BAB EMPAT

 

 

Hukuman-hukuman Kerana Kesalahan Membunuh Dengan Sengaja

 

 

Orang  yang telah disabitkan kesalahan membunuh dengan sengaja boleh dijatuhkan hukuman asas, ganti dan hukuman tambahan.  Hukuman asas bagi penjenayah bunuh dengan sengaja qisas  dan hukuman ganti ialah diyat atau kaffarah.

 

            Manakala hukuman tambahan pula ialah diharamkan daripada  menerima pusaka, wasiat dan menanggung dosa.

 

 

Hukuman Qisas

 

Semua ulamak sependapat bahawa pembunuh itu dikenakan hukuman bunuh balas (qisas)  adalah sebagai satu hukuman yang telah ditetapkan secara putus (qat’i)  oleh syarak  berdasarkan kepada nas-nas al-Quran dan hadis  Nabi s.a.w. sebagaimana yang telah dibincangkan di permulaan Bab pertama.

 

            Apa yang dipertikaikan oleh ulamak ialah sama ada hukuman yang diwajibkan ke atas penjenayah itu hanya hukuman qisas  sahaja ataupun  wali  kepada mangsa jenayah itu boleh memilih salah satu antara hukum qisas  atau diyat.

 

            Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Thawri berpendapat bahawa hukuman yang diwajibkan  secara ta’yin  (tertentu)  ialah  hukuman qisas.  Dengan ini bererti bahawa wali mangsa jenayah bunuh itu hanya boleh menuntut  hukuman qisas  dan tidak boleh menuntut bayaran diyat  daripada penjenayah melainkan dengan persetujuannya.  Pendapat mereka itu berdasarkan kepada beberapa  dalil, antaranya :

 

            Maksudnya :

                     “Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh”

 

            Ayat ini menjelaskan bahawa yang ditetapkan atau yang diwajibkan ialah qisas.  Apabila suatu hukuman itu telah ditentukan, tidak boleh dipilih atau ditukar dengan hukuman yang lain .

 


 

            2.      Firman Allah S.W.T. :

 

                     Maksudnya :

                        “Barangsiapa yang menyerang , maka seranglah dia sepertimana dia menyerang kamu”.

 

            Manakala  dalam Surah al-Nahl (ayat 126)  bermaksud,“  Dan jika kamu membalas maka balaslah dengan balasan yang ditimpakan kepadamu”.

 

            Kedua-dua ayat di atas menjelaskan bahawa hukuman  yang dikenakan itu hendaklah menyamai jenayah yang dilakukan.  Hukuman qisas  bunuh balas memang menyamai dengan jenayah bunuh.

 

 

            3.         Hadis Rasulullah s.a.w. :

 

                        Maksudnya :

                                    “ Barangsiapa yang membunuh maka (balaslah) dengan qisas”

 

 

            Pada zahirnyag hadis ini menyatakan bahawa hukuman yang diwajibkan ke atas  pembunuh secara sengaja ialah qisas.  Kalaulah yang diwajibkan itu diyat  tentulah Nabi s.a.w. tidak hanya menyebutkan qisas sahaja.

 

 

            4.         Dalam kisah mengenai al-Rabi ketika wali mangsa jenayah bunuh itu bersungguh-sungguh tidak mahu menuntut hukuman qisas, maka Nabi s.a.w. bersabda:

 

            Maksudnya :

                        “Dalam kitab Allah (ada) qisas”.

 

            Hadis  tersebut menunjukkan bahawa mangsa jenayah bunuh hanya berhak  menuntut hukuman qisas dan juga Nabi s.a.w. tidak memberi kepada walinya untuk  memilih antara hukuman qisas  dan diyat.

 

 

            5.         Rasulullah s.a.w. bersabda :

 

                        Maksudnya      :

                              “Tidak halal harta seseorang Islam tanpa ada kerelaan hatinya.”

 

            Hadis ini menjelaskan bahawa tidak harus mengambil harta seseorang walaupun dia seorang  penjenayah melainkan dengan kerelaannya.

 

            Imam al-Shafie, Ahmad ibn Hanbal al-Auzai dan lain-lain berpendapat bahawa hukuman yang diwajibkan ialah  salah satu daripada dua, iaitu sama ada qisas  atau diyat.  Ini bermakna  wali mangsa jenayah  bunuh mempunyai pilihan sama ada untuk menuntut qisas  atau diyat.  Dan apabila telah memilih hukuman diyat,  maka wali mangsa jenayah boleh mengambil bayaran Diyat tanpa kerelaan dan persetujuan penjenayah.  Ini berdasarkan kepada  firman Allah Taala:

 

 

            Maksudnya :

         “Barangsiapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya, maka (yang memaafkan) hendaklah mengikuti dengan cara yang  baik dan hendaklah (yang diberi maaf)  membayar diyat kepada  yang memberi maaf dengan cara yang baik”

 

            Dalam mentafsirkan ayat di atas, Ibn Abbas berkata, “yang ada  pada Bani Israel hanya qisas dan tidak ada hukuman diyat”, lalu Allah menurunkan ayat tersebut. “Memaafkan”  dalam  konteks ini bermakna diyat  hendaklah dibayar bagi kesalahan membunuh dengan sengaja.  Manakala “turuti dengan baik”  ertinya  yang menuntut  hendaklah mengikut dengan baik  dan orang yang dituntut hendaklah menunaikan diyat  kepada yang menuntut dengan cara yang baik.  Ibn Abbas sebagai sahabat  Rasulullah tentu lebih mengetahui maksud firman Allah itu daripada  sahabat-sahabat yang lain kerana hubungannya yang rapat dan kerap  berjumpa Rasulullah.

 

            Sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Barangsiapa (warisnya) yang kena bunuh, maka ahli warisnya mempunyai  dua pilihan ; jika mereka suka, mereka boleh (menuntut) bunuh dan jika mereka suka mereka boleh ambil bayaran diyat”

 

            Sabda Nabi s.a.w.; dari Ibn Syaraih, aku mendengar Rasulullah bersabda :

 

            Maksudnya:

                     “Barangsiapa yang ditimpa musibah bunuh atau kerosakan anggota badan, ianya diberi pilihan salah satu dari tiga, sama ada qisas, diyat atau memaafkan.”

