Kitab Binatang buruan, sembelihan dan binatang yang halal dimakan


(1) Diriwayatkan daripada Adiy bin Hatim r.a katanya: Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjing yang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing tersebut membawa binatang buruan itu kepadaku. Aku telah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya. Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang telah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu. Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya? Baginda menjawab: Ya, sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya. Aku bertanya lagi kepada baginda: Bagaimana jika aku memburu binatang dengan menggunakan panah lalu terkena tidak melalui matanya. Baginda menjawab: Apabila kamu memburu dengan menggunakan panah lalu terkena melalui matanya, maka makanlah. Tetapi jika terkena dari bahagian belakangnya (bukan dengan matanya) maka janganlah kamu makan.

(2) Diriwayatkan daripada Abu Sa'labah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila kamu melontar anak panahmu pada binatang buruan, lalu hilang kemudian kamu menemuinya, maka makanlah selagi tidak berbau busuk.

(3) Diriwayatkan daripada Abu Sa'labah r.a katanya: Rasulullah s.a.w mengharamkan daging kaldai peliharaan.
(4) Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan daripada Asy-Syaibani katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa r.a mengenai daging kaldai peliharaan. Beliau menjawab: Pada hari Khaibar kami telah dilanda kelaparan dan waktu itu kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Kami mendapatkan beberapa ekor kaldai dari luar Madinah lalu menyembelihnya. Ketika periuk-periuk kami yang berisikan binatang tersebut sudah hampir masak, tiba-tiba juru seru Rasulullah s.a.w menyeru agar kami mematikan api periuk-periuk tersebut dan jangan memakan daging kaldai itu sedikit pun. Aku bertanya: Bagaimanakah pengharamannya? Katanya: Kami telah berbincang sesama kami dan kami katakan pengharaman tersebut adalah pasti dan sebab pengharamannya adalah ia tidak boleh dibahagi lima.

(5) Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang pada hari Khaibar dari memakan daging kaldai peliharaan dan mengizinkan memakan daging kuda.

(6) Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai dhab. Baginda menjawab dengan bersabda: Aku tidak memakannya tetapi aku tidak mengharamkannya.

(7) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya: Kami telah ikut berperang bersama Rasulullah s.a.w sebanyak tujuh kali dan kami pernah memakan belalang.

(8) Hadis Abdullah bin al-Mughaffal r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Buraidah katanya: Abdullah bin al-Mughaffal melihat seorang teman lelakinya sedang melastik dengan batu lalu beliau berkata: Jangan melastik dengannya kerana Rasulullah s.a.w tidak suka atau melarang melastik. Alat tersebut tidak boleh digunakan untuk berburu binatang buruan dan tidak boleh mencedera atau membunuh musuh, tetapi ia boleh memecahkan gigi dan mencungkil mata. Kemudian beliau melihatnya masih lagi melastik lalu berkata: Aku ingin beritahu engkau bahawa Rasulullah s.a.w tidak suka atau melarang dari melastik dengannya kemudian jika aku masih melihat kamu melastik, aku tidak akan beritahumu kalimah begini dan begini.

(9) Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w melarang dari mengurung binatang ternakan.



© 2003 As|k Technology
All Meterial Are Right Reserved. Best Viewed With Internet Explorer 600 x 800.
Hosted by www.Geocities.ws

1