Kitab Sifat zuhud dan lemah lembut
(1) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua daripadanya akan pulang. Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur. Perkara tersebut ialah: Kaum kerabat, harta benda dan amalannya. Semua kaum kerabat dan harta bendanya akan pulang, manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya.
(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Orang yang berusaha untuk membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti.
(3)Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya.
(4) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Adakalanya seorang hamba mengucapkan satu kalimah yang menyebabkan dia tergelincir ke dalam Neraka yang jaraknya dalamnya antara timur dan barat.
(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Menguap (dengan mulut terbuka luas) merupakan gangguan dari syaitan. Apabila ada di antara kamu yang menguap maka hendaklah dia menutup mulutnya mengikut kemampuan.
(6) Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mendengar seorang lelaki sedang memuji seorang lelaki secara berlebih-lebihan, lalu Rasulullah s.a.w segera bersabda: Sesungguhnya kamu telah menghancur atau memotong belakang seorang lelaki.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.