 

            Setelah meneliti kedua-dua pendapat di atas, kita mempunyai pendapat yang lain iaitu pandangan  pertengahan antara  kedua-dua pandangan di atas.  Hukuman yang diwajibkan ke atas  jenayah bunuh tetap qisas  kerana ianya merupakan hukuman asas dan kerana qisas  merupakan satu hukuman  dan balasan yang  setimpal  dan menyamai jenayah itu sendiri.  Begitu juga dengan  mewajibkan  hukuman qisas  ke atas pembunuh itu dapat memelihara kehidupan  masyarakat umum dalam keadaan aman tenteram, sebagaimana firman Allah Taala :

 

 

 

            Maksudnya :

                     “Dan kamu mendapat hidup dnegan (peraturan) qisas.”

            Juga firman  Allah yang bermaksud, “Dan telah Kami tetapkan  ke atas mereka (Bani Israel) dalam (kitab Taurat)  bahawa nyawa (dibalas) dengan nyawa, mata (dibalas) dengan mata” dan  sabda Nabi s.a.w.,ertinya, “membunuh dengan sengaja diwajibkan qisasI” dan lain-lain lagi.

 

            Akan tetapi jika dengan sebab-seban yang tidak dapat dielakkan sehingga hukuman  qisas  tidak dapat dijalankan maka bolehlah hukuman diyat  dikenakan ke atas penjenayah berkenaan.  Dengan kata lain bahawa wali kepada mangsa jenayah itu boleh menuntut bayaran diyat  sebagai ganti rugi tanpa persetujuan penjenayah berkenaan, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya,  “Barangsiapa yang ahli warisnya kena bunuh maka dia boleh memilih sama ada hukuman diyat atau qisas”.  Begitu juga oleh  kerana hukuman qisas  pun diwajibkan ke atas penjenayah tanpa  persetujuannya, maka begitulah hukuman diyat  juga boleh  dikenakan kepada penjenayah tanpa persetujuannya.

 

            Selain dari itu oleh kerana diyat  merupakan hukuman ganti daripada qisas  sebab itulah ianya diwajibkan apabila qisas  tidak dapat dijalankan.  Dan apabila qisas  telah dimaafkan oleh wali mangsa jenayah bunuh, maka ianya tidak boleh dituntut balik  kecuali jika  penjenauah itu tidak mahu membayar diyat  apabila  dituntut.

 

            Hukuman ganti daripada qisas  ada tiga iaitu diyat, kifarah dan takzir.

 

 

 

Hukuman Diyat

 

Diyat   ialah pembayaran sejumlah harta kerana  melakukan suatu jenayah ynag melibatkan nyawa atau anggota badan.  Diyat  bukanlah hukuman asal bagi kesalahan membuuh dengan  sengaja.  Ianua merupakan hukuman ganti daripada hukuman qisas.  Apabila qisas  tidak dilaksanakan sama ada kerana tidak mencukupi syarat-syaratnya ataupun kerana digugurkan hukuman qisas  dengan sebab-sebab yang tertentu.

 

            Sumber hukuman diyat  ialah al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’  Dalam Al-Quran Allah berfirman :

 

            Maksudnya:

                     “Dan barangsiapa membunuh seseorang mukmin secara  tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang  beriman serta membayar  diyat yang diserahkan kepada keluarga  (mangsa bunuh) kecuali  jika mereka  (keluarga mangsa) bersedekah”

 

 

 

 

 

            Menurut al-Sunnah adalah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. menulis kepada Amru ibn Hazm kepada penduduk Yaman dalam sebuah buku yang mengandungi  fardu-fardu, sunat-sunat dan diyat.  Antara lain menyebut bahawa  bagi satu nyawa diyatnya satu ratus unta.

 

            Kebanyakkan ulamak-ulamak pada umumbya bersepakat tentang kewajipan diyat  sebagai suatu hukuman dalam undang-undang jenayah Islam.

 

 

 

            Jenis-Jenis Diyat

 

            Imam al-Shafie di dalam pendapatnya yang baru menyatakan  bahawa diyat  yang diwajibkan ialah unta yang merupakan asal  bagi hukuman diyat, berdasarkan kepada hadis  yang diriwayatkan  oleh al-Zuhri bahawa diyat  pada zaman Rasulullah s.a.w.   ialah seratus  ekor unta.  Setiap satu  ekor  unta bernilai sebanyak  satu uqiah  kemudian naik harganya sehingga Sayyidina Umar  menetapkannya sebanyak sepuluh ribu dirham atau empat ratus dinar.  Berdasarkan kepada riwayat ini Imam al-Shafie berpendapat  bahawa  unta merupakan  hukuman asal diyat  kerana nilai diyat  berubah-ubah mengikut perubahan nilai unta dan tidak dinilai mengikut haiwan-haiwan yang lain.

 

            Imam Malik pula berpendapat bahawa diyat  yang  diwajibkan ialah pada salah satu daripada 3 jenis iaitu unta, emas atau perak .  Berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “bagi nyawa seseorang Mukmin sebanyak 100 ekor unta dan 100 dinar”

 

            Manakala Imam Ahmad ibn Hanbal berpendapat  bahawa diyat  yang diwajibkan ialah pada salah satu daripada  enam jenis, iaitu  unta, emas, perak, lembu, kambing dan  pakaian berdasarkan kepada keputusan Sayyidina Umar yang menetapkan hukuman diyat  itu daripada enam jenis yang tersebut.

 

            Sungguhpun semua ulamak sependapat bahawa unta merupakan hukuman diyat  yang asal ; tetapi mereka tidak pula menganggap jenis-jenis yang lain daripada unta sebagai ganti, kerana semua jenis-jenis diyat  adalah sebagai ganti daripada kebinasaannya iaitu kematian mangsa bunuh.  Oleh sebab itu tidak ada bezanya antara satu sama jenis dengan jenis-jenis yang lain.

