BAB PERTAMA
Adakah mendirikan negara itu diwajibkan oleh Islam ?
Tasawwur Islam
Kedatangan Islam tidaklah hanya membawa akidah semata-mata malah membawa bersama akidah, akhlak dan syariat. Dengan Syariat inilah Islam menghukum dan mengatur segenap lapangan hidup manusia dalam hubungan mereka dengan keluarga, masyarakat dan negara. Dari sudut lain Islam adalah risalah yang terakhir yang diutuskan oleh Allah untuk seluruh alam tanpa mengira kaum, warna kulit dan tempat tinggal. Ini dapat kita lihat dalam firman Allah :
Ertinya : Dan tidak Kami utuskan kamu kecuali membawa rahmat kepada sekelian alam.
Ertinya : Wahai manusia sesungguhnya utusan Allah adalah untuk kamu semua.
Konsep Negara
Mengikut Undang-Undang Perlembagaan dan Undang-Undang Antarabangsa negara bolehlah di definisikan sebagai :
`satu kumpulan manusia yang tinggal tetap di suatu kawasan tertentu, mempunyai seorang pemerintahatau ketua dan mengandungi undang-undang dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh rakyat serta kebebasan berpolitik.’
Dari definasi di atas antara rukun sebuah negara adalah :
1. Satu bangsa yang tinggal tetap di satu tempat tertentu.
2. Seorang ketua yang dilantik oleh meraka sebagi pemerintah.
3. Undang-Undang yang menerangkan tentang peraturan pemerintahan.
4. Kebebasan berpolitik di kalangan rakyat.
Islam sendiri menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran dan Sunnah tentang kewajipan dan hak yang wajib ditunaikan oleh pemerintah dan rakyat. Oleh yang demikian jelaslah bahawa Islam tidak memisahkan antara agama dan negara.
Berdasarkan inilah umat Islam pada zaman yang pertama di zaman Rasulullah telah mendirikan negara dan menjalankan pemerintahan mengikut Syariat Allah. Maka tertubuhlah sebuah Negara Islam yang pertama di Madinah. Negara yang telah didirikan wajib menjalankan pemerintahan dan perundangan yang berlandaskan Syariat Islam dan akan dipatuhi oleh kesemua rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.Sehubungan dengan itu maka perlantikan seorang pemerintah atau ketua negara adalah satu kewajipan bagi rakyat. hal ini sebenarnya telahpun diakui oleh sarjana barat seperti :
1. Dr. Petezjeweld -
Islam bukanlah agama semata-mata tetapi ia juga adalah satu sistem politik. Sekalipun telah lahir pada masa akhir-akhir ini sebahagian daripada undang-undang Islam yang cuba untuk memisahkan antara kedua-duanya. Maka sesungguhnya Islam terbina di atas kedua-duanya dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
2. C.A.Nlion seorang Profesor Itali yang terkenal -
Sesungguhnya Muhammad telah mengasaskan agama dan negara dalam waktu yang sama, dan hukum-hukumnya adalah sesuai sepanjang hidupnya.
3. Dr. Syakhut -
Sesungguhnya Islam itu lebih daripada agama. Ia mempunyai teori-teori yang berkaitan dengan undang-undang dan politik. Dengan kata lain Islam merupakan peraturan yang sempurna yang meliputi agama dan negara.
4. Prof. Strautemn –
Islam adalah merangkumi agama dan politik yang mana pengasasnya Nabi yang menjadi pemerintah yang mahir dengan cara-cara pemerintahan.
5. Prof. Mac Donald –
Di Madinah terbentuknya kerajaan Islam yang pertama dan diletakkan sumber-sumber asas undang-undang Islam.
6. Thomas Arnold berkata –
Nabi Muhammad S.A.W adalah ketua agama dan negara.
Apabila kita mengatakan bahawa Islam merupakan sebuah agama negara maka adakah pemikiran untuk mendirikan negara lahir setelah berhijrah ke Madinah atau sewaktu berada di Mekah. Disebabkan pegangan Islam tidak diterima oleh masyarakat Mekah kecuali golongan yang dhaif maka segala amalan dan kepercayaan Islam tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya ketika di Mekah. Bagi menegakkan amalan agama baru ini dan seterusnya mengenbangkannya maka perlu kepada sebuah negara yang bebas dan merdeka . Oleh itu jelaslah bahawa Rasullullah S.A.W telahpun memikirkan untuk menubuhkan sebuah sewaktu berada di Mekah lagi. Bukanlah sepertimana tohmahan orientalis bahawa Rasulullah hanya memikirkannya setelah umat Islam mempunyai kekuatan untuk menghadapi golongan Musyrikin ketika di Madinah.
