Kitab Zikir, Doa dan Istighfar
(1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama. Sesiapa yang mampu menghafalnya, nescaya dia akan masuk Syurga. Sesungguhnya Allah itu ganjil (esa pada zat, sifat dan perbuatanNya serta tiada sekutu bagiNya) dan Dia menyukai pada yang ganjil.
(2) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, maka hendaklah kamu berazam serta benar-benar memohon kepada Allah s.w.t dan janganlah berkata: Ya Allah, jika Engkau kehendaki maka perkenankanlah kepada aku, kerana sesungguhnya Allah itu bukanlah kedekut.
(3) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu bercita-cita supaya cepat mati dan janganlah kamu berdoa supaya mati sebelum kematian itu sendiri datang kepadamu. Sesungguhnya apabila kamu mati, akan terputuslah segala amalan kamu. Sebaliknya apabila dipanjangkan umur seorang mukmin bererti bertambahlah kebaikannya.
(4) Diriwayatkan daripada Ubadah bin as-Samit r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, nescaya Allah juga tidak suka bertemu dengannya.
(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w selalu memohon perlindungan dari suratan takdir yang buruk, dari ditimpa kecelakaan, dari keghairahan musuh dan dari terkena bala.
(6) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah s.w.t, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar kaldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah s.w.t dari godaan syaitan, kerana binatang terebut melihat syaitan.
(7) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.
(8) Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika aku berdiri di hadapan pintu Syurga ternyata kebanyakan orang yang memasukinya ialah dari kalangan orang-orang miskin. Aku juga melihat para pembesar sedang ditahan kecuali penghuni Neraka, di mana mereka diarahkan terus pergi ke Neraka. Ketika aku berdiri di hadapan pintu Neraka ternyata kebanyakan orang yang memasukinya adalah kaum wanita.
(9) Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada fitnah yang paling membahayakan kaum lelaki selepas zaman aku kecuali fitnah dari kaum wanita.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.