Kitab Jumaat


(1) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu hendak menunaikan sembahyang Jumaat, maka dia dikehendaki mandi.

(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi hadas besar, kemudian berangkat ke masjid, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor unta dan sesiapa berangkat pada kesempatan kedua, maka dia seolah-olah telah mengorbankan seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan ketiga, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor kambing kibas. Sesiapa berangkat pada kesempatan keempat, seolah-olah telah menyembelih seekor ayam dan sesiapa berangkat pada kesempatan kelima, seakan-akan dia memberikan sedekah sebiji telur. Apabila imam iaitu khatib telah keluar, Malaikat-malaikat pun hadir mendengar zikir. Ertinya: mereka tidak lagi mencatatkan sesiapa yang datang ke masjid.

(3) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila engkau berkata kepada temanmu, diamlah! pada hari Jumaat. Padahal imam sedang berkhutbah, maka kamu benar-benar telah melakukan satu perkara yang sia-sia iaitu lalai.

(4) Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah!.

(5) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Sesungguhnya apabila selesai mengerjakan sembahyang Jumaat, beliau terus pulang dan mengerjakan sembahyang dua rakaat di rumah kemudian dia berkata: Dulu Rasulullah s.a.w juga berbuat begitu.

(6) Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Biasanya kami berkumpul mendirikan sembahyang Jumaat bersama Rasulullah s.a.w ketika matahari telah tergelincir ke arah barat, kemudian pulang dengan mencari tempat yang teduh.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1