BAB
ENAM
Sebab-Sebab Yang Menggugurkan Hukuman Qisas
WALAUPUN hakim
mahkamah telah menjatuhkan hukuman qisas
kepada penjenayah bunuh, tetapi hukuman tersebut boleh digugurkan
dengan sebab-sebab berikut :
1.
Kematian Pembunuh
2.
Pengampunan
3.
Pendamaian
4.
Pewarisan Tuntutan Qisas (irth al-dam)
Kematian Pembunuh
Hukuman
qisas akan gugur
dengan sendirinya jika pembunuh yang telah disabitkan kesalahannya itu
meninggal dunia. Lantaran
orang yang sudah mati itu tidak perlu dikenakan hukuman mati lagi.
Setelah hukuman qisas itu
digugurkan daripada penjenayah yang telah mati, timbul persoalan sama ada
wajib atau tidak hukuman diyat
diambil daripada harta pembunuh
yang telah mati itu. Imam Abu
Hanifah dan Imam Malik berpendapat
bahawa dengan kematian
pembunuh itu, gugurlah kedua-dua hukuman
qisas dan diyat kerana hukuman yang telah ditetapkan kepada penjenayah bunuh
hanya qisas sahaja.
Oleh itu tidak boleh ditukakan dengan hukuman
diyat. Tidak ada
perbezaan sama ada kematian pembunuh itu disebabkan sakit atau dibunuh
orang dan sama ada dibunuh dengan hak seperti dihukum bunuh atau dibunuh
tanpa hak.
Imam Shafie dan Ahmad pula berpendapat bahawa dengan kematian
pembunuh itu maka gugurlah hukuman qisas
kepadanya. Akan tetapi
diwajibkan diyat dari
harta peninggalannya, kerana menurut
pendapat mereka, hukuman yang
wajib dalam kes bunuh ialah
salah satu daripada hukuman qisas
atau diyat. Jadi apabila
hukuman qisas telah
digugurkan kerana kematian penjenayah, maka diwajibkan hukuman yang satu
lagi iaitu hukuman diyat sebagai
gantinya.
Pengampunan
Semua fuqaha’ sependapat
bahawa jika pembunuh itu dimaafkan oleh wali al-dam
maka gugurlah hukuman qisas bunuh dari penjenayah
tersebut, kerana hukuman qisas bukanlah suatu
perkara yang wajib dituntuta oleh wali
al-dam, malahan lebih baik bagi wali
al-dam jika mereka mahu boleh memaafkan pejenayah berkenaan.
Ini berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’.
Antaranya firman Allah Taala :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang mendapat suatu kemaafan dari saudaranya
hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah
(yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada
yang memberi maaf
dengan cara yang baik pula. Yang
demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu kerahmatan”
Firman –Nya lagi :
Maksudnya :
“Dan telah Kami tetapkan terhadap mereka di dalamnya (al-Taurat)
bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, dan mata dibalas dengan
mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas
dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka
hendaklah dibalas dengan seimbang. Barangsiapa
yang melepaskan (hak qisas)nya, maka melepaskan hak jitu menjadi
penebus dosa baginya”.
Firman-Nya lagi :
Maksudnya :
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka
barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (kehendak)
Allah.”
Nas-nas al-Quran di atas diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah
s.a.w. antaranya :
a.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. berkata :
Maksudnya :
“Aku tidak melihat
Rasulullah s.a.w. apabila dikemukakan
sesuatu yang mengenai qisas, melainkan dia menyuruh suapay diampunkan”.
b. Daripada Abu
al-Darda dia berkata, aku
mendengar Rasulullah bersabda :
Maksudnya :
“Mana-mana orang yang ditimpa sesuatu di badannya lalu dia
bersedeqah dengannya, nescaya Allah meningkatkan darjatnya dan dihapuskan
dosa daripadanya”.
Menurut Imam Syafie dan Hanbali apabila wali
al-dam telah memaafkan
penjenayah, ertinya dia telah menarik
balik dari menuntut hukuman qisas
atau diganti dengan hukuman diyat.
