Kitab Tafsir
(1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ketika diperintahkan kepada Bani Israel: Masuklah ke pintu gerbang kampung Nabi Musa atau pintu yang ke lapan di Baitulmuqaddis sambil sujud dan ucaplah Hittatun. Yang bermaksud: Bebaskanlah kami dari dosa, nescaya dosa-dosa kamu akan diampunkan. Tetapi mereka menukar iaitu tidak mengikut arahan tersebut. Mereka memasuki pintu secara perlahan-lahan dan mengucapkan Habbatun fi Sya'ratin. Yang bermaksud: Biji dalam rambut.
(2) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Allah s.w.t telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w sebelum tiba hari kewafatan baginda sehingga baginda wafat. Wahyu yang paling banyak diturunkan adalah pada hari kewafatan Rasulullah s.a.w.
(3) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Umar telah berkhutbah di atas mimbar Rasulullah s.a.w. Beliau mengucap syukur kepada Allah dan memujiNya, kemudian dia berkhutbah: Sesungguhnya arak telah diharamkan berikutan dengan turunnya ayat al-Quran pada hari ia diturunkan. Arak yang diharamkan diperbuat dari lima perkara iaitu gandum, barli, tamar, zabib dan madu. Arak ialah benda yang boleh menyebabkan hilang akal iaitu mabuk dan tiga benda yang suka aku peringatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada kita tentang masalah warisan iaitu orang tua dan al-Kalaalah iaitu orang yang mati tidak meninggalkan ayah dan ibu serta anak untuk menerima pusakanya dan perkara-perkara yang boleh menyebabkan berlakunya riba.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.