 

 


 

            Siapa Yang Membayar Diyat

 

            Hukuman diyat kerana kesalahan membunuh dengan sengaja wajib dibayar daripada harta penjenayah.  Ini menepati dengan dasar undang-undang Islam yang menetapkan  bahawa untuk mengganti suatu kerosakan itu adalah diwajibkan ke atas orang yang merosakkan dan bayaran diyat  itu diwajibkan ke atas penjenayah itu sendiri.  Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “ Seorang itu tidak melakukan kejahatan kecuali  bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri”

 

 

     Kadar Diyat Unta

 

            Imam al-Shafie dan satu riwayat daripada Imam Ahmad ibn Hanbal berpendapat bahawa diyat  bagi kesalahan membunuh  secara sengaja ialah seratus ekor unta dibahagi tiga iaitu 30 ekor (huqqah)  unta yang berumur 3 tahun masuk empat, 30 ekor (jad’ah) untu yang berumur 5 tahun dan 30 ekor (hilfah)  unta bunting.  Berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Barangsiapa yang membuuh dengan sengaja (hendaklah) ia membayar kepada wali-wali mangsa yang kena bunuh.  Jika mereka mahu mereka boleh membunuh (pembunuh) dan jika mereka  mahu mereka boleh mengambil diyat iaitu  30 ekor unta berumur 3 tahun, 30 ekor unta berumur 5 tahun dan 40 ekor unta yang sedang bunting dan apa-apa yang mereka berdamai iaitu menjadi hak mereka”

 

            Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad pula berpendapat  bahawa kadar diyat  di atas ialah seratus ekor unta dibahagikan kepada empat jenis iaitu 25 ekor anak unta betina (bint makhadz)  berumur 1 tahun masuk 2 tahun, 25 anak unta betina berumur 2  tahun masuk tiga tahun dan 25 ekor unta (huqqah)  berumur 3 tahun masuk 4 tahun dan 25 ekor unta berumur 4 tahun masuk 5 tahun.

 

 

 

Hukuman Kaffarah

Hukuman kaffarah  ini bersumberkan firman Allah Taala dalam Surah al-Nisa, ayat 92 (yang bermaksud) :

            “Dan barangsiapa membunuh seseorang Mukmin secara tersalah hendaklah ia memerdekakan seorang hamba sahaya  yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarga (mangsa bunuh) melainkan jika ia bersedekah.  Jika ia (mangsa bunuh) itu dari kaum yang memusuhi kamu pada  hal ia beriman maka hendaklah (pembunuh) memerdekakan hamba  sahaya  yang beriman dan jika (mangsa bunuh) itu  dari kaum  kafir yang ada perjanjian damai antara mereka dengan  kamu,   maka hendaklah (pembunuh) membayar diyat yang  diserahkan kepada keluarga (mangsa bunuh) serta memerdekakan hamba  sahaya yang beriman.  Barangsiapa yang tidak memperolehinya hendaklah ia (pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerima taubat daripada Allah  dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

 

 

            Ayat di atas  pada zahirnya menunjukkan bahawa hukuman kaffarah  adalah diwajibkan kerana membunuh secara tidak sengaja dan membunuh menyerupai dengan sengaja.  Akan tetapi  ulamak  berselisih pendapat mengenai hukuman kaffarah  ini  sama ada ianya  juga diwajibkan ke atas penjenayah yang membunuh dengan sengaja atau tidak.

 

            Imam al-Shafie berpendapat bahawa kaffarah  adalah diwajibkan ke atas penjenayah yang membunuh secara sengaja, kerana  kalaulah hukuman ini diwajibkan ke atas  pembunuh yang tidak  sengaja dan yang menyerupai sengaja maka lebih-lebih lagi hukuman kaffarah  ini diwajibkan kerana kesalahan membunuh secara sengaja.  Pendapat ini diasaskan kepada riwayat daripada  Wasilah binti al-Asqaq yang menyatakan bahawa ketika Nabi Muhammad s.a.w. datang menemui kami, degnan membawa  seorang yang telah diwajibkan hukuman bunuh, baginda telah bersabda :

 

            Maksudnya :

                     “Merdekakanlah seorang hamba untuknya, nescaya Allah akan memerdekakan  daripada api neraka bagi setiap anggota tubuh badannya”

 

            Imam Abu Hanifa, Malik dan Ahmad berpendapat  bahawa bagi penjenayah bunuh secara sengaja tidak diwajibkan hukuman  kaffarah, kerana nas-nas mengenai pembunuhan secara sengaja  dengan jelas menyebutkan bahawa hukumannya ialah qisas  dan tidak menyebutkan hukuman kaffarah  baginya.  Selain daripada itu terdapat  riwayat yang menyatakan bahawa Suwaid binti al-Samit yang di dapati bersalah membunuh seorang laki-laki di zaman  Rasulullah s.a.w. telah diwajibkan hukuman qisas  sahaja dan tidak  tidak  diwajibkan hukuman kaffarah.  Begitu juga diriwayatkan bahawa Umru ibn Umayyah didapati bersalah membunuh dua orang pada  masa Rasulullah telah dijatuhkan hukuman qisas  dan tidak dikenakan hukuman kaffarah.

 

            Oleh kerana kaffarah merupakan hukuman yang telah ditetapkan syarak, ianya mesti disabitkan melalui nas-nas dan tidak boleh disabitkan melalui  qias.  Sedangkan tidak terdapat nas yang menunjukkan kewajipan hukuman kaffarah  bagi penjenayah yang  membunuh dengan sengaja.  Walau bagaimanapun  Imam Malik  menyarankan supaya penjenayah  yang membunuh dengan sengaja  itu dikenakan hukuman kaffarah  jika hukuman qisas  digugurkan  daripada penjenayah  yang membunuh dengan  sengaja  sama ada  kerana sebab-sebab yang menghalang hukuman qisas  ataupun kerana penjenayah itu telah dimaafkan.

 

            Bagi ulamak yang menerima kaffarah  sebagai hukuman  bagi penjenayah bunuh secara sengaja maka kaffarahnya  ialah dengan  memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman.  Jika sekarang ini tidak ada hamba tetapi berkemampuan, maka kenalah bersedekah sebanyak nilai seorang hamba yang akan  dinilai dengan berpuasa dua bulan berturut-turut.  Jika  berpuasapun dia  tidak mampu juga, maka ianya tetap menjadi kewajipan  sehingag  dia berpuasa, maka bolehlah dia memberi makan kepada 60 orang  miskin berqiaskan kepada hukuman qisasnya bagi kesalahan zahir.  Akan tetapi pendapat  ini tidak dapat diterima  kerana Allah S.W.T menyebutkan mengenai hukuman kaffarah  itu  hanya memerdekakan hamba dan berpuasa 60 hari berturut-turut.  Sebaliknya tidak menyebutkan tentang memberi makan  kepada orang-orang miskin.

 

 

Hukuman Takzir

 

Imam Malik berpendapat bahawa apabila penjenayah bunuh itu digugurkan daripada hukuman qisas, sama ada kerana sebab yang menggugurkannya atau kerana pengampunan oleh wali al-dam, maka penjenayah berkenaan boleh dikenakan hukuman ta’zir  iaitu  suatu hukuman mengikut budi-bicara hakim seperti di penjara selama setahun dan sebat sebanyak 100 kali.