Orang yang tidak mahu menuntut qisas kerana dia telah memaafkan
dan orang yang meminta
ditukar qisas kepada diyat
juga
kerana dia telah memaafkan. Oleh
itu pertukaran hukuman daripada qisas
kepada diyat tidak
perlu persetujuan penjenayah.
Manakala Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat jika hukuman qisas
diganti dengan hukuman diyat
ianya tidak dianggap sebagai
suatu pengampunan, tetapi dianggap sebagai sulh
atau berdamai.
Oleh sebab itulah jika tuntutan qisas
itu ditukar kepada tuntutan
diyat maka perlu
kepada persetujuan penjenayah untuk membayar diyat.
Untuk menjelaskan lagi kedudukan pengampunan elok juga dibincangkan
perkara-perkara berikut :
1.
Syarat-syarat pengampunan
2.
Orang yang berhak mengampunkan
Syarat-syarat Pengampunan
Memberi maaf kepada penjenayah adalah diharuskan dengan apa juga
bentuk yang memberi makna kemaafan. Sungguhpun
demikian, kemaafan yang boleh menggugurkan hukuman qisas hendaklah mematuhi syarat-syarat berikut :
(a)
Orang yang memberi maaf itu adalah orang
yang baligh dan
waras akal fikirannya. Ertinya
jika dia masih kanan-kanak
maka tidak boleh diterima kemaafannya.
Begitu juga jika dia seorang yang
gila tidak boleh diterima kemaafannya, berasaskan kepada sabda Rasulullah
s.a.w. :
Maksudnya :
“Diangkat qalam daripada tiga orang; daripada orang yang tidur
hingga dia terjaga; daripada kanak-kanak
sehingga dia baligh dan daripada orang gila sehingga dia sembuh”.
(b) Orang yang memaafkan itu
memberikannya dengan kerelaannya
sendiri dan bukan kerana
dipaksa, sama ada paksaan itu dibuat dengan cara
mengugut, memukul atau merampas
hartanya dan sebagainya, asalkan orang yang dipaksa itu tidak dapat
melawannya.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah melepaskan kepada umatku kerana tersalah,
terlupa dan suatu yang dipaksakan ke atasnya.”
(c)
Kemaafan itu diberi oleh orang yang mempunyai hak, ertinya jika
ianya diberi oleh orang yang
tidak berhak memaafkan maka
tidak ada apa-apa kesan dari
pengampunannya kerana memberi
kemaafan ertinya menggugurkan
haknya dan tidak ada siapa
yang boleh menggugurkan haknya melainkan orang yang
mempunyai hak. Orang
yang berhak dalam kes kecederaan anggota tubuh badan ialah orang yang
dicederakan tubuh badannya. Tetapi
orang yang berhak memaafkan dalam kes pembunuhan tidak disepakati oleh
ulamak (yang akan dibincang kemudian).
(d)
Pengampunan itu diberi oleh semua wali ad-dam.
Oleh itu jika hanya sebahagian wali sahaja yang memaafkan
penjenayah maka hukuman qisasi tidak boleh
digugurkan daripadanya menurut pendapat Imam Malik.
Akan tetapi mengikut pendapat majoriti ulamak pengampunan oleh
salah seorang wali al-dam boleh
menggugurkan qisas berdasarkan kepada riwayat yang mengatakan
bahawa seorang pembunuh telah dibawa ke hadapan Sayyidina Umar. Kemudian anak-anak
mangsa bunuh datang, sebahagiannya mengampunkan
penjenayah tersebut. Lalu
Umar bertanya pendapat Ibn Mas’ud, beliau menjawab, “pembunuh itu
terlepas daripada hukuman bunuh”.
Ibn Mas’ud menerima pengampunan dari sebahagian anak mangsa
jenayah itu, boleh menggugurkan
hukuman qisas tanpa
mengambil kira pendapat waris-waris
yang lain. Pendapat ini
dikuatkan lagi dengan
ayat 178 Surah al-Baqarah
yang mana perkataan “
” itu adalah umum
sama ada bermakna
sedikit atau banyak. Dan juga
sabda Nabi s.a.w. maksudnya “Kepada keluarga mangsa bunuh
hendaklah menahan daripada qisas
jika salah seorang keluarganya memaafkannya maka kemaafan adalah
diharuskan”. Selain dari itu kerana dengan pengampunan oleh setengah
ahli waris itu boleh menimbulkan kesamaran
dan ketidak-jelasan. Sedangkan
syubhah atau
kesamaran itu boleh melepaskan hukuman qisas.
