Kitab Haid
(1) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Seorang perempuan bertanya Nabi s.a.w: Bagaimanakah cara orang perempuan mandi dari haidnya? Perawi Hadis berkata: Kemudian Aisyah menyebutkan bahawa baginda mengajarkan cara mandi kepada perempuan tersebut. Di antara sabda baginda: Kemudian kamu ambil kapas yang disapu misk iaitu bauan kasturi, lalu kamu bersucilah dengannya. Perempuan itu berkata: Bagaimana cara bersuci dengannya? Baginda bersabda: Maha suci Allah! Kamu bersucilah dengannya dan baginda pun bersembunyi. Sufian bin Uyainah memberi isyarat kepada kami dengan meletakkan tangan pada wajahnya. Perawi Hadis melanjutkan ceritanya: Aisyah berkata: Aku menarik perempuan itu kerana aku sudah tahu apa yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w. Lalu aku berkata kepada perempuan tersebut: Sapulah tempat keluar darah haidmu dengan kapas itu.
(2) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Fatimah binti Abu Hubaisy telah datang menemui Nabi s.a.w lalu bertanya: Wahai Rasululah! Aku adalah perempuan yang berdarah Istihadhah iaitu darah penyakit maka aku tidak suci. Adakah aku mesti meninggalkan sembahyang? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Darah tersebut ialah darah penyakit bukannya haid, apabila kamu didatangi haid maka kamu hendaklah meninggalkan sembahyang. Apabila darah haid berhenti dari keluar, maka kamu hendaklah mandi dan mendirikan sembahyang.
(3) Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.a katanya: Ketika aku sedang berbaring bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut, tiba-tiba aku haid, lantas aku keluar secara perlahan-lahan untuk mengambil pakaian khas semasa haid. Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku: Apakah kamu sedang haid? Aku menjawab: Ya. Baginda memanggilku lalu aku berbaring lagi bersama baginda dalam satu selimut. Ummu Salamah berkata: Dia dan Rasulullah s.a.w mandi hadas dengan menggunakan sebekas air.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.