SALING BAHU MEMBAHU BERSAMA ULAMA

 الحمد لله القائل

                                                       

اشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له  و اشهد ان سيدنا محمدا عبده ورسوله

اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى اله واصحابه أجمعين

أما بعد فيا عباد الله اتقوا الله اوصيكم واياي بتقوى الله فقد فاز المتقون .

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

Ayat yang saya bacakan tadi bermaksud :

Setelah puas menyeru mereka, Nabi Nuh berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam supaya mereka beriman: maka seruanku tidak memberikan mereka satu faedahpun selain daripada menambahkan mereka melarikan diri daripada kebenaran.  Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka supaya Engkau mengampuni dosa-dosa mereka, mereka menyumbatkan telinga mereka dengan jari masing-masing dan berselubung dengan pakaiannya dan berlaku sombong takbur yang melampau-lampau. (Nuh 5-7)

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT sebagai membuktikan perhambaan kita kepadaNya. Namun kita sebagai manusia yang sifat semulajadinya sering lupa dan amat-amat dahagakan peringatan yang berpanjangan perlu mengambil peluang keemasan dalam majlis-majlis ilmu untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah. Maka dalam tugas memperingatkan manusia tentang hubungannya dengan Allah, manusia dan alam, golongan yang terlibat secara langsung dalam hal ini ialah mereka yang menggalas amanah tinggalan para Rasul iaitu para ulama’ dan para pendakwah.

Ulama’ memang telah diakui menyumbang jasa yang tidak terkira besarnya dalam pembangunan negara. Perkara ini telah disentuh secara langsung di dalam titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan Parlimen Ke sebelas Penggal Pertama pada 18 Mei 2004 yang lalu.

 

Baginda bertitah :

 

“……Keruntuhan akhlak dan penyakit sosial merupakan unsur yang boleh meruntuhkan keharmonian masyarakat, bangsa, negara dan tamadun manusia yang kita bina selama ini. Kita telah dikejutkan dengan pelbagai masalah sosial yang membimbangkan dengan perbuatan ganas merogol kanak-kanak, sumbang mahram, penyalahgunaan dadah dan lain-lain kegiatan yang tidak bermoral. Di samping kerajaan, masyarakat dan ibubapa, guru agama, pendidik dan cerdik pandai Islam hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab untuk membasmi penyakit masyarakat ini. Pendekatan menghukum, menyalahkan orang lain dan mengadakan syarahan berbentuk umum hendaklah ditukar. Para Ulama’ dan pendakwah seharusnya turun padang dan mendekati mereka yang berpenyakit ini dengan memberi bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar …”

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Sebagai seorang warga negara muslim sepatutnya kita mengambil perhatian serius terhadap titah baginda dan sememangnya Islam amat menitik berat soal mencegah masyarakat dari perkara-perkara yang dilarang Allah kerana ianya akan mengundang kehancuran di dunia dan akhirat sehingga jangan ada di kalangan umatnya merasa selesa jika masyarakat yang mengelilinginya terus hanyut dalam kemungkaran. Sebagai warganegara kita telah ditanam sekian lama dengan konsep rukun negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan dan kesetiaan kepada raja dan negara.

Gejala sosial yang melanda umat ini seperti yang disebutkan di dalam titah baginda menandakan manusia muslim di negara ini telah hampir-hampir kehilangan sifat-sifat kemanusiaannya seperti amanah, belas kasihan, taat kepada arahan Tuhan, menjaga kurniaan Tuhan dan sifat–sifat kemanusiaan yang lain dan diisi pula dengan sifat kebinatangan. Sifat-sifat kemanusiaan ini masih boleh dibina semula serta dipupuk dan dibajai agar ia subur terus hidup dalam diri manusia tetapi barang diingat bahawa ianya sentiasa terdedah kepada unsur-unsur yang akan meruntuhkannya dan menanggalkannya semula dari manusia. Satu kaedah umum yang perlu diinsafi ialah perkara membangun adalah lebih sukar dari meruntuh. Begitulah nasib yang menimpa manusia. Para ulama, pendakwah dan ahli agama yang sedar tanggungjawab mereka menjalankan tugas-tugas membangun semula manusia dan tidak sangat mengajar bagaimana membina bangunan atau jalanraya dan sebagainya yang sememangnya bukan kepakaran mereka. Mereka menjalankan tugas ini diceruk rantau samada di masjid, surau, media massa mahupun media cetak. Ini adalah sumbangan mereka dalam usaha membangun semula nilai-nilai kemanusiaan dalam diri manusia itu sendiri namun sedar atau tidak usaha mereka sering disaingi dengan usaha–usaha lain yang menjurus kepada meruntuh nilai–nilai kemanusiaan. Oleh kerana meruntuh lebih mudah dari membina maka selalunya unsur negatif akan menang.

Tatkala para pendakwah, ulama’ dan cendiakawan Islam mengajar kitab-kitab dan buku-buku ilmiah di masjid, surau dan tempat pengajian, berapa ramai pula di kalangan muslim yang menadah kitab-kitab atau majalah lucah atau separuh lucah yang melambak di pasaran.

Tatkala para pendakwah berkumpul dengan para jamaah yang majoritinya usia emas di masjid dan surau, berapa ramai pula yang berjemaah malah kalis hujan dan panas, bersorak dan terkinja-kinja di pesta-pesta hiburan.

Tatkala para penceramah diberi slot tertentu di dalam media massa tetapi berapa jam sangatkah kalau dibandingkan dengan siaran-siaran separa porno ditambah dengan syarikat-syarikat penyiaran swasta yang hanya mementingkan keuntungan walaupun akan meruntuhkan jati diri manusia itu sendiri.

