Kitab Taubat
(1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Sebaik sahaja Allah s.w.t menciptakan makhlukNya. Dia terus menulis dalam kitab yang berada di sisiNya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaanKu.
(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menahan di sisiNya sebanyak sembilan puluh sembilan dan diturunkan ke bumi hanya satu bahagian. Dari satu bahagian inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut terpijak atau menyakiti anaknya.
(3) Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a katanya: Dia membawa beberapa orang tawanan menemui Rasulullah s.a.w. Seorang wanita dari kalangan tawanan tersebut kelihatan mencari sesuatu. Sebaik sahaja dia menemui seorang bayi dari kalangan tawanan, dia mengambil bayi tersebut lalu didukung dan disusuinya. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Adakah pada pandangan kamu wanita ini sanggup membuang anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak. Demi Allah dia tidak sanggup membuangkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat kasihan belas terhadap hambaNya daripada kasih sayang perempuan ini terhadap anaknya.
(4) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada seorangpun yang lebih suka kepada pujian selain daripada Allah s.w.t, kerana itulah Dia memuji ZatNya sendiri. Begitu juga tidak ada seorangpun yang lebih marah daripada Allah s.w.t itulah sebabnya Dia mengharamkan perbuatan keji.
(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t adalah Pemurka dan orang yang beriman juga adalah pemarah. Allah s.w.t akan murka terhadap orang mukmin apabila melakukan perbuatan haram.
(6) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Seorang lelaki berjumpa Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud, oleh itu hukumlah aku. Anas berkata: Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang lelaki tersebut turut mendirikan sembahyang bersama-sama Rasulullah s.a.w. Setelah selesai sembahyang lelaki tadi berkata: Wahai Rasulullah! Aku telah melakukan sesuatu yang boleh dikenakan hukum hudud. Oleh itu hukumlah aku sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. Baginda bersabda: Adakah kamu mendirikan sembahyang bersama-sama kami? Lelaki tersebut menjawab: Ya. Baginda bersabda: Kamu telah diampunkan oleh Allah s.w.t.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.