|
|
JENAYAH DALAM ISLAM
JENAYAH DAN HUKUMANNYA DEFINASI JENAYAH Menurut definasi yang biasa diberikan oleh ulamak feqah “jenayah” ialah perbuatan jahat yang dilakukan untuk mencerobohi kehormatan jiwa dan anggota tubuh badan. Jadi kesalahan jenayah menurut definasi ini hanyalah terhad pada kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan perlakuan mencerobohi nyawa dan anggota tubuh badan seperti membunuh dan mencederakan anggota tubuh badan yang dikenakan hukuman qisas atau diyat, bagi kesalahan-kesalahan tersebut. Dengan ini bererti kesalahan-kesalahan lain yang melibatkan harta benda, akal fikiran dan sebagainya tidak termasuk dalam definasi jenayah yang sempit ini. Manakala definasi jenayah yang lebih luas adalah meliputi semua kesalahan hudud, qisas dan ta’zir. Dari segi bahasa perkataan “jenayah” bermakna nama bagi suatu kejahatan yang dilakukan oleh seseorang. Dari segi syarak jenayah adalah nama bagi perbuatan yang diharamkan sama ada yang melibatkan harta benda ataupun jiwa dan tubuh badan. Jadi “jenayah” adalah sinonim dengan perkataan jarimah yang bererti, larangan-larangan syarak yang dapat dibendung dengan hukuman-hukuman hudud atau dengan takzir. Dengan definasi ini bererti apa juga jenis kesalahan sama ada yang mencerobohi kehormatan jiwa tubuh badan, harta benda dan lain-lain; sama ada yang melanggar larangan-larangan syarak seperti mencuri, berzina, minum arak dan sebagainya atau pun yang meninggalkan perintah-perintah Allah seperti solat, zakat, puasa ramadhan dan sebagainya termasuk dalam lingkungan “jenayah” yang luas ini. Tegasnya apa juga bentuk dosa atau maksiat daripada sebesar-besarnya kepada sekecil-kecilnya sama ada dikenakan hukuman qisas, hudud atau takzir adalah dikatan kesalahan jenayah. Peranan
Hukuman dan Balasan Pada dasarnya hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah dalam undang-undang Islam mempunyai tujuan yang sama dengan undang-undang positif iaitu untuk melindungi masyarakat daripada perlakuan jahat dan juga untuk memberi pengajaran kepada pesalah supaya tidak mengulangi perbuatan jahatnya. Peranan yang utama hukuman dalam Islam adalah sebagai pembalasan ke atas perbuatan jahat seperti yang diterangkan di dalam al-Quran : Maksudnya : “Dan pencuri lelaki dan perempuan
maka potonglah tangan mereka sebagai pembalasan ke atas perbuatan mereka.
Selain itu ia juga boleh menjadi pencegah (preventive), sama ada untuk mencegah penjenayah daripada mengulangi perbuatan jahatnya setelah menerima hukuman yang berat atau menahan orang yang bercadang melakukan kejahatan daripada meneruskan cadanganya setelah mengetahui adanya hukuman yang berat atau menghalang orang lain daripada melakukan kejahatan setelah mengetahui adanya balasan-balasan yang diterima oleh pesalah. Hukuman-hukuman dalam Islam juga boleh dianggap sebagai pemulihan (reformative) atau pembetulan kepada penjenayah. Ini bererti walaupun Islam mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah tetapi di samping itu Islam tidak mengenepikan kepentingan pesalah. Tegasnya Islam akan mengenakan hukuman hanya setelah mengkaji dan meneliti tiap-tiap pesalah dari segi status dan tanggunjawab masing-masing. Sebagai contohnya dalam kesalahan zina maka hukumnya telah diasingkan di antara pesalah yang telah berkahwin dengan yang belum berkahwin. Begitu juga hukuman bagi kesalahan yang sama itu berbeza di antara pesalah dewasa dengan pesalah yang belum cukup umur dan sebagainya. Dengan mengenakan hukuman ke atas penjenayah maka perbuatan-perbuatan seperti menuntut bela dan membalas dendam dapat dikawal. Ini adalah kerana dasar hukuman dalam Islam adalah persamaan yang bererti bahawa hukuman yang dikenakan adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Menghindar Kesalahan Dalam Islam terdapat beberapa cara yang dapat menghindarkan atau menegah seorang atau masyarakat daripada melakukan kesalahan atau kejahatan. Di antaranya ialah : 1. Melalui latihan jiwa dan rohani sebagai asas terpenting. Semua amal ibadat yang diwajibkan dalam Islam adalah bertujuan untuk melatih dan mendidik jiwa muslim supaya tahu dirinya sebagai hamba Allah, berbaik-baik makhluk Allah dan tidak boleh menzalimi dan mengianaya. Sebagai contohnya, sembahyang lima waktu sehari semalam, selain daripda ia merupakan suatu kewajiban yang mesti ditunaikan ia juga dapat melatih diri seorang dan dapat membersihkannya dari sifat kekotoran. Dalam ibadat sembahyang dan ciri-ciri persamaan, tawaduk dan rendah diri. Jadi jika ia dikerjakan pada waktu-waktu yang telah ditetapkan dengan mengikut syarat-syarat rukuknya dengan betul nescaya terhindarlah seorang itu daripada perkara-perkara keji dan munkar sebagaimana firman Allah : Maksudnya : Sesungguhnya sembahyang itu menghalang daripada perbuatan keji dan munkar.
Ibadat puasa juga boleh menjadi pendinding terhadap perbuatan jahat sebagaimana keterangan sabda Rasullulah : Maksudnya
: “Puasa itu adalah
pendiding” Ini adalah kerana apabila seseorang itu berpuasa maka kuranglah tenaganya dan juga apabila berasa lapar maka akan timbul perasaan simpati kepada orang miskin yang kelaparan. Zakat juga dapat melatih orang Islam supaya saling bantu membantu dan tolong menolong. Orang yang berada disuruh membantu saudara-saudaranya yang kurang bernasib baik. Dengan adanya latihan-latihan seperti ini, maka hilanglah jurang perbezaan dan perpisahan yang akhirnya timbul pula kasih sayang dan berbaik sangka di antara satu dengan yang lain. Begitulah seterusnya ibadat-ibadat yang lain. 2. Melalui pembentukan masyarakat yang luhur dengan cara nasihat menasihat dan tegur menegur demi untuk kebaikan masyarakat seluruhnya. Adalah menjadi tanggungjawab anggota masyarakat yang baik untuk memperbaiki mana-mana anggotanya yang kurang baik dan pihak-pihak yang terlibat mestilah sanggup menerima teguran yang membina demi untuk kebaikan bersama. Oleh sebab itu Allah menghendaki supaya ada di kalangan umat Islam orang yang sanggup mengajak masarakatnya untuk berbuat kebajikan dengan menyuruh mereka berbuat kebajikan dan menegah mereka melakukan perbuatan terkutuk sebagai firman Allah : Maksudnya : dan hendaklah ada di antara kamu satu
umat yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat makruf dan menegah
daripada perbuatan munkar. Mereka itulah yang beroleh kejayaan. 3. Jalan yang akhir yang boleh mencegah berlakunya kejahatan ialah melalui hukuman-hukuman yang terdapat dalam undang-undang Islam. Hukuman-hukuman yang disyariatkan oleh Allah tidak diturunkan dengan sia-sia. Ia diadakan untuk keadilan semua orang dan bukan untuk kepentingan sesuatu golongan. Perbandingan
di antara Undang-undang Jinayat Islam dengan Undang-undang Positif Walaupun pada dasarnya undang Islam mempunyai matlamat yang sama dengan undang positif iaitu untuk melindungi kepentingan umum dan memberi pengajaran kepada pesalah supaya tidak mengulangi perbuatan jahatnya, akan tetapi jika diselidiki akan terdapat jurang perbezaan di antara kedua-duanya kerana masing-masing mempunyai nature, kerektor dan skopnya yang tersendiri. Di antara perbezaannya ialah : 1. Undang-undang jinayat Islam adalah ciptaan Allah s.a.w. Allah yang bersifat Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui tentang suatu sudah tentu undang-undang yang diciptanya itu sesuai untuk setiap masa dan tempat dan tidak seperti setengah orang menganggap ianya tidak sesuai kerana sudah ketinggalan zaman. Oleh sebab itu undang-undang Islam dalam semua bidang tidak berubah dan bertukar mengikut masa dan tempat, tidak seperti undang-undang ciptaan manusia yang sentiasa menerima perubahan mengikut keadaan masa dan tempat serta kemahuan orang yang membuat undang-undang. Setiap muslim wajib mempercayai kebenaran undang-undang ciptaan Allah dan memetuhi undang-undang tersebut serta wajib berusaha untuk menegakkanya. