خطبـة جمعـة

Munafiq Pada Pandangan Islam

 اَلْحَمْـدُ لِلَّـه، اَلْحَمْـدُ لِلَّـهِ الَّذِى هَدَانَا لِهَـذَا وَمـَا كُـنـَّا لِـنَهْتـَدِىَ لـَوْ لاَ اَنْ هَـدَانـَا اللَّـه، 

اَشْـهَـدُ اَنْ لاَ اِلـَهَ اِلاَّ اللَّـهُ وَحْـدَهُ لاَ شَـرِيْكَ لَـهُ، وَاَشْهَـدُ اَنَّ مُحَمَّـدًا عَبْـدُهُ وَرَسُـوْلُـهُ، 

اَللَّـهُمَّ صَـلِّ وَسَـلـِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ مُحَمـَّدٍ وَعَلىَ اَلِـهِ وَصَحْبـِه وَالـتَّابِـعِـيْنَ اِلَى يَـوْمِ الـدَّيْن. 

اَمَّـابَعْـدُ. فَـيَـا عِـبـَادَ اللَّـه  اِتَّـقـُوا اللَّـهَ حَـقَّ تـُقـَاتِـهِ وَلاَتـَمـُوْتُـنَّ اِلاَّ وَاَنـْتـُمْ مُـسْـلِمـُوْنَ .      

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

           Saya berseru dan berpesan kepada tuan-tuan dan kepada diri saya sendiri agar bertaqwa kepada Allah swt. iaitu dengan menurut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.  Semoga dengan yang demikian kita akan beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.

 

Saudara kaum muslimin sekalian,

            Kalau kita merujuk kepada Al-Quran maka kita akan dapati pada awal-awal Al-Quran yakni pada awal surah Al-Baqarah,  terdapat satu penjelasan daripada Allah swt. berhubung dengan siapakah yang dimaksudkan dengan orang-orang  yang beriman (kalau boleh diistilahkan sebagai Islam tulen) dan siapakah pula yang dikatakan sebagai orang kafir dan engkar.  Di samping itu Allah juga menjelaskan juga tentang orang-orang Islam dan beriman yang tidak tulen, palsu dan tiruan yakni munafiq.

             Sesungguhnya istilah-istilah ini dijelaskan oleh Allah swt. walaupun sebahagian manusia cuba menyembunyikannya, namun ianya tetap dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran. Jika sekiranya kita kembali kepada Al-Quran, maka kita akan dapat mengenali siapakah yang tulen dan siapakah yang palsu keimanan mereka.

             Pada awal-awal surah Al-Baqarah ini, Allah SWT telah membahagikan manusia yang mengandungi berbagai-bagai bangsa dan bermacam-macam puak serta fahaman itu kepada tiga golongan. Golongan tersebut adalah golongan yang beriman, golongan kufur dan golongan munafiq.

            Berhubung dengan golongan yang beriman, yakni golongan yang dianggap sebagai beriman dalam ertikata yang sebenar-benarnya, maka Allah swt mensifatkan kepada kita dengan sifat yang jelas dan nyata.

اعـوذ باللـه مـن الـشـيطان الـرجـيم

الم(1)ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ(2)  الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ(3)  وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ(4)  أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

 سـورة الـبـقـرة : 1-5

Bermaksud:

  Alif-lam-min. Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak dan keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya).  Ianya menjadi petunjuk kepada orang-orang yang (hendak) bertaqwa .  Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan solat (mengerjakan sembahyang) serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka.  Dan orang-orang yang beriman kepada kitab (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelum kamu serta mereka itu yakin akan adanya (kehidupan) Hari Akhirat.  Mereka itulah yang tetap mendapat petujuk dari Allah dan merekalah orang-orang yang berjaya.

         Itulah dia orang Islam yang tulen dan yang lain daripada itu sama ada kufur ataupun munafiq.

 Sidang Jumaat Sekelian,

         Berhubung dengan orang-orang kafir, Allah swt. menjelaskan seperti berikut:-

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ(6) خَتَمَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (7)       

          (سـورة الـبـقـرة : 6- 7 )                                                          

 

Bermaksud:  

Sesungguhnya orang-orang kafir itu sama sahaja bagi mereka,samada kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga beriman.  Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka serta pengelihatan mereka ditutup dan bagi mereka azab yang amat berat.