Orang Yang Berhak Mengampunkan
Ulamak tidak sependapat mengenai orang yang berhak memberi
pengampunan. Menurut Imam Abu
Hanifah, al-Shafie dan satu riwayat dari
Imam Ahmad menyatakan bahawa orang yang berhak
menuntut qisas itulah juga yang berhak
mengampunkan iaitu semua waris,
sama ada lelaki atau perempuan dan sama ada
mereka menerima pusaka melalui pembahagian pusaka atau
‘asabah’. Ini
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang (waris) baginya dibunuh maka ahlinya diberi
pilihan antara dua”
Perkataan :ahl” yang
disebutkan dalam hadis di atas adalah umum, sama ada lelaki atau perempuan.
Begitu juga menurut
satu riwayat bahawa ada seorang lelaki yang membunuh dengan sengaja,
tetapi sebahagian wali
kepada mangsa bunuh itu memaafkan
penjenayah tersebut. Apabila
kes itu dikemukakan kepada Sayyidina Umar yang menjadi khalifah pada masa
itu, diapun bertanya
kepada Ibn Mas’ud.
Ibn Mas’ud menjawab :
Maksudnya :
“Jika sebahagian wali
memaafkan penjenayah maka tidak wajib qisas ke atasnya”.
Sayyidina Umar menyetujui pendapat Ibn Mas’ud di atas.
Dalam riwayat ini Ibn Mas’ud tidak membezakan antara setengah
wali dengan wali yang lain. Oleh
itu hak memberi ampun adalah semua wali waris.
Begitu menurut satu riwayat bahawa seorang pembunuh telah dibawa ke
hadapan Umar r.a., tiba-tiba wali-wali mangsa
bunuh datang ke situ untuk membunuh si pembunuh.
Lalu saudara perempuan
kepada pembunuh yang juga isteri mangsa
bunuh berkata, “aku ampunkan bahagianku dari (orang yang membunuh)
suamiku”. ‘Umar r.a. telah menerima pengampunan dari isteri mangsa
sebagai alasan yang menggugurkan hukuman qisas.
Selain dari itu jika tiap-tiap waris boleh memiliki hak pengampunan
dari bahagian diyat dalam
kes membunuh secara tersalah
atau tidak sengaja, maka lebih baik lagi dalam kes membunuh dengan sengaja
sepatutnya semua waris berhak memberi
pengampunan kepada penjenayah.
Manakala menurut Imam Malik dari satu riwayat dari Imam
Ahmad menyatakan bahawa hak pengampunan hanya diberi kepada ahli
‘asabah yang lelaki dan
tidak kepada ahli ‘asabah
wanita’. Ini kerana
pada pandangan mereka kaum wanita dalam
banyak perkara tidak
mempunyai kekuasaan (wilayah)
seperti dalam urusan perkahwinan dan kehakiman.
Maka mereka juga tidak mempunyai kuasa pengampunan dalam masalah qisas.
Selain dari itu hak
menuntut qisas diberikan
kepada wali ad-dam kerana mereka
mempunyai daya pertolongan dan bantuan, sedangkan
kaum wanita bukan dari
jenis yang boleh memberi
bantuan dan pertolongan.
Oleh itu maka munasabahkah kaum wanita tidak ada hak untuk
mengampunkan penjenayah.
Setelah menelita pendapat-pendapat
di atas, maka pendapat kebanyakkan ulamak adalah lebih munasabah
kerana alasan-alasan yang diberikan lebih kuat.
Lebih-lebih lagi kerana tidak ada dalil
yang kuat yang mengecualikan sebahagian ahli waris dari memiliki
hak pengampunan. Malahan
banyak ayat-ayat al-Quran yang menyarankan supaya memberi kemaafan kepada
penjenayah.
