Kitab Haji


QURAN
(1)Allah mewajibkan haji ke rumah suci(kaabah)atas semua manusia yang kuasa pergi kesana.(Al Imran 97)


HADIS

(1) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bagaimana cara pakaian orang yang ingin berihram? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Janganlah kamu memakai baju, kain serban, seluar, penutup kepala dan sarung kaki iaitu khuf kecuali untuk orang yang tidak memiliki selipar, diharuskan dengan syarat khuf tersebut dipotong hingga bawah buku lali. Jangan memakai pakaian yang dicelup dengan Za'faran iaitu sejenis pewarna warna kuning dan Wars iaitu sejenis pewarna warna merah.

(2) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: al-Baida' adalah tempat yang kamu menyangka bahawa Rasulullah s.a.w pernah memulakan Ihramnya, sebenarnya Rasulullah s.a.w tidak memulakan Ihramnya kecuali dari masjid iaitu Zul Hulaifah.

(3) Diriwayatkan daripada As-So'bu bin Jassamah al-Laisi r.a katanya: Aku telah menghadiahkan seekor kaldai liar kepada Rasulullah s.a.w sewaktu di daerah Abwa' atau di Waddan. Namun baginda mengembalikan semula kaldai itu kepadaku. Ketika Rasulullah s.a.w melihat perubahan wajahku, baginda bersabda: Kami tidak akan menolak pemberianmu ini sekiranya kami bukan dalam keadaan berihram.

(4) Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w, seorang lelaki telah terjatuh dari untanya sehingga patah lehernya lalu meninggal dunia. Kemudian Nabi s.a.w bersabda: Mandikanlah dia dengan air dan daun bidara serta kafankanlah dia dengan kedua pakaiannya dan jangan kamu tutupi kepalanya kerana sesungguhnya Allah akan menghidupkannya kembali pada Hari Kiamat dalam keadaan bertalbiah.

(5) Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Aku pernah mendengar Nabi s.a.w berniat Ihram Haji dengan Umrah secara serentak.

(6) Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w apabila tiba di Mekah ialah berwuduk kemudian melakukan Tawaf di Baitullah.

(7) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah mencukur rambut dan diikuti oleh beberapa orang Sahabat baginda. Ada juga Sahabat yang hanya memotongnya sahaja. Abdullah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah merahmati orang yang mencukur rambutnya sekali atau dua kali seterusnya baginda menyambung sabdanya: Dan orang yang memotong rambut.

(8) Diriwayatkan daripada al-Fadhli r.a katanya: Seorang wanita dari daerah Khath'am pernah bertanya: Wahai Rasulullah! Ayahku telah lanjut usia dan telah diwajibkan ke atasnya untuk menunaikan Haji, sedangkan dia tidak mampu bertahan di atas belakang untanya. Nabi s.a.w bersabda: Kamu tunaikanlah Haji sebagai gantinya.

(9) Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat musafir, di mana perjalanannya melebihi dari tiga hari melainkan bersama ayah, anak lelaki, suami, saudara lelaki atau siapa sahaja mahramnya yang lain.

(10) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ibadat Umrah hingga ibadat Umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya. Manakala ibadah Haji yang Mabrur iaitu Haji yang diterima, tiada ganjarannya selain dari Syurga.

(11) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Akan tiba suatu masa di mana seorang lelaki akan mengajak sepupu dan saudara maranya: Marilah bersenang lenang! Marilah bersenang lenang! Padahal Kota Madinah adalah lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahui. Demi jiwaku berada dalam genggamanNya. Setiap orang dari mereka yang meninggalkan Kota Madinah kerana tidak suka, maka Allah akan menggantikan orang yang lebih baik darinya. Ketahuilah, sesungguhnya Kota Madinah umpama cerobong dapur yang mengeluarkan asap iaitu kotoran. Hari Kiamat tidak akan berlaku sebelum Kota Madinah mengeluarkan segala keburukan (orang kafir dan munafik) sebagaimana cerobong dapur yang mengeluarkan asap iaitu kotoran.

(12) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Kota Madinah adalah Tanah Haram. Sesiapa yang melakukan suatu perbuatan dosa atau memberi perlindungan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa, maka dia akan dilaknat oleh Allah dan para Malaikat serta seluruh manusia. Pada Hari Kiamat kelak, Allah tidak akan menerima taubat dan fidyahnya.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1