Kitab Jenazah

QURAN

(1)Tiap-tiap yang bernyawa itu akan merasakan mati,sesungguhnya pahala kamu akan di sempurnakan pada hari kiamat.(al Imran 185)


HADIS

(1) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Saad bin Ubadah r.a telah mengalami sakit tenat dan diadukan mengenai keadaannya, lalu baginda s.a.w pergi menziarahinya bersama Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas dan Abdullah bin Mas'ud r.a. Ketika baginda masuk menemuinya, didapati dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah dia telah meninggal dunia? Orang ramai yang hadir di situ menjawab: Belum lagi, wahai Rasulullah. Kemudiannya Rasulullah s.a.w mulai menangis. Ketika orang ramai melihat tangisan Rasulullah s.a.w mereka pun ikut menangis. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Tidakkah kamu mendengar bahawa Allah tidak menyiksa hanyalah kerana air mata dan Allah tidak juga menyiksa disebabkan hati yang dukacita tetapi Dia menyiksa adalah kerana ini (baginda menunjuk ke lidah baginda) ataupun Dia mengasihi.
(2) Diriwayatkan daripada Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya mayat itu akan tersiksa kerana tangisan ahli keluarga terhadapnya.
(3) Diriwayatkan daripada Ummu Atiyyah r.a katanya: Kami kaum wanita telah dilarang mengiringi jenazah tetapi bukanlah bererti kami dilarang keras dari mengiringi jenazah.
(4) Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, Ummul Mukminin r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w wafat seluruh tubuh baginda dilitupi dengan kain Hibarah iaitu sejenis kain buatan Yaman.
(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Nabi s.a.w bersabda: Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya maka jenazah itu adalah keburukan yang kamu letakkan (lepaskan) dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu).
(6) Diriwaytkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang menghadiri jenazah sehinggah jenazah itu disembahyangkan, maka dia seolah-olah mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak) dan sesiapa yang menghadirinya sehingga jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirat. Sahabat bertanya: Apakah dua qirat itu? Baginda s.a.w bersabda: Seumpama dua gunung.
(7) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa ada seorang perempuan berkulit hitam atau seorang pemuda yang selalu membersih masjid. Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w merasai ketiadaannya iaitu tidak menemuinya. Lalu baginda bertanya mengenainya. Para Sahabat menjawab: Dia telah meninggal dunia. Rasulullah s.a.w menegur: Kenapa kamu tidak memberitahuku? Para Sahabat menjawab: Kami menganggap ianya adalah urusan kecil sahaja. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Tunjukkanlah kuburnya kepadaku. Maka mereka menunjukkannya kepada baginda. Baginda mendirikan sembahyang di atas kuburnya dan setelah itu bersabda: Sesungguhnya kubur itu penuh dengan kegelapan bagi penghuninya dan Allah s.w.t meneranginya dengan sebab sembahyangku ke atas mereka.
(8) Diriwayatkan daripada Amir bin Rabi'ah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melihat jenazah diusung, maka berdirilah kerananya sehinggalah jenazah tersebut diusung jauh dari kamu atau sehingga jenazah tersebut diletakkan di dalam kubur.
(9) Hadis Qais bin Saad r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Abu Laila r.a katanya: Bahawa Qais bin Saad dan Sahl bin Hunaif r.a sedang berada di Qadisiyah. Tiba-tiba jenazah diusung berhampiran mereka, maka mereka pun berdiri. Lalu dikatakan kapada mereka berdua: Jenazah itu adalah dari penduduk tempatan iaitu orang kafir. Mereka berdua berkata: Pernah suatu ketika, Rasulullah s.a.w didatangi jenazah. Lalu Baginda berdiri. Ketika diberitahu kepada baginda bahawa: Itu adalah jenazah orang Yahudi. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Bukankah dia juga manusia?.
(10) Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub r.a katanya: Aku sembahyang di belakang (berimamkan) Nabi s.a.w dan baginda mendirikan sembahyang ke atas jenazah Ummu Ka'ab r.a yang meninggal dunia dalam keadaan nifas. Rasulullah s.a.w mendirikan sembahyang ke atas jenazahnya secara berdiri di tengah-tengahnya.

© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1