Kitab Salam


v (1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai

(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lima kewajipan bagi seorang muslim terhadap saudaranya sesama muslim iaitu: Menjawab salam, mendoakan kepada orang yang bersin, menyahut undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah

(3) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Ahli Kitab mengucapkan salam kepadamu, maka jawablah kepada mereka: Waalaikum

(4) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya, apabila orang Yahudi mengucapkan salam kepada kamu, mereka mengucap: Assaamualaikum iaitu kematian tetap atas kamu. Maka jawablah kepada mereka: Alaika iaitu ke atas kamu

(5) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sekumpulan orang-orang Yahudi meminta izin kepada Rasulullah s.a.w mereka mengucapkan: Assaamualaikum. Maka Aisyah menyahut: Bal Alaikumussaam walla'nah iaitu bahkan atas kamulah, moga-moga mendapat kematian dan kutukkan. Rasulullah s.a.w menegur: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah menyukai keramahan dalam segala hal. Aisyah berkata: Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan? Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah menjawab Wa'alaikum iaitu begitu pula kamu

(6) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah datang kepada kanak-kanak, lalu baginda mengucapkan salam kepada mereka

(7) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Saudah telah keluar selepas diwajibkan hijab iaitu kain tudung untuk memenuhi keperluannya. Beliau adalah seorang wanita yang tinggi dan gemuk. Orang ramai yang sudah mengenalinya tidak akan terkejut atau hairan melihatnya. Maka Umar bin al-Khattab melihatnya, lalu menegurnya: Wahai Saudah! Bagaimana engkau tidak membuat kami terpegun, sesungguhnya aku melihat bagaimana engkau keluar? Saudah segera pulang. Sementara itu, Rasulullah s.a.w sedang makan malam di rumahku dan baginda masih memegang tulang. Maka ketika itulah Saudah masuk dan mengadu: Wahai Rasulullah! Aku baru saja keluar, lalu Umar menegur aku begini dan begini. Kemudian diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w iaitu satu ayat dari surah al-Ahzab di mana tulang masih lagi berada di tangan baginda yang belum baginda letakkan. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya telah diizinkan bagi kamu iaitu kaum wanita untuk keluar memenuhi hajat dan keperluan kamu

(8) Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Jangan sekali-kali seseorang di antara kamu membuatkan orang lain berdiri dari tempat duduknya, kemudian kamu duduk di tempat tersebut

(9) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila terdapat tiga orang, maka janganlah dua orang di antara mereka berbisik-bisik tanpa disertakan oleh seorang lagi

(10) Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: Apakah ada di antara kamu yang boleh menjampi? Kerana ketua atau penghulu kampung kami terkena sengat. Salah seorang dari para Sahabat menjawab: Ya, ada. Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka Sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: Aku akan menyampaikannya kepada Nabi s.a.w, beliau pun pulang menemui Nabi s.a.w dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu, Rasulullah s.a.w tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau, bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi. Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu

(11) Hadis Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Jabir bin Abdullah menjenguk al-Mukna' yang sedang sakit kepala, kemudian berkata: Aku tidak akan pulang sebelum engkau mahu berbekam, kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di samping berbekam itu ada pengubatnya

(12) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Dari Nabi s.a.w baginda bersabda: Demam itu berasal dari didihan Neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah demam itu dengan air

(13) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Bunuhlah ular-ular berbisa dan ular-ular yang jahat kerana keduanya boleh menggugurkan kandungan dan membutakan pandangan mata

(14) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Dari Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya pernah seekor semut menggigit salah seorang Nabi lalu Nabi tersebut menyuruh supaya membakar sarang semut tersebut, tetapi Allah menurunkan wahyu kepadanya: Apakah hanya gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih?

(15) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang wanita disiksa gara-gara seekor kucing. Beliau tidak mahu memberinya makan dan tidak mahu memberinya minum. Bahkan beliau tidak mahu membiarkannya memakan serangga-serangga tanah



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1