TUJUH FAKTOR PENGEKAL KEBATILAN
الحمد لله الذى هَدانا ِلهذا وما كُنَّا لِنَهتَدِىَ لو لا اَن هدانا اللهُ
اَشْهَدُ أَنْ لا اله الا اللهُ وحدهُ لا شريك له و اشهد انَّ سَيِّدَنا محمدا عَبْدُهُ ورسُولُهُ
اللهم صلِّ وسلِّم على سيِّدِنا محمدٍ وعلى اله واصحابِهِ أجمعين
أمَّا بَعْدُ فيا عِبادَ اللهِ اتَّقوا اللهَ اوصيكم وايَّايَ بِتَقْوى اللهِ فقد فاز المتقون .
Sidang Jumaat yang dihormati,
Pertembungan antara hak dan batil bermula semenjak penciptaan Adam lagi dan akan berterusan selama mana ada pihak yang rela dirinya diatur oleh sistem Allah dan satu pihak lagi tidak rela dan tidak mahu berusaha untuk disusun atur oleh sistem Allah.
Pertembungan antara kebenaran dan kebatilan berlaku di mana-mana. Kadang-kadang ia berlaku di dalam masyarakat dan kadang-kadang pertembungan itu berlaku dalam diri kita sendiri. Cuma persoalannya kita di pihak yang mana. Mengaku sahajalah kadang-kadang kita di pihak yang benar dan memenangkan kebenaran dan kadang-kadang kita kalah dengan kebatilan dan menyokong kebatilan. Iman kita, ibadat kita kadang-kadang kuat dan hebat tetapi kadang-kadang rapuh dan tidak bermaya.
Nabi Muhammad S.A.W. diutus oleh Allah S.W.T. antaranya adalah untuk memusnahkan sama sekali punca dan penggalak kegiatan jahat dalam masyarakat dan untuk membuka jalan kepada kebaikan, meluaskannya seboleh mungkin dan melaksanakan kebaikan bagi menggantikan kejahatan samada dalam kehidupan individu atau masyarakat.
Firman Allah S.W.T.

Bermaksud :
Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya, serta mengilhamkannya untuk mengenal jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada taqwa, sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu, susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (Al-Syams 7 –10)
Ayat ini menjelaskan bahawa sebenarnya kita mempunyai kemampuan ilmu dan kemahuan untuk membeza dan menjauhi kejahatan dan menghampiri kebaikan.
Hal ini diterangkan lebih lanjut dalam firman Allah;

Sesungguhnya kami aturkan cara mencipta manusia bermulanya dengan air mani yang bercampur, serta kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan) oleh itu kami jadikan ia berkeadaan mendengar dan melihat. Sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya jalan-jalan yang benar dan salah maka terserahlah kepadanya samada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau derhaka)(Al Insan 2-3)
Ini menunjukkan bahawa Allah S.W.T. telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian. Tetapi apabila mereka meninggalkan jalan yang baik dan benar serta menggunakan keupayaan yang diberi untuk jalan kejahatan, bererti mereka rela merendahkan diri mereka sendiri sehingga menjadi makhluk yang paling hina. Mereka melakukan jenayah dan kekejaman yang tidak pernah dilakukan oleh binatang.
Sidang Jumaat yang budiman,
Kadang-kadang kita tahu perkara yang kita buat itu salah, barang yang kita ambil itu haram dan pilihan yang kita buat itu tidak tepat, tetapi kita tetap juga terus menerus melakukannya. Mengapakah ini berlaku?
Persoalan ini dijawab oleh Allah dalam Al-Quran yang menerangkan sebab-sebab utama yang membawa manusia ke lembah kejahilan dan kemungkaran :
1. Kepercayaan Ikut-Ikutan
Ramai orang yang terjerumus ke lembah kemaksiatan kerana mereka mengikut secara membuta tuli jalan yang telah dilalui oleh golongan veteran dalam urusan menolak kebenaran. Sejarah telah menunjukkan bahawa orang ramai menolak kebenaran atas dasar mereka telah mengikuti jalan yang dilalui oleh nenek moyang mereka dan tidak mahu menukarnya. Itulah yang berlaku kepada kaum Nuh, Kaum A’d dan kaum Thamud. Firman Allah