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang serta boleh dicap sebagai pengkhianat negara, maka lebih daripada itu andainya seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai serta kejam dan sebagainya. Orang itu bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah s.a.w. malahan boleh menjejaskan imannya kerana sebagai seorang muslim dia mesti percaya bahawa undang-undang Islam adalah berasaskan pada sumber yang utama iaitu Al-Quran Al- Karim sedangkan Al-Quran adalah salah satu kitab Allah yang wajib dipercayai. Jadi implikasi tindakan orang yang seperti itu pertamanya bersalah kerana tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan keduanya bersalah kerana mengkritik undang-undang Allah yang boleh merosakkan aqidah atau keimanan. Allah s.a.w. berulang-ulang mengingatkan umat Islam supaya mengikut hukum Allah dalam memutuskan suatu perkara, seperti firman-Nya dalam surat Al-Ma’idah, ayat : 48 Maksudnya :
Dan kami (Allah) telah turunkan kepada kamu kitab (Al-Quran) dengan
membawa kebenaran ……….. maka hukumlah perkara mereka menurut apa yang
diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan
membelakangkan kebenaran yang telah datang kepada kamu. Ringkasnya, bolehlah dikatankan bahawa orang ynag memutuskan suatu tidak mengikut hukum Allah termasuk dalam salah satu golongan yang disebutkan dalam Al-Quran. (a) Surat Al-Ma’idah, ayat : 44 Maksudnya :
Dan barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah
maka mereka itu adalah orang-orang kafir. Golongan yang pertama ini tidak menjalankan hukuman Allah ialah kerana ingkar dan tidak mempercayai kebenaran hukum Allah. (b) Surah Al-Ma’idah, ayat :47 Maksudnya :
Dan orang yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah adalah
orang-orang yang fasiq. Mereka tidak menjalankan hukum Allah bukan kerana tidak percaya tetapi hanya kerana lebih mementingkan kepada undang lain untuk kepentingan diri sendiri dan hawa nafsu. (c) Golongan yang ketiga orang yang tidak menjalankan hukum menurut apa yang diturunkan Allah ialah orang-orang yang zalim, maksud surah Al-Ma’idah, ayat 45. Allah telah menetapkan suatu hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan. Jadi mengubahkan hukuman Allah dengan hukuman lain yang digubal oleh manusia itu adalah satu kezaliman. Golongan ini percaya dengan undang-undang Islam tetapi sengaja tidak mahu melaksanakannya. Hukum-hukum yang selain daripada hukum yang diturunkan Allah itu adalah zalim, kerana hukum-hukum Allah adalah adil kerana Allah itu Maha Adil. 2. Undang-undang Islam memandang manusia itu sama rata. Tidak ada bezanya di antara berpangkat tinggi atau rendah, miskin atau kaya, pihak yang berkuasa atau pun rakyat biasa. Siapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan menerima hukuman. Tidak ada pengecualian atau keistimewaan diberikan kepada pihak-pihak yang tertentu. Hukuman dikenakan secara menyeluruh kepada semua golongan masyarakat yang sudah mempunyai cukup tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan. Banyak keterangan-keterangan membuktikan keadilan undang-undang Islam. Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang perempuan bangsa Makhzumi yang akan dipotong tangannya kerana kesalahan mencuri tiba-tiba datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. meminta supaya perempuan itu tidak dihukum. