PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN MASJID BERKESAN

 

 

PENDAHULUAN

 

          Kalau kita ingin mencari masjid contoh yang boleh kita ikuti dalam semua aspek pentadbiran dan pengurusan maka sudah tentu kita tidak akan menemuinya. Walaupun Negeri Perak telah menobatkan sebuah masjid terbaik pada setiap tahun tetapi ianya hanyalah meliputi aspek tertentu sahaja. Kalau kita hendak melihat masjid yang mempunyai lanskap yang cantik mungkin kita boleh melawat Masjid Aulia Selarong dan Masjid As-Sharif Padang Gajah. Jika kita ingin melihat masjid yang mempunyai perancangan yang cekap dan berkesan, maka Masjid Ghufran Manjoi dan Masjid As-Saadah Beruas boleh diketengahkan. Jika kita mahu melihat perpaduan dan kerjasama masyarakat yang erat maka Masjid Kampung Makmur Kampung Gajah dan Masjid Kampung Teluk Manjong boleh dijadikan contoh. Oleh yang demikian kita haruslah memperbaiki segala kekurangan yang ada bagi menjadikan masjid kita sebagai masjid terbaik dan pentadbiran kita dihormati oleh ahli kariah dan masyarakat seluruhnya.

 

PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN BERKESAN

           Bagi membincangkan mengenai pentadbiran dan pengurusan yang berkesan, maka saya ingin mendasarkan perbincangan kita terhadap kriteria-kriteria  Pemilihan Masjid Terbaik Negeri Perak yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Penilai. Kriteria ini dibahagaikan kepada 4 Kategori merangkumi;

 

1.     Pengurusan Dan Pentadbiran

2.     Pengurusan Kewangan Dan Ekonomi

3.     Pusat Ilmu Dan Maklumat

4.     Penyelenggaraan Dan Keceriaan

 

Pengurusan Dan Pentadbiran

           Sesebuah masjid yang berfungsi seharusnya mempunyai AJK dan Biro yang komited, aktif dan sistematik. Kebanyakan masjid di kampung-kampung hanya mempunyai jumlah AJK yang ramai tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang berfungsi. Sebahagian besarnya hanyalah menghadiri mesyuarat dan memilih untuk mendengar semata-mata. Berbagai Biro boleh ditubuhkan bagi membantu AJK menjalankan tugas mereka seperti Biro Dakwah, Biro Pendidikan, Biro Kewangan, Biro Pelaburan, Biro Belia dan Biro Muslimat. Sebagai contoh Biro Belia boleh memainkan peranan bagi menarik remaja dan belia ke masjid melalui aktiviti seperti Rakan Muda Masjid dan sebagainya. Biro Muslimat juga boleh menyuarakan keperluan kaum muslimat dalam membuat perancangan aktiviti masjid. Dalam Kaedah Jawatankuasa Kariah 1998 diperuntukkan kuota seorang wakil belia dan 2 orang wakil muslimat di dalam Jawatankuasa Kariah yang dilantik.

          Setiap biro yang ditubuhkan seharusnya mempunyai perancangan aktiviti tahunan yang akan dilaksanakan. Ini akan memudahkan kita menilai tahap keberkesanan setiap biro dalam menjalankan peranannya. Ini juga akan memudahkan ahli kariah membuat persediaan bagi mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan. Perancangan yang teratur ini juga akan memudahkan ahli kariah untuk menghulurkan sumbangan kewangan kerana keyakinan mereka terhadap pihak pengurusan.

          Setiap masjid juga seharusnya mempunyai sistem inventori yang teratur. Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita bahawa harta wakaf adalah hak semua dan bebas untuk digunakan. Banyak kes kita dapati harta benda masjid seperti pinggan mangkuk dan kitab yang hilang tanpa dapat dikesan. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab AJK masjid bagi memastikan semua harta masjid didaftarkan dan hanya boleh dipinjam atau disewa dengan kebenaran.

          Setiap masjid juga haruslah mempunyai sebuah pejabat bagi kegunaan pihak pentadbir. Ini akan memudahkan ahli kariah yang mempunyai urusan menemui pihak pengurusan dan membolehkan fail masjid disimpan dengan teratur. Banyak kes terjadi dimana pengurusan terbantut akibat fail berkaitan tidak ditemui. Ini biasa terjadi jika berlaku pertukaran atau kematian AJK.

          Selain dari itu pengurusan yang baik juga haruslah dapat dilihat dan dipamerkan kepada masyarakat. Masyarakat hanya akan memberikan kepercayaan kepada AJK jika mereka  dihidangkan dengan paparan aktiviti dan kewangan masjid. Ahli Kariah juga haruslah diberi peluang memberikan kritikan dan cadangan kepada AJK. Ini akan mengurangkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli kariah dan menyebabkan mereka merasakan kebersamaan dalam mengimarahkan masjid.

