TANGGUNGJAWAB AHLI-AHLI JAWATANKUASA KARIAH
Tanggungjawab Secara Umum
1. Jawatankuasa Kariah hendaklah memberitahu Majlis melalui Pejabat Agama Daerah dengan segera tentang apa-apa keadaan yang memerlukan pembaikan bagi masjid di bawah jagaannya dan hendaklah mengawasi mana-mana pembaikan itu sebagai ejen untuk dan bagi pihak Majlis. (Seksyen 62(2) Enakmen)
2. Memastikan tiada ubahsuaian kepada struktur bangunan masjid boleh dibuat tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis. (Seksyen 62(3) Enakmen)
3. Membuat perlantikan dari kalangan orang-orang yang layak untuk menjadi Siak oleh Jawatankuasa Kariah. (Seksyen 64(2) Enakmen)
4. Memaklumkan kepada Majlis jika berlaku kekosongan bagi jawatan Imam atau Bilal dengan sebab kematian, berhenti atau lain-lain. (Seksyen 64(3) Enakmen)
5. Jawatankuasa Kariah hendaklah menentukan syarat-syarat dan tempoh jawatan bagi Siak yang dilantik. (Seksyen 65(3) Enakmen)
6. Memastikan bahawa dalam perlaksanaan tugas-tugas mereka, Pegawai Masjid akur dan patuh kepada kawalan dan arahan Jawatankuasa Kariah. (Seksyen 66, Enakmen)
7. Berdasarkan Seksyen 67(3), Enakmen Jawatankuasa Kariah hendaklah -
(a) bertanggungjawab bagi pentadbiran dan pengurusan yang betul dan sempurna ke atas masjid, harta masjid dan tanah perkuburan Islam dalam kariah;
(b) mengawasi semua surau, madrasah dan tempat-tempat ibadat yang lain dalam kariah serta kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengannya;
(c) membantu Majlis melaksanakan usaha-usahanya di bidang pembangunan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam dalam kariah;
(d) bertanggungjawab agar ahli kariah berkelakuan baik menurut ajaran Islam;
(e) memberi laporan segera kepada Majlis tentang semua perkara yang berlaku dalam kariah yang memerlukan perhatian Majlis; dan
(f) mematuhi apa-apa arahan Majlis dari semasa ke semasa.
8. Memastikan Sembahyang Jumaat tidak didirikan di mana-mana tempat dalam kariah melainkan tempat itu telah diberi kebenaran bertulis oleh Majlis. (Seksyen 65(3) Enakmen)
9. Melantik dua orang Pemeriksa Kira-Kira dari kalangan ahli kariah bagi tempoh 3 tahun. (Kaedah 3 (3), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
10 Bermesyuarat sekurang-kurangnya 4 kali setahun. (Kaedah 9 (1), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
11. Menentukan prosedur mesyuaratnya sendiri, selain daripada yang ditetapkan oleh Kaedah jika perlu. (Kaedah 12, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
12. Membuka Akaun dan mentadbirkan suatu akaun di dalam mana-mana bank yang mengamalkan prinsip Syariah. (Kaedah 13 (1), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998
13 Melaburkan wang masjid dalam mana-mana pelaburan yang ditetapkan oleh Majlis. (Kaedah 13 (2), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998
14 Mengawasi semua surau dan madrasah dalam kariahnya. (Kaedah 20 (1), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
15. Mencadangkan kepada Majlis bagi perlantikan mana-mana Pegawai Masjid. (Kaedah 3 (1), Kaedah- Kaedah Pegawai Masjid 1998)
16. Memaklumkan kekosongan mana-mana jawatan Pegawai Masjid dan mencadangkan pengganti kepada Majlis. (Kaedah 9 (2), Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid 1998)
17. Memastikan bahawa tiada seorangpun selain daripada Pegawai Masjid boleh menyampaikan Khutbah. (Kaedah 12 (1), Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid 1998)
Tanggungjawab Pengerusi
1. Menentukan tarikh dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kariah.
2. Menjadi undi pemutus sebagai tambahan kepada undi biasanya.
3. Membuat pengesahan kepada minit mesyuarat bagi dihantarkan kepada Majlis dan Pegawai Tadbir Agama. (Kaedah 9(4), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
4. Menandatangani cek atau pengeluaran wang daripada akaun bersama Timbalan Pengerusi atau Setiausaha.(Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
5. Mencadangkan kepada Majlis bagi perlantikan mana-mana Pegawai Masjid. (Kaedah 3 (1), Kaedah-Kaedah Pegawai Masjid 1998)
Tanggungjawab Timbalan Pengerusi
1. Mempengerusikan mesyuarat ketika ketiadaan Pengerusi. (Kaedah 9(3), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998).
2. Menandatangani cek atau pengeluaran wang daripada akaun bersama Pengerusi atau Setiausaha. (Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
Tanggungjawab Setiausaha
1. Berbincang dengan pengerusi dan mengeluarkan surat panggilan mesyuarat beserta agenda mesyuarat melalui notis bertulis kepada semua ahli Jawatankuasa Kariah sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. (Kaedah 9(2), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
2. Mengemukakan kepada Majlis minit mesyuarat yang telah disahkan oleh Pengerusi dalam tempoh 30 hari dengan satu salinannya kepada Pegawai Tadbir Agama. (Kaedah 9(4), Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
3. Menandatangani cek atau pengeluaran wang daripada akaun bersama Pengerusi atau Timbalan Pengerusi. (Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
Tanggungjawab Bendahari
1. Membuka Akaun dan mentadbirkan suatu akaun di dalam mana-mana bank yang mengamalkan prinsip Syariah.
2. Bertanggungjawab atas semua urusan kewangan dan hendaklah :
a) Memasukkan dengan segera semua wang yang diterima ke dalam akaun bank
b) Mengeluarkan resit bagi penerimaan wang
c) Menyelenggarakan buku-buku akaun mengikut apa-apa arahan Majlis dari semasa ke semasa
d) Mengemukakan kepada Majlis penyata kewangan tahunan yang telah diauditkan
e) Boleh menyimpan dalam tangan wang tunai yang tidak melebihi RM 500.00
f) Membuat pembayaran yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kariah dalam borang JK 1 Jadual Kedua. (Kaedah 14, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)
Tanggungjawab Pemeriksa Kira-Kira
1. Memeriksa buku kira-kira Jawatankuasa Kariah dan memberi laporan lengkap atas pemeriksaan itu kepada Jawatankuasa Kariah setiap 6 bulan. (Kaedah 17, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998)