Kitab Kusuf atau gerhana
(1) Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w lalu baginda berdiri melakukan sembahyang dan berdiri dalam waktu yang panjang. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk itu. Selepas itu baginda mengangkat kepala lalu berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah lama sebagaimana berdiri yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk pula sekali lagi dalam masa yang panjang, tetapi tidaklah sepanjang rukuk yang pertama. Setelah itu baginda sujud. Kemudian baginda bangkit dan berdiri pula dalam waktu yang lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Kemudian baginda rukuk cukup lama tetapi kurang dari yang pertama tadi. Seterusnya baginda mengangkat kepala lalu berdiri lama tetapi kurang tempohnya dari berdiri yang pertama. Kemudian rukuk pula cukup lama tetapi tidaklah selama yang pertama tadi. Setelah itu baginda sujud dan selepas selesai sembahyang baginda pun beredar dan matahari mulai kelihatan. Baginda mula berkhutbah di hadapan kaum muslimin. Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya. Kemudiannya baginda bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan itu termasuk tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana disebabkan hidup atau matinya seseorang. Oleh itu seandainya kamu melihat kedua-duanya gerhana, maka bertakbir dan berdoalah kepada Allah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah wahai umat Muhammad! Tidak seorang pun yang paling prihatin selain daripada Allah apabila hambanya samada lelaki ataupun perempuan melakukan zina. Wahai umat Muhammad! Demi Allah seandainya kamu tahu apa yang telah aku ketahui, tentu kamu lebih banyak menangis dan kurang ketawa. lngatlah, bukankah aku telah menyampaikan?.
(2) Diriwayatkan daripada Abu Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya (ketika berlaku gerhana) digunakan oleh Allah untuk menakutkan (memberi amaran) kepada para hambaNya dan keduanya tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang di antara manusia. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka dirikanlah sembahyang dan berdoalah kepada Allah hinggalah Allah meneranginya semula kepada kamu.
(3) Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda bangkit dengan terkejut, bimbang kalau-kalau hari itu adalah Hari Kiamat. Kemudian beliau datang ke masjid lalu mendirikan sembahyang. Baginda berdiri, rukuk dan sujud dalam tempoh yang lama. Aku tidak pernah melihat sama sekali baginda bersembahyang begitu. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat (tanda-tanda) yang diutuskan oleh Allah dan berlakunya bukanlah kerana kematian seseorang atau juga dihidupkan seseorang tetapi Allah mengutusnya untuk menakutkan (memberi amaran) kepada hamba-hambaNya. Oleh itu apabila kamu melihatnya maka bersegeralah mengingatiNya, berdoa kepadaNya dan memohon keampunan dariNya.
(4) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang.
(5) Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Matahari telah gerhana pada masa Rasulullah s.a.w di hari kematian Ibrahim iaitu anak lelaki baginda. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkannya. Oleh itu apabila kamu melihatnya berdoalah kepada Allah dan dirikanlah sembahyang hinggalah gerhana itu hilang.
© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet
Explorer 600 x 800.