Kitab Kebajikan, hubungan kekeluargaan dan etika
(1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah s.a.w bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ayahmu.
(2) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hubungan kekeluargaan itu digantungkan pada Arasy. Ia berkata: Barangsiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan aku maka Allah pun akan memutuskannya.
(3) Diriwayatkan daripada Jubair bin Mut'im r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tidak akan masuk Syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan (silaturrahim).
(4) Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam.
(5) Diriwayatkan daripada Abu Said r.a katanya: Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya.
(6) Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit.
(7) Diriwayatkan daripada Ummu Kalsum binti Uqbah r.a katanya: Sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah dikira sebagai pendusta jika seseorang mendamaikan perselisihan di antara manusia. Beliau berkata yang baik dan menyampaikan yang baik pula.
(8) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kekuatan itu tidak dibuktikan dengan kemenangan bertumbuk. Tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika sedang marah.
(9) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Seorang muslim yang kematian tiga orang anak lelakinya tetapi masih di azab dengan Neraka adalah tidak lain dan tidak bukan kerana beliau amat suka bersumpah.
(10) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Seorang lelaki yang berasal dari pedalaman bertanya Rasulullah s.a.w: Bilakah berlakunya Kiamat? Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah persediaan kamu untuk menghadapinya? Lelaki itu menjawab: Cinta kepada Allah dan RasulNya. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu akan tetap bersama orang yang kamu cintai.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.