 

Sidang Jumaat sekelian,

        Golongan yang ketiga pula, adalah golongan yang disifatkan oleh Allah SWT dengan penerangan yang paling panjang di awal surah ini. Mereka adalah golongan yang sentiasa bersama-sama dengan umat Islam, yang bersama-sama dengan Rasulullah saw. ketika baginda menegakkan negara Islam di Madinah. Mereka bersembahyang bersama-sama dengan Rasulullah, mereka berada di saf sembahyang di masjid Rasulullah, mereka mengaku sebagai seorang yang beriman dalam Islam, tetapi mereka sebenarnya adalah orang-orang yang palsu keimanan mereka dan mereka menjadi musuh kepada Islam yang tulen. Mereka menjadi gunting dalam lipatan kepada umat Islam dan menjadi alat kepada musuh-musuh Islam.

        Oleh kerana pakatan, tindak-tanduk, sifat-sifat lahiriah, kerja-kerja serta amalan zahir yang dilakukan oleh mereka bersama-sama dengan para sahabat Nabi saw. Maka kejahatan mereka tidak boleh dikesan dengan begitu mudah. Tetapi Allah swt. telah mendedahkan kepada kita sifat-sifat mereka.  Mereka adalah golongan Islam yang  tidak tulen, tidak mahu kepada Islam yang sebenar.  Tanda-tanda mereka disifatkan oleh Allah SWT walau pun kita tidak mengetahui apa yang tersirat di dalam hati-hati mereka.  Firman Allah Taala:-

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ ءَامَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ(8) يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ(9)  - الـبقـرة : 8-9

Bermaksud: 

Dan di antara manusia ada yang berkata:  kami telah beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhrat, pada hal mereka sebenarnya tidak beriman.  Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang beriman, pada hal mereka hanya memperdaya diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak menyedarinya .

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

           Terdapat di kalangan manusia itu orang-orang yang mengaku dan mengatakan bahawa mereka beriman dengan Allah dan beriman dengan Hari Akhirat, pada hal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka menipu Allah dengan mengaku bahawa mereka sebagai orang Islam dan beriman, mereka menipu orang-orang beriman bersama-sama Rasulullah, mereka bersama-sama dengan masyarakat Islam. Mereka duduk di celah-celah saf umat Islam yang sedang bersembahyang dan berimamkan Rasulullah, pada hal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka menipu Allah dan menipu orang-orang beriman pada hal mereka sebenarnya menipu diri mereka sendiri dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. Kepada mereka Allah swt. menyediakan azab yang amat berat di atas apa yang dilakukan oleh mereka, kerana mendustakan dan menyembunyikan agama Allah.  Walau pun mulut-mulut mereka mengatakan bahawa mereka mahukan Islam, mengaku sebagai umat Islam serta berada bersama-sama umat Islam, tetapi hati mereka bersama-sama dengan musuh-musuh Islam. Walau pun lidah-lidah mereka mngucapkan kata-kata Islam, kalimah-kalimah Islam, namun tindak-tanduk mereka tidak dapat menyembunyikan bahawa mereka bersama-sama dengan musuh-musuh Islam. Allah swt. mendedahkan kepada kita berkenaan dengan hakikat sebenar mereka.

 

Kaum Muslimin sekalian,  

          Marilah kita merenung dan melihat kembali akan sifat-sifat mereka yang didedahkan oleh Allah swt. kepada Nabinya Muhammad saw.  kepada para sahabat dan kepada seluruh umat Islam. Sesungguhnya golongan Munafiq itu bukan sahaja ada bersama dengan Rasullah di Madinah, malah akan wujud hingga hari kiamat. Mereka disifatkan oleh Allah Taala seperti firmannya di dalam Al-Quran : -

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ(10)  وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُوا فِي الأََرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ(11)  أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لاَ يَشْعُرُونَ(12)    - سورة البقرة : 10-12

 Bermaksud : 

 

Pada hati mereka ada penyakit maka Allah menambah lagi sakit mereka itu. Dan bagi mereka azab yang pedih disebabkan apa yang mereka dustakan. Dan apabila dikatakan kepada mereka “ janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi “mereka menjawab: “ Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan “.  Ketahuilah, bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan , tetapi mereka tidak menyedarinya .

 

Saudara sidang Jumaat sekalian,

           Di zaman Rasulullah saw.  mereka tidak dapat menyembunyikan sifat-sifat nifaq mereka. Begitu jugalah yang berlaku di zaman kita ini. Sesungguhnya mereka masih mempertahankan kerosakan dan kemusnahan yang dilakukan di muka bumi. Mereka masih terus melakukan berbagai maksiat dan penderhakaan terhadap Allah secara terang-terangan seperti pengambilan Arak, Judi, Riba, dan kemunkaran-kemunkaran lain. Mereka tidak dapat menyembunyikan ketidak-yakinan mereka terhadap agama Allah. Mereka beranggapan bahawa semua perkara yang disebutkan tadi seolah-olah tidak ada kena mengena langsung dengan Islam.  Inilah dia sifat-sifat mereka yang zahirnya beribadat bersama-sama dengan Rasulullah.  Inilah dia sifat-sifat munafiq yang menjadi gunting dalam lipatan masyarakat Islam di sepanjang zaman. Inilah dia munafiq yang perlu diawasi oleh umat Islam.

