Kitab Kelebihan


(1) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pada suatu hari meminta air, lalu baginda diberikan sebekas air. Orang ramai diajak mengambil wuduk dengan air tersebut. Maka aku hitungkan jumlahnya iaitu orang yang mengambil wuduk, antara enam puluh hingga lapan puluh orang. Kemudian aku perhatikan air keluar dari celah-celah jari tangan baginda.

(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan umatku adalah seperti seseorang yang menyalakan api, lalu binatang-binatang melata dan nyamuk berduyun-duyun datang kepada api tersebut. Manakala aku telah berusaha memegang tali pinggang kamu, namun kamu masuk ke dalam api tersebut.

(3) Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda: Perumpamaanku dan perumpamaan para Nabi adalah seperti perumpamaan seseorang yang membangunkan sebuah rumah. Beliau membinanya dengan baik dan sempurna, tetapi masih ada satu tempat yang belum diletakkan bata. Ramai orang yang masuk ke dalam rumah tersebut dan mereka mengkaguminya seraya berkata: Alangkah lebih baik jika kekurangan itu disempurnakan. Kemudiannya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diibaratkan sebagai bata tersebut di mana kedatangan aku adalah sebagai penutup para Nabi.

(4) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Telagaku (di Syurga) panjangnya sejauh jarak perjalanan selama satu bulan. Begitu juga dengan luasnya. Airnya pula seputih perak, baunya sewangi minyak kasturi dan jumlah bekas airnya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang telah meminum air telaga tersebut, nescaya dia tidak akan haus selama-lamanya.

(5) Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w adalah Seorang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Malaikat Jibril a.s telah bertemu dengan baginda setiap tahun pada bulan Ramadan sehingga berakhir Ramadan. Rasulullah s.a.w membaca al-Quran di hadapannya. Apabila Rasulullah s.a.w bertemu dengan Malaikat Jibril, maka baginda adalah orang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan melebihi angin kencang yang diutuskan.

(6) Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Apabila Rasulullah s.a.w diminta sesuatu, baginda tidak pernah menjawab: Tidak boleh.

(7) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya al-Aqrak bin Haabis pernah melihat Nabi s.a.w memeluk Hasan. al-Aqrak lalu berkata: Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya beliau tidak akan disayangi.

(8) Diriwayatkan daripada al-Bara' r.a katanya: Rasulullah s.a.w adalah seorang lelaki yang berbadan segak, berbahu lebar dan berambut panjang sehingga menjuntai ke cuping telinga. Baginda memakai pakaian yang berwarna merah. Aku tidak pernah melihat sesuatu yang indah, seindah Nabi s.a.w.

(9) Diriwayatkan daripada Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya sebesar-besar dosa orang Islam terhadap orang Islam lain ialah orang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan kepada orang-orang Islam, kemudian diharamkan ke atas mereka disebabkan pertanyaannya



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1