![]() |
||
![]() |
||

Alhamdulillah, KLKM KLIUC beserta beberapa sukarelawan Ikram telahpun
menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan kepada mangsa-mangsa banjir di
Kota Tinggi hujung minggu yang lalu. Walaupun pada mulanya bercadang
untuk ke Parit Sulong, Batu Pahat namun rancangan itu terpaksa ditukar
pada saat akhir memandangkan laluan ke Batu Pahat yang masih dipenuh
air.
Rombongan kami sampai di Masjid Jamek, Kota Tinggi pada awal pagi Sabtu
20 Januari 2007. Dalam keadaan yang masih terang-terang tanah, kami
menyaksikan bandar Kota Tinggi yang suram dan senyap sunyi. Sungai
Johor yang mengalir di tengah-tengah bandar walaupun sudah turun ke paras
biasa namun tetap berarus deras. Tanah-tanah kelihatan masih lembab. Di
sepanjang jalan sampah sarap merata-rata.
Pagar-pagar di kebanyakan kawasan perumahan dipenuh dengan
plastik-plastik, kertas, botol mineral yang tersangkut. Malah sampah
sarap ini juga tersangkut di atas dahan dan daun-daun pokok. Banjir
kali kedua hari tu dikatakan naik hampir mencecah bumbung rumah (8 kaki) dan
tingkat dua rumah kedai di bandar itu. Sedih dan menyedihkan.
Namun keadaan rupanya lebih sedih di kampung-kampung yang terlibat.
Sadis.Itulah perkataan yang paling tepat apabila kami menyusuri Kg. Tembioh,
Kg.Kelantan dan Kg. Panti. Kami sendiri tidak menjangka bahawa keadaan
sebenar lebih dahsyat daripada apa yang dikhabar oleh media. Bagi kami,
media kali ini gagal untuk menceritakan gambaran sebenar banjir di Kota
Tinggi.
Hampir kesemua rumah-rumah papan di kampung itu diselaputi lumpur, ada
yang sudah senget, hilang tiang, hilang dinding. Ada yang bahagian
dapur rumah mereka hanyut dan lebih menyedihkan ada yang ranap dan musnah
sama sekali.
Kami yang datang untuk membantu mengemas dan mencuci hilang punca
bagaimana untuk memulakannya. Apa yang kami lihat di sana sini
kemusnahan.Inilah yang dikatakan malapetaka, inilah yang dikatakan bencana. Harta
benda tidak boleh diceritakan lagi. Segalanya musnah di bawa arus
banjirdan ditenggelami air.
Ketika kami berada di Kg. Tembioh, kebanyakan pemilik-pemilik rumah
baru sampai dari pusat pemindahan banjir. Kami menyaksikan seorang pakcik
tua yang berdiri hampir setengah jam merenung rumah yang dihuninya selama
40 tahun ranap menyembah bumi. Dia berdiri saja. tidak bergerak, tidak
terkata apa-apa. Seorang makcik di Kg. Kelantan duduk mencangkung dan
kelihatan mengais-ngais seorang diri di hadapan rumah yang sebahagiannya
runtuh. Sebak untuk kami memikirkan apa yang berada dalam fikirannya
ketika itu.
Banjir kali pertama Disember lalu sudah terlalu menyedihkan. Lebih
seminggu rumah mereka terendam. Penatnya tidak terkata membersihkan
pakaian, periuk belanga dan pinggan mangkuk yang terendam. Dalam masa
10 hari saja banjir yang sama berulang. Malah lebih dahsyat lagi. Hampir
seminggu juga rumah mereka tenggelam. Harta benda semuanya musnah
dimasuki air dan disaluti lumpur. Semua orang baik mangsa atau tidak
yang melihat sendiri keadaan banjir di sini pasti akan jadi keliru dan
bingung.Keadaan ini sama sekali tidak terduga. Tidak terfikir bagaimana hendak
memulakan hidup semula.
Apapun dalam keadaan musibah seperti ini, dalam sedih dan kecewa, kita
tidak mempunyai kekuatan lain kecuali berbalik kepada Yang Esa.
Sesungguhnya hanya Dia saja yang mampu menenangkan sepertimana kata
seorang kakak yang kami temui di pusat pemindahan banjir.
"Apa nak buat. Bukan boleh dihalangpun. Dia nak bagi.... Dia nak bagi
kita terima jelah..Inipun dah bersyukur sebab anak-anak semua selamat.
Asalkan anak-anak selamat sudah.... Harta hilang..sedihlah..tapi... esok-esok
boleh cari....,"
Yang pasti...mangsa-mangsa banjir ini tidak mempunyai apa-apa untuk
membina semula hidup mereka. Yang nyata mangsa-mangsa banjir ini
mengharap bantuan, keprihatinan dan pertolongan dari kita semua.
Walaupun wang mungkin menjadi keperluan paling utama saat ini namun sumbangan
tenaga tidak kurang pentingnya