 

            Manakala kebanyakkan ulamak walaupun tidak menolak  hukuman ta’zir  boleh dikenakan kepada penjenayah bunuh ;  tetapi mereka tidak sependapat dengan Imam Malik mengenai kadar   hukuman ta’zir  di atas.  Ini adalah kerana penjenayah bunuh menjadi hak orang ramai;  setelah ianya digugurkan daripada hukuman qisas  boleh dikenakan hukuman ta’zir  untuk memberi  pengajaran kepada orang ramai.  Oleh itu  jika  penjenayah berkenaan  memang sudah terkenal dengan jenayahnya  tetapi digugurkan  daripada hukuman qisas   kerana  dimaafkan oleh wali al-dam ,  maka  hakim boleh menjatuhkan  hukuman ta’zir  mengiktu budi bicaranya.  Kebanyakkan ulamak tidak menetapkan kadar yang  tertentu; sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada hakim untuk  menentukan  kadar hukuman ta’zir  kepada  penjenayah bunuh yang digugurkan daripada  hukuman qisas.  Penjenayah bunuh yang  dilepaskan daripada hukuman qisas  itu diwajibkan hukuman ta’zir  adalah bertujuan untuk memberi pengajaran supaya orang lain terhindar daripada melakukan jenayah.

 

 

Hukuman Tambahan Kepada Qisas

 

Secara umumnya hukuman tambahan kepada qisas  ada dua iaitu dilarang daripada menerima pusaka dan wasiat.

 

 

 

            Larangan Menerima Bahagian Pusaka

 

            Hukuman ini adalah sebagai tambahan kepada hukuman qisas sebagai hukuman asal bagi  penjenayah bunuh dengan sengaja.    Maknanya selain daripada dikenakan hukuman qisas atau diyat, maka   pembunuh itu tidak boleh  menerima pusaka daripada orang  yang dibunuhnya; jika  orang yang dibunuh itu ahli keluarganya sendiri seperti ibubapanya, anaknya dan sebagainya.

 

            Penjenayah bunuh dilarang menerima bahagian pusaka adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Tidak ada suatupun bagi pembunuh itu pusaka dan tidak aa pusaka bagi pembunuh seperti tuan punya lembu.”

 

 

            Ulamak tidak sependapat dalam memahami hadis di atas.  Imam Malik umpamanya berpendapat  bahawa penjenayah  yang  dilarang daripada menerima pusaka ini ialah orang yang  membunuh secara  sengaja.  Bagaimanapun jika penjenayah yang membunuh secara tersalah, tidak dilarang  daripada  menerima  harta  pusaka mangsanya.  Namun begitu dia hanya dilarang  daripada  menerima diyat  yang diwajibkan ke atas penjenayah bunuh.  Begitu juga jika pembunuhan itu dilakukan dengan sengaja tetapi bukan kerana adanya permusuhan ; sebaliknya untuk mempertahankan diri, maka penjenayah berkenaan tidak dilarang daripada  menerima pusaka daripada waris yang dibunuhnya.

 

            Imam Abu Hanifah pula berpendapat  bahawa semua  jenis  pembunuhan sama ada secara sengaja atau menyerupai dengan  sengaja  atau tersalah bunuh atau yang menyerupai tersalah  bunuh  maka penjenayah bunuh berkenaan tetap diharamkan  daripada  menerima pusaka daripada  mangsanya dengan syarat-syarat seperti berikut:

 

1.            Pembunuhan itu dilakukan secara langsung

2.            Pembunuhan itu sudah baligh  dan  berakal

3.            Pembunuhan dilakukan  secara sengaja dan yang menyerupai dengan sengaja

4.            Pembunuhan itu berlaku disebabkan adanya permusuhan dan bukan kerana  mempertahankan diri

 

 

            Menurut pendapat yang rajih  dalam mazhab Shafie pula bahawa seorang pembunuhan itu diharamkan daripada menerima harta pusaka peninggalan mangsanya; sama ada dia membunuh secara sengaja, yang menyerupai sengaja, tersalah bunuh dan sama ada  dilakukan pembunuhan itu secara langsung atau tidak langsung,  sama ada pembunuhan itu dilakukan  secara hak atau tidak dan  sama ada pembunuh itu sudah baligh atau belum, semuanya dilarang daripada menerika pusaka untuk menghalang penerima  harta pusaka dari mendapatkan bahagian pusakanya lebih awal daripada yang sepatutnya.

 

            Imam Ahmad ibnu Hadbal sependapat dengan  Imam Shafie, Cuma beliau berbeza dari satu segi sahaja; iaitu jika penjenayah itu membunuh mangsanya dengan hak seperti untuk mempertahankan dirinya maka pembunuh seperti itu tidak diharamkan daripada menerima pusaka.

 

 

            Larangan Menerima Wasiat

 

            Penjenayah bunuh selain daripada dikenakan hukuman qisas  dikenakan larangan menerima  wasiat daripada  mangsanya berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                        “Tidak ada wasiat bagi pembunuh”

            Hadis Nabi selanjutnya :

 

            Maksudnya :

                        “Tidak ada bagi pembunuh itu suatu (sama ada pusaka atau  wasiat)”

 

 

            Ulamak berselisih faham dalam mensabitkan hadis di atas.  Mazhab Maliki berpendapat bahawa pembunuh secara sengaja dilarang daripada menerima wasiat.  Ini bermakna jika penjenayah itu membunuh secara tidak sengaja ianya tidak boleh dilarang daripada  menerima wasiat yang berkaitan dengan harta, walaupun  mangsanya  tidak  mengetahui dia sebagai pembunuhnya.  Sebaliknya jika mangsanya itu mengetahui pembunuhnya lalu dia  memberi wasiat kepada pembunuhnya, sahlah wasiatnya sama ada  yang berkaitan dengan harta benda atau diyat.