“Dan demikianlah halnya; kami tidak mengutus sebelum mu (wahai Muhammad) kepada penduduk sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang yang ternama dalam kemewahan di negeri itu berkata “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama dan kami menurut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata adakah kamu akan menurut mereka juga walaupun kami akan membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati daripada datuk nenek kamu? Mereka menjawab “Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutus membawanya”(Az Zukhruf 23-24)
2. Terlalu Patuh Kepada Pemimpin
Menurut sejarah, ini merupakan satu lagi faktor yang bertanggungjawab terhadap penolakan ajaran Allah oleh orang ramai. Mereka berada di bawah kekuasaan pemimpin politik, raja-raja dan orang kaya mengikuti jejak langkah mereka menolak seruan para Rasul. Firman Allah:-

“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata dengan sesalnya” Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah dan Rasul. Dan mereka berkata lagi, “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak para ketua dan orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar”. (Al Ahzab 66 – 67)
3. Kemegahan
Ramai orang menjadi sesat disebabkan sifat megah mereka. Mereka tidak sanggup mengaku salah kerana ia akan merosakkan kemegahan mereka lantas merendahkan status mereka pada pandangan orang lain. Al-Quran menggariskan usaha Nabi Nuh a.s. untuk membawa kaumnya kepada kebenaran seperti firmannya:-

“Setelah puas menyeru mereka, Nabi Nuh berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam supaya mereka beriman: maka seruanku tidak memberikan mereka satu faedahpun selain daripada menambahkan mereka melarikan diri daripada kebenaran. Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka supaya Engkau mengampuni dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan telinga mereka dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya dan berlaku sombong takbur yang melampau-lampau. (Nuh 5-7)
4. Status Keduniaan
Ini merupakan satu lagi faktor yang menyesatkan orang ramai. Orang kaya walaupun melakukan rasuah atau perbuatan zalim dalam kehidupan mereka tetap dianggap berjaya, manakala orang miskin walaupun patuh dan berbudi dianggap sebagai gagal di dunia ini. Dengan ini kedudukan di dunia menjadi ukuran kejayaan atau kegagalan seseorang tanpa mengambil kira sifat, moral atau perangai mereka. Kaum Nabi Nuh menolak beliau kerana sebahagian besar daripada orang yang beriman dengan ajarannya adalah orang miskin.

“Mereka menjawab “Patutkah kami percaya kepada kamu, sedang engkau semata-mata diikuti oleh orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)(As Syuara’ 26:111)
5. Nafsu Dan Dugaan
Ramai orang yang terus-terusan berada dalam kebatilan dan menolak kebenaran disebabkan mereka menjadi hamba kepada nafsu mereka sendiri. Kadang-kadang bukan alasan mereka tidak tahu malah mereka amat tahu hukumnya tetapi tetap memilih maksiat kerana dorongan nafsu. Semua orang tahu riba itu haram, bermain judi itu haram, solat itu wajib tetapi amalan kita kadang-kadang tidak sama dengan apa yang kita tahu.
6. Penentangan Terhadap Kebenaran
Ini adalah satu lagi kejahatan yang mempengaruhi individu dan umat manusia mejauhkan diri daripada kebenaran. Sesetengah orang suka malah ketagih kepada perbuatan jahat dan rela kekal dalam kehidupan keji tanpa ada rasa bersalah dan menyesal.
Firman Allah;

(Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): “Balasan buruk yang demikian itu disebabkan kamu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan) dan disebabkan kamu bersenang-lenang dan bermegah-megah dengan berleluasa dengan maksiat, masukilah pintu-pintu Neraka Jahannam, kekal kamu di dalamnya, maka ia seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong takbur ialah Neraka Jahannam. (Surah Al-Mukmin 75-76)
7. Anggapan Kepatuhan Agama Membinasakan Kehidupan Dunia
Mereka beranggapan bahawa taat beragama dan patuh kepada kebenaran tidak sesuai untuk kejayaan hidup duniawi. Mereka menegaskan, kamu mestilah meninggalkan agama dan kepatuhan kepada Allah untuk bahagian dalam hidup ini. Inilah sikap yang ditunjukkan mereka dalam hidup ini. Inilah juga sikap yang ditunjukkan oleh pemuka-pemuka kaum Nabi Shuib melalui firman Allah;

“Sesungguhnya jika kamu mengikuti Nabi Shuib tentu kamu akan menjadi orang yang rugi”. (A’raf 90)
Perkara yang sama juga dijawab oleh pemimpin Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud “jika kami mengikut petunjuk yang engkau bawa, nescaya kami akan dihalau keluar dari negeri kami”.
Inilah 7 sebab utama mengapa kebatilan tetap bermaharajalela malah laris pada khalayak ramai yang telah digariskan oleh Al-Quran. Semoga kita dapat memulakan dan menyumbang untuk menghentikan suasana ini.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.