Kitab Kelebihan para sahabat r.a


(1) Diriwayatkan daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a katanya: Ketika kami berada di dalam Gua Hira' kami melihat kaki orang-orang Musyrikin berada di atas kepala kami. Aku berkata: Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang daripada mereka melihat kakinya tentu dia akan melihat kita. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Bakar! Janganlah kamu menyangka kita hanya berdua. Sesungguhnya Allah adalah yang ketiga.

(2) Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya: Dari Nabi s.a.w sabdanya: Aku bermimpi masuk ke dalam Syurga, aku melihat di dalamnya terdapat sebuah istana, maka aku bertanya: Untuk siapakah istana ini? Mereka iaitu Malaikat menjawab: Untuk Umar bin al-Khattab. Aku cuba untuk masuk, tetapi aku teringat akan kecemburuanmu. Setelah mendengar perkara itu, Umar menangis dan berkata: Wahai Rasulullah! Adakah aku harus cemburu kepadamu.

(3) Diriwayatkan daripada Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w tidak pernah menyebut kedua ibu bapanya kepada seseorang kecuali kepada Saad bin Malik, ketika peperangan Uhud. Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya: Tebusanmu ialah ayah dan ibuku.

(4) Diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku melihat Hassan bin Ali berada di dalam pelukan Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah beliau.

(5) Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki yang sempurna itu ramai, tetapi tiada wanita yang lebih sempurna dari Mariam binti Imran dan Asiah isteri Firaun. Sesungguhnya kelebihan Aisyah dari wanita lain adalah seperti kelebihan Tharid (roti yang dihancurkan lalu direndam dalam kuah) dari makanan lain.

(6) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w merasa kehilanganku, baginda s.a.w berkata: Di manakah aku sekarang? Di manakah aku esok? Baginda s.a.w merasa lama menunggu giliran bersama Aisyah. Beliau r.a berkata: Ketika Allah mengambil nyawa baginda, baginda berada di dalam pangkuanku.

(7) Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda ketika jenazah Saad bin Muaz masih berada di sisi mereka: Arasy Tuhan Yang Maha Pengasih tergoncang kerananya.

(8) Diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a katanya: Semenjak aku memeluk Islam, Rasulullah s.a.w tidak pernah melarangku untuk menemui baginda. Setiap kali baginda melihatku, baginda pasti tersenyum.

(9) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Akan didapati manusia seperti seratus ekor unta, tetapi tidak terdapat seorangpun daripada mereka yang dapat dibawa untuk musafir.

(10) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Seandainya agama itu berada di bintang, nescaya salah seorang dari lelaki Parsi atau pemuda-pemuda Parsi akan pergi ke sana untuk mendapatkannya.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1