 

            Sesungguhnya orang yang membunuh secara sengaja itu dilarang daripada menerima wasiat dalam mazhab Maliki, tetapi setengah daripada mereka berpendapat bahawa wasiat tidak sah jika orang yang dibunuh itu tidak mengetahui orang yang diberi  wasiat itulah yang membunuhnya.  Jika mangsa itu tahu siapa  pembunuhnya dan selepas itu dia memberi wasiat kepadanya, maka  boleh diterima wasiatnya yang berkaitan dengan harta tetapi tidak  sah  berwasiat yang berkaitan dengan diyat.  Manakala  setengah ulamak Maliki yang lain berpendapat bahawa wasiat itu boleh diberikan kepada pembunuh yang melakukan pembunuhan degnan secara sengaja ; sama ada dia tahu atau tidak tahu orang  yang membunuhnya.  Oleh itu sama ada wasiat itu diberikan kepada  seseorang itu sebelum pemberi wasiat itu dibunuh atau sudah dibunuh tidak ada bezanya.  Imam Abu Hanifah pula berpendapat  bahawa sama ada pembunuh itu melakukan pembunuhan itu secara  sengaja atau tidak sengaja, menyerupai  dengan sengaja dan lainnya asalkan pembunuh itu melakukan secara langsung  ; maka  pembunuh berkenaan  diharamkan daripada menerima  wasiat tetapi pembunuh ini boleh menerima wasiat daripada mangsanya  jika ahli  waris yang lain membenarkannya.

 

            Manakala dalam mazhab Shafie ada dua pandangan, iaitu :

            Pertama – bahawa membunuh dalam apa ara sekalipun diharamkan daripada menerima wasiat daripada  mangsanya,  walaupun mendapat  kebenaran daripada ahli-ahli  waris  yang lain.    Tetapi  ada yang berpendapat seperti pandangan dalam  mazhab Hanafi  iaitu jika ahli-ahli waris  membenarkan pembunuh menerima  wasiat  daripada mangsanya, maka dia boleh menerima wasiatnya.

 

            Kedua – berpendapat bahawa  pembunuh tidak dilarang  menerima wasiat daripada mangsanya; walaupun tidak dibenarkan oleh waris-waris yang lain.

 

            Kita lebih condong kepada pendapat yang menyatakan bahawa pembunuh yang melakukan pembunuhan secara sengaja patut dilarang daripada menerima wasiat ; walaupun ahli-ahli waris yang  lain bersetuju membenarkannya.  Alasan ianya dilarang menerima  wasiat ialah kerana perbuatan jenayah bunuh dan bukan kerana kepentingan ahli waris.

 

           

            Menerima Balasan Siksa (Azab) Di Akhirat

 

            Membunuh manusia dengan sengaja adalah melakukan dosa besar.  Oleh itu orang yang membunuh dengan sengaja selain daripada menerima hukuman-hukuman di dunia, dia akan menerima balasan siksa di akhirat, sebagaimana firman Allah Taala :

 

            Maksudnya :

                        “Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin secara sengaja, maka balasannya neraka Jahanam dan Allah murka kepadanya dan melaknatinya dan disediakan baginya azab  yang hebat”.

 

 

            Sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                        “Membunuh seseorang Mukmin lebih besar (dosanya) di sisi Allah daripada menghancurkan dunia”.

 

 

            Sabda baginda lagi :

 

            Maksudnya :

                        “Amalan manusia yang mula-mula akan dihisab ialah silat, manakala kesalahan yang mula-mula akan diputuskan antara sesama manusia ialah (pertumpahan) darah.”

 

 

            Sungguhpun demikian ada pendapat yang menyatakan bahawa seseorang telah menerima hukuman di dunia kerana kesalahannya tidak akan menerima hukuman di akhirat.  Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. :

 

 

 

 

 

 

            Maksudnya :

                        “Siapa yang melakukan dosa lalu dihukum di dunia, tidak akan disiksa di akhirat”

 

            Sabdanya lagi yang bermaksud :

                        “Siapa yang melakukan kesalahan hudud lalu disegerakan hukumannya di dunia, maka  Allah Maha Adil daripada mengulangi ke atas hamba-Nya di akhirat”.

 

            Sebahagian ulamak pula berpendapat bahawa hukuman-hukuman di dunia tidak dapat  menghapuskan dosa, kerana mangsa  bunuh  yang teraniaya tidak menerima manfaat daripada hukuman  qisas.  Tetapi yang dapat manfaat daripada hukuman qisas  itu ialah  mereka yang masih hidup; iaitu dengan  pelaksanaan qisas  dapat  mencegah manusia  daripada melakukan pembunuhan.  Lebih-lebih  jenayah bunuh adalah termasuk kesalahan yang melibatkan hak individu.  Oleh itu selagi orang yang dianiaya itu tidak memaafkan maka dosa penjenayah itu tidak boleh terhapus dengan sendirinya.

 

            Oleh itu timbul pula perselisihan pendapat ulamak  sama ada taubat daripada pembunuh boleh melepaskan hukuman di akhirat atau tidak.

 

            Ibn Abbas berpendapat  orang yang membunuh  dnegan sengaja tidak diterima taubatnya kerana ayat :

 

            Maksudnya :

                        “Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka Jahanam berkekalan di dalamnya.”  adalah ayat  yang terakhir diturunkan.  Oleh itu tidak ada ayat yang  boleh menasakhkannya, malahan ayat di atas menasakhkan ayat.

 

            Maksudnya :

                        “Dan orang-orang yang tiada menyembah Tuhan yang lain bersama Allah dan tiada  pula membunuh manusia yang diharamkan Allah kecuali dengan hak dan tiada pula mereka berzina.  Dan barangsiapa yang berbuat demikian  nescaya akan mendapat dosa, dilipat-gandakan siksa untuknya  pada hari  kiamat dan mereka kekal di dalamnya  serta terhina.  Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal salih.  Maka Allah  akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan.  Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.


 

            Justeru ayat :

 

            Diturunkan di Mekah, manakala ayat :

 

            diturunkan di Madinah.

            Akan tetapi kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa pembunuh boleh diterima taubatnya seperti mana penjenayah-penjenayah yang lain, berdasarkan kepada firman Allah Taala.

 

            Maksudnya :

                     “Sesungguhnya amal yang baik itu dapat menghapuskan amal yang buruk”

 

 

            Firman Allah lagi :

 

            Maksudnya :

                     “Dan Dia yang menerima segala taubat daripada hambaNya”.

 

            Firman-Nya lagi :

 

            Maksudnya :

                     “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik tetapi Allah akan mengampunkan dosa selain itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya”.

 

            Begitu juga berdsarkan hadis Nabi s.a.w :

 

            Maksudnya :

                     “Kamu telah memberikan bai’ah kepadaku bahawa kamu tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu, kamu tidak berzina dan tidak membunuh manusia yang diharamkan Allah  melainkan dengan hak.  Barangsiapa yang melakukan sesuatu daripada  yang demikian itu lalu dikenakan hukuman di dunia, ianya  menghapuskan dosa baginya dan barangsiapa yang melakukan  sesuatu daripada yang demikian  lalu Allah tutup rahsianya maka terserah Allah.  Jika Allah menghendakinya Allah mengampunkannya dan jika Allah menghendakinya Allah boleh menyiksanya”.

