Kitab Masjid dan tempat-tempat Sholat


(1) Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Masjid manakah yang pertama diasaskan atas muka bumi ini? Rasulullah menjawab: Masjidil Haram. Aku bertanya lagi: Setelah itu, masjid mana pula? Baginda menjawab: Masjidil Aqsa. Seterusnya aku bertanya: Berapa lamakah beza waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Walau pun begitu, di mana saja kamu berada apabila tiba waktu sembahyang, dirikanlah sembahyang kerana di situ juga merupakan masjid.

(2) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w diserang sakit yang menyebabkan baginda tidak boleh bangun. Baginda pernah bersabda: Allah telah mengutuk orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid iaitu tempat sembahyang. Aisyah berkata: Jika tidak kerana sabda Nabi tersebut pasti maqam Rasulullah juga dijadikan masjid kerana mereka tidak takut untuk menjadikan maqam Nabi sebagai masjid.

(3) Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat hingus di arah kiblat masjid, lalu baginda menyapunya dengan batu kecil. Kemudian baginda melarang seseorang dari meludah ke kanan atau ke depan, tetapi bolehlah meludah ke kiri atau ke bawah telapak kaki kirinya.

(4) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membuang hingus di dalam masjid adalah satu dosa dan kifaratnya ialah dengan menimbusnya.

(5) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Apabila makanan telah siap dihidangkan dan sembahyang hendak didirikan, maka hendaklah kamu makan terlebih dahulu.

(6) Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang makan bawang merah dan bawang muda. Oleh kerana terpaksa memakannya lalu kami memakan. Kemudian baginda bersabda: Sesiapa yang makan dari pohon yang tidak sedap ini iaitu berbau busuk maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana para Malaikat juga akan terhidu bau busuk sebagaimana manusia.

(7) Diriwayatkan daripada Abi Qatadah r.a katanya: Ketika kami menunaikan sembahyang bersama Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba terdengar satu suara yang kuat. Rasulullah s.a.w bertanya: Apakah yang terjadi kepada kamu? Para Sahabat menjawab: Kami tadi tergesa-gesa untuk sembahyang. Rasulullah s.a.w bersabda: Jangan lagi kamu lakukan begitu apabila kamu datang untuk sembahyang, tetapi hendaklah kamu mendatanginya dengan tenang. Sembahyanglah sekadar yang kamu sempat dan sempurnakanlah rakaat sembahyang yang masih belum ditunaikan.

(8) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Apabila hari tersangat panas, maka tangguhkanlah sembahyang kerana sesungguhnya kepanasan yang bersangatan itu termasuk dari bahang api Neraka Jahanam.

(9) Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya orang yang paling besar pahalanya ketika menunaikan sembahyang ialah orang paling jauh perjalanannya iaitu langkahnya menuju ke Masjid. Seseorang yang menunggu untuk menunaikan sembahyang sehinggalah dia menunaikannya bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang menunaikan sembahyang kemudian dia terus tidur.

(10) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang terlupa sembahyang maka hendaklah dia segera menunaikannya apabila mengingatinya. Tidak ada kifarat bagi sembahyang yang terlupa melainkan hanya itu, iaitu segera menunaikannya apabila mengingatinya.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1