Masa Pengampunan
Wali al-dam boleh
mengampunkan penjenayah itu sama ada sebelum atau
sesudah matinya mangsa
jenayah. Jika wali al-dam itu
mengampunkan penjenayah selepas matinya
mangsa berkenaan, maka
gugurlah hukuma qisas dari
pada penjenayah itu, sama ada pengampunan
itu diberikan secara umum
ataupun pengampunan itu
bermaksud dimaafkan dari hukuman qisas
tetapi diganti dengan hukuman diyat, dan sama ada penjenayah
itu bersetuju atau tidak dengan bayaran diyat.
Ini adalah pendapat kebanyakkan ulamak .
Kecuali Imam Malik yang berpendapat bahawa hak tuntutan qisas
tidak gugur kecuali jika penjenayah itu sendiri bersetuju membayar
diyat jika
pengampunan daripada hukuman qisas
itu ditukar dengan bayaran diyat.
Perselisihan ulamak itu adalah berpunca dari pandangan mereka
mengenai hukuman qisas
yang telah diampunkan kepada penjenayah
itu sama ada secara atomatis boleh diganti dengan hukuman diyat
tanpa persetujuan dan kerelaan penjenayah atau tidak boleh
diganti dengan diyat kecuali
dengan persetujuan penjenayah, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Sebaliknya jika pengampunan wali itu diberikan kepada penjenayah,
sebelum mangsanya meninggal
dunia, walaupun dalam keadaan luka parah, maka menurut Imam
al-Shafie , dan Zahari pengampunan
seperti ini tidak sah dan tidak memberi
kesan untuk membebaskan dari
hukuman qisas kerana wali
al-am itu
mengampunkan kepada orang yang belum diwajibkan kepada penjenayah
selepas mati mangsanya. Begitu
juga menggugurkan dari hukuman
bunuh memerlukan kepada adanya pembunuhan, sedangkan kematian belum
berlaku lagi. Jadi,
oleh kerana belum sampai masanya untuk memberikan kemaafan, maka kemaafan
seperti itu tidak sah.
Setengah ulamak pula berpendapat bahawa pengampunan yang diberikan
kepada penjenayah itu selepas mangsa
itu luka parah, tetapi sebelum ia
mati, adalah sah kerana luka yang parah itu menunjukkan akan berlaku
kematian. Oleh itu pengampunan yang dibuat pada masa itu adalah sah
kerana walaupun tidak berlaku lagi kematian pada masa itu, tetapi telah
wujud sebab-sebabnya iaitu luka
yang boleh membawa maut. Oleh
itu maka pengampunan yang diberikan
kepada penjenayah selepas mangsa luka parah yang
mungkin boleh membawa maut adalah sah dan mempunyai kesan dalam
menggugurkan hukuman qisas.
Pengampunan Dari Pemerintah
Apa yang dibincangkan di atas ialah mengenai pengampunan kepada
penjenayah dari waris mangsa
bunuh yang mempunyai wali
atau waris. Bagi
mangsa bunuh yang tidak mempunyai
wali lagi maka siapakah yang berhak menuntut haknya kepada
penjenayah.
Semua ulamak sependapat bahawa jika mangsa bunuh itu tidak
mempunyai waris yang menuntut
qisas
maka sultan atau pemerintah yang menjadi walinya dan berhak
menuntut hukuman qisas
berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w. :
Maksudnya :
“Sultan menjadi wali bagi orang yang tidak ada wali”.
Ini kerana kuasa
pemerintah adalah menyeluruh termasuk perkara yang berkaitan dnegan qisas
sebagai kekuasaan yang khas. Oleh
itu jika mangsa pembunuhan itu tidak diketahui ibu bapanya
dan kaum kerabatnya maka pemerintah (wali al-amr) yang berhak untuk menuntut hukuman qisas
terhadap pembunuhnya.