Ulama dan para pendakwah sahaja tidak mampu untuk menjalankan tugas murni ini tanpa diberi kerjasama oleh pihak-pihak yang lain dan sememangnya tugas membasmi kemungkaran adalah tugas semua orang.

Para ulama’ tidaklah mengharapkan untuk melarang manusia berkarya menerusi penulisan majalah atau buku malah Islam sendiri menggalakkan budaya ilmu malah ia akan memantapkan nilai kemanusiaan tetapi janganlah kemunculan bahan bacaan tahyul dan khurafat serta lucah di pandang sebelah mata oleh agensi berkenaan dan menjadi kegemaran para pengkarya untuk mengaut keuntungan yang banyak dan kita sebagai pembaca mestilah menjauhi karya-karya sebegini dari diri kita dan anak-anak kita.

Para ulama ’tidaklah berhasrat agar ditiadakan langsung program-program hiburan kerana naluri manusia itu suka berhibur namun janganlah ada pihak yang beria-ia benar menaja dan mengadakan pesta-pesta yang tidak sesuai dengan ajaran Islam malah budaya ketimuran pun tidak dapat menerimanya. Kita sebagai anggota masyarakat dan sebagai ibu bapa patut prihatin dalam soal memilih hiburan agar tidak terjerat dalam perangkap yang akan meruntuhkan sikap kemanusiaan.

Para ulama’dan pendakwah tidaklah memimpikan agar siaran media massa hanya diisi dengan kuliah agama sepanjang hari namun janganlah diberi peluang yang luas kepada penonton untuk menjamu mata dan minda dengan sesuatu yang melalaikan diri mereka terhadap tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.

 

Sidang Jumaat yang budiman,

Apabila ulama’ dan pendakwah melakukan teguran yang berdasar hujjah Al Quran dan As-sunah maka jangan  kita merasakan tugas mereka sebagai menghukum tetapi sebenarnya mereka hanya menyampaikan keputusan Allah dan Rasulnya, tidak lebih dari itu. Marilah sama-sama kita mengubah tanggapan lama bahawa ulama, dan para pendakwah kerjanya hanya menceritakan hukum hakam agama tetapi sebenarnya ulama dan muslihun adalah sebagai contoh ikutan kita. Persoalannya betapa banyakkah panduan mereka, nasihat mereka yang benar-benar ikhlas kita tongsampahkan ia dan kewujudan para pendakwah, ulama  hanya sangat berharga apabila ada kenduri tahlil, kematian, perkahwinan dan majlis-majlis rasmi sahaja. Di manakah kita letakkan nasihat mereka dalam bidang ekonomi, dalam bidang seni, dalam bidang budaya, dalam bidang sukan, dalam bidang kehakiman dan sebagainya. Sebaliknya hari ini ulama, para pendakwah, para mujahid yang paling banyak dilabelkan dan dihukum dengan gelaran-gelaran tertentu.

 

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Titah baginda agar para pendakwah menukar kaedah penyampaian dakwah daripada syarahan umum kepada keadah-kaedah lain amatlah menarik untuk direnungkan. Tidak boleh dinafikan bahawa masalah sosial yang berlaku ada yang disebabkan beberapa kelemahan di pihak pendakwah sendiri seperti ada juga di kalangan mereka yang tidak ikhlas, tidak amanah di dalam menyampaikan ilmu termasuklah pendekatan dakwah yang masih ditakuk yang lama. Sudah sampai masanya setiap pihak memikir dan menyumbang ke arah menyediakan satu suasana yang amat selesa dan terkini kepada para pendakwah untuk menyampaikan dakwah secara berkesan.

Kalau zaman moden kini dilihat penyampaian dakwah melalui  persembahan LCD atau tayangan video dikatakan lebih berkesan, berapa banyak masjidkah yang sedia menyediakan perkhidmatan ini untuk disediagunakan oleh pendakwah khususnya pendakwah muda. Pentadbir–pentadbir masjid perlu memikirkan perkara ini. Selama ini pun tidak banyak masjid yang mendahulukan wang masjid untuk membeli kitab-kitab yang diajar di masjid-masjid agar pengajaran di masjid-masjid lebih berkesan.

Dalam program pembangunan insan khususnya remaja seperti program khidmat negara para pendakwah perlu diberi peluang dan dilibatkan dalam pengisian-pengisian rohani seperti kuliah subuh, kuliah maghrib, praktikal fardhu ain, qiamulail dan solat jamaah.

Agensi kerajaan dan swasta perlu memikirkan di samping berusaha meningkatkan produktiviti, peningkatan nilai-nilai kemanusiaan di kalangan anggota dan kakitangan juga perlu dipertingkatkan. Berapa ramaikah di kalangan ketua-ketua organisasi memperuntukkan masa tertentu untuk digunakan sebagai usaha mempertingkatkan sifat-sifat mulia di kalangan anggotanya.

Kita sebagai orang ramai perlu membuang jauh-jauh sifat buruk sangka kepada para pendakwah dan kita perlu memujuk naluri kita untuk merebut segenap peluang untuk mempertingkatkan diri kita supaya menjadi muslim mukmin yang sejati.

Bertitik tolak dari sini marilah kita bekerjasama bersama mereka yang mahu melihat masyarakatnya terselamat dari kemurkaan Allah SWT sebagai mengukuhkan bukti kita sebagai hamba Allah yang taat dan sebagai warganegara yang setia.

 

بَارَكَ اللهُ لى ولكم بِالقُرآنِ العَظِيْمِ ونَفَعَنِى وَاِيَّاكُمْ بما فيه من الآياتِ و الذِّكْرِ الحكيمِ وتَقَبَّلَ مِنِّى ومنكم تِلاوَتَهُ إنه هو السَّمِيعُ العليم

 

Hosted by www.Geocities.ws

1