Ayat yang pertama mengizinkan berperang ialah firman Allah yang bermaksud :
`Diizinkan berperang kepada orang-orang yang diperangi, disebabkan mereka teraniaya dan sesungguhnya Allah itu berkuasa untuk menolong mereka. Orang-orang yang diusir dari rumah mereka diluar kebenaran, hanya kerana mereka mengatakan ; Tuhan kami Allah dan kalau Allah tidak mempertahankan serangan sebahagian manusia terhadap sebahagian yang lain nescaya runtuhlah biara-biara, gereja-gereja, rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah akan menolong siapa yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat dan Maha Berkuasa. Orang-orang yang jika kami berikan kedudukan kepada mereka di muka bumi, mereka tetap mengerjakan sembahyang dan membayar zakat dan menyuruh mengerjakan perbuatan baik dan melarang perbuatan yang jahat. Dan kepunyaan Allahlah kepunyaan segala urusan.
Penubuhan sebuah negara Islam telah dilakukan oleh Rasulullah sebaik sahaja sampai ke Madinah. Satu perjanjian telah dibuat antara orang-orang Muhajirin, Ansar dan Yahudi. Masing-masing berikrar untuk mematuhi persetujuan yang dibuat oleh Rasulullah . Rasulullah menulis :
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Inilah surat dari Muhammad S.A.W diantara orang Mukmin dan orang-orang Quraisy dan orang Yatsrib dan pengikut-pengikut mereka yang menjadi tanggungjawab mereka dan berjihad bersama-sama mereka. Sesungguhnya mereka ini umat yang satu tanpa mengira bangsa manusia..........
BAB KEDUA
Adakah melantik pemerintah tertinggi sesebuah negara wajib dari segi Syarak ?
Umat Islam telah melantik Saidina Abu Bakar Assidiq mengambil alih tempat Rasulullah setelah kewafatan baginda. Maka Abu Bakar menjadi khalifah Negara Islam yang pertama di Madinah.
Ibnu Hazm Al-Andalusi berkata :
`Keseluruhan Ahli Sunnah Wal-Jamaah bersepakat bahawa perlantikan ketua negara adalah wajib. Begitu juga Syiah dan Khawarij. Mereka juga bersependapat bahawa umat Islam wajib taat kepada ketua negara yang adil dan melaksanakan hukum-hukum Allah.’
Golongan Najdah dari Khawarij menentang pendapat di atas dengan mengatakan tidak wajib melantik imam. Apa yang diwajibkan adalah saling melakukan kebenaran antara sesama mereka. Golongan ini dinasabkan kepada ( ). Pendapat ini tertolak dengan firman Allah :
Ertinya : Taatilah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemerintah kamu.
Ibnu Hazm juga mengatakan :
`Firman Allah yang bermaksud,` Allah tidak membebankan seseorang itu melainkan atas kemampuannya’ menunjukkan wajib meyakini bahawa Allah tidak membebankan manusia dengan sesuatu yang tidak mampu untuk menanggungnya. Secara logik akal manusia menerima apa yang Allah telah perintahkan dalam hukum-hukum yang berkaitan dengan harta, jenayah, darah, nikah, talak dan seluruh hukum lain, menghukum orang yang zalim dan membela orang yang dizalimi. Hukum-hukum ini tidak akan terlaksana melainkan ada imam yang arif dalam Siasah Syar’iah dan mampu melaksanakannya’.
Al-Mawardi mengatakan :
`Ketua negara diwujudkan adalah untuk menggantikan nabi bagi menjaga agama dan mentadbir siasah dunia. Akad perlantikan bagi imam wajib secara ijmak, tetapi mereka berselisih pendapat adakah sabit dengan nas akal atau nas Syarak.’
Hisyam Bin Urwah ada meriwayatkan dari Ibnu Salleh dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
`Kamu akan diperintahkan selepasku oleh beberapa orang ketua, yang baik dengan kebaikannya, yang buruk dengan keburukannya. Maka hendaklah kamu patuh dan taat kepada mereka dalam setiap yang sesuai dengan kebenaran kalau mereka melakukan kebaikan maka bagi kamu pahala dan pahala kepada mereka. Kalau mereka melakukan keburukan maka pahala bagi kamu dan dosa ke atas mereka.’
Pengasas Ilmu Kemasyarakatan, Ibnu Khaldun menerangkan :
`Perlantikan imam adalah wajib dari segi syarak melalui ijmak sahabat dan tabi’iin kerana sahabat Rasulullah S.A.W ketika wafatnya nabi, bersegera memberi baiah kepada Abu bakar dan menyerahkan segala urusan kepada beliau. Amalan ini diteruskan sepanjang zaman selepas itu. Manusia tidak dibiarkan tanpa peraturan selamanya. Ini menunjukkan melantik imam adalah wajib.
SISTEM PERLANTIKAN KHALIFAH
Perbahasan ini dibahagikan kepada 3 bahagian :
1. Pendapat-pendapat yang terpilih.
2. Cara perlantikan khalifah yang empat.
3. Pendapat-pendapat yang diterima.
Pendapat-Pendapat Yang Terpilih
1. Al-Mawardi
1.1. Menurut Imam Abu Hassan Al-Basri, Khalifah dilantik melalui dua cara iaitu melalui jawatankuasa perlantikan ataupun dilantik oleh khalifah sebelumnya. Tetapi ulama berselisih tentang bilangan ahli jawatankuasa perlantikan. Sebahagian berpendapat jawatankuasa mesti terdiri dari wakil-wakil setiap negeri. Pendapat ini menolak perlantikan Abu Bakar kerana hanya diberi baiah oleh mereka yang ada di Madinah pada hari kewafatan Rasulullah.