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda di khalayak ramai ; Maksudnya : Sesungguhnya telah binasa banga yang mencuri mereka potong tangannya. Pada masa Saiyidina Umar menjadi khalifah, beliau telah menjatuhkan hukuman yang lebih berat kepada anaknya sendiri kerana kesalahan minum arak sebagai memberi ingatan kepada keluarga bahawa undang Islam tidak memberi keistimewaan kepada keluarga pemerintah dan untuk menunjuk keadilan Islam. Manakala dalam undang-undang ciptaan manusia, walaupun pada umumnya untuk menjaga kepentingan suatu golongan. Ini adalah sifat semulajadi manusia yang tidak beriman yang akan melebihkan kepentingan diri, sedangkan undang-undang Islam dilaksanakan untuk keredhaan Allah. Sebab itu dalam mana-mana undang-undang positif terdapat fasal-fasal yang memberikan hak keistimewaan kepada golongan tertentu ataupun memberikan hak keistimewaan kepada golongan tertentu ataupun orang-orang yang tertentu itu bebas melakukan suatu dengan tidak ada undang-undang yang boleh mendakwanya. Dalam undang-undang Islam Allah sahaja yang tidak termasuk dalam undang-undang kerana Dialah yang menciptanya untuk kepentingan semua makhluk. 3. Undang-undang Islam berhubung rapat dengan soal akhlak atau perasaan di hati. Islam menganggap budi pekerti yang baik sebagai sendi masyarakat. Oleh kerana itu tiap-tiap berbuatan yang bertentangan dengan akhlak tetap akan menerima balasan dan hukuman, sama ada di dunia ataupun di akhirat. Mana-mana kes yang mempunyai bukti dan keterangan yang lengkap akan dihukum di dunia ini manakala kes-kes yang tidak terang dan tersembunyi ia tetap juga akan menerima hukuman di hadapan Hakim Yang Maha Adil. Berbanding dengan undang-undang positif yang boleh dikatakan mengenepikan langsung soal akhlak. Undang-undang positif akan mengambil tindakan kepada seorang hanya apabila perbuatannya itu membawa kerosakan secara langsung kepada orang lain, sebagai contohnya ialah perbuatan zina yang tidak dianggap oleh undang-undang positif sebagai satu kesalahan dan orang yang melakukannya tidak dikenakan hukuman kecuali jika sekiranya dilakukan dengan diperkosa atau tanpa kerelaan sebelah pihak. Undang-undang Islam menganggap perbuatan zina itu adalah perbuatan keji yang bertentangan dengan akhlak walaupun ia dilakukan dengan kerelaan kedua belah pihak. Pada lahirnya zina yang dilakukan dengan kerelaan kedua belah itu tidak ada pencabulan tetapi pada hakikatnya perbuatan itu adalah mencabuli kehormatan manusia iaitu dengan merosakkan keturunan umat manusia yang memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dengan kelahiran anak-anak yang tidak berbapa. Perbuatan itu juga mencabuli peraturan Allah, kerana Islam telah mengatur manusia supaya melakukan persetubuhan jenis itu melalui akad nikah yang sah bukan mengikut cara yang dilakukan oleh haiwan. Dengan sebab itu pesalah-pesalah zina tetap dikenakan hukuman walaupun mereka melakukannya dengan kerelaan kedua belah. Begitu juga perbuatan minum arak, undang0undang Islam memandang perbuatan itu satu kesalahan walaupun si peminum itu tidak sampai menggangu ketenteraman orang ramai. Sedangkan undang-undang ciptaan manusia tidak mengaggap meminum arak itu satu kesalahan melainkan jika peminum tersebut berada di khalayak ramai sehingga menggangu ketenteraman orang ramai. Pada lahirnya memanglah perbuatan itu tidak mencerobohi siapa tetapi pada hakikatnya minuman arak itu boleh merosakkan akal fikirang manusia yang dijadikan Allah untuk memandu manusia ke jalan yang benar. Apabila akal sudah rosak dengan sebab minum arak, itu boleh menjadi punca kepada perbuatan keji yang akhirnya membahayakan masyarakat umum. Dengan adanya pertalian yang rapat di antara undang-undang jinayat Islam dengan masalah-masalah akhlak, maka ia menjadikan seorang mukmin itu merasai bahawa tiap langkah dan tindak tanduknya sentiasa dalam perhatian Allah s.a.w. walaupun perbuatannya tidak diketahui oleh manusia. Dengan adanya kesedaran sedemikian maka setiap individu muslim akan menjauhkan diri dari melakukan sebarang kesalahan kerana takutkan Allah melebihi yang selain daripadaNya. Jenis-jenis
