PERINGATAN ALLAH, TUGAS RASULULLAH S.A.W.
DAN PERANAN UMAT
***************************************
الحمد لله القائل :
فَذَكِّرْ ِإنَّمَا اَنْتَ مُذَكِّرْ لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرْ ِإلاِّ منَ تَوَلىَّ وَكَفَرَ فَيُعَذِّبُهُ اللّهُ الْعَذاَبَ الأَكْبَرَ إِنَّ إِلَيْناَ إِياَبَهُم ثُمَّ إِنَّ عَليَناَ حِساَبَهُمْ [1]
اَشْهَدُ أَنْ لا اله الا اللهُ وحدهُ لا شريك له واشهد انَّ سَيِّدَنا محمدا عَبْدُهُ ورسُولُهُ
اللهم صلِّ وسلِّم على سيِّدِنا محمدٍ وعلى اله واصحابِهِ أجمعين
أمَّا بَعْدُ فيا عِبادَ اللهِ اتَّقوا اللهَ اوصيكم وايَّايَ بِتَقْوى اللهِ فقد فاز المتقون.
Sidang Jumaat Sekelian,
Marilah sama-sama kita berusaha meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan kita dalam menjalani kehidupan seharian kita di dunia ini.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Ayat yang baru saya bacakan tadi merupakan penegasan Allah terhadap tugas-tugas yang dikendali oleh Rasulullah s.a.w. sebagai pesuruh Allah s.w.t. dan tanggung jawab orang yang telah disampaikan dakwah Rasulullah s.a.w. kepadanya.
Pada ayat ( فَذَكِّرْ ِإنَّمَا اَنْتَ مُذَكِّرْ ) yang bermaksud
Maka (wahai Muhammad) hendaklah engkau memberi peringatan tetapi barang diingat bahawa hanyasanya tugasmu hanya pemberi peringatan.
Ayat ini adalah arahan Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.w.t. agar menyampaikan dakwah kebenaran kepada manusia dengan memberi peringatan-peringatan agar manusia menerima kebenaran dan menolak kebatilan dan dalam masa yang sama Allah s.w.t. menghadkan sempadan tugas Rasulullah s.a.w. iaitu hanyalah sebagai pemberi peringatan bukanlah sampai menjalankan tugas sebagai pemaksa. Ini ditegaskan oleh ayat seterusnya
لَسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرْ
Yang bermaksud : bukanlah kamu wahai Muhammad seorang pemaksa.
Kesimpulannya tugas Nabi Muhammad s.a.w. adalah penyampai risalah Allah dan tugas ini telah berjaya dilaksana oleh baginda s.a.w. dengan jayanya.
Kaum muslimin sekalian,
Sudah tentu manusia yang telah mendengar dakwah Nabi s.a.w. itu umumnya terbahagi kepada dua iaitu mereka yang amat senang dan mudah menerima semua kebenaran dan menjadikan isi dakwah Nabi s.a.w. sebagai panduan hidup. Golongan ini akan disayangi oleh Allah seperti firmannya.
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فاَتّبِعُونىِ يُحْبِبْكُمُ الّلهُ وَ يَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوبَكُم[2]
Bermaksud :
Katakanlah wahai Muhammad sekiranya kamu sayangkan Allah maka ikutilah aku nescaya kamu akan disayangi Allah dan akan diampuni dosa-dosa kamu.
Namun apa pula kesudahan pula mereka yang berpaling dan memandang sepi terhadap seruan Nabi s.a.w. Tugas Nabi s.a.w. hanyalah pemberi peringatan sahaja tetapi apabila dakwahnya disambut dengan keengkaran dan kekufuran, tugas seterusnya bukan lagi tugas baginda s.a.w. tetapi tugas ini akan dikendalikan sendiri oleh Allah s.w.t. menerusi firmannya :
Bermaksud :
Kecuali mereka yang berpaling dan kufur, maka mereka akan diazab oleh Allah dengan azab yang pedih.
