Panggilan telefon di tengah malam itu memang
mengejutkan aku. Tanpa berlengah lagi aku terus bergegas menuju ke
rumah Dinie, iaitu kawan karibku. Perjalanan yang memakan masa hampir
3 jam itu langsung tidak memenatkan
diriku. Malah rasa mengantukku serta-merta hilang sebaik sahaja aku teringatkan
keadaaan yang menimpa Dinie. Aku mahu segera sampai ke rumah Dinie. Setibanya
di sana, aku melihat banyak kereta memenuhi perkarangan rumah Dinie. Aku
bagaikan tidak percaya dengan berita yang disampaikan oleh ibu Dinie sebentar
tadi. Menurut ibunya, sejak balik dari Gua Musang seminggu yang lalu keadaan
Dinie agak berlainan. Aku menjadi tidak tentu arah, seolah-olah ada sesuatu
yang menghantui fikirannya.
Ada kalanya Dinie
meracau-racau tidak menentu hala. Kata ibu Dinie lagi, tiga hari selepas
itu, rambut Dinie tiba-tiba gugur seperti licinnya tempurung kelapa yang
dimesin. Bulu kening dan bulu mata Dinie juga luruh sepeti gugurnya daun
getah semasa musim kemarau. Dalam keadaan dirinya yang tidak terurus itu,
Dinie juga meracau dan mengamuk tidak keruan.
Semakin hari keadaan
Dinie semakin parah. Wajahnya juga tidak secantik dulu. Pipinya cengkung
sehingga menampakkan tulang pipi, dagu, rahang, dan dahi. Matanya bulat
menonjol dan asyik meliar memandang ke kiri dan kanan. Apabila ditinggalkan
keseorangan Dinie akan menjerit-jerit meminta ditemani. Dinie berasa seram
sejuk apabila keseorangan. Tubuhnya serta-merta menggeletar. Dia bukan
sahaja terbayang-bayang lembaga hodoh yanng cuba mencekiknya, bahkan terngiang-ngiang
di telinganya apa yang telah di ucapkan ketika berada di dalam gua tersebut.
Sebelum memulakan
pendakian, aku sudah berpesan supaya dia menjaga setiap tutur katanya.
Tambahan pula, gua tersebut dikatakan 'keras' kerana didiami oleh penunggu
rimba. Namun, dia berdegil dan menganggap perkara tersebut karut. Sepanjang
pendakian, mulut Dinie tidak henti-henti mengomel serta mencela setiap
objek yang terdapat di dalam gua itu. Sudah puas aku menasihatinya, namun
semakin dilarang semakin menjadi-jadi pula.
"Alahai... kelakarnya
rupa dia. Kalau jadi boyfriend aku, aku lari tengah malam ni. Kalah
rupa Jim Carey dalam cerita The Mask. Kah.. kah.. kah.. Bapak aku dua puluh
kali ganda lagi 'handsome' !"
Kata Dinie sambil ketawa.
"Eh..kau ni jangan celupar sangat. Jaga-jaga
sikit mulut kau tu, kita ni kat tempat orang, " nasihat aku.
"Alah .. tak ada bendanya,
kau tu percaya sangat dengan karut-marut ni. Lagipun benda ni bukannya
hidup. Tak ada maknanya kita takut," tambah Dinie lagi.
"Engkau ni kalau cakap
biar berlapik, nanti sebab mulut badan binasa. Aku tak campur...", balas
aku pada Dinie sambil mengelengkan kepala.
"Ye lah tu.. cakap
biar berlapik, sebab dek mulut badan binasa. Aku tak campur.... he.. he..he..",
jawab Dinie sambil mengejek-ejek cakapku.
Sehari selepas
pulang dari gua tersebut, Dinie mula berasa keanehan. Setiap kali dia cuba
melelapkan mata, dia akan terbayang wajah lelaki yang melatari dinding
gua tersebut. Wajah lelaki yang dikatakan hodoh seperti Jim carey dalam
The Mask sentiasa bermain-main di kelopak matanya.Adakalanya dia seakan
terbayangkan wajah itu berada di sampingnya. Sejak itu tidur malamnya sering
terganggu. Mimpinya sering di datangi wajah yang serupa dan berlumuran
darah. Dinie menjadi fobia dengan keadaan itu. kadangkala hanya dengan
bayangan wajah itu sahaja sudah cukup membuatkan dia menangis dan menjerit.
Selain itu, Dinie juga menderita akibat sakit kepala yang kronik sehingga
dia tidak mampu untuk melakukan apa sahaja. Kepalanya bagaikan mahu pecah
dan mahu sahaja dia menghantukkan kepalanya di dinding.
Doktor yang merawat
Dinie juga gagal untuk mengesan puncanya. Akhirnya keluarga Dinie mengambil
keputusan memilih untuk berubat secara tradisional. Kebanyakkan bomoh yang
ditemui rata-rata mengatakan Dinie menderita akibat terkena sumpahan
penunggu Gua Musang. Kononnya penunggu itu marah dengan kata-kata yang
dilemparkan oleh Dinie semasa pendakian itu. Bomoh itu menjangkakan
kesakitan yang ditanggung oleh Dinie itu akan sembuh sebaik sahaja penunggu
gua itu memaafkan dirinya.
Dengan izin Allah,
kini Dinie telah kembali pulih seperti sediakala hasil ikhtiar secara tradisional.
Ini kerana keluarganya tidak jemu-jemu mencari ubat untuk menyembuhkan
penyakit Dinie. Pengalaman tersebut memberi pengajaran kepada Dinie supaya
berhati-hati dalam menyatakan sesuatu jika berada di tempat yang orang.
Kadangkala, walaupun
sesuatu benda itu tidak dimiliki oleh sesiapa, kita juga perlu menghormati
semangat dan asal usulnya. Ini kerana sesuatu itu boleh terjadi dengan
keizinan Yang Maha Esa. Kisah yang dialami oleh Dinie ini boleh dijadikan
teladan kepada kita semua.
BACK