Kitab Musaqat
(1) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seorang muslim yang menanam pokok atau tanaman lalu tanaman itu dimakan oleh burung, manusia atau binatang ternakan maka semuanya itu adalah dikira sebagai sedekah.
(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapati hartanya ada pada seorang lelaki dalam keadaan masih teguh, sedangkan lelaki tadi telah bankrup atau pada seseorang yang telah bankrup, maka dia lebih berhak ke atas harta tersebut daripada orang lain.
(3) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar orang bertengkar di pintu dengan suara yang tinggi. Tiba-tiba salah seorang dari mereka meminta kepada yang seorang lagi agar memaafkan sebahagian dari hutangnya dan bersikap lemah lembut. Tetapi beliau menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan memaafkan kamu. Lalu Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Siapakah yang sungguh-sungguh bersumpah demi Allah tidak akan berbuat kebaikan? Orang itu berkata: Saya, wahai Rasulullah! Tetapi sekarang dia boleh memilih mana yang dia suka (antara melepaskan sebahagian dari hutang atau bersikap lemah lembut).
(4) Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Para Malaikat akan bertemu dengan roh seorang lelaki dari umat sebelum kamu. Mereka bertanya: Adakah kamu pernah melakukan suatu kebaikan? Roh lelaki itu menjawab: Tidak! Mereka berkata lagi: Cuba fikir dahulu. Roh lelaki itu berkata: Dahulu, aku pernah memberi hutang kepada seseorang, lalu aku menyuruh pembantu aku supaya memberi penangguhan (tempoh) kepada orang yang dalam kesukaran dan memaafkan orang yang mendapatkan kelapangan (jika ada sedikit kekurangan dalam pembayaran hutangnya). Allah s.w.t berfirman (kepada para Malaikat): Maafkanlah beliau.
(5) Diriwayatkan daripada Abi Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada seorang lelaki dari umat sebelum kamu, diperhitungkan amalannya, maka tidak ada satu pun kebaikan melainkan beliau banyak memberi hutang kepada orang ramai kerana beliau adalah seorang yang kaya. Beliau menyuruh para pembantunya agar memberi kemudahan terhadap orang yang dalam kesukaran. Maka Allah s.w.t berfirman: Kami lebih berhak berbuat begitu daripada beliau. Berilah kemudahan kepada beliau.
(6) Diriwayatkan daripada Abi Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang (memanfaatkan) hasil penjualan anjing, hasil pelacuran dan mengupah tukang tilik.
(7) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa yang memelihara anjing selain dari anjing untuk menjaga ternakan dan anjing untuk berburu, maka setiap hari pahala amalannya dikurangkan sebanyak dua qirat (kinayah iaitu ibarat bagi ganjaran pahala yang sangat besar).
(8) Hadis Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Humaid r.a katanya: Anas bin Malik r.a pernah ditanya tentang hasil berbekam, maka beliau berkata: Rasulullah s.a.w pernah berbekam dan yang membekam baginda adalah Abu Taibah. Baginda memerintahkan agar Abu Taibah diberi dua gantang makanan dan memberitahu kepada keluarganya, bahawa mereka membebaskan pajaknya. Kemudian baginda bersabda: Sebaik-baik perubatan yang kamu gunakan untuk berubat adalah berbekam atau berbekam adalah ubat yang paling baik bagimu.
(9) Diriwayatkan daripada Said bin Zaid bin Amr bin Nufail r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesiapa mengambil sejengkal tanah secara paksa (rampas) Allah akan mengalungkan di lehernya pada Hari Kiamat nanti dengan setebal tujuh lapis bumi.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.