Sidang Jumaat yang saya hormati,
Bagi Allah tugas mengendalikan pembalasan bagi mereka yang engkar bukanlah satu tugas yang berat dan sukar sebaliknya mereka yang engkar sepatutnya merasa amat berat dan risau kalau sekiranya nanti ia kembali kepada Allah dengan disambut azab yang pedih dan mengerikan. Tetapi begitulah hakikatnya bahawa kedua-dua golongan tadi iaitu yang patuh dengan cara hidup seperti yang diajak oleh Nabi s.a.w. dan golongan yang tidak menghiraukan seruan kebenaran Rasul s.a.w. akan dikembalikan kepada Allah. Yang baik dan yang jahat tetap bertuhankan Allah sahaja. Firman Allah:
“Sesungguhnya kepada kami mereka kembali dan ke atas kamilah tugas menghisab mereka”.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Jelaslah bahawa tugas kita sebagai umat yang menerima dakwah dapat disimpulkan seperti berikut:-
i. Kita mesti merasakan diri kita amat memerlukan kepada peringatan-peringatan yang akan menyelamatkan kita dari kemurkaan Allah samada peringatan itu dari Rasulullah SAW atau ulama yang mengambil alih tugas menyambung mesej dakwah Rasulullah s.a.w. Pujuk rayulah diri kita untuk memperuntukkan masa bagi majlis-majlis ilmu.
ii. Sama seperti kita amat memerlukan peringatan-peringatan, kita juga amat perlu untuk membuat keputusan yang betul dan tepat selepas kita mendengar peringatan berkenaan. Tugas penyampai peringatan sudah selesai. Sebaliknya kita pula akan menggalas tugas yang lebih besar kerana kita berhadapan dengan tindakan secara langsung dari Allah.
iii. Ini bermakna bahawa soal halal – haram, dosa - pahala, syurga – neraka, hak dan batil yang telah didengari dan diketahui bukanlah fungsinya sebagai bahan pengisi masa terluang atau sekadar memenuhi acara rasmi sahaja ataupun sekadar halwa telinga tetapi sebenarnya ia menuntut kita membuat keputusan dan bertindak dengan tindakan yang tepat iaitu tindakan yang tidak mengundang kemurkaan Allah s.w.t.
iv. Bertitik tolak dari itu marilah kita menggunakan kesempatan menyambut hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dengan kita memperbanyakkan mendengar peringatan dan pesanan baginda yang akan menyelamatkan diri kita dari api neraka dan dapat membantu kita membuat sesuatu keputusan dengan tepat berdasarkan konsep kita menjadikan baginda sebagai sebaik-baik contoh dan ikutan.
بَـارَكَ اللَّـهُ لِى وَلـَكُمْ فِى الْـقـُرْأَنِ الْـعَـظِـيْـمِ وَنـَفـَعَـنِى وَاِيـَّاكُمْ بـِاْلاَيـَاتِ وَالـذِّكـْـرِ الْـحَـكِـيْـمِ, وَتـَقـَبَّـلَ مِـنِّى وَمِـنـْكُمْ تِـلاَوَتـَهُ اِنـَّهُ هُـوَ الـسَّـمِيْـعُ الْـعَـلـِيْمُ. اَقـُوْلُ قـَوْلِى هَـذَا وَاَسْـتَـغْـفِـرُ اللَّـهَ الْـعَـظِـيْـمَ لِى وَلـَكُمْ وَلِـسـَائِـرِ الْـمُـسْـلِـمِـيْـنَ وَالْـمُـسْـلِـمَـاتِ وَالْـمُـوْءمـِنِـيْنَ وَالْـمُـوْءمِنـَاتِ فـَاسْـتـَغـْفـِرُوْهُ اِنـَّهُ هُـوَ الْـغَـفـُوْرُ الـرَّحِـيْـمُ .
Disediakan oleh :
Ustaz Zamri Bin Hashim