1.2. Pendapat Majoriti Ahli Basrah bilangan Ahli Jawatankuasa tidak kurang dari 5 orang seperti dalam perlantikan Abu Bakar. Kelima-lima ahli memberi baiah dan kemudian diikuti oleh rakyat jelata. Ataupun dilantik oleh seorang ahli dan dipersetujui oleh empat yang lain seperti dalam perlantikan Othman.
1.3. Pendapat setangah Ahli Kufah hanya perlu kepada 3 orang lelaki yang mewakili seorang hakim dan dua orang saksi. Ini adalah sama seperti akad dalam perkahwinan yang hanya perlu kepada seorang wali dan dua orang saksi.
1.4. Pendapat yang lain memadai dengan mendapat persetujuan dari seorang lelaki sahaja seperti dalam perlantikan Saidina Ali di mana Abbas B. Abd. Mutalib berkata kepada Ali hulurkan tangan kamu dan aku beri baiah kepada kamu. Lalu rakyatpun berkata bapa saudara Rasulullah S.A.W telah memberi baiah kepada saudaranya.
2. Ibnu Hazm
2.1. Menurut Golongan AZ-Zohiriah, perlantikan hanya sah melalui persetujuan dari ketua umah dari seluruh pelusuk negara.
2.2. Abu Ali Muhammad Bin Abdul Wahab Al-Jiba’i ( ) berpendapat tidak sah baiah kurang dari 5 orang. Mereka bersetuju perlantikan oleh khalifah sebelumnya demgan syarat atas dasar yang terbaik dan bukan berlandaskan hawa nafsu.
3. Al-Asya’ri
3.1. Dalam kitabnya Maqallatul Islamiyin ( ) menyebutkan :
` Mereka berselisih pendapat dalam perkara imamah adakah berdasarkan nas atau tidak. Setengah pendapat ianya berdasarkan nas dari Allah dan pendapat lain mengatakan ianya dengan akad perjanjian. Mereka juga berselisih dalam bilangan orang yang mengakadkan imamah. Setengah pendapat mengatakan hendaklah akad dari seorang lelaki yang berilmu.
4. Pendapat lain mengatakan mesti tidak kurang dari 2 orang lelaki. Ada juga mengatakan tidak kurang dari 4 orang, 5 orang dan seorang sahaja.Menurut Abu Bakar Al-Asim tidak boleh kecuali dengan ijmak orang Islam.
Pendapat Sohibul Musayarah dan Musamarah ( )
Kamal Ibnu Humam dan Kamal Ibnu Abi Syarif mengatakan bahawa perlantikan Imam berdasarkan :
5. Perlantikan khalifah sebelumnya dan dipersetujui oleh Orang Islam -
Seperti Saidina Abu Bakar.
6. Melalui Baiah ahli Jawatankuasa Perlantikan.
7. Menurut Abu Hassan Al-Asya’ri memadai seorang dari ulamak yang terkenal di kalangan ahli fikir. Jika dia memberi baiah maka akad itu adalah sah. Ketika Umar memberi baiah kepada Abu Bakar dan tersebar ke seluruh negara dan tiada bantahan. Juga seperti perlantikan Usman oleh Abd. Rahman B. Auf.
8. Sohibul Mawaqif
Al-Qadhi A’dhudin Al-Iji dan Sayyid Asy-Syarif Al-Jurjani berpendapat semata-mata kelayakan dan mencukupi syarat pada diri belum tentu seseorang boleh menjadi pemimpin. Perlantikan khalifah adalah berdasarkan nas Rasul atau perlantikan khalifah sebelumnya sebagaimana perlantikan ahli jawatankuasa perlantikan mengikut pendapat Ahli Sunnah Wal-Jamaah, muktazilah dan Solihiah dari Syiah Zaidiah.
Ini berbeza dengan pendapat Syiah Imamiah yang mengatakan perlantikan khalifah adalah berdasarkan nas sebagaimana hujjah mereka :
1. Setengah ahli jawatankuasa tidak mempunyai hak untuk bertindak ke atas orang lain. Jadi bukanlah pilihan mereka untuk melantik mana-mana individu sebagai khalifah.
2. Khalifah dilantik sebagai sebagai wakil Allah dan Rasulnya. Ia tidak sabit kecuali dengan nas bukan dari ahli jawatankuasa.
3. Perlantikan secara baiah akan menimbulkan fitnah kerana ianya dilakukan oleh orang ramai yang datang dari berbagai negeri dan kadangkala terdapat puak yang mendakwa pemimpinnya lebih layak.
4. Selain itu mereka mensyaratkan pemimpin itu terpelihara dari dosa dan tahu semua masalah agama secara terperinci. Hanya Allah yang dapat mengukur keadaan sebenar manusia. Oleh itu ia mesti berdasar nas Allah dan Rasul.