Kitab Pakaian dan perhiasan
(1) Diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib r.a katanya: Rasulullah s.a.w memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, menunaikan sumpah dengan benar, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam. Baginda melarang kami memakai cincin atau bercincin emas, minum dengan bekas minuman dari perak, hamparan sutera, pakaian buatan Qasiy iaitu dari sutera, serta mengenakan pakaian sutera, sutera tebal dan sutera halus.
(2) Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu sekalian minum dalam bekas minuman emas dan perak. Jangan memakai pakaian dari sutera kerana pakaian sutera itu untuk mereka iaitu orang-orang kafir di dunia dan untuk kamu sekalian di akhirat pada Hari Kiamat kelak.
(3) Diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah dihadiahkan dengan pakaian bersulam lalu baginda mengirimkannya kepadaku. Akupun memakainya tetapi aku melihat kemurkaan di wajah baginda. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku mengirimkan pakaian itu kepadamu bukan untuk dipakai tetapi aku mengirimkannya supaya engkau jadikannya sebagai kain tudung wanita.
(4) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang memakai pakaian sutera di dunia, maka dia tidak akan memakainya di akhirat kelak.
(5) Hadis Anas bin Malik r.a. katanya: Rasulullah s.a.w memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman bin Auf dan Az-Zubir bin al-Awwam mengenai pakaian sutera dalam perjalanan kerana adanya kudis yang mereka deritai atau adanya penyakit pada mereka.
(6) Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Aku bertanya kepada Anas bin Malik: Pakaian apakah yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w atau digemari oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Hibarah iaitu sejenis pakaian yang diperbuat daripada kapas dan dihias.
(7) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan, beliau begitu bangga dengan juntaian rambutnya serta kejantanannya, tiba-tiba beliau ditenggelamkan oleh bumi, maka beliau pun terbenam di dalam bumi sehingga ke Hari Kiamat.
(8) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang di antara kamu memakai selipar, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kanan dan apabila ingin mencabutnya, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kiri. Seboleh-bolehnya pakailah kedua-dua selipar itu sekaligus atau mencabut kedua-duanya sekaligus.
(9) Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar.
(10) Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyiksanya di Neraka Jahannam.
(11) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang mencukur sebahagian rambut di kepala.
(12) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya, orang yang membuat tato dan orang yang meminta supaya dibuatkan tato.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.