Kitab Li'an atau suami menuduh isteri berzina tampa saksi
(1)Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Satu peristiwa li'an telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu Aasim bin Adiy memberikan sedikit ulasan kemudian beredar dari situ. Suatu hari, seorang lelaki dari kaumnya datang mengadu kepadanya bahawa dia mendapati isterinya bersama dengan lelaki lain. Maka Aasim pun berkata: Kejadian seperti ini hendaklah kamu hadapkan kepada Rasulullah s.a.w dan Aasim memberitahu bahawa lelaki yang menuduh itu berkulit kuning, bertubuh kurus dan berambut lurus. Sedangkan lelaki yang dituduh bersama isterinya berbetis padat dan bertubuh gemuk. Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu buktikan saja nanti. Ternyata wanita itu melahirkan anak yang mirip dengan ciri-ciri lelaki yang dituduh. Maka Rasulullah s.a.w meli'an di antara keduanya. Seseorang bertanya kepada Ibnu Abbas: Adakah dia wanita yang disebut-sebut oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya: Seandainya aku boleh menghukum rejam kepada seseorang tanpa bukti, nescaya aku menghukum rejam ke atas wanita ini? Ibnu Abbas berkata: Bukan! Kalau dia adalah wanita yang memang terang-terang berniat buruk terhadap Islam.
(2) Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syukbah r.a katanya: Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memujiNya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.