Kitab Korban


(1) Diriwayatkan daripada Jundab bin Sufian r.a katanya: Aku pernah menyaksikan sembelihan korban sewaktu bersama Rasulullah s.a.w sebelum menunaikan sembahyang dan apabila selesai sembahyang dengan memberi salam, baginda mendapati daging korban telah disembelih sebelum selesai menunaikan sembahyang. Baginda bersabda: Sesiapa yang telah menyembelih korbannya sebelum dia menunaikan sembahyang atau kami sembahyang, dia hendaklah menyembelih yang lain sebagai gantinya. Manakala sesiapa yang belum melakukan sembelihan, dia hendaklah menyembelih dengan menyebut nama Allah.

(2) Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu yang melakukan korban (sembelih) maka janganlah menyimpan sedikitpun di rumahnya selepas dari tiga hari. Pada tahun berikutnya, para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah kami harus melakukannya seperti pada tahun lepas? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak, pada tahun itu ramai dari kalangan kaum muslimin hidup dalam keadaan susah. Jadi aku mahu daging korban itu dibahagikan kepada mereka.

(3) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w telah mengorbankan dua ekor kibas berwarna putih agak kehitam-hitaman dan bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri sambil menyebut nama Allah, bertakbir dan meletakkan kaki baginda di atas belikat (berhampiran tengkuk) keduanya.

(4) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada lagi Fara' dan juga Atirah. Fara' ialah anak unta pertama yang disembelih dan dipersembahkan kepada berhala dengan harapan ibunya lebih banyak lagi melahirkan anak. Manakala Atirah pula ialah kambing yang disembelih pada sepuluh hari pertama dari bulan Rejab. Dalam sebuah riwayat yang lain Ibnu Rafi' menambah dalam riwayat beliau: Fara' ialah anak ternakan yang pertama disembelih oleh tuannya.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1