Kitab Berbagai fitnah dan tanda-tanda hari kiamat


(1) Diriwayatkan daripada Usamah r.a katanya: Nabi s.a.w telah naik ke salah satu bangunan yang tinggi dari bangunan-bangunan di Madinah, kemudian baginda bersabda: Apakah kamu melihat apa yang aku lihat? Sesungguhnya aku melihat tempat-tempat berlakunya berbagai fitnah di sekitar rumahmu bagaikan tempat turunnya air hujan.

(2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Akan terjadi berbagai fitnah, di mana pada ketika itu orang yang menjauhi fitnah lebih baik daripada orang yang berdiri, orang yang berdiri lebih baik dari orang yang berjalan, manakala orang yang berjalan lebih baik dari orang yang melibatkan dirinya dengan fitnah tersebut, orang yang terlibat dengan fitnah tersebut akan mengalami kehancuran. Sesiapa yang menemui tempat berlindung maka hendaklah beliau berlindung dari fitnah tersebut.

(3) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan berlaku Kiamat sehinggalah ada dua puak yang besar saling berperang antara satu sama lain, di mana berlaku pertempuran yang besar di kalangan mereka sedangkan dakwaan mereka adalah sama.

(4)Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehinggalah sungai Furat kering dan mengeluarkan gunung (timbunan) emas yang menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Maka seramai sembilan puluh sembilan daripada seratus orang telah dibunuh dan setiap lelaki dari kalangan mereka itu akan mengharapkan kejayaan itu menjadi miliknya.

(5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehinggalah keluar api di Negeri Hijaz yang menerangi tengkok-tengkok unta di Busyra.

(6) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda dalam keadaan baginda menghadap ke arah timur: Sesungguhnya fitnah akan muncul di sebelah sana, sesungguhnya fitnah akan muncul di sana yang mana akan muncul dua tanduk syaitan.

(7) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah seorang lelaki datang ke kubur seorang lelaki lain dan berkata: Kalau boleh aku ingin berada di tempat mayat itu (mati).

(8) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah dibangkit para Dajjal pendusta yang hampir bilangan mereka tiga puluh orang. Setiap mereka mendakwa dirinya adalah Rasul (utusan) Allah.

(9) Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Dajjal ialah orang yang buta matanya sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai Syurga dan Neraka. Nerakanya itu merupakan Syurga dan Syurganya pula ialah Neraka.

(10) Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda sambil menunjukkan dengan jari selepas ibu jari (jari telunjuk) dan jari tengah: (Jarak waktu) Antara masa aku diutuskan dengan masa berlakunya Kiamat seperti ini.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1