Kitab Puasa


QURAN

(1)Makanlah dan minumlah kamu hingga waktu kelihatan benang yang putih dan benang yang hitam yaitu fajar.(Al Baqarah 187)

(2)Hai orang-orang yang beriman difardukan atas kamu puasa sebagaimana telah di fardukan atas umat-umat yang terdahulu daripada kamu,mudahan kamu bertaqwa.Puasa itu dalam beberapa hari sahaja.(Al Baqarah 183-184)


HADIS

(1)Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.

(2) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya.

(3) Hadis Zaid bin Thabit r.a katanya: Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun menunaikan sembahyang Subuh. Kemudian aku bertanya: Berapakah selang waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Kira-kira bacaan lima puluh ayat.

(4) Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa.

(5) Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang para Sahabat dari menyambung puasa semata-mata kerana didorong oleh perasaan kasihan belas terhadap mereka. Kemudian mereka bertanya: Bukankah kamu sendiri menyambung puasa, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Tuhanku.

(6) Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w dan berkata: Celakalah aku. Rasulullah s.a.w bertanya dengan sabdanya: Kenapa? Lelaki tadi menjawab: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada siang hari di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata: Bersedekahlah, bersedekahlah. Lelaki tadi berkata: Aku tidak memiliki apa-apa. Rasulullah s.a.w lalu menyuruhnya duduk. Kemudian baginda memberikan kepadanya dua bekas yang berisi makanan lalu memerintahkan agar menyedekahkannya.

(7) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka.

(8) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa jika hanya pada hari Jumaat sahaja melainkan dia berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.

(9) Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai puasa ganti, maka diwajibkan ke atas walinya supaya berpuasa sebagai gantinya.

(10) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.

(11) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah.

(12) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Terdapat beberapa orang dari kalangan Sahabat Rasulullah s.a.w telah bermimpi melihat Lailatulqadar pada tujuh hari yang terakhir. Rasulullah s.a.w bersabda: Mengikut Pandanganku, mimpi kamu bertepatan dengan tujuh hari yang terakhir. Oleh itu sesiapa yang ingin mencarinya hendaklah mencarinya pada tujuh hari yang terakhir tersebut.

(13)Dari Ibnu 'umar,katanya :saya telah mendengar Nabi besar s.a.w berkata:"apabila malam datang dan siang lenyap dan matahari telah terbenam ,maka sesungguhnya telah datang waktu berbuka bagi orang yang berpuasa".Riwayat bukhari dan Muslim.

(14)Islam itu ditegakkan diatas 5 perkara :1.Menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang hak melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. 2.Mengerjakan sembahyang 5 waktu .3:membayar zakat 4.Mengerjakan haji 5.berpuasa dalam bulan ramadhan.Riwayat Bukhari,muslim dan Ahmad.

(15)Berpuasalah kamu sewaktu melihatnya(bulan ramadhan) dan berbukalah kamu sewaktu melihatnya(bulan shawal)maka jika ada yang menghalanginya sehingga bulan tidak kelihatan hendaklah kamu sempurnakan bulan sya'ban 30 hari. Riwayat Bukhari.

(16)Bahawasanya Ibnu "umar telah melihat bulan,maka diberitahunya hal itu kepada Rasulullah s.a.w .Rasulullah s.a.w terus berpuasa dan beliau menyuruh orang banyak agar berpuasa pula.Riwayat Abu Daud.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1