Ada sedikit perselisihan pendapat ulamak mengenai kuasa pengampunan
sultan atau wali al-amr terhadap
qisas atau diyat. Ulamak mazhab Hanafi , Shafie dan Hanbali berpendapat bahawa
terpulang kepada wali al-amr sama ada hendak mengampunkan daripada qisas ataupun mengampunkan
hukuman qisas dengan diganti kepada
hukuman diyat. Manakala ulamak mazhab
Maliki dan setengah mazhab Hanbali berpendapat bahawa sultan hanya berhak
untuk mengampunkan hukuman qisas
dan tidak berhak untuk mengampunkan yang lain daripadanya sama ada
hukuman berupa harta atau bukan, kerana
jika sultan diberi kuasa untuk mengampunkan apa juga hukuman maka
ini akan memberi galakan untuk
membunuh orang yang tidak ada waris dan hal ini adalah bertentangan dengan
tujuan disyariatkan qisas.
Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa sultan itu diberi hak
mengampunkan seperti mana hak
yang dipunyai oleh wali, iaitu dia
boleh mengampunkan kepada penjenayah daripada apa juga
hukuman, sama ada qisas,
diyat atau lain-lain hukuman.
Walau bagaimanapun pendapat kebanyakkan ulamak adalah yang paling
tepat kerana sultan dalam kes
qisas
adalah mengambil tempat wali
al-dam.
Mengikut kebiasaanya sesiapa yang menggantikan tempat
seseorang maka dia berhak seperti
mana hak orang yang
digantikannya. Cuma sultan
tidak berhak untuk mengampunkan semua hukuman; kerana jika demikian akan
menghapuskan kepentingan umat Muslimin.
Hal ini berbeza dengan
kedudukan wali al-dam yang
boleh mengampun apa juga hukuman
kerana adanya kebaikan dari pengampunan itu iaitu untuk mengharapkan
balasan pahala di akhirat.
Perdamaian (Sulh)
Semua ulamak sependapat bahawa
perdamaian (sulh) yang dibuat antara wali
al-dam dengan penjenayah
adalah dibenarkan dalam Islam.
Persetujuan yang dicapai antara kedua belah pihak untuk menukarkan
hukuman qisas dengan hukuman diyat
sama ada
dengan kadar yang lebih tinggi atau yang serupa atau yang lebih
rendah adalah sah dan diterima. Dengan
perdamaian dan persetujuan kedua-dua belah pihak maka hukuman qisas
boleh digugurkan daripada penjenayah berdasarkan kepada al-Sunnah
dan Ijma’.
Rasulullah s.a.w. :
Maksudnya :
“Barangsiapa yang membunuh secara sengaja hendaklah diserahkan
kepada wali-wali mangsa jenayah bunuh, jika mereka mahu mereka
bolehlah menuntut hukuman
bunuh dan jika mereka mahu mereka boleh mengambil diyat iaitu 30 ekor
huqqah, 30 ekoar jaza’ah dan 40 ekor hifah dan apa-apa dipersetujui oleh
mereka adalah untuk mereka”.
Selain dari itu oleh
kerana qisas
adalah hak bagi waris mangsa jenayah, maka sesiapa sahaja yang
mempunyai hak boleh menguruskan haknya mengikut kehendaknya, seperti mana wali mempunyak hak untuk
menggugurkan hukuman qisas tanpa
diganti dengan hukuman lain seperti dalam kes pengampunan. Maka begitulah
juga wali berhak untuk menggugurkan hukuman qisas tetapi menuntut ganti hukuman diyat .
Begitu juga oleh kerana tujuan
disyariatkan qisas ialah
untuk menjaga dan melindungi nyawa orang ramai daripada ancaman dan
permusuhan. Jadi
dengan adanya perdamaian antara penjenayah dengan wali mangsa
jenayah akan mententeramkan keadaan dan akan menghapuskan
perasaan balas dendam. Lebih-lebih
lagi kerana perdamaian tidak boleh dicapai
melainkan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perbezaan Antara Pengampunan Dan Perdamaian
Pengampunan dalam konteks hukuman qisas bererti menggugurkan
tuntutan qisas tanpa menuntut
hukuman ganti. Manakala
berdamai pula ertinya persetujuan untuk menggugurkan hukuman yang asal
dengan hukuman lain sebagai ganti. Oleh
itu menurut Imam Malik dan Abu Hanifah bahawa pengampunan daripada
hukuman qisas kepada hukuman diyat dikira sebagai persetujuan
damai (sulh)
dan bukan sebagai
pengampunan. Justeru
menurut kedua-dua mazhab di
atas bahawa hukuman yang telah ditetapkan
kerana kesalahan membunuh dengan
sengaja ialah qisas,
sedangkan diyat
tidak dibolehkan kecuali
dengan persetujuan penjenayah. Oleh
itu bertukarnya daripada hukuman qisas kepada diyat
perlu kepada persetujuan penjenayah.
