salah satu daripada bentuk ilmu yang dikurniakan oleh Allah dengan cara ilham dan tanpa belajar, seperti dapat mengetahui tentang firasat atau perkara yang akan berlaku masa akan datang dengan izin Allah. Contohnya, Nabi Khaidir a.s. Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : Dan kami telah mengajarnya sejenis ilmu (Ilmu Laduni), dari sisi Kami.

(Surah al-Kahfi 18:65)

b. Ilmu juga dapat diperolehi dengan mempelajari atau belajar, baik secara langsung atau tidak langsung, membaca, mendengar atau mengkaji. Sebagaimana saranan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn. Majah:

Terjemahan : Menurut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam lelaki dan wanita.

c. Sumber ilmu itu kadang-kala dapat dicapai dengan bersumberkan pancaindera dan tanggapan pancaindera manusia, seperti : Pendengaran telinga, penglihatan dan pemerhatian mata dan juga melalui hati, iaitu kesedaran, keinsafan dan keyakinan. Sebagaimana firman Allah :

Terjemahan : (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat), tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?

(Surah al-Ghaziyah 88:17)

d. Ilmu dan sumber ilmu itu diperolehi melalui penelitian, pemerhatian dan berjalan serta mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu yang telah berlaku. Sebagai mana firman Allah:

Terjemahan : Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka?

(Surah Yusuf 12:109)

e. Sumber ilmu itu kadang kala juga diperolehi melalui pertanyaan kepada orang yang lebih mengetahui. Sebagaimana firman Allah:

Terjemahan : Oleh itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

(Surah al-Nahl 16:43)

Sumber Ilmu Menurut Pemikir Islam

Sumber ilmu menurut pemikir Islam, khasnya menurut pendapat Imam al-Ghazali, sumber ilmu boleh dicapai melalui beberapa proses, antaranya ialah:

a. Ilmu dapat diperolehi melalui deria serta pancaindera contohnya : Deria rasa, deria sentuh, deria pendengaran dan juga penglihatan mata.

b. Menurut Imam al-Ghazali juga sumber ilmu juga dapat dicapai dan diperolehi melalui akal, dimana akal itu hendaklah diarah kepada pemikiran atau fitrah akal yang positif hendaklah digunakan untuk mengkaji, berfikir dan memahami sesuatu hingga menghasilkan pengetahuan, sama ada berbentuk pengalaman atau ilmu itu sendiri.

c. Sumber ilmu juga dapat dicapai menerusi institusi, seperti secara rasmi sekarang melalui persekolahan, kuliah, pembentangan kertas kerja, seminar, forum dan seumpamanya. Selain itu ilmu dapat diperolehi juga melalui institusi tidak rasmi, seperti pembelajaran di kampung melalui masjid.

d. Sumber ilmu juga boleh diperolehi melalui ilham.

e. Ilmu dan sumber ilmu boleh dicapai melalui wahyu, ia hanya khusus untuk para nabi dan rasul sahaja.

f. Menurut imam al-Ghazali juga, ilmu itu bukan sekadar berbentuk pengetahuan, tetapi ia hendaklah dilaksanakan atau dipraktikan atau diamalkan. Justeru itu ilmu dapat diperolehi melalui pengalaman dan amalan serta contoh tauladan.

g. Sumber ilmu boleh didapati dengan belajar dan membuat kajian. Imam al-Ghazali menambah lagi, binatang yang tidak berakal boleh dibentuk dan dididik, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu, sudah tentu boleh mencapai dan mendapat ilmu dengan mempelajarinya dan belajar.

 

Make a list of your favorite sites on the World Wide Web. You can add a hyperlink to another web site, or replace an existing one, by selecting the text and choosing the Hyperlinks command from the Insert menu.

 
1