 

 

            Selain daripada itu ayat 68 Surah al-Furqan :

 

 

            dan ayat  93 Surah al-Nisa :

 

 

 

            tidak bertentangan malahan boleh disatukan iaitu dnegan menjadikan ayat 93 surah al-Nisa  yang mutlak itu dikhususkan oleh Surah al-Furqan, ayat 68 dengan membawa maksud :

            Barangsiapa yang membunuh seseorang Mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka Jahanam kecuali siapa yang bertaubat”

 

            Dengan  alasan-alasan d atas kita berpendapat  penjenayah bunuh boleh terlepas daripada hukuman di akhirat jika telah menerima hukuman di dunia dan telah bertaubat dengan taubat nasuhah.


BAB LIMA

 

 

Perlaksanaan Hukuman Qisas

 

 

Untuk    menghuraikan tajuk ini kita akan bincangkan perkara-perkara berikut :

 

1.            Orang yang berhak menuntut hukuman qisas

2.            Syarat-syarat untuk melaksanakan qisas.

3.            Waktu dan tempat untuk melaksanakan qisas.

4.            Cara-cara untuk melaksanakan qisas, dan

5.            Orang yang menjalankan hukuman qisas.

 

 

Orang Yang Berhak Menuntut Hukuman Qisas

 

Sebagaimana telah dijelaskan bahawa jenayah bunuh adalah termasuk jenis kesalahan yang melibatkan hak individu atau hak al-adami.  Oleh itu jika seseorang itu didapati kena bunuh maka orang yang berhak menuntut  hukuman qisas  ke atas pembunuhan ialah wali al-dam, berdasarkan kepada firman Allah Taalan:

 

            Maksudnya :  

                     “Sesiapa yang mati terbunuh secara zalim maka Kami jadikan bagi walinya berhak menuntut balasan qisas tetapi tidak boleh melebihi batasnya.”

 

            Ulamak berselisihan pendapat mengenai wali ad-dam  yang  berhak menuntut qisas.

 

            Menurut Imam Abu Hanifah, al-Shafie dan Ahmad ibn Hanbal bahawa wali yang berhak menuntut qisas  ialah semua waris yang menerima bahagian pusaka si mati sama ada lelaki atau perempuan tua atau muda.

 

            Mazhab Zahiri pula berpendapat bahawa qisas  adalah hak semua keluarga si mati sama ada yang dapat menerima bahagian pusaka si mati atau tidak dan sama ada ahli keluarga yang jauh atau yang dekat.

 

            Manakala Imam Malik pula berpendapat bahawa wali al-dam  yang berhak menuntut qisas  ialah mereka yang menerima bahagian  asabah  lelaki sahaja seperti anak lelaki, cucu lelaki, bapa dan datuk  sahaja.  Oleh itu, suami, saudara lelaki seibu dan datuk lelaki seibu tidak berhak menuntut qisas.  Walau bagaimanapun  menurut mazhab Maliki wanita berhak menuntut qisas   jika memenuhi syarat-syarat berikut :

 

            Pertama :     Jika wanita itu waris kepada si mati seperti anak perempuannya atau  saudara perempuan seibu sebapa.

 

            Kedua :  Jika tidak ada asabah lelaki   yang menyamai kedudukannya seperti anak lelaki atau ada asabah  lelaki tetapi lebih  rendah kedudukannya seperti bapa saudara  dengan anak perempuan atau saudara perempuan.  Oleh itu jika ada asabah  lelaki yang  sama kedudukannya maka akan hilanglah hak seperti anak  perempuan dengan adanya lelaki atau saudara perempuan dengan adanya saudara lelaki.

 

            Ketiga : Perempuan itu menjadi asabah  jika lelaki itu bersama-sama  dengannya.  Oleh sebab itu maka terkeluarlah saudara perempuan seibu, isteri dan setiap sebelah ibu.

 

 

            Kita berpendapat bahawa wali al-dam  yang berhak menuntut hukuman qisas  ke atas pesalah bunuh  ialah semua ahli  waris sama ada wali asabah  atau tidak, termasuk  suami dan isteri kerana waris-waris itu semuanya berhak menuntut hukuman  diyat.  Jika diyat  sebagai hukuman ganti kepada qisas, yang berhak menuntut adalah  semua waris, maka tentulah lebih munasabah bahawa orang yang berhak menuntut diyat  itulah juga yang berhak menuntut hukuman qisas.

 

            Wali yang berhak menuntut qisas  yang baru dibincangkan ini adalah bagi mangsa jenayah bunuh yang mempunyai wali.  Adapun bagi mangsa  jenayah bunuh yang tidak mempunyai wali maka wali sultanlah yang berhak menuntut qisas  sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

 

            Maksudnya :

                     “Sultan itu wali bagi siapa yang tidak ada wali baginya”.

 

            Kecuali Imam Abu Yusuf yang berpendapat   bahawa  sultan  tidak ada kuasa untuk menjalankan hukuman qisas ke atas  penjenayah bunuh, jika  mangsanya  daripada  penduduk negara Islam.  Tetapi sultan hanya boleh menuntut hukuman diyat.

 

            Sebaliknya jika mangsa jenayah bunuh itu daripada penduduk  negara bukan Islam (dar al-harb)  maka bolehlah sultan melaksanakan hukuman qisas dan diyat  ke atas penjenayah yang  membunuh mangsanya yang tidak  mempunyai wali nasab.  Alasan Abu Yusuf ialah kerana mangsa jenayah bunuh yang berada di negara Islam biasanya mempunyai wali, tetapi mungkin tidak dapat dikesan di mana wali itu berada.  Berbanding dengan kafir harbi  yang masuk negara Islam  dan memeluk agama Islam pada zahirnya dia  tidak mempunyai wali, maka sultanlah yang akan menjadi walinya.

 


 

            Syarat-syarat  Untuk Melaksanakan Qisas

 

            Pertama :  orang yang berhak menuntut hukuman qisas  itu hendaklah terdiri dari orang yang sudah boleh memikul tanggungjawabnya sendiri (mukallaf), iaitu yang sudah baligh  dan waras  akal fikiran.  Oleh itu jika mereka masih kanak-kanak atau orang  gila  maka  tidak boleh dijalankan  hukuman qisas  itu ke atas penjenayah bunuh.  Tetapi ianya boleh dipenjarakan lebih dahulu sehingga kanak-kanak atau orang gila yang berhak menuntut qisas   itu dewasa dan sudah sembuh penyakitnya, baharulah boleh dijalankan hukuman qisas ke atasnya.