Manakala Imam Shafie dan
Ahmad berpendapat bahawa pengampunan
daripada hukuman qisas kepada
hukuman diyat tetap sebagai pengampunan dan bukannya sebagai sulh
(berdamai), kerana hukuman
yang telah ditetapkan kepada pesalah bunuh dengan sengaja menurut
mazhab ini ialah salah satu daripada
dua hukuman, sama ada
hukuman qisas atau diyat.
Oleh itu terpulanglah kepada wali untuk memilih mana-mana satu
antara dua hukuman di atas tanpa persetujuan penjenayah berkenaan.
Orang Yang Berhak Untuk Berdamai
Orang jyang berhak untuk menuntut qisas dan yang berhak
memberi kemaafan
itulah juga orang yang berhak untuk berdamai (sulh).
Oleh itu hukum-hukum mengenai perdamaian
(sulh) mengikut
pendapat ulamak adalah sama seperti hukum-hukum mengenai hak qisas
dan pengampunan, seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Hukuman qisas boleh
digugurkan dengan adanya persetujuan semua wali ataupun dengan persetujuan
sebahagian mereka, kerana qisas
adalah menjadi hak setiap wali al-dam . Oleh itu
mereka semua berhak untuk berdamai seperti mana kedudukan
perkara-perkara yang dimiliki bersama.
Begitu juga jika salah seorang
daripada wali-wali itu menggugurkan tunttuan qisas
maka akan gugur juga
tuntutan orang lain kerana hukuman qisas
tidak boleh dibahagikan. Oleh
itu wali yang tidak berdamai untuk
melepaskan hukuman qisas
boleh menuntut hukuman diyat untuk
bahagiannya, disebabkan mereka tidak dapat melaksanakan hukuman qisas kerana perdamaian dan persetujuan sebahagian dari
wali. Oleh yang
demikian maka berpindahlah hak orang yang tidak mahu berdamai kepada
hukuman diyat.
Syarat-syarat Sulh (Berdamai)
Ulamak menggariskan beberapa syarat bagi menentukan suatu sulh
atau perdamaian itu sah, antaranya :
(i)
Hukuman ganti yang dipersetujui itu hendaklah suatuyang dihalalkan
dalam Islam. Oleh itu
sekiranya perkara yang menjadi ganti
kepada hukuman qisas
itu diharamkan seperti arak, judi,
berzina, maka perdamaian dengan cara yang
diharamkan itu tidak sah. Timbul
persoalan sama ada perdamaian seperti ini boleh menggugurkan hukuman qisas atau tidak ?
Menurut Mazhab Shafie dan Hanbali berdamai dengan cara seperti ini
tetap menggugurkan hukuman qisas,
tetapi hendaklah ditukar dengan hukuman diyat.
Manakala mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa berdamai dengan cara
ini boleh menggugurkan qisas
dengan tidak payah diganti diyat,
sedangkan mazhab Maliki pula
berpendapat bahawa berdamai dengan menggunakan
cara yang haram tidak melepaskan hukuman qisas
kerana seolah-olah tidak berlaku perdamaian.
(ii)
Barang yang dipersetujui sebagai ganti kepada hukuman qisas
hendaklah diketahui oleh kedua-dua belah pihak.
(iii)
Perjanjian damai itu hendaklah tidak mengandungi
perkara-perkara untuk menghalalkan benda yang haram atau
mengharamkan suatu yang halal, sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang
bermaksud, “Berdamai itu
diharuskan antara sesama Muslimin,
kecuali persetujuan untuk menghalalkan perkara yang diharamkan ataupun mengharamkan suatu yang dihalalkan”.