 

Kaum Muslimin sekalian,

          Kita mengemukakan pendedahan daripada Allah swt. Ini adalah untuk memberi peringatan  kepada umat Islam dan untuk memberi peringatan kepada golongan munafiq itu, semoga mereka kembali kepada Islam yang sebenar-benarnya dan kembali untuk menghayati Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.  Sesungguhnya Allah swt. amat mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka, begitu juga dengan apa yang difikir dan yang dirancangkan oleh mereka.

           Golongan munafiq ini adalah merupakan golongan yang paling berkesan digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mengelirukan umat Islam, untuk memesongkan perjalanan umat Islam ini dari mencapai keredhoan Allah swt.  Firmannya lagi :                                     

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ ءَامِنُوا كَمَا ءَامَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا ءَامَنَ السُّفَهَاءُ أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَكِنْ لاَ يَعْلَمُونَ(13)     (الـبـقـرة: 13 )   

Bermaksud : 

Dan apabila dikatakan kepada mereka berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman, mereka menjawab: akan berimankah kami sebagaimana orang-orang bodoh itu beriman? Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, akan tetapi mereka tidak mengetahui. 

 

           Mereka menganggap bahawa orang-orang yang beriman itu adalah orang-orang yang bodoh, jumud dan berfahaman sempit. Orang-orang yang mahu kepada Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw. adalah orang-orang mundur dan tidak membawa kemajuan dan pembangunan, tidak mempunyai perancangan jangka panjang dan berbagai-bagai lagi anggapan dan penghinaan mereka terhadap orang-orang yang beriman.

             Golongan ini merasakan bahawa merekalah yang mempunyai fikiran jangka panjang tetapi sesungguhnya apa yang difikirkan oleh mereka sebenarnya adalah jangka yang terlalu pendek yang terhad kepada kehidupan di dunia tanpa melihat kepada kepentingan Akhirat.  Allah Taala memberikan jawapan kepada mereka dengan firmannya :

  اَلآ اِنـَّهُـمْ هُـمُ الـسُّـفَـهَـآءُ وَلـَـكِـنْ لاَ يَـعْـلَـمُوْنَ                                  

Ertinya : 

Ingatlah !!..Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh. tetapi mereka tidak mengetahui .

 

Sidang jumaat sekalian,

       Marilah kita kembali kepada peringatan Allah seterusnya tentang orang-orang munafiq ini :

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ ءَامَنُوا قَالُوا ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ(14) اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ(15) أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلاَلَةَ بِالْهُدَى فَمَا رَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ (16)                

Bermaksud:

 Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman,mereka berkata:  kami telah beriman , dan manakala mereka kembali kepada Syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula : sesungguhnya kami tetap bersama-sama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman). Sesungguhnya Allah Taala akan membalas olok-olokkan mereka dan Allah Taala akan membalas segala tindak-tanduk mereka. Mereka itulah golongan yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan mereka itu dan mereka tidak akan mendapat petunjuk.                                                                                                                                           

 بَـارَكَ اللَّـهُ لِى وَلـَكُمْ فِى الْـقـُرْأَنِ الْـعَـظِـيْـمِ وَنـَفـَعَـنِى وَاِيـَّاكُمْ بـِاْلاَيـَاتِ وَالـذِّكـْـرِ الْـحَـكِـيْـمِ, وَتـَقـَبَّـلَ مِـنِّى وَمِـنـْكُمْ تِـلاَوَتـَهُ اِنـَّهُ هُـوَ الـسَّـمِيْـعُ الْـعَـلـِيْـمِ . اَقـُوْلُ قـَوْلِى هَـذَا وَاَسْـتَـغْـفِـرُ اللَّـهَ الْـعَـظِـيْـمَ لِى وَلـَكُمْ وَلِـسـَائِـرِ الْـمُـسْـلِـمِـيْـنَ وَالْـمُـسْـلِـمَـاتِ وَالْـمُـوْءمـِنِـيْنَ وَالْـمُـوْءمِنـَاتِ فـَاسْـتـَغـْفـِرُوْهُ اِنـَّهُ هُـوَ الْـغَـفـُوْرُ الـرَّحِـيْـمُ  .

  

 

Imam Abdul Talib Hashim

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1