 

            Ini ialah kerana di antara tujuan dijalankan hukuman qisas ke atas pembunuh adalah untuk menghilangkan kemarahan dan dendam ke atas pembunuh.  Hal ini tidak akan tercapai kiranya qisas ii tidak ditunaikan  oleh wali al-dam  sendiri.  Begitu juga  dengan menangguhkan hukuman qisas  sehingga yang berhak itu dewasa   dan waras akal fikirannya, akan membawa kebaikan kepada  penjenayah yang mungkin akan diampunkan dan seterusnya digugurkan daripada hukuman qisas.

 

            Sebilangan ulamak mazhab Hanafi berpendapat bahawa wali yang tidak mukallaf  juga berhak menuntut qisas  bagi mangsa bunuh yang di bawah kekuasaannya.  Mereka yang mengharuskan kepada wali yang tidak mukallaf  untuk menurunkan hukuman qisas  itu hanya mengkhususkan kepada bapa sahaja kerana bapa mempunyai belas kasihan yang sempurna dan dapat merasai kesusahan anaknya seperti kesusahannya sendiri.

 

            Adapun jika wali yang berhak menuntut qisas  itu ramai dan berlainan, kedudukannya , ada yang mukallaf  dan ada tidak mukallaf  maka ulamak mempunyai  pandangan yang berbeza-beza.

 

            Menurutmazhab Hanafi dan Maliki bahawa wali-wali yang sudah mukallaf berhak untuk menunaikan hukuman qisas  tanpa menunggu wali-wali lain yang belum mukallaf  kerana menurut satu riwayat bahaw Sayyidina al-Hassan bin Ali  telah melaksanakan  hukuman bunuh ke atas Abdul Rahman bin Muljam yang telah membunuh Sayyidina Ali yang mana ada di antara wali al-aam   yang belum mukallaf .  Kalau semua wali disyaratkan mukallaf  semuanya untuk membolehkan pelaksanaan qisas tentulah Sayyidina  al-Hassan tidak melaksanakan hukuman bunuh ke atas  Ibn Muljam dan sahabat-sahabat yang lain tentulah tidak menyetujui tindakan al-Hasan itu.

 

            Dalam peristiwa ini Sayyidina Ali dilaporkan berkata  kepada Sayyidina al-Hasan,

 

            Maksudnya :

                     “Jika kamu mahu maka bunuhlah dia dan jika kamu mahu ampunilah dia dan jika kamu mengampunkannya adalah lebih baik bagi kamu”.

 

            Dalam kata-kata itu Sayyidina Ali telah memberi pilihan kepada Sayyidina al-Hasan antara menghukum qisas  dan memberi kemaafan, tetapi beliau tidak menyuruh al-Hasan untuk menunggu semua waris  sampai ke tahap baligh.

 

            Andainya taklif  semua waris dijadikan syarat bagi membolehkan hukuman qisas  ditunaikan nescaya Sayyidina Ali tidak memberi kuasa kepada Sayyidina al-Hasan untuk melaksanakan hukuman qisas  kepada Ibn Muljam.

 

            Manakala Imam Shafie, Hanbali, Abu Yusuf dan Muhammad  menyatakan bahawa wali-wali yang sudah baligh dan waras akalnya  tidak boleh melaksanakan hukuman qisas  dengan sendirinya kecuali setelah waris-waris yang belum baligh atau gila, mencapai  umur baligh dan waras akal fikirannya kerana qisas   adalah hak  semua waris-waris.  Oleh itu tidak harus bagi waris yang mukallaf   untuk menunaikan hukuman qisas  sebelum waris-waris yang belum hadir.  Dan juga  oleh kerana hukuman qisas  belum pasti akan  dijalankan kerana kemungkinan ianya akan digugurkan  kerana diampunkan oleh waris-waris.

 

            Qisas juga  adalah sebagai ganti kepada nyawa yang tidak boleh dimiliki oleh wali-wali secara berasingan seperti diyat.  Selain dari itu  qisas  adalah hak semua waris, oleh  itu  ianya tidak boleh dijalankan  melainkan dengan adanya kebenaran dari semua waris-waris yang terlibat.

 

            Kedua :  Waris-waris yang berhak menuntut hukuman qisas  hendaklah bersetuju di atas tuntutannya.

 

            Jika seorang yang menuntut qisas  itu ramai bilangannya dan mereka semua sudah baligh dan sihat akal fikirannya, maka menurut kebanyakkan ulamak wajiblah dilaksanakan hukuman qisas  jika semua waris  berkenaan bersetuju untuk melaksanakannya.  Sebaliknya jika ada di antara waris-waris itu tidak setuju dengan tuntutan qisas , maka ianya tidak boleh dijalankan kerana qisas adalah hak semua waris-waris berkenaan.

 

            Manakala ulamak Zahiri berpendapat bahawa jika salah seorang dariapda waris-waris  yang berhak itu menuntut qisas maka wajiblah ditunaikan tuntutannya.

 

            Ketiga :  Semua waris-waris yang menuntut qisas  itu hendaklah hadir ketika hukuman hendak dijalankan.

 

            Jika ada di antara waris-waris itu tidak hadir maka hukuman qisas  tidak boleh dijalankan.  Akan tetapi jika waris-waris yang tidak  hadir itu menghantar  wakilnya maka menurut kebanyakkan ulamak qisas boleh dijalankan kerana tidak ada nas dalam al-Quarn dan al-Sunnah yang mensyaratkan kehadiran orang yang berwakil.  Kalaulah kehadiran wali menjadi syarat  pelaksanaan qisas  tentulah dijelaskan oleh syarak.  Syarat kehadiran orang yang berwakil tidak  menepati dengan kaedah-kaedah umum yang berkaitan dengan hukum wakalah   yang memberi mandat  kepada wakilnya untuk bertindak dalam urusan yang diwakilkan kepadanya, walaupun tanpa kehadiran orang yang diwakilnya.

 

            Ulamak mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa qisas tidak boleh dijalankan tanpa kehadiran sebahagian dari waris-waris yang berhak menuntut hukuman qisas  kerana kemungkinan hukuman qisas   itu digugurkan oleh sebab kemaafan yang diberikan oleh waris-waris berkenaan.  Jadi dengan kemungkinan itu maka  menjatuhkan hukuman qisas  tanpa kehadiran semua waris-waris  yang berhak adalah tidak diharuskan.