(iv)
Orang yang berdamai itu hendaklah terdiri dari orang yang berwibawa
dan mampu menjalankan tugasnya dengan baik seperti orang dewasa, waras
akalnya dan bertindak dengan kehendaknya sendiri, bukan paksaan.
Pembunuh itu sendiri mewarisi hak menuntut qisas (irth al-dam)
Satu lagi sebab yang boleh menggugurkan hukuman qisas
ialah jika pembunuh itu sendiri yang berhak menuntut hukuman qisas.
Sepertimana telah dinyatakan sebelum ini bahawa hukuman qisas bunuh wajib dijatuhkan ke
atas pembunuh jika ada tuntutan dari waris mangsa jenayah yang berhak.
Ertinya jika tidak ada
tuntutan dari waris mangsa
jenayah itu, maka gugurlah hukuman qisas.
Begitu juga jika orang yang berhak menuntut hukuman qisas
itu adalah penjenayah itu sendiri, maka gugurlah hukuman qisas
bunuh. Sebagai contoh,
katakanlah seorang lelaki bernama Zaid, tidak mempunyai waris
kecuali dua orang anak lelaki yang seorang
bernama Baha dan yang seorang bernama Zaki.
Tiba-tiba si anak yang bernama Baha membunuh bapanya sendiri,
selepas itu pula didapati si Zaki telah
meninggal dunia.
Sedangkan sepatutnya
oleh kerana Zaki tidak membunuh bapanya, maka dialah
yang berhak menuntut qisas kepada Baha.
Akan tetapi apabila Zaki telah
meninggal dunia lebih dahulu, maka hak tuntutan qisas
itu berpindah kepada Baha, iaitu anak yang membunuh bapanya
sendiri. Oleh itu
andainya hukuman qisas itu diwajibkan
kepada orang yang berhak menuntut qisasi,
seolah-olah dia menuntut supaya
hukuman qisas dijalankan ke atas dirinya sendiri, hal seperti ini tidak dapat dibayangkan boleh berlaku.
Oleh itu maka gugurlah hukuman qisas jika pembunuhnya itu
sendiri adalah waris orang yang mewarisi hak qisas.
Satu lagi contoh
umpamanya seorang yang bernama Haris membunuh emak mertuanya (emak kepada
isteri). Kemudian isterinya yang sepatutnya berhak menuntut qisas kepada suaminya
kerana membunuh emak mertua telah meninggal dunia sebelum
dijalankan hukuman qisas, maka berpindahlah hak tuntutan qisas itu kepada suaminya
(pembunuh emak isterinya) sendiri. Oleh
itu maka gugurlah hukuman qisas kepada pembunuh berkenaan
kerana kalaulah diwajibkan qisas
kepadanya maka seolah-olah diwajibkan qisas
kepada diri orang yang berhak menuntut qisas sedangkan keadaan seperti ini tidak mungkin boleh berlaku.
Begitu juga hukuman qisas
boleh digugurkan jika yang menuntut hukuman tersebut tidak
mempunyai hak untuk menuntut hukuman
qisas ke atas pembunuhnya
seperti seorang anak yang
menuntut hukuman qisas
ke atas bapanya sendiri; sedangkan
seorang bapa yang membunuh anaknya sendiri tidak boleh
dihukum qisas mengikut pendapat
kebanyakan ulamak. Contohnya
seperti seorang suami
membunuh isterinya. Kedua-duanya
mempunyai seorang anak lelaki yang sepatutnya berhak menuntut qisas
ke atas orang yang membunuh emaknya. Tetapi
oleh kerana yang membunuh
emaknya itu adalah bapanya sendiri, maka anak itu tidak mempunyai
hak untuk menuntut qisas terhadap
bapanya sendiri. Oleh itu maka gugurlah hukum qisas
daripada pembunuh kerana orang yang menuntut hukuman qisas
itu tidak mempunyai hak untuk menuntutnya. Ini adalah
kerana jika bapa membunuh
anaknya tidak diwajibkan hukuman qisas
mengikut kebanyakkan ulamak, maka lebih-lebih lagi jika anaknya
sendiri yang menuntut hukuman qisas
ke atas bapanya sudah tentu digugurkan hukuman qisas daripadanya.
Wallahu
a’lam.