Kitab Al-aiman atau sumpah
(1) Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung lagi Maha Mulia melarang kamu bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu.
(2) Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu memohon untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika pimpinan diberikan kepada kamu bukan kerana permohonan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin tanpa menghadapi banyak masalah. Jika kamu telah terlanjur bersumpah, kemudian kamu melihat ada sesuatu yang lebih baik daripada sumpahmu itu, maka hendaklah kamu membayar denda iaitu kifarat dari sumpahmu tadi dan hendaklah kamu mengerjakan sesuatu yang lebih baik itu.
(3) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Sulaiman a.s memiliki seramai enam puluh orang isteri. Suatu ketika dia pernah berkata, malam ini aku pasti akan menggauli semua isteriku, sehingga kesemua daripada mereka akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda (tentera berkuda) untuk berjihad di jalan Allah. Ternyata mereka semua tidak mengandung kecuali seorang sahaja itupun hanya melahirkan anak yang cacat. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya Nabi Sulaiman a.s mengecualikan (berkata Insya Allah) maka setiap daripada mereka akan melahirkan seorang anak lelaki yang hebat dalam menunggang kuda untuk berjihad di jalan Allah.
(4) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Demi Allah! Salah seorang di antara kamu yang biasa bersumpah di hadapan isterinya (keluarganya) maka dia akan lebih berdosa di sisi Allah daripada dia membayar denda (kifarat) yang telah diwajibkan oleh Allah kerana melanggar sumpahnya.
(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila khadam (pelayan) salah seorang di antara kamu telah selesai memasak kemudian menghidangkannya, sesungguh dia adalah orang yang telah menangani panas serta asap hidangan itu. Oleh itu kamu hendaklah mempelawanya menikmati masakan itu bersama-sama. Jika makanan itu sedikit maka hendaklah kamu memberikannya kepada pelayan itu satu atau dua suapan
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.