Kitab Imarah iaitu kepimpinan
QURAN
(1)Allah s.w.t telah menjanjikan kepada orang-orang mukminin dan orang-orang yang beramal soleh di antara kamu bahawa mereka akan menjadi khalifah di muka bumi sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah dan Allah akan menetap agama mereka yang di redhaiNya bagi mereka dan Allah akan mengganti ketakutan mereka dengan keamanan.(an nur 55)
HADIS
(1) Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Aku menemui Nabi s.a.w bersama dengan dua orang lelaki dari keluarga bapa saudaraku. Salah seorang warisku itu berkata: Wahai Rasulullah, berikanlah aku jawatan untuk mengurus (memimpin) sebahagian dari perkara yang diberikan oleh Allah kepada mu. Begitu juga waris ku seorang lagi mengajukan permohonan yang sama, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Allah, aku tidak akan memberikan pekerjaan ini kepada orang yang memintanya, apatah lagi kepada orang yang tamak padanya.
(2) Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.
(3) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhakai pemerintah maka dia telah menderhakai aku.
(4) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan samada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya.
(5) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sepeninggalanku nanti akan muncul pemimpin-pemimpin yang kamu tidak sukai. Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah yang anda akan perintahkan sekiranya perkara itu terjadi kepada kami? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Penuhilah kewajiban yang telah diberikan kepada kamu dan pohonlah hak kamu kepada Allah.
(7) Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendapati pemimpinnya melakukan perkara yang tidak disukainya, maka hendaklah dia bersabar sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan jemaah satu jengkal, maka matinya adalah dikira mati dalam keadaan jahiliah.
(8) Diriwayatkan daripada Mujasyik bin Mas'ud as-Sulami r.a katanya: Aku berjumpa Nabi s.a.w untuk berikrar setia dengan baginda untuk sama-sama berhijrah. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya Hijrah telah berlalu, tetapi ikrar setia yang masih boleh dilakukan ialah terhadap Islam, jihad dan melakukan kebaikan.
(9) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang seseorang bermusafir ke negeri musuh dengan membawa al-Quran.
(10) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Setiap jiwa yang mati akan beroleh kebajikan di sisi Allah. Dia (jiwa tersebut) amat menyenangi seandainya beliau dapat kembali semula ke dunia, sekalipun beliau tidak mendapat apa-apa bahagian terhadap dunia dan isinya kecuali sebagai orang yang mati syahid. Sesungguhnya beliau berharap dapat kembali semula ke dunia lalu terbunuh, lantaran mengingatkan kelebihan mati syahid yang beliau lihat.
(11) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebatang jalan, dia mendapati sebatang dahan berduri lalu membuangnya. Allah berterima kasih padanya dan mengampuninya. Baginda bersabda lagi: Mereka yang mati syahid itu ada lima golongan: Mereka yang mati kerana taun, mereka yang mati kerana sakit di dalam perut, mereka yang mati lemas, mereka yang mati di bawah runtuhan bangunan dan mereka yang mati kerana berjuang di jalan Allah.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.