 

Pengurusan Kewangan Dan Ekonomi

           Sistem kewangan yang teratur amat penting dalam menjaga imej dan kredibiliti AJK masjid. Sistem kewangan yang teratur hendaklah mempunyai penyata pendapatan dan perbelanjaan yang lengkap, resit dan baucher bayaran yang tersimpan kemas dan imbangan kewangan yang seimbang.  Perbelanjaan juga haruslah mengikut perancangan aktiviti yang telah dirancang. Melalui perancangan belanjawan tahunan yang disediakan ahli kariah akan mengetahui dengan jelas keperluan kewangan bagi masjid tersebut. Ini akan memberikan semangat untuk mereka menyumbang bagi memastikan setiap aktiviti yang telah dirancang akan dapat dilaksanakan. Selain sumbangan yang dikutip dari ahli kariah setiap kali aktiviti akan di jalankan maka sumbangan tetap juga boleh dijadikan sumber utama kewangan masjid selain kutipan Jumaat. Bagi masjid yang mempunyai ahli kariah yang ramai maka sumber kewangan yang banyak dapat dikutip walaupun melalui sumbangan tetap RM 1.00 sebulan bagi setiap keluarga.

          Selain kutipan dari ahli kariah, usaha pelaburan sumber kewangan yang sedia ada juga mestilah dimanfaatkan sepenuhnya. Kebanyakan wang masjid tersimpan di dalam bank dan menunggu faedah yang tak seberapa. Seharusnya sumber kewangan ini digunakan sebaiknya bagi mengalirkan wakaf orang ramai yang menderma. Adalah lebih baik jika kewangan yang ada digunakan bagi membeli hartanah yang berpotensi untuk dibangunkan. Ini akan membawa keuntungan yang berlipat ganda bagi digunakan untuk keperluan masjid yang lain.

          Selain sumber kewangan yang ada, harta wakaf yang lain seperti tanah dan bangunan juga boleh dimanfaatkan. Usaha-usaha memajukan harta wakaf ini perlu dijalankan bagi manfaat semua pihak. Terdapat masjid yang mempunyai tanah beratus ekar tetapi terbiar begitu sahaja. Ada juga yang hanya mempunyai senarai hartanah yang banyak tetapi tidak diketahui kedudukan dan lokasi sebenarnya.

 

Pusat Ilmu Dan Maklumat

           Masjid semestinya menjadi pusat ilmu dan maklumat bagi setiap kariah. Oleh yang demikian sebuah perpustakaan yang menempatkan koleksi buku-buku dan kitab-kitab bagi keperluan ahli kariah amat perlu diadakan. Kebiasaannya masjid mempunyai kitab dan buku yang tersimpan secara tidak teratur. Sering kita lihat ahli kariah meminjam buku dari masjid dan gagal memulangkannya tanpa disedari oleh pihak masjid. Kedudukan almari buku di masjid juga biasa diletakkan di bahagian hadapan masjid bersebelahan mimbar. Ini menyebabkan ramai ahli kariah tidak berani untuk menggunakannya.

          Masjid juga haruslah mempunyai bilik pejabat dan bilik mesyuarat sebagai pusat kegiatan masjid. Pejabat masjid hendaklah lengkap dengan maklumat berkaitan kariah seperti senarai ahli kariah, senarai fakir miskin, senarai anak yatim,  maklumat persempadanan dan daftar surau di dalam kariah. Melalui maklumat ini maka segala aktiviti kariah boleh diselaraskan dan diadakan dengan berkesan. Maklumat ini juga boleh membantu kita mengenalpasti kekuatan dan kelemahan ahli kariah. Oleh yang demikian adalah baik jika setiap masjid mempunyai komputernya sendiri. Masjid juga boleh menjadi tempat ahli kariah mengiklankan sesuatu yang baik seperti majlis keagamaan dan kenduri kendara.  

 

Penyelenggaraan Dan Keceriaan
 
          Penyelenggaraan dan keceriaan masjid adalah merupakan satu aspek yang tidak boleh dipandang ringan. Ia akan membantu menarik perhatian ahli kariah dan menggalakkan mereka mengunjungi masjid. Selain kebersihan luaran dan dalaman masjid, keceriaan kawasan sekitar juga perlu dipertingkatkan. Konsep Landskap dan seni binaan di sekitar kawasan masjid akan menambahkan keceriaan masjid dan menarik pengunjung untuk mengimarahkannya. Oleh yang demikian segala kemudahan awam yang lengkap perlu diadakan di setiap masjid. Ini termasuklah kemudahan sukan bagi keperluan belia dan remaja. Masjid juga boleh menganjurkan aktiviti kesukanan bagi menarik golongan belia datang ke masjid.
 
PENUTUP

             Secara umumnya bolehlah disimpulkan bahawa berfungsi atau tidaknya sesebuah masjid itu bergantung kepada kesungguhan dan komitmen pihak pengurusan untuk menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan Umat Islam sepanjang zaman. Ia bukanlah merupakan tugas yang mudah malah memerlukan iltizam dan istiqamah bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat sepanjang zaman.

 

DISEDIAKAN OLEH:

 KAMAL IZAT BIN AHMED

PENOLONG PENGARAH

BAHAGIAN PENGURUSAN MASJID

JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

           

Hosted by www.Geocities.ws

1