Kitab Syurga, kenikmatan dan penghuninya


(1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a: Daripada Rasulullah s.a.w sabdanya: Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat sebatang pokok yang akan dilalui oleh orang yang berkenderaan di bawah teduhannya selama seratus tahun.

(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Abu al-Qasim s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya kumpulan pertama yang akan memasuki Syurga adalah umpama bulan purnama dan kumpulan berikutnya bagaikan cahaya bintang yang bergemerlapan di langit. Masing-masing mempunyai dua orang pasangan yang tulang sumsum betisnya jelas kelihatan. Di dalam Syurga tiada seorang pun yang bersendirian tanpa pasangan.

(3) Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya istana orang mukmin di dalam Syurga dibina dari sebutir mutiara yang berongga. Panjangnya enam puluh batu dan di dalamnya ada keluarga orang mukmin tadi. Dia mengelilingi mereka tetapi masing-masing tidak dapat melihat sebahagian yang lain.

(4) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah memasukkan ahli Syurga ke dalam Syurga dan ahli Neraka ke dalam Neraka, kemudian seorang penyeru yang berdiri di antara mereka akan berkata: Wahai ahli Syurga! Kamu tidak akan mati. Wahai ahli Neraka! Kamu juga tidak akan mati, masing-masing kekal di tempat mereka.

(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Manusia akan dibangkitkan dalam tiga keadaan; takut, berharap dan dua, tiga, empat serta sepuluh orang di atas seekor unta. Selebihnya akan dikumpulkan di dalam Neraka pada setiap ketika di mana sahaja mereka berada samada pada waktu malam, pagi, tengah hari atau petang.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1