kesalahan Kesalahan dalam undang-undang Islam adalah berpunca daripada pencabulan masalah atau kepentingan yang wajib dijaga oleh setiap muslim. Masalah yang wajib dilindungi dengan mengenakan hukuman kepada pencerobohannya adalah berpangkal pokok daripada lima prinsip, iaitu menjaga Al-Din, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda. Ini ialah kerana kehidupan manusia di dunia ini bergantung pada kepentingan-kepentingan tersebut. Tida ada ertinya hidup manusia jika tidak cukup sempurna, atau terganggu masalah-masalah tersebut. Dengan sebab itu jika berlaku pencerobohan ke atas masalah itu maka permusuhan itu mestilah dilawan dengan hukuman yang sepadan. 1. Melindungi kepentingan agama Islam salah satu kemuliaan yang diberikan kepada manusia. Oleh itu i’tiqad muslim, mestilah dibetulkan, diberikan kebebasan beragama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam. 2. Menjaga kehormatan nyawa bermakna memberi hak untuk hidup yang mulia. Termasuk dalam jumlah ini menjaga anggota tubuh daripada dirosakkan, juga di kehendaki menjaga maruah dan kehormatan daripada kena hina diberikan kebebasan berfikir, berkerja dan tinggal. 3. Menjaga akal fikiran daripada kerosakan yang menjadi tuannya suatu beban kepada masyarakat, dan punca kejahatan. Oleh kerana itu Islam menghukum pemium-peminum arak dan seumpamanya. 4. Menjaga keturunan manusia supaya setiap bayi dididik oleh kedua ibu bapanya. Oleh sebab itu diadakan peraturan nikah kahwin dalam Islam. Islam melarang perhubungan yang tidak mengikut syarak, walau macam mana cara dan bentuknya: Begitu juga Islam melarang menuduh zina kepada orang-orang yang tak bersalah kerana tuduhan itu boleh merosakkan nama baiknya. Untuk menjaga kepentingan ini Islam mengenakan hukuman ke atas pesalah-pesalah zina dan membuat tuduhan palsu zina dan sebagainya yang dianggap mencerobohi keturunan. 5. Menjaga harta benda dengan melalui hukuman potong tangan ke atas orang-orang yang merosakkan harta benda sama ada dengan mencuri, menipu, rasuah dan sebagainya. Diwajibkan menjaga harta benda dengan membahagikannya dengan cara yang adil dan dilarang memakan harta benda dengan cara batil. Sebab itu Islam mengadakan hukuman-hukuman bagi melindungi kepentingan-kepentingan tersebut. Berasaskan kepada masalah yang tersebut itu ulamak membahagikan kesalahan dan hukuman kepada tiga jenis (i) Hudud, (ii) Qisas dan (iii) Takzir. (i) Hudud : Hudud himpunan perkataan yang berti menahan atau menegah yang maksudnya hukuman hudud ini dapat menahan daripada berlakunya pencerobohan. Menurut istilah syarak hudud adalah hukuman-hukuman yang telah ditentukan terlebih dahulu oleh syarak (Allah) melalui nas-nas daripada Al-Quran dan Hadith nabi kerana kesalahan yang melibatkan hak Allah. Yang dimaksudkan dengan kesalahan hak Allah ialah yang mengenai kepentingan masyarakat umum yang boleh merosakkan ketenteraan orang ramai dan hukum-hukumnya pula membawa manafaat kepada mereka. Kesalahan hudud yang dianggap mencerobohi hak Allah atau kepentingan orang ramai itu ialah Mencuri, Harabah, Zina, Qazf, minuman khamr dan Riddah. (ii) Ta’zir : Dari segi bahasa Ta’zir berasal dari katakerja yang bererti menolak atau menghalang. Ia juga boleh diertikan sebagai menolong sperti dalam ayat Al-Quran 4 dan juga bererti