 

            Begitu juga jika waris-waris tersebut hadir menyaksikan hukuman qisas  dijalankan boleh jadi  mereka  akan memaafkan atau menarik balik tuntutannya.

 

            Manakala mazhab Maliki pula berpendapat jika waris yang  tida dapat hadir itu kerana berjauhan maka hukuman qisas  boleh dijalankan tanpa menunggu kehadiran mereka.  Sebaliknya jika mereka tidak dapat hadir, sedangkan mereka tinggal berdekatan maka tidak harus menjalankan hukuman qisas  melainkan setelah kehadiran dan persetujuan mereka.  Ulamak  Zahiri pula  berpendapat bahawa dengan adanya tuntutan daripada salah seorang waris-waris berkenaan memadai untuk melaksanakan hukuman qisas  kepada penjenayah berkenaan.

 

            Kita lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulamak bahawa kesemua waris-waris  perlu hadir sama ketika hukuman qisas  dijalankan.  Tetapi jika ada di antara mereka yang tidak dapat hadir itu menghantar  wakilnya sudah cukup untuk membolehkan  hukuman itu dijalankan kerana wakilnya itu sudah diberi kepercayaan untuk bertindak bagi pihak orang yang diwakilnya.

 

            Keempat :  Setengah ulamak mensyaratkan kehadiran pemimpin negara atau naibnya ketika hukuman qisas  dijalankan  kerana ketidakhadiran imam atau naibnya boleh menyebabkan wali yang melaksanakan hukuman qisas  melebihi daripada sepatutnya sebagai  keinginan hendak membalas dendam daripada penjenayah.  Jika  keadaan seperti ini berlaku sudah tentu bertentangan dengan  suruhan Nabi Muhammad s.a.w. supaya dijalankan hukuman  bunuh itu dengan cara yang baik.  Manakala sebahagian ulamak  pula berpendapat bahawa  pemerintah atau wakilnya tidak perlu hadir ketika hukuman qisas  dijalankan, tetapi mereka hanya  digalakkan  hadir kerana menuntut  riwayat daripada Wa’il Ibn Hajar berkata, “Sedang aku berasa di sisi Rasulullah, seorang pembunuh telah dibawa menghadap Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya  kepada wali mangsa bunuh, “Adakah kamu hendak mengampunkan pemjenayah”, beliau menjawab, “Tidak”, Nabi Muhammad juga  bertanya sama ada wali mangsa itu hendak mengambil diyat, dia  juga menjawab “Tidak”.  Apabila beliau bertanya sama ada hendak membunuh penjenayah, maka  wali mangsa itu pula menjawab, “Ya”.  Selepas itu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Pergilah kamu bawa bersama-sama pembunuh itu”.

 

            Dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh wali al-dam  pergi bersama-sama dengan penjenayah bagi melaksanakan hukuman qisas  dan Nabi Muhammad s.a.w.  sendiri tidak pergi bersama-sama  dengan penjenayah dan tidak mewakilkan orang lain untuk menghadiri.  Lebih-lebih lagi kerana qisas  adalah hukuman yang telah diputuskan oleh hakim mahkamah.  Oleh itu jika mahkamah telah menjatuhkan hukuman qisas  kepada penjenayah, maka memadailah untuk melaksanakan  sama ada wali al-dam   atau orang yang telah ditugaskan khas, untuk menjalankan hukuman tersebut.  Andainya pemerintah  atau naibnya disyaratkan hadir setiap kali hukuman qisas  dijalankan, maka ini akan  menganggu  tugas-tugas pemerintah yang sangat sibuk dalam mentadbirkan negaranya.

 

            Ketiga :  Hendaklah dipastikan bahawa hukuman qisas  tidak  akan mengenai orang yang tidak melakukan jenayah itu kerana  hukuman  qisas  hanya dikenakan kepada penjenayah sahaja.  Berdasarkan kepada syarat ini maka tidak boleh melaksanakan  hukuman qisas  kepada penjenayah yang sedang mengandungi; bahkan perlu ditunggu dahulu sehingga perempuan berkenaan  melahirkan  anaknya dan sehingga ada orang yang hendak menyusukan dan memelihara anak itu.  Justeru jika dijalankan  hukuman bunuh ketika penjenayah itu sendang mengandung bererti  membunuh sekali anak yang dalam kandungan penjenayah.  Sedangkan anak yang dalam kandungan itu tidak bersalah apa-apa dan jika hukuman seperti ini dijalankan juga bererti telah  menjalankan hukuman yang  berlebihan, sedangkan ianya dilarang  dalam Islam sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Isra. (ayat 33):

 

            Maksudnya:

                     “Maka janganlah melebihi batas dalam (pembalasan) bunuhnya”.

 

            Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Jika seseorang wanita membunuh dengan sengaja, jangan dihukum bunuh sehingga dia melahirkan anaknya  dan sehingga ada orang yang memelihara  anaknya dan jika wanita  itu berzina, jangan direjam sehingga dia melahirkan anaknya dan ada orang yang memelihara anaknya”.

 

            Begitu juga sabda  Rasulullah s.a.w. kepada al-Ghamidiyah yang telah mengaku berzina dengan mengandung.  “Baliklah dahulu sehingga kamu melahirkan kandungan kamu”.

 

            Hadis-hadis Nabi yang tersebut itu jelas menunjukkan bahawa penjenayah wanita yang sedang hamil  tidak boleh dihukum bunuh,  kerana dengan menghukum bunuh wanita  itu boleh membawa kepada kematian anak yang di dalam kandungan atau boleh mendatangkan bahaya kepada anaknya. Oleh itu jika hukuman  qisas boleh ditangguhkan kepada penjenayah  yang sedang hamil  sehingga beliau  melahirkan  anaknya kerana hendak menyelamatkan anak yang di dalam kandungan, maka lebih utama lagi  boleh ditangguhkan hukuman qisas  kepada penjenayah sehingga  dia dapat menyusukan anaknya kerana  memelihara  yang sudah  lahir lebih penting daripada  memelihara anak yang masih  dalam  kandungan.

 

 

 

 

Waktu Dan Tempat Melaksanakan Hukuman Qisas

 

Waktu untuk menjalankan hukuman bunuh qisas kepada pembunuh itu ialah selepas matinya mangsa bunuh itu.  Ini bererti  jika mangsanya  itu belum mati lagi, maka pembunuh

 

 

 

           

 

 
1