penghormatan kerana apabila seseorang itu dikenakan hukuman Takzir dan di halang daripada perbuatan salah maka dengan secara tak langsung diberi penghormatan. Hukuman ini di namakan Takzir kerana dengan adanya hukuman tersebut akan dapat menghalang pesalah-pesalah dari melakukan atau mengulangi kejahatannya. Menurut istilah syarak takzir adalah sejenis hukuman yang tidak ditetapkan kadarnya oleh syara’ kerana kesalahan-kesalahan yang lain daripada yang dikenakan hukuman hudud dan kaffarah. Jadi untuk menentukan kadarnya maka terpulang kepada budi bicara dan kebijaksaan pemerintah atau qadhi. Perbezaan Hudud, Qisas dan Takzir Terdapat perbezaan di antara hudud dengan qisas dari satu sudut dan di antara kedua-duanya dengan ta’zir dari sudut yang lain. Di antara perbezaan-perbezaan itu adalah : 1. Di dalam kesalahan-kesalahan hudud dan qisas Qadhi tidak ada pilihan untuk menentukan hukuman-hukumannya kerana ia telah ditetapkan oleh syarak terlebih dahulu. Oleh itu jika seorang penjenayah telah disabitkan melakukan kesalahan maka bagi qadhi hanya menjatuhkan hukuman atau hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oloeh syarak dengan tidak boleh ditambah atau dikurangkan atau diganti dengan hukuman lain atau digantungkan hukuman itu. Katakan seorang itu dituduh mencuri, maka qahdi apabila telah puas hati bahawa yang ditufuh telah sabit kesalahannya hendaklah menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri tersebut. Begitu juga dalam kes bunuh apabila qadhi telah berpuas hati bahawa yang dituduh telah sabit kesalahannya, maka dia hendaklah menjalankan hukuman mati sebagai hukuman qisas. Ada sedikit perbezaan di antara qisas dan hudud iaitu dalam qisas, qadhi tidak boleh menjatuhkan hukuman qisas ke atas penjenyah jika mangsanya atau warisnya mengampunkan penjenayah, bahkan qadhi boleh menjatuhkan hukuman takzir yang munasabah. Manakala dalam kesalahan Hudud, qadhi mesti menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah walaupun ia di ampunkan. Ini ialah kerana hudud diwajibkan bagi kesalahan yang melibatkan hak Allah atau hak orang ramai manakala qisas pula diwajibkan ke atas kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak perseorangan. Jadi orang-orang yang mempunyai hak itu boleh menuntut dijakankan hukuman berkenaan atau mengampunkannya. Sedangkan dalam hukuman takzir, qadhi mempunyai kuasa yang luas dalam memilih mana-mana hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Dalam memilih hukuman yang sesuai itu qadhi mengambilkira tentang keadaan tertuduh dan keadaan kesalahan itu dan kesan-kesannya kepada masyarakat. 2. Hukuman hudud dan qisas adalah wajib dijalankan. Qadhi tidak mempunyai kuasa untuk mengampun, menggugurkan atau memberi keringanan, kecuali dalam qisas iaitu orang yang mempunyai hak boleh mengampunkan pesalah tersebut. Adapun dalam takzir, jika kesalahan itu melibatkan hak Allah maka mengikut kaedahnya wajib menjalankannya tetapi dibolehkan untuk memberi keampunan atau keringanan jika pada pandangan qadhi ada kebaikannya. Takzir yang melibatkan hak perseorangan pula maka tuan punya hak yang berhak sama ada mengampunkan atau sebaliknya. 3. Untuk mensabitkan kesalahan-kesalahan hudud dan qisas mengikut pendapat jumhur adalah dengan keterantan-keterangan saksi-saksi dan pengakuan orang-orang yang bersalah dengan syarat-syaratnya yang tertentu. Manakala dalam ta’zir tidak semestinya disabitkan dengan bukti-bukti yang tersebut di atas. 4. Hukuman hudud dan qisas tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak kerana penjenayah yang boleh dikenakan hudud mestilah orang yang baligh. Sedangkan hukuman takzir boleh dikenakan kepada kanak-kanak kerana takzir adalah sebagai pengajaran.
|